Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Siasat, dedah bilion saham, tanah Bumiputera hilang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Persekutuan didesak untuk siasat dan mendedahkan berbilion saham dan tanah Bumiputera hilang akibat ketirisan dan bocor kepada individu tertentu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga perlu menjelaskan berkenaan penerima saham Bumiputera selain diperuntukkan untuk badan Bumiputera serta kedudukan terkini tanah rizab Melayu dijual dan tidak diganti.

Beliau juga mendesak supaya kajian segera dijalankan ekoran masih ada Bumiputera menderita meskipun peruntukan ekonomi dan pendidikan kepada kumpulan berkenaan amat besar.

“Kajian bebas dan inklusif perlu dilakukan sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dikatakan mahu membantu golongan benar-benar layak dan terpinggir.

“Kerajaan mesti segera mengkaji pendekatannya membantu Bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan petinggi politik,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau kesal apabila keistimewaan yang kononnya mahu meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera diperalat dengan memperkayakan golongan elit.

Katanya, ia lebih parah apabila jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar.

“Kerajaan harus menumpukan perhatian merancakkan lapangan utama ekonomi dan memberikan dokongan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan tokoh profesional berkelayakan dengan kepakaran dalam perniagaan sementara kedudukan pengurusan kanan tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik tetapi mesti atas asas merit jelas dan pencapaian masing-masing,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohd mengumumkan pembentangan RMK-12 ditangguhkan ke awal tahun hadapan atas faktor perubahan ekonomi susulan Covid-19 dan perubahan Kerajaan Persekutuan.

Pada sidang parlimen itu, Anwar berkata alasan yang diberikan Kerajaan Perikatan Nasional terlalu remeh.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

PKS halal perlu mahir e-dagang, ICT hadapi cabaran baharu

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Usahawan Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) halal perlu membuat persediaan sewajarnya bagi menghadapi gelombang perniagaan baharu yang menyaksikan ekonomi digital menjadi trend ekonomi masa depan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan, Pendanaan, Jaringan Korporat dan Komuniti), Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Suhaimi Ab Rahman berkata ini termasuk memastikan mereka mahir dalam aspek perniagaan e-dagang selain cekap menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam perniagaan.

“Data menunjukkan hanya 20 peratus PKS bumiputera menceburi bidang ekonomi digital. Ini bermakna PKS bumiputera termasuk PKS halal masih ketinggalan jauh dan perlu bertindak segera bagi memastikan mereka dapat menceburi bidang ekonomi digital ini,” katanya dalam kolum Tinta Minda di laman sesawang www.bernama.com.

Atas alasan itu, Suhaimi berkata agensi kerajaan seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menyediakan pelbagai latihan berkaitan ekonomi digital yang perlu dimanfaatkan oleh usahawan PKS terbabit.

Malah, beliau berkata peluang tersebut wajar dimanfaatkan oleh kalangan usahawan PKS bagi memperkasakan ilmu ICT dalam perniagaan masing-masing ke arah platform digital.

“Selain itu, pihak Perbadanan Pembangunan Industri Halal turut menyediakan beberapa program latihan halal manakala Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM menganjurkan Program Pembangunan Usahawan Halal dengan kerjasama QSR Brands (M) Berhad bagi membimbing usahawan halal agar lebih kompeten,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) pada 5 Jun lepas berkata sejumlah RM25 juta diperuntukan kepada MDEC bagi program Global Online Workforce (Glow) bagi membimbing rakyat Malaysia menjana pendapatan dalam talian melalui pelanggan antarabangsa.

Selain itu, Suhaimi berkata pandemik Covid-19 telah merubah persekitaran ekonomi dengan kewujudan transaksi tanpa sentuhan, sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, mementingkan kebersihan dan keselamatan serta transaksi tanpa tunai.

“Covid-19 mencetus suasana baharu dalam perniagaan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan kini PKP Pemulihan, kebanyakan syarikat menggunakan persekitaran kerja pintar menggunakan teknologi digital dalam perniagaan mereka,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

PAKATAN tak usik hak Melayu, malah terus dipertahan – Anwar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa hak dan kepentingan Melayu serta Islam sentiasa mendapat pembelaan.

Beliau berkata, keputusan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu jelas membuktikan indikator penting bahawa PAKATAN tidak pernah mengusik hak Melayu Bumiputera dan Islam, sebaliknya keistimewaan mereka terus dipertahankan.

“Dalam perlembagaan pun sudah dijamin, bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan, manakala Islam adalah agama Persekutuan. Itu semua termaktub dalam peruntukan perlembagaan yang tiada siapa mahu batalkan.

“Yang menjaga kepentingan Bumiputera, kepentingan kaum Cina, India, Iban dan Kadazan pula, pendekatannya lain sedikit, tetapi perlu diingatkan kedaulatan Raja-raja Melayu tetap dipertahankan kerana negara kita masih berpandukan kepada perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Perdana bersama Anwar Ibrahim ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Seri Setia, bagi membantu calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Halimey Abu Bakar, di Padang Letak Kereta, Jalan PJU 1A/39, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Kapar, Dato’ Abdullah Sani Abd Hamid; Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah; Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni dan beberapa pimpinan politik lain.

Pada masa sama, Anwar menyifatkan isu terbabit menjadi polemik berlarutan sebelum dan selepas PRU14 lalu, walaupun ia sering diperjelaskan sebagai perkara asas mengikut perlembagaan.

Katanya, pihak pembangkang sekadar tahu menggunakan isu itu sebagai alat dan senjata menakutkan orang Melayu, tetapi tidak berhasil memandangkan rakyat sudah bosan dengan taktik berkenaan.

“Hal ini saya jelaskan kerana hak keistimewaan terus dibangkitkan dalam kempen. Mereka boleh cakap apa yang mereka nak cakap, tetapi janganlah anggap rakyat ini bodoh sangat!,”

“Yang rompak-rompak itu tidak nampak ke ? Kalau pilih pemimpin perompak, kita tak akan selamat. Jadi, saya mahu membawa mesej untuk tidak bersama perompak dan memastikan wang serta khazanah negara dipertahankan demi kepentingan rakyat.

“Justeru, mewakili semangat PAKATAN, buatlah keputusan bijak pada 8 September ini dan terus memberi sokongan padu kepada calon kita,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tiada pemansuhan pemilikan kuota bumiputera

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 OGOS: Prinsip membenteras kemiskinan tidak mengenal warna kulit, agama dan bangsa bahkan sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri membantu serta menyediakan infrastruktur buat rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri tidak memansuhkan kuota bumiputera tetapi membuka peluang kepada semua dari sudut kuota pemilikan.

“Untuk rumah mampu milik, sama ada SOHO atau kemudahan lain, atas nama mampu milik atau kos rendah, ia tidak dikenakan syarat kaum.

“Apabila berbicara soal kemiskinan, ia merentasi kaum dan agama. Dasar Kerajaan Negeri adalah membantu golongan berpendapatan rendah memiliki hartanah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media berhubung isu diskaun bumiputera untuk pembelian ketiga-tiga kategori hartanah pangsapuri perkhidmatan, SOHO (rumah pejabat) dan SOVO (pejabat maya di rumah).

Katanya, antara syarat melibatkan pemilikan hartanah seperti rumah mampu milik mesti mengikuti syarat ditetapkan seperti rekod bank, jumlah pendapatan isi rumah serta tidak memiliki rumah.

Mohamed Azmin mengakui beberapa garis panduan baru pemilikan hartanah sudah diputuskan dan perinciannya bakal diumumkan Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim dan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

“Ada beberapa garis panduan baru yang kita persetujui dan ia akan diumumkan lebih terperinci,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Datum Jelatek capai sasaran lebih 100% pendaftaran bumiputera

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 JAN: Projek Datum Jelatek di Taman Keramat, Kuala Lumpur, mendapat sambutan apabila menerima pendaftaran bakal pembeli
bumiputera melepasi sasaran ditetapkan.

Ketua Pegawai Operasi DatumCorp International Sdn Bhd (DatumCorp), Shytul Shahryn Mohamad Shaari berkata, setakat ini 1,097 pembeli bumiputera mendaftar dan angka dicatat itu melebihi daripada 674 unit disediakan.

“50 peratus dari unit itu dikhususkan kepada bakal pembeli bumiputera serta diskaun 10 peratus, tetapi sehingga kini kami menerima pendaftaran bakal pembeli melepasi 100 peratus dari penawaran unit projek Datum Jelatek itu.

datumjelatek01“Saya yakin golongan bumiputera yang selama ini adalah pembeli terbesar projek Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan tertarik dengan potensi Datum Jelatek sebagai kediaman ideal,” katanya dalam kenyataan media.

Shytul Shahryn berkata, jumlah pendaftaran itu membuktikan ramai bakal pembeli terutama bumiputera mampu memiliki kediaman mewah di tengah bandar raya Kuala Lumpur.

Katanya, semua penjualan unit kediaman projek terbabit dijalankan sepenuhnya DatumCorp dan agen hartanah dilantik syarikat milik penuh PKNS itu.

LOGO-PKNS“Projek Datum Jelatek adalah satu pembangunan berprestij tinggi dimajukan DatumCorp seluas 5.65 ekar adalah gabungan perkongsian bijak antara PKNS dan Kerajaan Negeri serta penduduk setempat bagi memperbaiki mutu kehidupan rakyat di kawasan Jelatek dan seluruh Selangor khususnya.

“Selain itu, pembangunan semula juga sejajar dengan matlamat Kerajaan Negeri untuk memperbaharui bangunan usang di kawasan bandar selaras dengan projek pembangunan ekonomi Selangor,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pelan usahawan francais PKNS sedang dirancang

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 28 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited membantu melahirkan usahawan bumiputera berjaya.

Pengurus Besar, Azlan Md Alifiah berkata pihaknya dalam perancangan menjadikan usahawan muda sebagai pemegang francaisi kepada PKNS mahupun anak syarikatnya.

Untuk itu, PKNS sedang mengkaji bagaimana usaha itu dapat dilaksanakan dan memberi manfaat dalam jangka masa panjang.

“Kita hendak lihat bagaimana hendak membangunkan usahawan muda dari segi francais untuk PKNS, contohnya kita ada de Palma dan lain-lain lagi.

“Kita akan bangunkan banyak kompleks baru, di sini akan sediakan prasarana untuk usahawan.

“Kita galakkan usahawan bumiputera untuk jadi ‘retail player’,” katanya lagi.

Terdahulu, beliau hadir merasmikan program julung kali diadakan, Karnival Usahawan PKNS 2014 di Kompleks PKNS di sini pagi tadi.

Beliau turut berkesempatan melawat kesemua 60 buah gerai yang menyertai karnival yang akan berlangsung bermula 27 hingga 30 September ini.

Usahawan yang terlibat merupakan para peserta program keusahawan PKNS seperti Klinik Usahawan, Retail 200, Program Usahawan Muda, Kelab Permata, Program Grow dan PKNS BizClub.

Antara produk yang boleh didapati termasuk produk pakaian, makanan, seni kreatif kraf, barangan IT dan lain-lain.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera – UMNO-BN muflis formula baru

shamsul_iskndr_01

Pengumuman Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera oleh Perdana Menteri hanya mengesahkan bahawa UMNO-BN gagal mencari formula baru untuk menangani permasalahan Bumiputera. Sementara saya percaya bahawa masih ramai bumiputera yang ketinggalan perlu dibantu dan ini tidak semestinya satu tindakan perkauman, ia mesti dilakukan dengan telus, bertanggungjawab dan cekap.

Kita wajar berasa bimbang kerana berdasarkan pengalaman lalu, agihan saham bernilai RM54 billion atas nama bumiputera menyusut begitu dahsyat sehingga tinggal RM2 billion sahaja. Adalah menjadi tanggungjawab moral untuk UMNO-BN menjelaskan bagaimanakah ini berlaku dan siapakah pemegang saham-saham ini. Kita juga menggesa senarai penerima 1.5 billion saham atas nama bumiputera yang diagihkan pada tahun 2010 turut didedahkan.

Keadilan tegas bahawa prinsip Agenda Ekonomi Malaysia (AEM) yang pernah dikemukakan sebelum ini oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu permasalahan kemiskinan ditangani berasaskan keperluan adalah lebih segar dan diperlukan oleh negara kita. Berdasarkan petunjuk garis kemiskinan yang dipakai di Malaysia, insiden kemiskinan berdasarkan etnik menunjukkan Bumiputera meliputi 2.2%, Cina 0.3% dan India 1.8%. Dianggarkan terdapat sekitar antara 300 ribu hingga 400 ribu keluarga miskin, melibatkan kira-kira 1 juta orang.

Mereka ini terdiri daripada Bumiputera, peribumi Sabah dan Sarawak, kaum India, kaum Cina, orang Asli, baik di bandar mahu pun di desa, dan merentas usia.

Ketaksamaan kos hidup di bandar dan luar bandar juga perlu dipertimbangkan memandangkan banyak kegiatan ekonomi tersudut di Lembah Klang sehingga memaksa penghijrahan penduduk dan kini jumlah sekitar satu pertiga rakyat Malaysia di sana jelas bukan sesuatu yang lestari untuk jangka masa panjang.

Malangnya, UMNO-BN gagal memurnikan maksud Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sehinggakan ia ditafsir demikian. Sementara ditonjolkan jurang ekonomi antara kaum, yang tidak ditegaskan ialah semangat sebenar untuk membasmi kemiskinan merentas kaum dan mendekatkan jurang ekonomi sesama kaum. Ini akan membantu kita melihat dan memperbetul sesetengah dasar yang akhirnya hanya dinikmati oleh golongan yang sewajarnya sudah mampu berdikari dan turut membantu mereka yang memerlukan.

Keadilan tegas bahawa setiap warganegara Malaysia berhak dibantu untuk berdikari. Hakikat bahawa masih ramai Bumiputera memerlukan bantuan tidak harus dinafikan sambil kita mengiktiraf keperluan menangani permasalahan semua pihak sesuai dengan semangat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menuju masa depan lebih baik, kita berharap keperluan orang Melayu tidak hanya disuarakan oleh orang Melayu, begitu juga dengan keperluan orang India, Cina serta semua suku kaum yang ada.

SHAMSUL ISKANDAR AKIN
Ahli Parlimen Bukit Katil, Melaka
Ketua, Angkatan Muda Keadilan (AMK)

Categories
SELANGOR

Petani Berdemo Tuntut Noh Kaji Dasar Monopoli Penjualan Benih Padi

SUNGAI BESAR,9 JUN : Kerugian hampir RM300,000 semusim yang membabitkan kira-kira 300 petani di sekitar Sekinchan disebabkan dasar monopoli penjualan benih padi sehingga menyusahkan petani.

Ekoran tidak puas hati dengan dasar itu, hari ini hampir 50 orang petani mengadakan perhimpunan aman bagi menggesa Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar agar mengkaji semula dasar berkenaan atau dimansuhkan sahaja.

Kumpulan petani berharap pihak Kerajaan Pusat memberi peluang kepada syarikat-syarikat bukan Bumiputera dan yang berkelayakan agar diberikan hak urusniaga pembelian dan penjualan benih padi selaras dengan semangat 1Malaysia yang dilaungkan Perdana Menteri.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai himpunan aman di Kampung Site B Sekinchan di sini mendakwa, pembelian benih padi yang kini diswastakan menyebabkan petani berhadapan dengan masalah harga yang tidak stabil serta menjejaskan sumber pendapatan.

“Sekarang semua urusniaga penjualan benih padi setiap tahun adalah 80,000 tan, ada perbezaan benih padi yang digunakan ditanam khusus untuk benih padi, dan benih padi akan dijual serta diproses oleh pengilang kemudian akan dijual kembali kepada petani sebagai benih dan bukan beras.

“Kalau dahulu sekurang-kurangnya ada empat syarikat bukan Bumiputera dalam menceburi dalam aktiviti urusan pembelian dan penjualan benih padi tetapi sekarang tiada lagi syarikat bumiputera,” kata Suee Lim.

Jelas beliau lagi, petani berhadapan masalah tidak mempunyai kebebasan untuk menjual benih-benih padi ini dan terpaksa menjual kepada syarikat yang ditetapkan dengan harga yang tidak terjamin.

“Kadang-kadang berlakunya masalah birokrasi yang akan menyebabkan petani menjual benih padi ini dengan harga padi biasa, dan ini menjejaskan pendapatan hasil petani dan sukar untuk menyara keperluan keluarga disebabkan harga barangan yang sudah meningkat,” katanya.

Beliau menyarankan agar urusniaga benih padi itu dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kerugian yang dihadapi petani untuk satu keping adalah dianggarkan kira-kira RM1,000 dan apabila terdapat 300 petak sawah maka jumlahnya keseluruhan dianggarkan mencecah RM300,000.

“Bagi petani jika mereka berkurangan pendapatan RM1,000 ia amat menjejaskan kepada perbelanjaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit 7 Baroh, Rojikin Sarbini berkata, dasar yang diamalkan ini perlu ditukar kerana ada beberapa kes di mana benih padi yang dijual kembali kepada petani tidak memenuhi spesifikasi yang menyebabkan berlakunya masalah padi angin.

“Oleh kerana kuota tersebut tidak dapat menampung permintaan yang menyebabkan benih-benih ini kurang berkualiti.

“Kita berkumpul di sini pelbagai kaum adalah untuk menyatakan rasa tidak puas hati yang dizahirkan oleh para petani,” katanya.

Seorang petani, Loo Kum Yong,70, berkata, beliau menyokong usaha dan desakan petani di Sekinchan itu dengan harapan agar Kerajaan Pusat mengambil perhatian masalah mereka dan dasar yang membebankan itu dikaji semula demi masa hadapan petani di sini.