Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pesta Buku Selangor 2017 kesinambungan FESBUK

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Kehadiran hampir tiga juta pengunjung sejak Pesta Buku Selangor dianjurkan selama 12 edisi membuktikan industri buku dan penulisan masih mendapat sokongan ramai, bahkan ia akan diteruskan, pada masa hadapan.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi serta Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penganjuran itu akan memberikan kesan positif kepada industri buku untuk jangka masa panjang.

“Kami melihat penganjuran ini bermatlamat untuk mengaktifkan industri penerbitan buku dan penulisan karya baru serta penyelidikan.

Nik Nazmi“Ia juga bagi merealisasikan usaha Kerajaan Negeri bagi melahirkan lebih ramai golongan ilmuan dan intelek serta menyediakan suatu landasan yang dilaksanakan secara besar-besaran sebagai usaha pembudayaan ilmu serta membaca kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di Majlis Perasmian Pesta Buku Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Katanya, pesta buku itu kesinambungan Program Festival Buku dan Kanak-Kanak (FESBUK) yang dilaksanakan di SACC Mall, pada 3 hingga 5 Februari lalu.

“Sebagai makluman FESBUK dilaksanakan tiga tahun berturut dengan sambutan yang semakin meningkat walaupun hanya berlangsung selama tiga hari sahaja.

“Jumlah pengunjung yang direkodkan pada 2015 adalah 19,996 dan 30,000 (2016) sementara peningkatan 32,315 bagi tahun ini,” katanya.

-NFN-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Budaya tradisi keilmuan demi pembangunan Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 APR: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali gembira dengan sambutan yang dipamerkan pengunjung pada Pesta Buku Selangor 2017 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini.

Katanya, penganjuran kali ke-12 itu menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri membudayakan tradisi keilmuan melalui pembacaan buku berkualiti demi membangun bangsa dan memakmur negeri.

“Kita bukan sahaja mahu Selangor maju dalam konteks pembangunan fizikal sahaja tetapi ingin pencerahan dalam kalangan rakyat supaya minat terhadap budaya pembacaan.

AZMIN (1)“Tradisi keilmuan ini paksi utama dalam menjamin masa depan lebih cemerlang untuk Selangor,” katanya ketika menyampaikan ucaptama perasmian Pesta Buku Selangor 2017 dengan tema ‘Ilmu Itu Realiti’, hari ini.

Beliau berkata, potensi yang ditunjukkan industri buku daripada peminat, penulis serta penebit turut disokong Kerajaan Negeri menerusi usaha penterjemahan beberapa karya agung antarabangsa dalam Bahasa Melayu.

Katanya, ia akan menjadi perangsang untuk merancakkan wacana intelektual pada masa hadapan.

Pesta Buku Selangor 2017 yang berlangsung selama 11 hari disertai lebih 90 pempamer daripada pelbagai syarikat penerbitan tempatan dan pengedaran buku, bahkan pesta buku itu turut menempatkan pusat informasi program Inisiatif Peduli Rakyat bagi membolehkan orang awam mendapat penjelasan berhubung program bantuan yang ada di Selangor.

Penganjur mensasarkan kehadiran 500,000 pengunjung selain menyediakan cabutan bertuah wang tunai RM500 sebanyak sembilan kali sehari bermula jam 12.00 tengahari hingga 6.00 petang.

-NFN-

Categories
SELANGOR

‘Membangun Bangsa’ sempena dua tahun pemtadbiran Azmin

SHAH ALAM, 23 SEPT: Majlis peluncuran buku ‘Membangun Bangsa’ hasil karya Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sempena sambutan dua tahun beliau sebagai Dato’ Menteri Besar diadakan, di sini, semalam.

Mengulas mengenai buku dihasilkannya, Membangun Bangsa, Mohamed Azmin berkata, ia adalah pengalaman bermakna dilalui sebagai Dato’ Menteri Besar dalam tempoh dua tahun bersama pentadbiran Kerajaan Negeri dan semua pihak daripada peringkat atasan hingga ke bawah.

Beliau berkata, atas segala kejayaan diraih, buku itu didedikasikan kepada semua pihak berkaitan seperti Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Ketua Jabatan, Pegawai Daerah, Datuk Bandar dan Yang Dipertua.

azmin“Buku ini bukan mengenai saya tetapi lebih terhadap saudara saudari sekalian, lebih bermakna lagi adalah peranan juga sumbangan anda sebagai penjawat awam kepada kemajuan dan kemakmuran Selangor.

“Begitu juga majlis diadakan ini, bukan untuk saya sebagai Dato’ Menteri Besar untuk dua tahun tetapi bagi meraikan sumbangan penjawat awam seluruh Selangor,” katanya ketika berucap dalam Majlis ‘Memperkukuh Iltizam Memaju Negeri’ Penjawat Awam bersama Menteri Besar, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Penasihat Undang-Undang Negeri, Dato’ Nik Suhaimi Nik Sulaiman; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Noordin Sulaiman; barisan Exco Kerajaan Negeri dan ADN.

Katanya, sokongan daripada semua pihak amat penting ke arah menjayakan agenda digariskan Kerajaan Negeri dalam memastikan negeri terus maju ke hadapan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Perbanyakkan program pendidikan didik masyarakat celik ilmu

OLEH : HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 APR: Pelbagai program berbentuk pendidikan perlu diperbanyakkan untuk disertai orang ramai ke arah membentuk masyarakat gemar membaca dan celik ilmu.

Penganjurannya tepat dengan perkembangan semasa dan bersesuaian dengan status Selangor sebagai negeri maju yang memerlukan rakyat khususnya generasi muda berpengetahuan dan bermahiran tinggi bersesuaian dengan hasrat Kerajaan Negeri menerusi dasar #SmartSelangor.

Karnival Buku SACC Mall (ASRI) (3)Pengunjung, Fahmi Abas, 30, dari Petaling Jaya, berkata program dan aktiviti sebegitu amat diperlukan dewasa ini dan banyak memberi manfaat kepada orang ramai.

“Program ilmu seperti membaca ini amat baik dan sekadar tertumpu di bandar sahaja malah patut diadakan di seluruh negeri supaya dapat disertai ramai orang.

“Dengan diselit aktiviti menarik ia mampu menarik minat pelbagai golongan untuk turut serta,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui dalam festival Buku dan Kanak-Kanak 2016 (FESBUK’16) di SACC Mall di sini, semalam.

Program anjuran PKNS Estate Sdn Bhd (PREC) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menampilkan kelainan dengan mengajak masyarakat membaca sambil beramal dengan cara mengumpulkan buku terpakai untuk disumbangkan kepada pihak tertentu seperti rumah kebajikan.

Nurul Najah Aqilah Ahmad Noh, 22, berkata festival terbabit amat berguna khususnya kepada kanak-kanak bagi memupuk minat membaca kerana turut diadakan aktiviti sampingan menarik.

“Sebagai anak muda, saya suka program seperti FESBUK’16 diadakan secara kerap oleh pihak berwajib tidak hanya tertumpu satu golongan tetapi juga untuk semua kerana didapati agak kurang termasuk di peringkat universiti untuk pelajar.

“Mungkin boleh dianjurkan dengan kerjasama pelbagai pihak dalam pendekatan menarik dan berfaedah,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam itu.

Syamimie Zakaria, 23, dari Casamas Resourses Sdn Bhd, Bangi, berkata program dianjurkan membuka ruang kepada pihak pempamer mendekati pengguna dengan produk terbitannya serta bahan bacaan diperlukan.

“Progam seperti FESBUK’16 bagus dan boleh mengumpulkan kanak-kanak bersama ibu bapa dengan pengisian masa yang bijak.

“Bagaimanapun ia perlu diseimbangkan dengan penganjur mengadakan aktiviti membabitkan semua pihak berkaitan termasuk pempamer demi faedah bersama,” katanya menyokong usaha PREC dan PPAS itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Jom Baca Bersama Untuk 10 minit pupuk budaya rajin membaca

Oleh: ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 APR: Usaha memupuk budaya membaca dalam kalangan masyrakat diteruskan dengan penganjuran program ‘Jom Baca Bersama Untuk 10 minit’ di seluruh negara bermula jam 11 pagi, 25 April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Fakru Radzi Ab Ghani, berkata penganjuran program berkenaan dilaksanakan sempena Sambutan Hari Membaca Sedunia yang diadakan setiap tahun.

POSTER FESBUK 2016CKatanya, kempen itu juga diadakan sebagai usaha pihak PREC mengembeling tenaga bagi mengajak orang awam mencintai amalan membaca.

“Aktiviti ini berjaya mengumpulkan 2.5 juta orang untuk berhenti sejenak dan duduk membaca bersama 10 minit pada tahun lalu. Tahun ini, kita mensasarkan penyertaan tiga juta orang,” katanya dalam kenyataan.

Kempen itu juga mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya Perpustakaan Negara Malaysia, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Malaysia dan Persatuan Pustakawan Malaysia.

Orang awam disarankan menyokong usaha tersebut bagi melahirkan Masyarakat Malaysia yang cintakan budaya membaca.

Laporan statistik Perpustakaan Negara sebelum ini mendedahkan, purata buku yang dibaca seorang rakyat Malaysia hanya dua hingga lapan buku setahun.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Karya Kldin pahat Kuala Kubu Bharu di peta dunia

Oleh: HAFIZAN TAIB

KUALA KUBU BHARU, 15 OGOS: Keunikan sejarah Kuala Kubu Bharu perlu diterjemahkan kepada umum untuk dihayati dan pelancaran buku ‘A Town Planning History: Charles Reade Town Planning Britih Malaya 1921-1929’ antara langkah diambil bagi tujuan berkenaan.

Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong, berkata usaha dipelopori Persatuan Sejarah Kuala Kubu (Peskubu) wajar dipuji dan harus mendapat sokongan semua pihak.

kkb01“Ini adalah satu usaha yang baik dianjurkan Peskubu yang akan memperkenalkan Kuala Kubu kepada dunia luar dan golongan yang menghayati sejarah,” katanya kepada Selangor Kini selepas majlis pelancaran buku berkenaan, di sini, semalam.

Katanya, buku hasil nukilan Kamalruddin Shamsudin atau Kldin sesuatu yang menarik berkenaan pembinaan bandar itu yang dijalankan arkitek New Zealand, Charles Compton Reade.

Beliau berkata, usaha itu turut membabitkan pihak lain bagi membolehkan Kuala Kubu Bharu terpahat dalam peta sejarah dunia dan ia adalah satu penghargaan besar.

“Ia akan menarik minat orang luar untuk datang ke Kuala Kubu Bharu dan menyebabkan industri eko-pelancongan bertambah maju.

“Kita akan bekerjasama dengan Majlis Daerah Hulu Selangor bagi memajukan lagi industri eko-pelancongan di kawasan ini,” katanya.

kkb08Kamalruddin berkata, penghasilan buku diusahakan lebih 25 tahun itu adalah bagi menghargai sumbangan Reade yang membina bandar itu sebagai bandar dalam taman.

Katanya, keunikan Reade adalah sebagai pendorong utama kerana sumbangan beliau daripada aspek reka bentuk dan idea bandar dalam taman tidak banyak diketengahkan kepada umum.

“Beliau banyak berjasa kepada pertubuhan ‘Garden Cities and Town Planning Association’ (GCTPA, Great Brtitain) iaitu satu-satunya NGO dan pergerakan yang berjuang mewujudkan persekitaran perbandaran yang selesa dengan perumahan, pekerjaan dan alam sekeliling berkualiti berbanding keadaan terhimpit dan tidak terurus di bandar utama perindustrian di Britain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Peskubu, Ahmad Termizi Yaacob, berkata pelancaran buku itu diharap dapat menarik minat masyarakat terutama generasi muda berkenaan sejarah bandar terbabit.

“Kita banyak menjalankan program dan aktiviti berhubung sejarah Kuala Kubu Bharu untuk dihayati orang ramai. Usaha dijalankan Kldin bagi menghasilkan buku ini disokong Peskubu untuk dikongsi bersama,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Anwar lancar karya Syed Hussein Ali

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 5 FEB: Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan buku ‘Hubungan Etnik di Malaysia : Harmoni & Konflik’ (Edisi Baru) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Karya Syed Hussin Ali itu ditulis bagi menjejaki bagaimana etnik di negara ini dimanipulasi sejak merdeka oleh aahli politik Malaysia demi kepentingan dan kelangsungan politik sehingga menjejaskan kehidupan warganya.

ANWAR BUKUArtikel yang mencakupi lebih daripada tiga dekad itu turut mengumpulkan asal-usul, kesilapan dan sifat yang merosakkan politik etnik di Malaysia.

Dalam edisi baru itu, penulis mengemaskini buku dari segi fakta dan peristiwa termasuk dua lagi artikel.

Majlis peluncuran buku itu dihadiri lebih 300 hadirin termasuk Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad; Pengarah Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad dan beberapa pemimpin Pakatan Rakyat.

Syed Hussin dalam ucapannya berkata, penerbitan semula karya itu dalam edisi kemas kini adalah relevan dengan suasana semasa hari ini.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pelaksanaan GST gusarkan peniaga buku

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 FEB: Kalangan peniaga mempersoalkan cukai jualan 10 peratus dipraktikkan ketika ini sama ada dikekalkan apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan bermula 1 April ini.

Eksekutif Jualan, Zafar de’ Gemilang, Md Adha Mohd Asri, berkata kerajaan perlu memberi penjelasan perkara itu agar tidak timbul kekeliruan di kalangan peniaga dan orang ramai.

mdadhaasri“Bila GST dilaksanakan kelak, bagaimana dengan cukai jualan 10 peratus yang dikenakan sekarang? Adakah dimansuhkan atau dikekalkan?

“Kalau kekal, bermakna kos akan meningkat menjadi 16 peratus apabila kedua-dua cukai itu dicampurkan,” katanya kepada SelangorKini.

Md Adha berkata, kemungkinan pasaran jualan buku terjejas pada peringkat awal pelaksanaan GST namun dirasakan hanya sementara kerana permintaan terhadapnya berterusan dari masa ke semasa.

“Permintaan terhadap buku berterusan. Saya turut merasakan perkembangan internet atau ebook tidak akan menjejaskan penjualan buku sedia ada ini,” katanya.

Pengurus Akaun Pustaka Syuhada, Khairi Rosman, berkata pihaknya meramalkan pasaran buku mengalami kemerosotan kemungkinan hingga 50 peratus berikutan pelaksanaan GST nanti.

khairirosman“Bila ia dipraktikkan tentu harga jualan mesti dinaikkan dan perkara ini akan memberi kesan kepada penjualan buku.

“Dengan peningkatan kos dikenakan akan mendatangkan kesan juga kepada peniaga,” katanya.

Beliau berkata, penjualan dalam talian melalui internet juga turut memberi kesan kepada pasaran buku secara manual kerana terdapat golongan yang suka dengan kaedah sedemikian.

Pemilik Pustaka Al Munir, Ali Akbar A Kadir turut merasakan pelaksanaan sistem itu sedikit sebanyak bakal menjejaskan pasaran sedia ada ekoran harga jualan yang meningkat.

aliakbar“Kita tak pasti sama ada buku akan dikenakan GST, kalau ya maka tentu harga akan naik dan pasaran akan terkesan.

“Sekarang memang harga barangan banyak yang naik seperti bahan cetak dan yang lain. Apa pun kos tentu akan meningkat dan kesan tentu dirasai peniaga dan pembeli,” katanya.

EZY

Categories
NASIONAL

Peguam: Polis ganggu pembekal buku Zunar, elak pelanggan beli

SHAH ALAM, 222 NOV: NGO Lawyers for Liberty (LFL) percaya polis mungkin cuba mengganggu dan menakut-nakutkan pembeli buku kartunis popular Zunar.

Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen berkata demikian ketika mengulas tindakan polis yang cuba mendapatkan butiran pembeli buku itu daripada firma bayaran dalam talian, MOLPay Sdn Bhd.

“Mungkin mereka mahu menakut-nakutkan atau mengganggu MOLPay dan pelanggannya, supaya syarikat itu tidak menjual dan orang tidak membeli buku Zunar,” katanya yang dipetik dari Malaysiakini.

Peguam itu berkata, beliau tidak melihat sebarang keperluan untuk polis mendapatkan maklumat pelanggan terbabit.

Pasukan polis pada 20 November lalu meminta MOLPay, yang mengendalikan transaksi dalam talian untuk pembelian buku Zunar mendedahkan senarai pelanggan yang membeli buku ‘Komplot Penjarakan Anwar’.

Satu emel daripada MOLPay kepada kartunis itu yang nama sebenarnya Zulkiflee Anwar ul-Haque, menyatakan bahawa syarikat itu menerima surat rasmi daripada Bukit Aman untuk mendedahkan senarai itu.

Polis mendakwa, buku ‘Komplot Penjarakan Anwar’ itu mengandungi bahan menghasut.

Paulsen mempersoalkan tindakan itu kerana kesalahan yang disyaki itu dilakukan Zunar dan bukannya pembeli buku berkenaan.

“Isunya adalah sama ada kartun Zunar menghasut atau tidak,” katanya.

Categories
SELANGOR

MBSA anjur Program Pertukaran Buku 17-19 Sept

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 SEPT: Perpustakaan Anggerik Vanilla, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menganjurkan Program Pertukaran Buku selama tiga hari.

Menurut MBSA, program ini bertujuan kitar semula bahan-bahan bacaan lama untuk kegunaan orang ramai yang bermula 17 September hingga 19 September.

buku MBSA

Program akan bermula seawal 9 pagi hingga 4 petang bertempat di Perpustakaan Anggerik Vanills MBSA, Persiaran Anggerik Vanilla, Kota Kemuning.

Orang ramai dijemput hadir menyertai program ini dengan menyumbang sekurang-kurangnya sebuah buku yang masih dalam keadaan yang baik serta dibenarkan membawa sebuah buku untuk dibawa pulang.

Cenderamata turut disediakan kepada orang ramai yang menyertai program ini.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh menghubungi Puan Rafida Abdul Rahman di talian 013-268 5345.

EZY

Categories
SELANGOR

TNB sumbang buku dan komputer kepada Perpustakaan Raja Tun Uda

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 14 FEB : Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerahkan sejumlah 330 buah buku kejuruteraan dan terkinikal serta pembangunan kanak-kanak beserta sepuluh unit komputer bernilai RM136,990 kepada Perpustakaan Raja Tun Uda, Seksyen 13 di sini sebagai tambahan rujukan dan kemudahan.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima sumbangan tersebut bagi pihak perpustakaan yang disampaikan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dalam satu majlis di situ, pagi tadi.

sultan 4Sumbangan itu adalah inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TNB selaras dengan fokus syarikat berkenaan dalam aspek pendidikan untuk memperkayakan lagi sumber bacaan dan rujukan masyarakat pelbagai lapisan.

Sementara itu sumbangan unit komputer online public access catalog (OPAC) pula akan memberi kemudahan kepada para pengunjung perpustakaan untuk mencari buku-buku yang diperlukan dengan lebih mudah, cepat dan berkesan.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali serta Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhamad.

EZY