Categories
AGENDA NASIONAL

Hargai jasa, bekas pelari pecut para ditawar kerja sesuai

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Bekas jaguh olahraga para kebangsaan Mohd Raduan Emeari yang bekerja di stesen minyak akan ditawarkan pekerjaan bersesuaian, kata setiausaha politik Dato’ Menteri Besar.

Juwairiya Zulkifli berkata Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan meneliti keadaan Mohd Raduan terlebih dahulu supaya tidak mendatangkan kemudataran kepada bekas pelari pecut itu.

“Sekarang pendapatan Raduan kurang untuk dia bantu diri dan keluarga, dalam pertemuan tadi dia ada luahkan pasal isu pekerjaan.

“Menerusi kerjasama dengan Perkeso, kita cuba bantu dapatkan kerja sesuai sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya yang pernah mengharumkan nama negara di persada dunia,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat dan menyerah bantuan kepada Mohd Raduan bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat MBI Ahmad Azri Zainal Nor dan wakil Kementerian Belia dan Sukan Selangor.

Terdahulu kisah atlet berusia 39 tahun yang kini bekerja di stesen minyak di Kuala Selangor tular di media sosial.

Mohd Raduan yang juga bekas atlet negeri ini mewakili Malaysia di temasya Sukan Para ASEAN Filipina pada 2005, Korat (2007), Solo (2011), Naypyitaw (2013), Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017).

Beliau juga beraksi pada Sukan Para Asia Guangzhou (2010) dan Incheon (2014) selain Paralimpik Beijing (2008).

Juwairiya yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati berkata Kerajaan Selangor akan membantu bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara sebagai menghargai jasa mereka.

“Selangor merupakan kerajaan prihatin untuk semua golongan rakyat, justeru individu berdepan kesusahan akan dibantu,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadang wujud subsidi terapi tangani isu kesihatan mental

SHAH ALAM, 27 OGOS : Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati mencadangkan Kerajaan Negeri mewujudkan inisiatif subsidi terapi bagi menangani isu kesihatan mental.

Juwairiya Zulkifli berkata perkara itu wajar dipertimbangkan kerana kos menjalani sesi terapi dan perubatan agak mahal sekaligus menyukarkan golongan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan tersebut.

“Saya mencadangkan agar inisiatif subsidi terapi dapat dipertimbangkan pada masa akan datang, usaha ini untuk menjamin kesejahteraan serta kesihatan rakyat Selangor,” katanya.

Beliau berucap ketika membahaskan titah ucapan Duli Yang Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam perbahasannya, Juwairiya berkata menyambut baik inisiatif mewujudkan Selangor Mental Sihat (Sehat) yang dapat membantu individu melakukan saringan mental secara kendiri.

“Sehat adalah sebuah fungsi dalam aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) membolehkan pengguna melakukan ujian saringan awal secara kendiri untuk tahu tahap kesihatan mental masing-masing,” katanya.

Pada 15 Ogos, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud mengumumkan program Sehat bakal dilancar pada 30 Ogos ini.

Program itu bertujuan membantu penduduk Selangor meluahkan tekanan mental yang dihadapi terutama dalam mendepani pandemik Covid-19.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Bukit Melawati jelajah kampung daftar vaksin warga emas

SHAH ALAM, 16 JUN: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati akan menjelajah kampung bagi memperhebat kempen pendaftaran vaksin Covid-19 mulai minggu ini.

Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata fokus meliputi warga emas yang mencatatkan angka pendaftaran rendah kerana tidak mempunyai peranti dan tidak mengetahui kaedahnya.

“Kita akan memberikan kad sebagai pemberitahuan tarikh janji temu suntikan dan ketua kampung boleh memantau apabila tiba masanya bagi memastikan golongan terbabit dibawa ke pusat pemberian vaksin.

“Pendaftaran ini juga membolehkan golongan tidak mempunyai kenderaan dikenal pasti dan kita bantu sediakannya nanti,” katanya pada forum dalam talian yang disiarkan secara langsung di Facebook Yayasan Warisan Anak Selangor hari ini.

Forum bertajuk Vaksinasi: Warga emas selamat? turut menampilkan Exco Perancangan Strategik Kempen Vaksinasi Medical Mythbusters Malaysia Dr Megat Mohamad Amirul Amzar sebagai panel.

Juwairiya berkata Kerajaan Negeri turut membabitkan sukarelawan muda seperti Team Selangor dan Penggerak Belia Selangor untuk meningkatkan kadar pendaftaran vaksin.

“Mereka sudah diminta bantu pusat kesihatan daerah dan turun padang memastikan penduduk di kawasan masing-masing berdaftar,” katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan di Facebook, Juwairiya memaklumkan program pendaftaran vaksin akan dimulakan di Sasaran Sungai Buloh pada Jumaat ini, mulai jam 8.30 pagi.

Pada 4 April, Kerajaan Negeri melancarkan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Dato’ Seri Amirudin menjelaskan pusat khidmat DUN dan Parlimen, ahli majlis serta ketua kampung akan bergerak aktif membantu proses pendaftaran.

Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

DUN Bukit Melawati agih bantuan makanan, OKU antara penerima

SHAH ALAM, 24 FEB: Seramai 1,400 penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati bakal menerima bantuan makanan bagi mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Wakil rakyatnya berkata bantuan secara berfasa meliputi keluarga berpendapatan rendah, orang kelainan upaya dan warga emas yang terjejas susulan Covid-19.

Menurut Juwairiya Zulkifli, sumbangan diagih mengikut keperluan merangkumi beras, minyak masak, kicap, kopi, sardin dan ayam segar serta pelitup muka.

“Seramai 750 penduduk sudah menerima sumbangan dan baki akan diselesai secara berperingkat. Kita harap bantuan ini meringankan beban mereka sepanjang PKP,” katanya ketika dihubungi.

Pada 20 Januari, Kerajaan Negeri memperuntuk RM100,000 kepada setiap DUN dan RM50,000 untuk ahli parlimen negeri ini bagi melaksanakan program Mesra Rakyat.

Program sebahagian Pakej Kita Selangor meliputi perolehan bekalan asas seperti beras, minyak masak, tepung dan makanan dalam tin boleh dilaksanakan secara terus.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN: Tanah kosong dikenal pasti bina balai raya Kampung Asahan

SHAH ALAM, 27 DIS: Kawasan tanah kosong sedang dikenal pasti bagi pembinaan sebuah balai raya di Kampung Asahan, Kuala Selangor untuk kegunaan masyarakat setempat.

Ahli dewan negeri Bukit Melawati berkata setakat ini tiada tanah kerajaan di kawasan kampung berkenaan selain milik Sime Darby Plantation Berhad (SDP) atau wakaf.

“Saya pernah angkat cadangan tanah Sime Darby (untuk dijadikan balai raya) kepada Dato’ Menteri Besar sejak hujung 2018 untuk dipertimbangkan namun belum ada keputusan.

“Bagaimanapun, kita diminta supaya kaji dan teroka lagi kalau ada tanah lain yang sesuai. Saya rasa sangat perlu (pembinaan balai raya) dan akan terus perjuangkan,” kata Juwairiya Zulkifli kepada SelangorKini.

Kelmarin, beliau meraikan kedatangan EXCO pembangunan luar bandar merangkap wakil rakyat Tanjung Sepat Borhan Aman Shah yang berkunjung ke kampung terbabit.

Sementara itu, Juwairiya berkata balai raya sedia ada yang terdapat di kampung itu dibina atas tanah milik persendirian ketika pemerintahan terdahulu.

Beliau menjelaskan pemilik tanah terbabit tidak membenarkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Asahan menggunakan kemudahan bangunan tersebut.

“Perkara ini terjadi ketika pemerintahan lama menyebabkan kerugian kepada Kerajaan Negeri dan permasalahan kepada pengurusan hari ini,” katanya.

 

Categories
ADN SELANGOR

Pendapatan terjejas, wakil rakyat bantu pendayung sampan kelip-kelip

SHAH ALAM, 28 OKT: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati hari ini menghulurkan bantuan wang tunai dan keperluan asas kepada 35 pendayung Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan.

Juwairiya Zulkifli berkata sumbangan itu bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac.

Beliau menjelaskan keadaan bertambah parah apabila PKP Bersyarat dilaksana di seluruh negeri mulai 14 Oktober, yang kemudian dilanjut sehingga 9 November.

“Sumbangan ini inisiatif saya sendiri bagi membantu pendayung yang punca pendapatannya terjejas dan nasib mereka perlu diberi perhatian lebih,” katanya ketika dihubungi.

Sumbangan Prihatin Covid-19 di Balai Raya Penghulu Mukim Pasangan turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kuala Selangor Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin.

Hadir sama, Pegawai Pelancongan Majlis Daerah Kuala Selangor Shazlan Hakim Mazalan dan Penghulu Mukim Pasangan Shahrul Affendi.

Categories
SELANGOR

Penduduk lega Jalan Sungai Buloh-Assam Jawa dinaiktaraf

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 8 MEI: Penduduk di sini gembira apabila kerja naik taraf jalan raya Sungai Buloh-Assam Jawa hampir siap tidak lama lagi.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, Kerja Naik Taraf Jalan Persekutuan FT54 itu bakal memberi kemudahan lebih baik kepada penduduk setempat sekali gus dapat menggalakkan pelbagai sektor di Kuala Selangor berkembang lebih baik.

“Ia termasuk sektor pelancongan yang mana membolehkan penduduk dari dalam dan luar negeri ini mempunyai akses jalan raya yang lebih selesa, untuk ke sini.

“Sudah tentu aspek keselamatan lebih terjamin kerana sebelum ini kejadian kemalangan kerap berlaku akibat keadaan jalan yang tidak elok,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, kerja naik taraf jalan sepanjang 25 kilometer itu akan bersambung dengan laluan Lebuh Raya Kuala Lumpur- Kuala Selangor (Lebuhraya LATAR) dan juga Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Projek yang menelan belanja sehingga RM411 juta itu bakal memberi kemudahan jalan raya lebih baik kepada penduduk Selangor selain mengatasi kejadian kemalangan juga menyuraikan kesesakan.

Jalan terbabit mula dinaiktaraf sejak Ogos 2016 itu dijangka siap menjelang 2021, sehingga kini status kerja sudah hampir 59 peratus siap dan menunjukkan perbezaaan 20 hari lebih awal.

Juwairiya berkata, bagi kerja itu, jalan sepanjang 12 kilometer adalah melibatkan kawasannya, bermula dari Assam Jawa ke Bukit Rotan.

“Cuma saya berharap supaya pihak kontraktor dapat memperbaiki lagi kelemahan pengurusan trafik.

“Saya berharap supaya kerja ini dapat disiapkan secepat mungkin dan meminta penduduk lebih bersabar,” katanya.

Sebelum ini, Dato Menteri Besar Amirudin Shari turut turun padang melihat kerja naiktaraf yang dilakukan Jabatan Kerja Raya dan kontraktor, Aktif Unggul Sdn Bhd itu.

 

Categories
SELANGOR

Semak dahulu sebelum sebar sesuatu berita – ADN

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JAN: Masyarakat disaran merujuk kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu sebelum bertindak menyebarkannya.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ini kerana penyebaran berita tidak sahih mampu mengelirukan orang ramai.

Katanya, ia seperti berita pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Selangor yang tular, baru-baru ini.

“Saya ada terima salinan kertas kerja daripada pihak tidak dikenali kononnya ada cadangan mahu membina lapangan terbang terbabit.

“Namun, selepas disemak dengan pihak Pejabat Dato’ Menteri Besar, cadangan itu sebenarnya memang tiada.

“Oleh itu, saya berharap pihak tidak bertanggungjawab supaya tidak menyebarkan perkara sedemikian yang mana ia akan mengelirukan orang ramai,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, tular berita palsu berkenaan pembinaan Lapangan Terbang Kuala Selangor di laman Facebook ‘Hello Malaysia’ pada 1 Januari lalu.

Melalui laman Facebook itu, ‘admin’ kononnya memberitahu pihaknya menerima gambar peta perancangan pembangunan Lapangan Terbang Kuala Selangor yang bakal merubah landskap pembangunan di situ.

Gara-gara berita palsu terbabit, netizen membuat pelbagai spekulasi termasuk mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Bagaimanapun, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sudah mengesahkan menerusi kenyataan itu di laman Facebook rasminya bahawa tiada perancangan untuk membangunkan projek mega terbabit.

Categories
SELANGOR

Tarikan Bukit Melawati diperhebat – MB

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 9 NOV: Lokasi tarikan pelancongan, Bukit Melawati di sini akan diperhebatkan melalui peruntukan dana Kerajaan Negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, lokasi yang terletak di tengah-tengah Pekan Kuala Selangor itu menjadi perhatian rakyat tempatan dan luar negara.

“Bukit Melawati juga adalah diantara titik penting sejarah kerana dari situlah Selangor ‘dilahirkan’, oleh kerana itulah kita mahu tarikannya ditambahbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Taklimat Pembangunan Selangor Anjung Utara dan Minum Petang di Pekan Kuala Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut sedang merangka fiskal belanjawan negeri dengan mengenalpasti ruang baru yang boleh digembeleng.

“Kuala Selangor yang terletak di utara Selangor juga boleh menjadi permulaan untuk Kerajaan Negeri meneruskan pembangunan mengikut kesesuaian dan kepentingan masyarakat.

“Namun harus difahami, rancangan ini tidak akan mengubah landskap setempat kerana kita tidak mahu pembangunan meruntuhkan nilai,” katanya.

Categories
SELANGOR

School Heroes bantu pelajar luar bandar kuasai Bahasa Inggeris

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Program School Heroes diperkenalkan di DUN Bukit Melawati untuk membantu pelajar luar bandar menguasai Bahasa Inggeris.

Ahli Dewan Negerinya, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau mahukan lebih ramai pelajar terutama di kawasan luar bandar untuk menguasai bahasa antarabangsa itu sejak dari peringkat awal lagi.

“Pendekatan ini perlu dimulakan sejak sekolah rendah lagi supaya dapat memberi pendedahan lebih luas berkenaan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak luar bandar,” katanya laporan BH Online.

Juwairiya berkata demikian selepas merasmikan Program School Heroes di Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru, Kuala Selangor, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Juwairiya berkata, apabila pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris sejak kecil ia akan membolehkan mereka menerokai lebih banyak ilmu berkaitan sekali gus memantapkan prestasi masing-masing.

“Bengkel Bahasa Inggeris selama tiga bulan di sekolah berkenaan akan turut diadakan di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil pada bulan ini.

“Bagaimanapun, saya optimis dengan inisiatif ini yang turut menampilkan atlet dan selebriti terkenal tanah air untuk menjadi pembakar semangat kepada pelajar memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PELANCONGAN SELANGOR

Bukit Malawati Xploride 2018 promosi Kuala Selangor destinasi pelancongan dunia

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA SELANGOR, 6 OKT: Bukit Malawati Xploride 2018 dijangka mampu memberi impak besar dalam mempromosikan Kuala Selangor sebagai salah satu destinasi pelancongan antarabangsa yang menarik di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan acara kayuhan disertai 1,000 peserta ini turut membabitkan beberapa laluan tarikan pelancong bertaraf antarabangsa.

“Pada asasnya kawasan ini terkenal dalam kalangan pelancong antarabangsa dan statistik menunjukkan ada peningkatan sangat baik kedatangan pelancong China dan Jepun di beberapa aset menarik terutama Sky Mirror dan kelip-kelip di Kampung Kuantan.

“Aset ini boleh dikatakan bertaraf dunia kerana hanya beberapa tempat sahaja di dunia yang ada keistimewaan seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media di tapak pelepasan peserta di kaki Bukit Malawati, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kuala Selangor turut menjadi tumpuan peminat dan pengkaji mergastua apabila terdapat kawasan persinggahan burung migrasi pada setiap tahun.

Sebelum itu, Amirudin dan Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli sama-sama melepaskan kira-kira 1,000 peserta kayuhan anjuran Pejabat Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati itu.

Selain peserta tempatan, acara itu juga berjaya menarik penyertaan peserta luar Selangor dan luar negara seperti Jepun dan China.

Kayuhan membabitkan dua kategori 20 dan 50 kilometer itu turut disertai Amirudin dan Juwariya.

Categories
SELANGOR

Bukit Melawati masih berjaga-jaga air pasang besar

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kawasan Bukit Melawati masih belum terjejas dengan ramalan fenomena bencana air pasang besar walaupun berada dalam zon berjaga-jaga, sehingga hari ini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kebanyakan kawasan terjejas membabitkan pesisir pantai sahaja.

“Dalam pengetahuan saya, kawasan yang disenaraikan dalam keadaan berjaga-jaga termasuk Permatang dan Jeram.

“Di Bukit Melawati, biasanya banjir berlaku kerana pertembungan air laut pasang dan hujan lebat yang tidak berhenti tetapi setakat ini alhamdulillah tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sebelum ini, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan Daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir jika berlaku angin kencang serta hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal hingga 12 September di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.

Kenyataan itu menyebut kemuncak air pasang di pesisiran pantai Selangor dicatatkan di Pelabuhan Klang, pada kadar 5.4 meter kira-kira jam 6.25 pagi, namun keadaan masih terkawal.