Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dos vaksin, buruh asing tidak sabar mahu pulang ke kampung

PETALING JAYA, 2 SEPT: Seorang buruh binaan dari Kepulauan Boyan, Indonesia menanti penuh sabar untuk pulang ke kampung sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti rentas sempadan negara kepada individu lengkap vaksin.

Asfan Rimin, 54, berkata sejak pandemik melanda, dia dan keluarga belum berkesempatan melawat ibu kandung yang tinggal bersendirian di kampung halaman, tidak seperti kelaziman tahun sebelumnya.

Asfan Rimin

“Walaupun anak dan isteri tinggal bersama saya di Malaysia tetapi ibu tinggal berseorangan di kampung. Kalau dulu, kami wajib pulang setahun sekali terutama musim perayaan tetapi sekarang hanya membuat panggilan video untuk melepaskan kerinduan.

“Paling penting, tanggungjawab saya sebagai anak terhadap ibu tidak akan diabaikan. Segala keperluan seperti wang belanja dikirim setiap bulan kerana rezeki harus dikongsi bersama orang tua,” katanya.

Asfan antara 2,000 peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang menerima dos kedua pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya semalam.

Meskipun belum mendapat status penduduk tetap (PR) sejak berhijrah ke Malaysia 32 tahun lalu, bapa tiga anak itu menghargai usaha Kerajaan Selangor yang tidak meminggirkan warga asing mendapat manfaat program terbabit.

“Kerajaan di sini sangat prihatin kerana banyak kemudahan disediakan malah saya sudah menganggap Malaysia sebagai negara sendiri dan akan terus memelihara kedaulatannya.

“Alhamdulillah, dari zaman bujang bersusah-payah merantau dan sekarang sudah ada pekerjaan. Saya berjanji tidak akan buat masalah di negara orang,” katanya yang kini tinggal di Puchong.

Nissa Ahmad Jalal

Sementara itu, warga asing dari Myanmar, Nissa Ahmad Jalal, 21, lega selepas menerima dos kedua vaksin dan tidak lagi bimbang untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di restoran.

Dia yang menetap di negara ini sejak lahir berkata inisiatif itu diambil sendiri tanpa paksaan majikan berikutan menyedari peningkatan kes wabak sejak akhir-akhir ini.

“Apa yang kerajaan arah, saya ikut sahaja kerana ini semua demi kepentingan bersama. Diharap selepas dua minggu suntikan kedua ini, saya boleh bergerak bebas walaupun tidak sepenuhnya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan khususnya Selangor kerana memudahkan urusan saya untuk mengambil vaksin termasuk warga asing yang lain,” kata anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Gombak.

Categories
NASIONAL

Malaysia kawal ketat kemasukan buruh asing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 28 NOV: Malaysia bakal mengikut jejak langkah beberapa negara maju termasuk Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong bagi mengawal kemasukan buruh asing ke negara ini.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran berkata, antara langkahnya ialah mewajibkan setiap buruh asing yang bekerja dalam pelbagai sektor perkhidmatan dan pengeluaran, untuk pulang ke negara asal selepas permit mereka tamat tempoh.

“Itu hasrat mana-mana negara sekalipun tetapi di Malaysia, kita berdepan masalah apabila buruh asing terus menetap di sini sehingga agensi penguat kuasa terpaksa mengerahkan operasi memburu mereka.

“Kita tidak mahu membebankan agensi penguat kuasa, selain memperuntukkan kos penghantaran pulang dan penahanan buruh asing yang berdegil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh ASEAN Ke-25, di sini, hari ini.

Kulasegaran berkata, mesyuarat itu disertai menteri buruh dari 10 negara anggota ASEAN, termasuk Malaysia dengan sokongan Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Katanya, ia adalah mesyuarat tertinggi yang berperanan menggubal dan membuat keputusan berkenaan program serta aktiviti perburuhan berdasarkan Rangka Tindakan Komuniti Sosia-Budaya ASEAN.

“Menteri-menteri Buruh ASEAN akan menyatakan sokongan terhadap ‘ASEAN Declaration on Promoting Green Jobs for Equity and Enclusive Growth of ASEAN Community’,” katanya.