Categories
AGENDA NASIONAL

Cerucuk lembaran keluli stabilkan ban pecah di Bukit Changgang

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Kerja pembaikan ban pecah di Sungai Langat di kawasan Kampung Rancangan Tanah Baharu (RTB) Bukit Changgang dan Kampung Labohan Dagang, Kuala Langat melibatkan penggunaan cerucuk lembaran keluli serta tanah bagi mengukuh dan menstabilkan ban sedia ada.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan memaklumkan selain itu batang kelapa sawit juga digunakan dalam pembaikan ban pecah bertujuan untuk mengukuhkan laluan jentera berat di kawasan pembinaan terbabit.

Menurut kenyataan itu, batang kelapa sawit juga digunakan sebagai halangan sementara bagi mengurangkan limpahan air sungai sebelum kerja pembaikan ban dilaksanakan.

“Pada masa ini, JPS Selangor sedang memfokuskan kepada kerja pembinaan saluran keluar air banjir menggunakan pam skru ke Sungai Langat. Kerja ini dijangka siap dalam tempoh tiga hingga lima hari, bergantung kepada keadaan cuaca,” katanya.

Penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka dilanda banjir diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa dan sebarang maklumat serta amaran semasa boleh didapati di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook: Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia – Dept. of Irrigation and Drainage dan Twitter @DID_Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas kepada laporan media berhubung kejadian ban pecah di Kampung RTB Bukit Changgang yang menimbulkan kebimbangan kepada penduduk sekiranya berlaku banjir sekali lagi.

Menurut laporan media itu penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan meletakkan batang kelapa sawit dan bongkah batu bagi menghalang kemasukan air Sungai Langat ke kawasan kampung.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kaedah terusan, penyejat atasi banjir termenung Bukit Changgang

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Banjir genang atau termenung yang berlaku di Bukit Changgang, Banting, Selangor dapat diatasi dengan menggunakan inovasi terusan dan evaporator atau penyejat.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata dua inovasi itu adalah kaedah terbaharu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (Nahrim).

“Banjir genang di Bukit Changgang disebabkan aliran air dari sungai tidak boleh dikeluarkan ke laut yang menyebabkan ia bergenang di situ dan akhirnya melimpah ke kawasan perumahan.

“Bagaimanapun, Alhamdulillah, selepas enam hari banjir genang akhirnya dapat diselesaikan dengan kaedah inovatif tersebut,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV dengan tajuk ‘Musibah Banjir: Ikhtiar Mengurang Risiko?’ malam tadi.

Zaini berkata inovasi terusan bertujuan untuk mengalirkan air banjir genang ke kawasan yang boleh menakung sebelum disalurkan ke sungai berdekatan apabila air surut.

“Ia boleh dibina di kawasan lapang atau menggunakan parit sedia ada yang diperbesarkan saiz dan kedalamannya. Pam air berkapasiti besar diperlukan untuk menyedut air banjir genang ke terusan tersebut,” katanya.

Menurutnya, inovasi evaporator pula bertujuan untuk mengubah banjir genang daripada fasa air kepada fasa wap yang memerlukan pam bagi menghasilkan tekanan tinggi melalui penggunaan nozel atau muncung berongga bagi menghasilkan cecair membentuk wap air.

“Kebaikan evaporator ialah mengurangkan isi padu air banjir genang bagaimanapun kelemahannya ialah perlahan dari segi mengeringkan banjir genang berbanding kaedah terusan,” katanya.

Penggunaan dua inovasi itu menyebabkan banjir genang di Bukit Changgang surut hampir sepenuhnya yang sebelum ini menjejaskan 149 keluarga di kawasan itu.

Sehingga 6 petang semalam, katanya, sebanyak 68 keluarga telah kembali ke rumah masing-masing manakala selebihnya dalam proses membersihkan rumah.

Zaini berkata inovasi evaporator juga pernah digunakan ketika mengatasi banjir kilat di Batu Pahat, Johor pada Ogos lepas.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Buat terusan, pam air bertakung, Bukit Changgang surut esok

SHAH ALAM, 24 DIS: Penyediaan terusan dan mengepam air takungan dilakukan bagi menangani masalah banjir di Bukit Changgang dekat sini.

Dato’ Menteri Besar berkata ia adalah antara kaedah diambil dalam usaha menyelesaikan musibah berlaku di kawasan tersebut.

“Beberapa langkah tambahan dengan penyediaan terusan dan mengepam air yang bertakung telah berjaya surutkan air lebih pantas. Menjelang esok InsyaAllah dijangka Bukit Changgang akan surut sepenuhnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Rabu lalu, beliau memaklumkan seramai 1,400 mangsa berjaya diselamatkan dan ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang dengan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan keperluan asas.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB tinjau mangsa banjir Bukit Changgang, agih bantuan asas

SHAH ALAM, 21 DIS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau mangsa banjir sekitar Bukit Changgang dan Bandar Seri Ehsan, Kuala Langat pagi tadi.

Beliau memaklumkan seramai 1,400 mangsa berjaya diselamatkan dan ditempatkan di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) antaranya Sekolah Rendah Agama Bukit Changgang.

“Kerajaan Negeri turut menyalurkan bantuan keperluan asas kepada mangsa yang berada di PPS,” menurutnya di Facebook sebentar tadi.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 2,500 penduduk di Taman Seri Ehsan terputus hubungan kerana jalan utama dinaiki air sejak Ahad, justeru lori dan bot digerak untuk menyelamatkan mangsa.

“Bekalan air dan elektrik masih ada. Pek bantuan keperluan asas dan makanan bermasak disalur kepada semua penduduk,” katanya lagi.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Susulan itu, semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Mangsa Banjir Terharu Terima Bantuan Kerajaan Negeri

BANTING, 18 NOV : Mangsa banjir di pusat penempatan sementara di Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini melahirkan kegembiraan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka.

Walaupun tanggungjawab memberi bantuan tersebut seharusnya diusahakan kerajaan persekutuan di bawah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri namun setakat ini tiada usaha drustik dilakukan pihak terbabit.

Sehubungan itu kerajaan Negeri Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertindak turun padang untuk menyalurkan bantuan secara terus kepada mangsa banjir.

Salah seorang penduduk di Kampung RTB, Kartini Lamin, 47, merasakan sumbangan itu amat diperlukan untuk menampung perbelanjaannya sekeluarga setelah berhadapan bencana banjir terburuk setakat ini.

Beliau yang memiliki seorang anak dan kakak kurang upaya (OKU) amat berterima kasih dan bersyukur di atas pemberian Kerajaan Negeri.

“Rumah saya mula dinaiki air secara mendadak pada 5 November lalu iaitu ketika pada waktu Subuh. Alhamdulillah, saya dapat selamatkan semua ahli keluarga, namun perabot dan peralatan elektrik musnah semuanya.

“Dengan bantuan sebegini, saya benar-benar bersyukur kerana dapat meringankan beban. Terima kasih Menteri Besar,” katanya gembira.

Berkongsi perasaan sama, Azhar Alias, 47, berkata, beliau terharu atas bantuan yang diberikan, malah katanya ia membuktikan Kerajaan Negeri Selangor adalah sebuah kerajaan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Sudah hampir dua minggu saya menetap di pusat penempatan sementara ini dan hanya dibenarkan pulang dua hari lalu. Keadaan rumah memang sangat teruk. Tetapi, saya tetap bersyukur atas bantuan yang diberikan walaupun jumlahnya kecil, tetapi ia tetap meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Awal bulan ini menyaksikan sebilangan besar penduduk di daerah Kuala Langat berdepan bencana banjir terburuk yang pernah dicatatkan sepanjang tahun.

Justeru itu, Kerajaan Negeri menyalurkan sumbangan sebayak RM500 untuk setiap keluarga bagi meringankan beban yang dihadapi.

Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Mangsa Bencana Daerah Kuala Langat kepada lebih 300 buah keluarga itu diserahkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Hadir sama, Exco Kebajikan, Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail serta Adun Teluk Datuk, Philip Tan.

Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya melalui Jabatan Pengairan Selangor (JPS) akan memperbaiki ban-ban yang rosak serta membersihkan saliran serta parit tersumbat untuk melancarkan aliran air.

Semalam, Kerajaan Negeri memaklumkan akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelesaikan masalah banjir yang dihadapi di seluruh Selangor ekoran keengganan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

Perkara ini bakal dibentangkan Menteri Besar pada sesi Dewan Undangan Negeri Selangor yang akan bermula esok.

Categories
SELANGOR

Jumlah Mangsa Banjir Menurun Kepada 893 Orang

SHAH ALAM 17 NOV : Jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Selangor setakat pukul 3 petang hari ini menurun kepada 893 orang berbanding seramai 930 orang semalam.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), mangsa banjir itu ditempatkan Dewan Genting Sanyen, Dewan Orang Ramai Bukit Changgang ,Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat dan Dewan Bukit Tadom, Kuala Langat.

Empat pusat pemindahan masih dibuka di negeri itu dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini.

Menurut MKN, orang ramai dinasihatkan selepas banjir reda untuk memastikan minum air yang telah dimasak dan mengelakkan daripada meminum air yang telah tercemar.

Mereka perlu membasuh tangan dengan sabun sebelum menyentuh makanan, semasa menyediakan makanan atau memegang barang-barang yang telah dicemari air banjir serta makan makanan yang telah dicemari air banjir.

Mereka juga perlu melupuskan makanan yang ditinggalkan di dalam bekas atau peti sejuk yang telah dicemari air banjir atau yang telah berbau dan bertukar warna.

Categories
SELANGOR

Hanya Tinggal 930 Mangsa Banjir Di Selangor

SHAH ALAM 16 NOV : Jumlah mangsa banjir yang masih berada di pusat pemindahan di Selangor setakat pukul 4 petang hari ini menurun kepada 930 orang berbanding semalam seramai 1,357 orang.

Menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara (MKN), daripada jumlah itu, sebanyak 58 orang di Dewan Genting Sanyen, 26 orang di Dewan Orang Ramai Bukit Changgang dan 760 orang Sekolah Kebangsaan Rancangan Tanah Belia Bukit Changgang, Kuala Langat dan 86 orang di Dewan Bukit Tadom, Kuala Langat.

Empat pusat pemindahan masih dibuka di negeri itu dan tiada penutupan jalan atau korban banjir dilaporkan setakat ini.

Bagaimanapun, Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada di paras bahaya dengan mencatatkan paras air melebihi paras bahaya pada 3.51 meter manakala Sungai Langat di Dengkil turut melepasi paras normal dengan bacaan 4.45 meter dan orang ramai yang berada di kawasan sekitar diminta berjaga-jaga.