Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Isu Bukit Tabur: MPAJ sita jengkaut, letak batu penghadang

SHAH ALAM, 11 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menyita jengkaut dan meletakkan batu penghadang di lokasi kerja-kerja tanah tanpa kelulusan di lot 759 Mukim Hulu Kelang.

Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata tindakan itu susulan aduan mengenai aktiviti tanah tanpa kebenaran yang tular di media sosial petang tadi, lapor Harian Metro.

“Kami menyita sebuah jengkaut dan meletakkan batu penghadang di lokasi berkenaan bagi menghalang kenderaan berat masuk semula ke kawasan itu.

“MPAJ memandang serius mengenai isu ini dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak yang tidak mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya.

Jelas Mohd Fauzi, lot berkenaan merupakan tanah pertanian bagaimanapun semakan mendapati tiada sebarang permohonan kerja membersihkan kawasan dibuat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Kami mengambil maklum berhubung perkara itu dan sudah mengambil tindakan penguatkuasaan di lot 759 itu kira-kira jam 11 pagi tadi.

“Pihak pemilik tanah melakukan kerja-kerja pembersihan tanah dan penebangan pokok dengan menggunakan satu unit jengkaut,” katanya.

Menurut Mohd Fauzi, tindakan diambil mengikut Seksyen 70(A), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta133).

Petang tadi, Dato’ Menteri Besar memberitahu aktiviti tanah di kawasan Bukit Tabur tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri dan tidak mendapat kelulusan PBT.

Susulan itu, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahagian penguat kuasa dikerah ke lokasi bagi menghentikan aktiviti berkenaan.

Penjelasan itu dibuat susulan pertanyaan seorang pengguna Twitter yang mempersoalkan bagaimana kerja-kerja tanah boleh dilakukan di situ sedangkan aktiviti pendakian tidak dibenarkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Milik persendirian tetapi tiada kelulusan aktiviti tanah di Bukit Tabur

SHAH ALAM, 11 SEPT: Aktiviti tanah di Bukit Tabur, Ampang tiada kaitan dengan Kerajaan Negeri dan tidak mendapat kelulusan dari pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan bahagian penguat kuasa dikerah ke lokasi bagi menghentikan aktiviti berkenaan dan menyita jentera terlibat.

“Setelah semakan lanjut dibuat oleh pihak MPAJ (Majlis Perbandaran Ampang Jaya) dan Pejabat Daerah Gombak, tidak ada sebarang kelulusan diberikan untuk aktiviti-aktiviti di tanah tersebut.

“Pihak penguat kuasa telah turun ke lokasi tersebut untuk menghentikan aktiviti dan menyita jentera yang terlibat,” katanya menerusi Twitter, hari ini.

Amirudin menjelaskan demikian bagi menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter, @lamkanahraf yang mempersoalkan bagaimana kontraktor boleh naik ke Bukit Tabur sedangkan aktiviti pendakian tidak dibenarkan di kawasan berkenaan.

Ahli Majlis MPAJ ketika melawat kawasan Bukit Tabur pada 11 September 2021. Foto Twitter Anfaal Saari

Kata pengguna Twitter itu lagi tidak sepatutnya ada sebarang pembangunan dibenarkan di Bukit Tabur.

Mengenai isu penguatkuasaan yang dibangkit pengguna Twitter lain pula, Amirudin menjelaskan pada masa ini PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguat kuasa memandangkan tugasan kini tertumpu kepada pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) di premis dan sebagainya.

Bagaimanapun beliau mengalu-alukan aduan orang ramai dalam usaha meningkatkan lagi tahap penguatkuasaan.

“Ramai bangkit soal penguatkuasaan. PBT mempunyai keterbatasan dari segi jumlah penguat kuasa yang terhad dan kini tertumpu kepada pematuhan SOP di premis dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan aduan dari awam dan akan terus meningkatkan tahap penguatkuasaan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis MPAJ, Anfaal Saari dalam kemas kini terbaharu di Twitter memaklumkan jentolak yang dilihat berada di atas Bukit Tabur sudah dibawa turun dan disita kira-kira jam 4 petang tadi.

Menurut beliau, aktiviti berkenaan merupakan kerja pembersihan tanah persendirian berstatus pertanian tanpa kelulusan dan kebenaran merancang oleh MPAJ.

“Saya adakan lawatan ke kawasan hutan yang ditarah di sekitar Bukit Tabur. Ia merupakan pembersihan tanah persendirian berstatus pertanian tanpa kelulusan & kebenaran merancang oleh MPAJ,” katanya.