Categories
AGENSI SELANGOR

Raja Muda Selangor cemar duli sempena Bulan Sukan Negara

BANGI, 20 OKT: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah al Haj berkenan berangkat ke Program Bulan Sukan Negara di Taman Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi, hari ini.

Baginda turut mencemar duli menyertai acara Fun Run 10 kilometer, sekali gus menjadi simbolik perasmian program peringkat Selangor.

Tengku Amir Shah berjaya menghabiskan larian sejauh 10km dalam Majlis Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Selangor 2019 berlangsung di Bandar Baru Bangi. Foto SELANGOR ROYAL OFFICIAL

Hadir sama Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairudddin Othman.

Sementara itu Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor dalam kenyataan berkata, sambutan berkenaan adalah agenda nasional yang merangkumi pembabitan dan penyertaan sektor awam, swasta dan segenap lapisan masyarakat.

“Kami mahu merealisasikan hasrat Kerajaan bagi menggalakkan dan menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai rakyat yang sentiasa bersukan sehingga ia menjadi satu budaya hidup.

“Pada masa sama ia mampu memupuk dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum,” katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Pra Pelancaran Bulan Sukan Negara Peringkat Selangor dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di Dewan Jubli Perak SUK.

Untuk tahun ini, pelaksanaannya menyasarkan penyertaan seramai lima juta peserta di seluruh negara, dan satu juta penyertaan di peringkat Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

Kejohanan E-Sukan Gen-S di Sepang meriah

OLEH ALIFF HAIKAL

CYBERJAYA, 13 OKT: Kejohanan E-Sukan Gen-S anjuran  Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama pejabat belia daerah dijangka menerima 1,000 penyertaan sepanjang Oktober ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah berkata, sasaran itu mampu dicapai memandangkan kejohanan sempena Sambutan Bulan Sukan Negara yang berlangsung di Dpulze Shopping Centre, di sini menerima sambut amat memberangsangkan.

“Kejohanan kali pertama yang dianjurkan di pusat membeli belah ini menerima penyertaan amat memberansangkan.

“Hari ini sahaja, seramai 5,000 peserta mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan E-Sports Gen-S dan Sambutan Bulan Sukan Negara @ Sepang di Dpulze Shopping Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPSepang, Hafiz Shaari, Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Faizal Tarmizi dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Selangor, Sabran Bahar.

Selain pertandingan Mobile Legend, kejohanan ini turut menyajikan acara lain seperti pertandingan Beyblade, Street Workout dan Gusti Lengan.

Sementara itu, Hafiz Shaari berharap kejohanan ini bukan sahaja dapat memupuk gaya hidup sihat, malah  dapat menyatukan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Categories
SUKANKINI

JBS Selangor sasar satu juta terbabit Bulan Sukan Negara

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 JUL: Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Selangor menyasarkan seramai satu juta orang terbabit dalam Bulan Sukan Negara yang bakal disambut selama sebulan pada Oktober nanti.

Pengarahnya, Sabran Abd Bahar berkata, pihaknya kini sedang merancang pelbagai aktiviti akan diadakan pada bulan sukan itu.

“JBS Selangor sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program berkaitan belia, sukan dan rakan muda.

“Oleh itu, kita tidak teragak-agak untuk menyasarkan seramai satu juta orang akan turut serta dalam pelbagai program yang bakal dilaksanakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Sambutan Aidilfitri JBS Selangor diadakan di sini, hari ini.

Turut hadir memeriahkan sambutan adalah EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman.

Difahamkan, seramai 300 orang memeriahkan sambutan Aidilfitri itu yang terdiri daripada kakitangan JBS Selangor, badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan.

Selain itu, turut diadakan sambutan Apresiasi Fit Malaysia Selangor 2019 bagi meraikan jasa agensi dan NGO yang banyak membantu JBS Selangor sepanjang penganjuran program itu Mac lalu.

Antara agensi dan NGO berkaitan adalah Lembaga Hasil Dalam Negeri Selangor, Pejabat Pembangunan Persekutuan Selangor serta Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta Selangor.