Categories
SELANGOR

Polis tahan lelaki tikam adik kembar kerana dadah

SHAH ALAM, 12 MAC: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki menikam mati pasangan kembarnya di rumah sewa mereka di Kampung Seri Cheeding, Banting, Kuala Langat semalam.

Ketua Polis Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata lelaki berusia 36 tahun itu ditahan selepas dia dibawa majikan si mati ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat pada pukul 10.45 malam.

Beliau berkata dalam kejadian semalam, polis menerima panggilan telefon daripada Hospital Banting yang memaklumkan telah menerima seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 6.58 petang, yang dibawa oleh majikannya ke hospital berkenaan.

Katanya si mati yang bekerja sebagai pekerja kebun sayur pada mulanya telah menghubungi majikannya bagi meminta bantuan untuk ke hospital, setelah dipercayai ditikam oleh kembarnya dalam satu pergaduhan.

“Majikannya itu kemudiannya telah ke rumah mangsa dan mendapati pekerjanya itu terbaring tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran dengan rumahnya, dengan kesan darah pada baju, dan lelaki berkenaan masih bernyawa ketika itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Ridhwan berkata pekerja kebun yang mengalami kecederaan pada bahagian dada akibat tikaman senjata tajam itu meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting.

Beliau berkata siasatan mendapati pada pukul 4.30 petang semalam pasangan kembar itu bergaduh, dipercayai selepas si adik tidak mahu berkongsi dadah dipercayai syabu dengan abangnya, lalu dia dipercayai ditikam oleh abangnya itu dalam pergaduhan.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Suspek kes bunuh wanita di Serdang Perdana serah diri

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Seorang lelaki yang dikehendaki polis kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan di Serdang Perdana, Seri Kembangan malam tadi sehingga menyebabkan kematian seorang wanita, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Serdang A. A Anbalagan dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berumur 33 tahun yang juga teman lelaki mangsa menyerah diri pada pukul 11.30 pagi dan motif pembunuhan dipercayai kerana cemburu.

Anbalagan berkata ujian air kencing terhadap suspek yang bekerja sebagai pemandu lori adalah negatif dadah dan pihak polis sedang meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semalam, seorang wanita berusia 29 tahun maut dipercayai dikelar dalam pergaduhan di premis perniagaannya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Nahas maut empat beranak, pemandu rempuh kenderaan dituduh bunuh

BENTONG, 4 FEB:  Seorang penternak ikan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan membunuh empat beranak yang maut dalam kemalangan di Jalan Lebu-Felda Mempaga, Bentong, minggu lepas.

Pengakuan Ahmad Fuad Mohd Salleh, 44, yang berasal dari Lipis direkodkan di hadapan Majistret Shahrul Ekhsan Hasim selepas semua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berlangsung kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia didakwa membunuh suri rumah Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya Ahda Dalili Mohd Nazri, 14, Ahmad Muaz, tujuh; dan Ahda Imtinan, lima; di Kilometer 2, Jalan Lebu-Felda Mempaga di sini pada 2.30 petang, 28 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Shahrul Ekhsan menetapkan 16 Mac ini sebagai sebutan semula kes untuk mendapatkan keputusan bedah siasat semua mangsa dan laporan kimia tertuduh.

Di mahkamah sama, Ahmad Fuad juga mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan berkaitan dadah termasuk memiliki 0.75 gram methamphetamine pada 11.45 pagi, 28 Jan lepas di tempat sama yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga didakwa menggunakan dadah methamphetamine pada 12.05 tengah malam, 29 Jan lepas, di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(1) yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta dikenakan perintah pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Shahrul Ekhsan juga tidak membenarkan jaminan terhadap kes dadah memandangkan tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S. Punitha manakala tertuduh diwakili peguam Farah Idayu Nusi.

Pada 28 Jan lepas, media melaporkan kemalangan tragis yang meragut nyawa empat beranak selepas kenderaan Toyota Vellfire dinaiki mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang didakwa melanggar lampu isyarat merah.

Semua mangsa yang semasa itu dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur bagi menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis mohon ekstradisi suspek bunuh pensyarah Palestin

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memohon suspek kes pembunuhan seorang pensyarah warga Palestin pada 2018, di sini, yang dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Palestin semalam, diekstradisi ke negara ini bagi tujuan siasatan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pada masa ini, PDRM sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).

“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.

Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penganggur didakwa bunuh warga emas di Pelabuhan Klang

KLANG, 17 DIS: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang warga emas di Pelabuhan Klang dekat sini, minggu lepas.

Muhammad Shahrul Shamsudin, 33, hanya berdiam diri selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Muhammad Shahrul didakwa membunuh Mohd Sani Abdullah, 69, pada 12.38 tengah hari pada 10 Dis lepas di hadapan sebuah rumah di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, dekat sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam K. Nathiya meminta Muhammad Shahrul dirujuk ke hospital kerana keluarga tertuduh mendakwa lelaki itu mempunyai masalah psikiatri namun tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 17 Jan 2022 untuk sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’ain Madihah Zulkifli.

Pada 10 Dis, media melaporkan polis menahan dua lelaki berusia 33 tahun dalam tempoh kurang empat jam selepas disyaki membunuh seorang kontraktor di Kampung Idaman, Pelabuhan Klang, dekat sini.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pesara tentera maut dibunuh anak lelaki hidap sakit mental

CYBERJAYA, 6 DIS: Seorang pesara tentera meninggal dunia selepas dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dalam kejadian Rabu lepas di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, di Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek yang berumur 48 tahun itu, sedang mengamuk ketika polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 malam.

“Pihak polis kemudiannya menahan lelaki itu yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), di pekarangan rumah berkenaan.

“Mangsa, 73, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, dipercayai dipukul bertubi-tubi oleh suspek, selain cedera pada bahagian dada dan kedua-dua belah tangan,” katanya dalam sidang media berkaitan Operasi Cegah Jenayah di sini hari ini.

Wan Kamarul Azran berkata suspek dipercayai mengamuk kerana sudah lama tidak mengambil ubat penenang yang dibekalkan pihak hospital.

Katanya mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan suspek yang ditahan bersama senjata yang digunakan, sedang menjalani tahanan reman sehingga esok.

Tambahnya suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua suspek menyamar polis, culik dan bunuh lelaki didakwa hari ini

PORT DICKSON, 23 NOV: Dua suspek yang dipercayai menculik dan membunuh seorang lelaki yang dilarikan semasa berada di sebuah rumah di Bandar Springhill, Lukut, di sini pada 13 Nov lepas, akan didakwa di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dua suspek yang masing-masing berusia 43 dan 44 tahun itu, akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Port Dickson pada 9 pagi.

“Pada 13 Nov lepas, seorang wanita yang merupakan isteri mangsa membuat laporan polis mengenai suaminya didatangi oleh suspek, yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis untuk siasatan kes samun, lalu bertindak memukul suami mangsa dan mengheret masuk ke dalam van sebelum dilarikan.

“Pada hari yang sama, pihak polis dimaklumkan bahawa suami mangsa telah disahkan meninggal dunia pada pukul 9.45 pagi, oleh Pegawai Perubatan di Hospital Selayang.

Susulan itu bertindak atas maklumat, pihak polis telah membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur pada keesokan hari, dan menangkap dua suspek lelaki yang berada dalam rumah berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan wanita tikam suami semasa bertengkar

KUALA LUMPUR, 20 OKT: Polis menahan seorang wanita yang disyaki menikam suaminya sehingga mati menggunakan besi kaki payung di Kampung Laksamana, Batu Caves, di sini, tengah malam semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Zainal Mohamed Mohamed berkata kejadian kira-kira pukul 12.35 malam tadi bermula apabila pasangan itu bertengkar selepas si suami menuduh isterinya yang berumur 26 tahun mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Beliau berkata semasa bertengkar, si suami yang berumur 45 tahun itu dikatakan mengambil sebilah gunting lalu cuba menyerang isterinya namun wanita berkenaan bertindak balas dengan mematahkan besi kaki payung lalu menikam lelaki itu di bahagian bawah perut.

“Lelaki itu terus rebah, terbaring di atas tilam dalam keadaan berlumuran darah, dan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis turut menemui senjata yang digunakan oleh suspek iaitu sebatang besi kaki payung di bahagian belakang rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zainal berkata suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya bedah siasat akan dijalankan pada esok di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur selepas laporan ujian Covid-19 diperolehi, dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes ASP I.Agilan dengan menelefon 03-61262222 / 019-5230801 bagi membantu siasatan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pandu lawan arus, pegawai pemasaran didakwa bunuh dua remaja

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seorang pegawai pemasaran syarikat swasta yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

K. Devaaswin, 24, didakwa membunuh Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, di Kilometer (KM) 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur, di Shah Alam pada 1.20 pagi, 12 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

Media sebelum ini melaporkan dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dekat sini.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pemandu lori dihukum mati bunuh isteri, bayi tujuh bulan

SHAH ALAM, 19 OGOS: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pemandu lori selepas didapati bersalah membunuh isteri dan bayi perempuannya berusia tujuh bulan, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menjatuhi hukuman itu ke atas Satvender Singh, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Satvender didakwa membunuh D Kamaljit, 34, dan bayinya Ishilyn Kaur Sandhu di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi pada 14 April 2016.

Hakim Mohd Yazid dalam keputusannya berkata alibi tertuduh bahawa dia keluar rumah untuk bersarapan pada 3.55 pagi di sebuah kedai makan selama sejam setengah sebelum sampai ke pejabat pada 5.44 pagi tidak mempunyai kesinambungan.

“Melalui dapatan mahkamah, tertuduh adalah orang terakhir di tempat kejadian dan keluar dari situ selepas 4.30 pagi, selepas membunuh isteri dan bayinya,” katanya.

Hakim juga menolak pembelaan tertuduh bahawa kejadian itu berlaku disebabkan rompakan di rumahnya yang telah dipecah masuk.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Rajpal Singh.

Pada 17 Julai 2020, mahkamah memerintahkan tertuduh membela diri atas pertuduhan membunuh selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap lelaki berkenaan.

Pendakwaan mengemukakan 16 saksi manakala tertuduh memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah di kandang saksi.

Bercakap kepada media selepas prosiding, adik mangsa yang hanya dikenali sebagai Riyaa, 36, berkata keluarganya melalui perit getir menunggu keputusan mahkamah yang akhirnya membuktikan tertuduh bersalah.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan warga asing disyaki bunuh gelandangan

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Polis menahan seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes pembunuhan seorang gelandangan yang mayatnya ditemukan dalam kawasan semak berhampiran sebuah sekolah di Kota Damansara, Petaling Jaya, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan selepas jirannya membuat laporan polis pada kira-kira 2.50 petang berhubung keadaan lelaki berkenaan yang pulang ke rumah dalam keadaan cedera di muka dan badan serta berlumuran darah, disyaki terlibat dengan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata siasatan terhadap lelaki itu membawa kepada penemuan mayat seorang gelandangan dengan kesan tetakan di kepala, dan polis turut menemui sebilah sabit dipercayai senjata yang digunakan dalam kejadian itu.

Beliau berkata lelaki asing itu mengaku bergaduh dengan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun yang juga seorang gelandangan yang tinggal di sebuah pondok di kawasan semak itu.

“Hasil semakan mendapati gelandangan itu mempunyai satu rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan manakala suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lelaki berkenaan direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Noridah Md Ayob di talian 019-6979891 atau balai polis berhampiran.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis tahan 16 ahli keluarga, bantu siasatan kematian penganggur

SHAH ALAM, 3 JULAI: Polis menahan 16 individu yang merupakan ahli keluarga kepada seorang lelaki tempatan yang mati akibat dipukul di rumah keluarganya di Ladang Baru Kelanang, Banting kira-kira 45 kilometer dari sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, kesemua individu termasuk lapan orang wanita berusia 17 hingga 60-an itu, ditahan sekitar pukul 1 hingga 3 pagi tadi, selepas mangsa dikatakan dipukul oleh beberapa orang ahli keluarganya iaitu ibu, ayah, adik-beradik dan saudara mara terdekat, pada Khamis.

“Si mati merupakan seorang penganggur berusia awal 30-an. Kejadian berlaku pada 6.30 petang semalam (Khamis), di mana mangsa dalam keadaan mabuk telah datang ke rumah keluarganya di Ladang Baru Kelanang. Si mati telah mengganggu dan memukul beberapa ahli keluarga, serta merosakkan kenderaan milik adiknya dengan memecahkan cermin kereta, menggunakan batu-bata.

“Berikutan itu, ahli keluarga yang berang dengan sikap si mati bertindak memukulnya menggunakan kayu, kerusi dan batu. Si mati telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, dan dibawa oleh ambulans ke Hospital Banting, sebelum meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad Ridhwan berkata susulan itu, pihaknya telah menahan 16 orang ahli keluarga mangsa di tempat kejadian di antara jam 1 hingga 3 pagi tadi untuk siasatan lanjut, dan polis turut merampas senjata kayu, batu dan kerusi yang digunakan, untuk mencederakan si mati.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA