Categories
NASIONAL

Menifesto Rakyat : PR Lancar Perang Terhadap Umno-BN

menifesto PKR-PC

PETALING JAYA, 19 FEB: Pakatan Rakyat (PR) akan melancarkan menifesto kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sekaligus mendahului Umno-BN yang sehingga kini masih gagal mengumumkan tarikh pilihan raya.

Dengan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’, menifesto ini dinamakan ‘Menifesto Rakyat’ menunjukkan PR sudah bersiap sedia melancarkan ‘perang’ terhadap Umno-BN dalam usaha merubah tampuk pemerintahan negara ke arah yang lebih baik.

Menifesto ini diluluskan oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat merupakan menifesto bersama ketiga-tiga parti yang mengandungi empat teras utama iaitu rakyat bersaudara, ekonomi rakyat, kesejahteraan rakyat dan kerajaan rakyat.

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam satu sidang media berkata Menifesto Rakyat ini menggabungkan kesemua dasar yang berlandaskan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, Buku Jingga dan program-program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan 2013.

“Jawatankuasa Dasar dan Menifesto PR yang dipertanggungjawabkan membangunkan Menifesto Rakyat juga meniliti dan mengambil pandangan dari memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat untuk digarab di dalam menifesto.

“Selain itu pelbagai rundingan diadakan dengan banyak pihak untuk memastikan kepentingan dan kebajikan setiap rakyat dititikberatkan di dalam Menifesto Rakyat.

“Pelancaran awal menifesto ini membuktikan komitmen PR untuk memastikan kempen PRU-13 bertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa Umno-BN,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat PKR.

Pelancaran ini akan dibuat pada Isnin, 25 Februari bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) bermula jam 9 pagi.

Jelas Rafizi lagi, proses rundingan dan kajian berlangsung selama 18 bulan bermula September 2011 dan dibentangkan sebanyak dua kali di peringkat tertinggi Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Turut hadir sama dalam sidang media ini Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefli Ahmad selaku wakil PAS dan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang mewakili DAP.

Sebelum itu, PKR melancarkan ‘Institut Rakyat’ yang bakal bertindak selaku kumpulan pemikir kajian dasar yang bebas – secara kewangan dan pengurusan – yang akan melengkap dan memyediakan sudut pandang yang seimbang kepada sayap pengurusan parti.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjelaskan, institut ini akan menawarkan nasihat bebas dan saranan dasar kepada parti, seiring wawasan Malaysia yang makmur dibawah perkembangan ekonomi yang mapan dan pembangunan yang selaras dengan keharmonian sosial, alam sekitar, etnik dan keagamaan.

Pelancaran kumpulan pemikir akan diadakan Khamis, 21 Februari ini, pada jam 3 petang di Hotel Empire Subang Jaya.

Bertemakan ‘Menuju Malaysia Baru’, pelancaran ini akan menampilkan ucapan dasar dari Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta akan membentangkan kertas kerja pertamanya berjudul ‘Mengangkat Pendapatan Boleh Guna’ pada hari tersebut.

LAPORAN KHAS : Buku Jingga


Sinopsis:

Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia! Inilah kata-kata pertama yang bakal anda baca sekiranya buku jingga ditangan anda. Setelah 55 tahun merdeka negara kini berada dalam Krisis Ekonomi, Kerosakan Institusi Negara, Ketegangan Masyarakat Pelbagai Kaum dan banyak lagi.

Maka, Pakatan Rakyat mengangkat suatu rencana dasar dan kebijakan yang menyeluruh untuk membela rakyat melalui Dasar Bersama yang dimeterai melalui program “100 Hari Pakatan Rakyat”.

Terdapat empatĀ  kerangka yang telah dicetuskan oleh Pakatan Rakyat iaitu demokrasi yang telus dan tulen untuk memperkasakan ketuanan rakyat, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk menjana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh serta hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tawaran Debat Anwar-Najib Masih Terbuka

PETALING JAYA, 6 MAC: PKR sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan debat terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagimana dinyatakan didalam blog perdana menteri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya kepada pihak media berkata tawaran untuk berdebat tersebut sentiasa terbuka.

“PKR mengambil maklum kesanggupan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dalam kerangka wacana demokrasi sebagaimana dinyatakan di dalam blognya.

“Justeru, kita berharap kesanggupan Najib ini benar-benar jujur kerana tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat tentang kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.” jelas Saifuddin yang juga MP Machang.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut.

Katanya, Najib perlu menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkannya, melainkanlah Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan.

Menurut Saifuddin, Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap

berdasarkan fakta dan mengawal emosi.

“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.

“Keputusan di tangan Najib sama ada beliau jujur mahu membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat didebatkan dalam kerangka demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya.” kata Saifuddin.

Categories
NASIONAL

Jui Meng : Idealisme Politik Islam Bawa Kemakmuran Bagi Semua

SHAH ALAM, 28 FEB: Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Johor, Datuk Chua Jui Meng meminta rakyat memilih pemimpin yang menganjurkan perjuangan berteraskan al-Quran dan Hadis kerana idealisme perjuangan politik Islam menekankan kebaikan untuk semua.

Tegasnya, walaupun terdapat perbezaan pendapat antara parti komponen Pakatan Rakyat, namun Pas, DAP dan PKR tidak memperjuangkan kepentingan kaum tertentu. Sebaliknya, Pakatan memperjuangkan hak semua kaum berlandaskan Perlembagaan.

“Saya 40 tahun dalam Barisan Nasional (Umno-BN), kita tidak begitu faham Islam. Tetapi sekarang kita bersama dengan Pas dan PKR, saya faham atas idealisme Islam itu yang nak membawa kemakmuran kepada semua,” kata Jui Meng yang pernah menyandang jawatan Naib Presiden MCA.

“Dulu Umno tidak beritahu dan mengajar saya berkaitan al-Quran, Hadis dan lain-lain termasuk Menteri Agama,” katanya dalam Wacana anjuran Sinar Harian yang bertajuk ‘Mengapa Undi Melayu Berpecah’.

Jelas beliau, perosalan adakah undi Melayu pecah tidak relevan kerana perkara pokok yang perlu ditumpukan adalah memastikan hak semua terbela meskipun terdapat perbedaan dari segi fikiran, prinsip dan idealisme.

“Bila saya masuk kampung Melayu semasa menjadi Menteri Kesihatan dulu, saya tengok ramai orang Melayu yang miskin. Dan, ada anak-anak Orang Asal saya diberitahu mereka sanggup meletakkan pasir bagi mengisi perut. Kita sepatutnya memusatkan kepentingan rakyat, bukan kroni,” katanya.

Ideologi memperjuangkan hak semua kaum merupakan tunjang kepada dasar-dasar di dalam Buku Jingga Pakatan, katanya.

Jui Meng berkata keberkesanan Buku Jingga telah dibuktikan oleh kerajaan Selangor di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid yang memperkenalkan gaji minima RM1,500 kepada anak syarikat kerajaan negeri bermula tahun ini.