Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Anda kategori 2B dan ke atas? Hadir ke pusat penilaian Covid-19 ini

SHAH ALAM, 19 FEB: Individu positif Covid-19 kategori 2B (bergejala sederhana) hingga 5 dikehendaki hadir ke pusat penilaian (CAC) atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut.

Arahan sama turut dikenakan terhadap pesakit berusia 60 tahun ke atas, menghidap penyakit kronik, gejala semakin teruk, tidak mengambil atau belum lengkap suntikan vaksin dan hamil.

“Sekiranya gejala anda bertambah teruk, sila hubungi 999 atau ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor di Facebook.

Menurut jabatan itu, individu dalam kategori 1 (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan) serta tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai komorbid) tidak perlu ke CAC.

Sebaliknya, mereka diarah membuat pemantauan kendiri di rumah melalui Peralatan Penilaian di Rumah (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

Jabatan itu turut mengemas kini maklumat CAC PKD Sabak Bernam (penukaran no telefon di Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar dan Parit Baru) dan CAC PKD Kuala Langat (penutupan CAC Klinik Kesihatan Bandar).

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Senarai 33 pusat penilaian Covid-19 di Selangor untuk rujukan orang ramai

SHAH ALAM, 22 JAN: Sebanyak 33 pusat penilaian Covid-19 (CAC) di sembilan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masih beroperasi di negeri ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS)  menerusi infografik di Facebook berkongsi senarai lengkap  lokasi, nombor telefon beserta hari dan waktu operasi CAC seluruh negeri.

Agensi itu meminta pesakit  yang menjalani rawatan di rumah dan mengalami gejala supaya menghubungi CAC berdekatan untuk bantuan lanjut.

Berikut senarai CAC di Selangor:

PKD Petaling
– Klinik Kesihatan Taman Medan
– Klinik Kesihatan Puchong Batu 14
– Klinik Kesihatan Seksyen 19 Shah Alam

PKD Klang
– Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang

PKD Gombak
– Klinik Kesihatan Kuang
– Klinik Kesihatan Rawang
– Klinik Kesihatan Sungai Buloh
– Klinik Kesihatan Batu 8
– Klinik Kesihatan Au2
– Klinik Kesihatan Hulu Kelang
– Klinik Kesihatan Taman Ehsan
– Klinik Kesihatan Selayang Bari
– Klinik Kesihatan Gombak Setia
– Klinik Kesihatan Batu Arang

PKD Hulu Langat
– Dewan Komuniti Taman Kajang Utama

PKD Kuala Langat
– Klinik Kesihatan Telok Datok
– Klinik Kesihatan Telok Panglima Garang
– Klinik Kesihatan Jenjarom
– Klinik Kesihatan Bukit Changgang
– Klinik Kesihatan Kampung Bandar
– Klinik Kesihatan Tanjung Sepat

PKD Sabak Bernam
– Klinik Kesihatan Sungai Bernam
– Klinik Kesihatan Simpang Lima
– Klinik Kesihatan Sekinchan
– Klinik Kesihatan Sabak Bernam
– Klinik Kesihatan Parit Baru
– Klinik Kesihatan Sungai Air Tawar
– Klinik Kesihatan Bagan Terap
– Klinik Kesihatan Merbau Berdarah

PKD Kuala Selangor
– Klinik Kesihatan Bestari Jaya
– Klinik Kesihatan Jeram

PKD Hulu Selangor
– Kem Bina Semangat Kuala Kubu Bharu

PKD Sepang
– Stadium Mini Bandar Baru Salak Tinggi

Categories
ADN SELANGOR

CAC Batang Kali pindah ke lokasi baharu mulai hari ini

SHAH ALAM, 11 OKT: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Orang Ramai Batang Kali dipindahkan ke Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu mulai hari ini.

Beroperasi setiap hari mulai jam 8 pagi, pemindahan itu hasil kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Batang Kali dengan pejabat daerah, pejabat kesihatan dan penghulu mukim.

Penyelaras DUN Saifuddin Shafi Muhammad berkata ia sekali gus mengakhiri keresahan penduduk sekitar dan ibu bapa di sekolah berdekatan.

“Terima kasih Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang memberi sokongan dan bantuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam poster dikongsi di platform sama, CAC di lokasi lama ditutup semalam bagi memberi laluan kepada proses perpindahan itu.

Orang ramai yang mempunyai kecemasan atau gejala bahaya boleh hubungi talian kecemasan 999.

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh kunjungi CAC di Selangor tanpa janji temu

SHAH ALAM, 22 SEPT: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor boleh dikunjungi pesakit Covid-19 tanpa melalui proses janji temu, kata menteri kesihatan.

Khairy Jamaluddin berkata perkembangan itu susulan penurunan jumlah kes wabak dan pesakit dapat diurus tanpa kesesakan berlaku di pusat tersebut.

“Di beberapa negeri, kita sudah pun beralih kepada ‘walk ini’ untuk CAC sebagai contoh di Selangor, kita sekarang ini tak perlu lagi ada janji temu.

“Beberapa negeri telah pun beralih kepada ‘walk in’ disebabkan jumlah kes yang semakin menurun dan pengumuman akan dibuat di peringkat negeri,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Khairy menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam-Bersatu) yang bertanyakan bagaimana pengoperasian CAC sama ada melalui janji temu atau sebaliknya.

Beliau menambah KKM giat berusaha mewujudkan CAC maya di negeri lain bagi menangani peningkatan pesakit Covid-19 seluruh negara.

“Semasa peningkatan kes pada pertengahan Julai lalu, CAC maya diwujudkan bagi pantau pesakit kategori satu dan dua.

“Hasil penubuhan CAC maya, kedatangan pesakit di Lembah Klang rendah dan sentiasa dalam keadaan terkawal walaupun jumlah kes positif masih lagi di paras sedikit tinggi,” katanya.

CAC dibentuk pada akhir Januari bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Elak singgah gerai, pasar selepas hadir pusat penilaian Covid-19

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pesakit Covid-19 digesa terus pulang ke rumah selepas mendapatkan perkhidmatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

Wakil rakyatnya Azmizam Zaman Huri berkata mereka diingatkan tidak mengunjungi gerai atau pasar berhampiran bagi mengelak risiko berlaku jangkitan wabak.

“Sejak CAC itu beroperasi, peniaga merungut perniagaan mereka merosot disebabkan kekurangan pelanggan, walaupun kita tahu peniaga ini memang sudah terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mungkin orang ramai bimbang sekiranya individu positif singgah di pasar berkenaan, apatah lagi mereka perlu melalui pekan Pelabuhan Klang untuk sampai ke CAC,” katanya ketika dihubungi Selangorkini hari ini.

Sementara itu, Azmizam berkata pusat penilaian terbabit kembali beroperasi pada 8 Ogos, sehari selepas insiden runtuhan khemah akibat ribut.

“Kerosakan tidak melibatkan ruang dalam dewan tetapi hanya khemah yang ditempatkan di luar. Kerja membaik pulih enam khemah yang rosak segera dilakukan bagi memastikan kelancaran operasi,” katanya.

CAC berkenaan memulakan operasi pada 30 Julai lalu selepas dipindahkan dari Dewan Sukan Taman Sri Andalas susulan bantahan penduduk setempat.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

7,000 kit penilaian pesakit diserah kepada Jabatan Kesihatan Selangor

SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Selangor hari ini menyerahkan 7,000 kit Home Assessment Tool (HAT) atau kit penilaian di rumah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Penyerahan dilakukan Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor Dr Siti Mariah Mahmud kepada Pengarah JKNS Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Dr Siti Mariah menerusi kenyataan berkata kit itu yang mengandungi pelitup muka KN95 dan pulse oximeter akan diberikan kepada pesakit Covid-19 yang perlu menjalani kuarantin di rumah.

“Pesakit akan memasukkan keputusan yang diperoleh daripada pulse oximeter berserta simptom yang dialami ke dalam aplikasi SELangkah supaya pemantauan harian oleh petugas kesihatan dapat dilakukan,” katanya.

Pulse oximeter adalah alat yang digunakan untuk memantau kadar denyutan jantung dan paras oksigen dalam darah iaitu paras normal oksigen adalah antara 95 dan 99 peratus manakala denyutan jantung normal adalah 50 ke 90 seminit.

Pemberian kit HAT merupakan inisiatif Pakej Kita Selangor 2.0 untuk menangani kes ‘brought in dead’ atau mayat dibawa ke hospital, menyokong pesakit yang kuarantin di rumah dan mengurangkan kesesakan di pusat penilaian COVID-19 serta meringankan beban petugas kesihatan.

— BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Kerajaan disaran semak semula penempatan pusat nilai Covid-19

SHAH ALAM 29 JULAI: Kerajaan disaran menyemak semula penempatan pusat penilaian Covid-19 (CAC) seluruh negara terutama di Lembah Klang.

Ahli Dewan Negeri Sentosa berkata ia berikutan terdapat CAC di Lembah Klang yang ditempatkan di kawasan yang kurang kondusif.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah

Menurut Dr G Gunaraj penempatan CAC bukan perkara yang perlu dipandang mudah kerana perkara ini melibatkan nyawa pesakit, tenaga kerja barisan hadapan dan kemaslahatan penduduk setempat.

“Apakah kerajaan bangga mengumumkan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) mega di hotel-hotel mewah dan tempat yang kondusif namun melepaskan batuk di tangga sahaja dalam menempatkan CAC.

“CAC adalah satu pusat sehenti bagi rakyat yang disahkan positif Covid-19 bagi mengklasifikasikan tahap pesakit untuk tindakan selanjutnya oleh Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau turut menyarankan kerajaan menggunakan sistem janji temu di CAC seperti yang digunakan di pusat vaksinasi supaya pesakit Covid-19 tidak perlu beratur lama.

Baru-baru ini penduduk Taman Sri Andalas membantah keputusan KKM mewujudkan CAC di Dewan Sukan Taman Sri Andalas yang terlalu hampir dengan lokasi perumahan dan menyuarakan kebimbangan mungkin berlaku peningkatan kes Covid-19.

Namun hasil perbincangan memutuskan operasi CAC di dewan berkenaan dipindahkan ke Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang.

CAC ditubuhkan KKM pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC). Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

Categories
PBT SELANGOR

Sedia bas mudahkan pesakit Covid-19 PKPD Apartment Damai ke CAC

SHAH ALAM, 24 JULAI: Sebuah bas disediakan untuk penduduk Apartment Damai mukim Damansara
yang positif Covid-19 untuk ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati.

Pegawai daerah Petaling berkata bas itu disediakan untuk kemudahan penduduk di kawasan tersebut yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebelum ini kita membuka CAC secara hibrid namun menutupnya sejurus proses saringan selesai Selasa lalu.

“Dengan adanya bas, penduduk yang positif Covid-19 sama ada bergejala atau tidak dibawa ke CAC untuk memudahkan pemantauan tahap kesihatan pesakit,” kata Datuk Johary Anuar ketika dihubungi.

Menurutnya, seramai 2,323 penduduk selesai disaring Selasa lalu dan 1,774 keputusan saringan telah diterima.

“Daripada 1,774 saringan, seramai 682 individu didapati positif Covid-19 dan menjadikan jumlah keseluruhan di PKPD Apartment Damai berjumlah 985 kes berbanding sebelum ini 303 kes.

“Kita menjangkakan kes positif meningkat apabila menerima baki keputusan 549 individu petang semalam. Proses vaksinasi bermula semalam dan dijangka seramai 500 individu menerima vaksin,” katanya.

Pada 16 Julai, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat kawasan baharu dalam empat daerah di Selangor akan dikuatkuasa PKPD selama dua minggu mulai 18 Julai.

Kawasan tersebut ialah Apartment Damai, mukim Damansara, Petaling; Jalan Pandan Indah, mukim Ampang, Hulu Langat; Jalan Batu Nilam, mukim Klang, Klang dan Taman Samudera, mukim Batu, Gombak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pesakit pusat nilai Covid-19 Sri Andalas terkawal

SHAH ALAM, 16 JULAI: Pusat penilaian Covid-19 (CAC) daerah Klang di Dewan Taman Sri Andalas terkawal berikutan penurunan kehadiran pesakit berbanding ketika hari pertama dibuka pada Isnin lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata berdasarkan pemerhatian bilangan pesakit hanya ramai waktu pagi namun lengang pada tengah hari dan petang.

“Kerjasama pihak berkuasa melibatkan MPK (Majlis Perbandaran Klang), Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) dan polis memastikan keadaan di CAC terkawal sejak Selasa sehingga ke hari ini.

“Pemantauan dilakukan bagi memastikan isu kesesakan pesakit tidak berulang namun jika bilangan menunjukkan peningkatan pada setiap hari, CAC ini akan dipindahkan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 Julai, Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata seramai 1,900 orang hadir ke CAC berkenaan pada Isnin lalu melepasi kapasiti 1,000 pesakit sehari.

CAC ditubuhkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada akhir Januari lalu bagi menilai pesakit sama ada kekal dikuarantin di rumah atau perlu dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19. Jika perlu rawatan lanjut, pesakit dirujuk ke hospital.

CAC negeri ini diuruskan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan dibantu pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CAC secara maya untuk kes gejala ringan, tiada gejala

SHAH ALAM, 15 JULAI: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) akan dibangunkan secara maya dalam masa terdekat bagi mengurus kes bergejala ringan dan tidak bergejala.

Pengarah Bersama Pasukan Pengurusan Projek Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berkata orang ramai tidak perlu ke CAC secara fizikal dengan penubuhan CAC maya.

“Pemantauan kes tersebut akan diadakan secara maya tanpa keperluan hadir secara fizikal ke CAC.

“Arahan pengawasan di rumah (HSO) akan diberi melalui aplikasi MySejahtera atau lain-lain. Ia (CAC maya) sah di sisi undang-undang,” kata Dr Chong Chee Keong dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kapasiti katil hospital sedia ada di Lembah Klang akan dingkatkan termasuk di unit rawatan rapi (ICU) dan bukan ICU bagi menampung pertambahan kes.

Menurutnya, untuk kapasiti katil ICU, tambahan 30 katil melalui tiga modular akan diterima tidak lama lagi.

“Ketika ini 40 peratus pesakit dimasukkan ke hospital mempunyai gejala serius yang memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan membabitkan kategori tiga serta empat,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CAC Stadium Malawati: Tiada lagi barisan panjang orang ramai

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tiada lagi barisan panjang kelihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati di sini setakat jam 11.20 pagi tadi.

Antara tindakan kawalan termasuk menambah jumlah petugas dan memasukkan lebih ramai pesakit ke bahagian dalam stadium, lapor Twitter Bernama.

Kehadiran orang ramai ke CAC berkenaan terkawal berbanding Isnin lepas susulan beberapa penambahbaikan dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jurucakap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata antaranya memperluas ruang Bahagian Kecemasan yang dilengkapi tangki oksigen selain satu kawasan baharu dibuka di pekarangan stadium bagi saringan ke atas pekerja industri.

Jumlah pegawai perubatan serta ambulans turut ditambah, selain ruangan tempat duduk penonton di dalam arena stadium dipenuhkan bagi mengurangkan jumlah pengunjung berada di luar stadium.

CAC Stadium Malawati juga menerima sumbangan 10 khemah daripada Kerajaan Selangor, 14 khemah daripada Pasukan Bantuan dan Tindakan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) selain sumbangan kotak makanan daripada badan bukan kerajaan (NGO).

Isnin lalu, hampir 4,000 individu hadir ke CAC tersebut bagi membuat penilaian kesihatan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor agih lagi 7,000 kit kesihatan ke seluruh CAC

SHAH ALAM, 15 JULAI: Kerajaan Negeri akan menambah 7,000 kit penilaian kesihatan untuk kegunaan pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah.

Dato’ Menteri Besar berkata kit itu akan diagihkan ke semua Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negeri terutama lokasi tumpuan ramai.

“Kit ini termasuk oximeter atau alat pengukur kandungan oksigen yang akan diberikan kepada pesakit untuk menilai secara kendiri ketika mereka berada di rumah.

“Bagaimanapun, apabila tamat kuarantin dan dipotong gelang mereka perlu menghantar kembali oximeter itu kepada CAC supaya boleh digunakan semula oleh pesakit lain,” katanya dalam program bual bicara bersama Astro Awani malam tadi.

Amirudin berkata pesakit yang menjalani kuarantin juga perlu mengemas kini tahap kesihatan melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) untuk pemantauan.

Jelasnya, tiga daerah terlibat yang menggunakan keadah itu ialah Gombak, Petaling dan Hulu Langat.

“Menerusi aplikasi ini, doktor akan memantau keadaan pesakit dan menentukan sama ada mereka dimasukkan ke hospital atau sebaliknya,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.25 juta bagi menyediakan kit kesihatan yang setiap satunya mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

Inisiatif tersebut disediakan untuk membendung kes jenazah dibawa ke hospital (brought in dead) yang kian membimbangkan kebelakangan ini.