Categories
BERITA UTAMA

Dibuli hingga bengkok tulang belakang

JERLUN, 15 OGOS: Seorang murid perempuan tahun tiga sebuah sekolah di Ayer Hitam, dekat sini, mendakwa menghadapi masalah tulang belakang bengkok dan tidak boleh berjalan akibat dipercayai dibuli rakan sekolahnya, sejak tahun lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Angah, 9, mendakwa dia sering dibuli tiga murid dengan cara ditendang di bahagian belakang dan paha hingga jatuh dari tangga bangunan sekolah.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia juga terpaksa mengikat perut atau meminta wang daripada kakaknya kerana sering diperas ugut mereka yang meminta wang sakunya.

“Depa (Mereka) ini, dua perempuan dan seorang lelaki, depa selalu ejek dan hina saya kata bapa saya gila dan pakaian saya kotor tak dibasuh, depa minta duit saya dan ada seorang tendang dan pukul saya.

“Depa ugut kalau saya beritahu cikgu, mereka akan beritahu saya yang pinjam duit mereka,” dakwanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gerbi, Ayer Hitam, di sini, hari ini.

Akibat perbuatan mereka, Angah terpaksa menggunakan kerusi roda, malah dia turut mengalami tekanan perasaan dan tidak mahu ke sekolah lagi kerana takut dibuli.

Sementara itu, ibu mangsa, yang mahu dikenali sebagai Asma, 32, mendakwa anaknya dikesan berjalan ke sekolah secara tidak normal sejak Jun lalu dan sering sakit belakang apabila berdiri lama.

Katanya, Angah kemudiannya dimasukkan ke wad pada 15 hingga 22 Julai lalu dan menjalani pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan keputusan MRI menunjukkan tulang belakangnya bengkok dipercayai kerana ‘terhenyak’.

“Angah bukan sahaja tidak dapat berjalan lama, tetapi berdiri pun sukar kerana ia melibatkan saraf tunjang dan saya terpaksa mendukungnya jika ingin ke bilik air dan bahagian belakangnya juga jika disentuh dia akan kesakitan.

“Saya cukup terkilan dengan apa yang berlaku kerana pernah beberapa kali berjumpa guru di sekolah berkenaan, namun seperti tidak diendahkan apabila mereka hanya memberi jawapan akan siasat dan pantau sahaja,” dakwanya yang juga merupakan kakitangan sebuah hospital di Alor Setar.

Dakwa Asma, Angah dijangka menjalani pembedahan pada 27 Ogos ini dan laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian buli itu dua hari lalu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Sumber Manusia, Dr Salmee Said ketika dihubungi berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pelajaran Negeri supaya siasatan dapat dijalankan.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

ADN Bukit Melawati jadi sasaran buli siber

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menjadi sasaran terbaru kaki buli, di media sosial.

Terbaru, akaun media sosial miliknya terpaksa dihentikan buat sementara waktu gara-gara diserang secara peribadi pihak tidak bertanggungjawab.

Juwairiya ketika dihubungi SelangorKini mengesahkan perkara terbabit dan menyatakan rasa kecewa kerana beliau turut diserang menggunakan perkataan lucah dan seksis.

“Secara tiba-tiba segerombolan ‘cybertroopers’ sebuah parti politik membuat serangan bertalu-talu di akaun facebook saya, sedangkan akaun berkenaan adalah medium yang menghubungkan saya dan rakyat.

“Perkara ini tidak patut berlaku, mereka menyerang peribadi, bukannya melalui parti. Walaubagaimanapun, ia tidak akan mematahkan semangat saya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, buli siber di negara ini berada pada tahap serius dan masyarakat perlu bersedia menghadapi ancaman berkenaan.

Beliau berkata, jika tidak dibendung, ia akan menjadi ancaman kepada diri dan masyarakat kerana buli siber dikesan lebih bahaya berbanding buli secara fizikal ekoran ia boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa kawalan di internet.

Berdasarkan statistik Pusat Bantuan Cyber999, 51 kes membabitkan remaja berusia sehingga 18 tahun, 19 tahun hingga 25 tahun (246), 26 tahun hingga 40 tahun (314), 41 tahun hingga 55 tahun (69) dan 56 tahun ke atas (69 kes).

Categories
KENYATAAN MEDIA

Jangan ambil mudah kes buli

Baru-baru ini terdapat laporan, di mana dua orang pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus hampir maut apabila menjadi mangsa buli oleh 20 pelajar senior kolej tersebut yang bertindak membungkus mangsa dengan selimut, memukul dengan objek tumpul dan ditendang beramai-ramai, malah dipaksa melakukan oral seks.

Ini secara jelas menjadikan kes buli semakin serius dan masih berlaku di kalangan pelajar sekolah serta di institusi pendidikan di negara ini. Kadar jenayah buli di Terengganu mencatatkan 16 kes buli fizikal yang melibatkan 45 pelajar sejak Januari hingga Ogos tahun ini sahaja.

1. Jenayah buli secara fizikal sejak kebelakangan ini menunjukkan trend peningkatan yang agak serius. Terdapat kes buli yang berlaku secara berturut-turut setiap bulan dan itu tidak terhad kepada negeri Terengganu sahaja, malah ia turut berlaku di negeri-negeri lain.

Sebelum ini terdapat kes buli yang melibatkan seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Kunak, Sabah yang dibelasah sekumpulan pelajar perempuan di sekolah yang sama.

Ini menunjukkan kejadian buli dan tingkah laku ganas di sekolah-sekolah terutamanya di sekolah berasrama penuh yang melibatkan pelajar adalah suatu perkara yang harus dipandang serius oleh semua pihak.

2. Saya ambil maklum kenyataan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A Latiff Awang yang menyatakan kekesalan pihaknya kerana masih terdapat kes buli yang serius dalam kalangan pelajar di Terengganu. Walaupun bilangan kes buli sedikit tetapi perkara ini tidak perlu berulang lagi.

Azan_IsmailBagi saya, kenyataan demi kenyataan tidak perlu dikeluarkan tanpa sebarang tindakan tegas yang diambil. Selagi hukuman tidak diberikan kepada pelajar-pelajar yang melakukan jenayah buli, selagi itu perkara ini akan terus berulang.

Oleh sebab itu, saya menggesa pihak berkuasa, sekolah, ibu bapa dan pihak berkepentingan yang lain untuk menangani unsur keganasan dan kelakuan ganas di kalangan pelajar dan remaja di negara ini.

3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada melaporkan kes jenayah buli akan meningkat dari tahun ke tahun jikalau filem-filem berunsur ganas tidak disekat di internet. Ia akan terus mempengaruhi pemikiran anak-anak muda sekaligus menyebabkan kes jenayah buli semakin menjadi-jadi.

4. Walaupun ada usaha dalam pelancaran peti aduan asrama bagi membuat aduan, namun ia jelas masih tidak mencukupi dan kurang berkesan. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia dan semua pihak berkenaan harus sedar akan hakikat ini dan berusaha memperkenalkan inisiatif yang baharu.

Selain itu, isu buli di sekolah dan bentuk disiplin yang lain harus dikaji semula dengan tujuan untuk mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan langkah-langkah untuk mengatasinya harus diambil oleh guru besar sekolah dan guru disiplin.

Isu-isu disiplin di sekolah seperti ponteng, salah laku, kecurian dan pergaduhan yang membawa kepada keganasan dan kecederaan tidak boleh diambil mudah oleh pihak sekolah walaupun masalah tersebut berada pada tahap rendah.

YB Azan Ismail
ADUN Bandar
Pengerusi KEADILAN Terengganu

Categories
NASIONAL

Guru mangsa buli perlu lapor polis

SHAH ALAM, 3 JULAI: Guru yang menjadi mangsa buli pelajar perlu membuat laporan polis bagi menjamin keselamatan diri selain mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini menimpa mereka.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, memang terdapat beberapa kes guru menjadi mangsa buli, namun tidak dilaporkan kerana bimbang dengan keselamatan diri apabila berada di luar kawasan sekolah.

“Ada guru yang enggan buat laporan kerana tidak mahu memanjangkan cerita selain turut bimbang dengan keselamatan diri mereka akan diancam pelajar yang terbabit dalam gangsterisme.

“Guru perlu buat laporan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pembuli dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sama sekali tidak akan menghalang jika mereka ingin membuat laporan polis,” katanya dipetik BERNAMA selepas melawat Kolej Vokasional Alor Setar, hari ini.

guruBeliau berkata, guru yang menjadi mangsa buli tidak perlu bersembunyi atau bimbang dengan reputasi sekolah jika ingin membuat laporan polis kerana kementerian berpendirian tegas dalam menangani masalah itu selain mementingkan keselamatan mereka.

Semalam, Persatuan Penguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan kalangan guru turut menjadi mangsa buli pelajar bermasalah di sekolah, sekali gus menyumbang kepada peningkatan budaya gangsterisme di negara ini.

Presiden CAP, SM Mohamad Idris berkata, kejadian buli terhadap guru boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk peras ugut dan kenderaan dirosakkan selepas mereka menegur pelajar yang terbabit dengan masalah disiplin.

Pada masa sama, Mahdzir berkata pihaknya bersedia untuk bekerjasama dengan ibu bapa yang mahu menghantar anak mereka yang terbabit dalam kegiatan gangsterisme atau buli ke pusat pemulihan.

“Saya ingin tegaskan bahawa kita (KPM) tidak akan berkompromi dengan pelajar yang terbabit dalam aktiviti gangsterisme atau buli dan mereka boleh dikenakan tindakan tegas jika didapati bersalah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Tubuh pasukan petugas tangani masalah buli – PSIMA

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama): Penubuhan Pasukan Petugas Khas yang memfokuskan elemen pengurusan sosial dan emosi perlu bagi menangani masalah buli dalam kalangan pelajar yang dilihat semakin membimbangkan.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) Prof Madya Dr Rozmi Ismail berkata pasukan itu haruslah mencari penyelesaian kepada masalah tersebut dan perlu dianggotai mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaunseling dan psikologi.

“Di negara kita ada banyak pakar kaunseling dan psikologi, jadi sepatutnya kajian mengenai senario buli perlu dibuat, duduk bersama, panggil pegawai pendidikan serta yang lain dan kita usahakan penyelesaian ke arah ini,” katanya kepada Bernama.

Rozmi berkata elemen pengurusan sosial bertujuan meningkatkan kemahiran sosial dengan pelajar diberi ‘kursus pendek’ tentang kemahiran komunikasi yang betul.

“Melalui modul kemahiran sosial ini, misalnya pelajar akan lebih tahu cara tindakan sosial yang betul ketika berkomunikasi, jika buat salah kena berbincang, minta maaf, jadi kalau tak puas hati kita duduk dan bincang,” katanya.

Pengurusan emosi pula lebih kepada tindakan yang perlu dilakukan ketika seorang itu berada dalam keadaan marah, katanya.

Rozmi sebelum ini pernah berkata pembuli sebenarnya orang yang lemah walaupun secara fizikal mereka kuat kerana mereka tidak dapat mengurus emosi dan fizikal mereka dengan sebaiknya sehingga mereka melepaskannya kepada mangsa buli.

Ketika diminta mengulas hukuman sewajarnya kepada pembuli, beliau berkata hukuman berbentuk pengajaran perlu diutamakan berbanding tindakan membuang sekolah yang dilihat hanya menyebabkan masa depan mereka gelap.

“Remaja tidak selamanya jahat, seeloknya buat kerja sosial … tahu dan ambil pengajaran; sebolehnya jangan jejaskan masa depan dia, jangan letak kesalahan seratus peratus kepada dia (pembuli),” katanya.

Selasa lalu, video sembilan pelajar dipukul beramai-ramai oleh pelajar lain di dalam sebuah bilik asrama dan menarik perhatian pengguna laman sosial yang mengutuk perbuatan berkenaan.

Beberapa hari selepas itu, video memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beberapa remaja di dalam sebuah bilik yang dipercayai asrama anak yatim turut tersebar di laman sosial.