Categories
PBT SELANGOR

MPAJ gesa premis berlesen daftar program kutipan caj beg plastik

SHAH ALAM, 3 DIS: Semua premis berlesen di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) digesa mendaftar program kutipan caj 20 sen beg plastik sebelum hujung tahun ini.

Yang Dipertuanya Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata hanya 294 daripada keseluruhan 9,959 premis berbuat demikian setakat 17 November lalu.

“Untuk kategori bebas beg plastik pula, sebanyak 37 premis berdaftar setakat ini. Semua pemegang lesen diingatkan mematuhi arahan Kerajaan Negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pemegang lesen yang sudah mendaftar program kutipan caj beg plastik perlu hadir ke pejabat MPAJ untuk memperbaharui sijil pendaftaran perniagaan 2021.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan untuk dimasukkan ke tabung amanah bagi program kesedaran alam sekitar.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak RM1.1 juta berjaya dikutip melalui program itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Kutip RM1.1 juta caj beg plastik, didik jaga alam sekitar

KAJANG, 22 SEPT: Kerajaan Negeri mengutip RM1.1 juta daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata pungutan dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan pasar raya dan premis perniagaan berdaftar di bawah program kutipan caj beg plastik.

“Kutipan dimasukkan ke dalam tabung amanah bagi kegunaan program kesedaran alam sekitar seperti penanaman pokok dan pembersihan sungai.

“Kita menjangka kutipan akan mencecah antara RM2.5 hingga RM3 juta pada penghujung tahun ini,” katanya ditemui selepas merasmikan program Kesedaran Selamatkan Ozon sempena Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Selangor di Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (Mara) di sini hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Hee Loy Sian berucap ketika Perasmian Program Kesedaran Selamatkan Lapisan Ozon, Hari Ozon Sedunia 2020 peringkat Negeri anjuran Jabatan Alam Sekitar Negeri Selangor di Kolej Profesional Mara, Beranang pada 22 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri Kajang turut menyeru masyarakat supaya
meminimumkan penggunaan beg plastik dan penyedut minuman konvensional dalam usaha memelihara kelestarian alam sekitar.

Katanya pemilik restoran di negeri ini juga diminta tidak membekalkan penyedut minuman kepada pelanggan mereka melainkan atas permintaan.

“Walaupun bahan ini kecil tetapi sekiranya dibuang dan tidak diuruskan dengan baik ke tempat pelupusan, ia akan mengalir ke longkang seterusnya mencemarkan alam sekitar.

“Justeru, kita berharap semua masyarakat dapat bekerjasama untuk menjaga alam sekitar bukan hanya dengan tidak melakukan penebangan pokok secara haram malah mengurangkan (penggunaan) beg dan straw plastik,” katanya.

Kerajaan Selangor meluluskan pelaksanaan kutipan caj beg plastik melalui PBT bermula 1 Januari lalu. Semua premis perniagaan berdaftar boleh mendapatkan borang di PBT dan mempamerkan nombor pendaftaran serta sijil wajib di kawasan mudah dilihat sebagai rujukan pengguna.

Categories
PBT SELANGOR

Kutipan caj beg plastik, tiada peniaga bantah di Petaling Jaya

SHAH ALAM, 2 MAC: Tiada peniaga membantah pelaksanaan kutipan caj beg plastik dijalankan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kata Datuk Bandarnya.

Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata sehingga kini terdapat 40 perniagaan berskala besar sudahpun berdaftar dengan pihaknya bagi membolehkan kutipan caj beg plastik dijalankan menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT).

“MBPJ membuat keputusan untuk membuat kutipan dari peniaga pada setiap suku tahun,” katanya selepas mesyuarat penuh MBPJ pada 27 Februari.

Bermula 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri meluluskan pelaksanaan serahan kutipan caj beg plastik 20 sen kepada PBT.

Perubahan pelaksanaan itu membolehkan jumlah kutipan dipantau dan dimanfaatkan bagi tujuan pengurusan peruntukan bagi program dan aktiviti berkaitan alam sekitar dengan lebih berkesan serta diyakini.

Categories
EXCO SELANGOR

PBT ambil alih kutipan caj plastik 20 sen mulai 1 Januari

SHAH ALAM, 4 NOV: Keputusan mengambil alih kutipan caj 20 sen penggunaan beg plastik melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai 1 Januari tahun hadapan disifatkan sebagai langkah tepat bagi mengelak sikap tidak bertanggungjawab pengusaha pasaraya yang menggunakan kesempatan ke atas pelanggan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Inovasi (STI) Dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata pengusaha pasaraya sebelum ini diberi tempoh yang panjang untuk melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui hasil kutipan berkenaan.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak diendahkan peruncit sehingga menyebabkan majoriti rakyat di Selangor merasakan kutipan caj 20 sen oleh pasaraya kurang berkesan.

“Selain berperanan mengutip caj 20 sen melalui invois, PBT akan menjalankan pemantauan penggunaan beg plastik di pasaraya dan kemasukan bahan itu daripada pengilang yang membekalkannya kepada pasaraya.

“Wang yang dikutip akan dimasukkan ke dalam Tabung Amanah untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri dan PBT bagi melaksanakan program CSR membabitkan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Kempen Bebas Plastik Peringkat Negeri Selangor 2019 di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata satu kertas kerja akan berhubung agihan caj kutipan itu akan dibentangkan pada minggu hadapan dengan meletakkan satu klausa baharu dalam semua lesen perniagaan PBT.

Katanya, PBT akan melaksanakan kutipan caj itu berdasarkan jumlah beg plastik yang dibeli premis pasar raya berkenaan daripada pengilang.

“Kita akan mewajibkan semua pasaraya di setiap PBT mempunyai sekurang-kurangnya satu notis ‘Kempen Bebas Plastik’ iaitu larangan memberi beg plastik secara percuma kepada pelanggan.

“Kita tidak teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun terhadap premis atau pasaraya yang enggan mematuhi notis kempen berkenaan seperti ditetapkan dalam lesen perniagaan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melaksanakan kempen bermula 1 Januari 2017 selama tujuh hari seminggu berbanding hanya setiap Sabtu sebelumnya.

Sehubungan itu, semua jenis perniagaan tidak dibenarkan menyediakan beg plastik ‘single use’ secara percuma dan menghentikan penggunaan polisterena di semua premis perniagaan termasuk premis makanan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caj plastik diperluas ke semua premis mulai 2022

SUBANG JAYA, 26 OKT: Pengenaan caj ke atas beg plastik, yang ketika ini telah dilaksanakan di premis perniagaan tetap, akan diperluas ke semua jenis premis perniagaan mulai 2022, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Sebelum berakhirnya 2021, pengenaan caj ke atas beg plastik akan dilaksanakan di semua premis perniagaan tetap dan (kemudian) ia akan (dilaksanakan) kepada semua premis perniagaan bermula pada tahun 2022,” katanya selepas melancarkan Kempen Cintai Alam Sekitar anjuran Ecobio Pack Sdn Bhd dan NGO Pawana di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, langkah itu adalah antara inisiatif utama di bawah Pelan Hala Tuju Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang termasuk amalan tiada penggunaan straw yang menggalakkan pengguna untuk minum terus dari cawan atau gelas.

“Pengenaan caj ke atas beg plastik dan tiada penggunaan straw adalah inisiatif kerajaan dalam mencegah pengguna daripada menggunakan plastik sekali guna dan sekali gus dapat mendorong pengguna untuk membuat keputusan yang lebih mesra alam dengan membawa beg yang boleh diguna semula semasa membeli-belah dan amalan meminum tanpa menggunakan penyedut minuman,” katanya.

Beliau turut memuji usaha yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang yang menggunakan hasil caj penggunaan beg plastik untuk tujuan program pemuliharaan alam sekitar serta menyeru negeri-negeri lain supaya menjadikannya contoh untuk dilaksanakan di negeri masing-masing.

Kerajaan sebelum ini telah pun memperkenalkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik sejak 1 Januari 2011 pada setiap hari Sabtu.

Susulan itu, beberapa negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Selangor, Perlis, Perak, Terengganu, Kelantan dan Sarawak telah mula mengambil langkah yang sama.

Di Wilayah Persekutuan pula, peruncit hanya dibenarkan untuk menyediakan beg plastik dari kategori biodegradasi dan compostable. Bermula Mac lalu peruncit mengenakan caj 20 sen untuk sehelai beg daripada jenis itu kepada pelanggan.

Selain itu, beberapa negeri telah memulakan kempen pemberian straw atas permintaan, iaitu di Wilayah Persekutuan (bermula Januari 2019), Kedah dan Pulau Pinang (bermula April 2019) dan Selangor (bermula 1 Julai 2019).

Wilayah Persekutuan turut mengenakan larangan penggunaan straw plastik, dengan penguatkuasaannya akan mula dilaksanakan pada Januari 2020.

Mengulas kenyataan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang menyatakan isu peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin Pakatan Harapan (PAKATAN), Dr Wan Azizah berkata, isu mengenai peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri telah pun dipersetujui semua pemimpin komponen PAKATAN sebelum ini.

“Boleh juga kita jumpa (bincang), tetapi macam Tan Sri katalah, dia juga telah tandatangani (setuju),” katanya ringkas.

Mengenai kenyataan penganalisis dasar awam, Lim Teck Ghee yang menyifatkan Malaysia di bawah kerajaan PAKATAN sebagai ‘bencana tidak terkawal’, beliau menggesa penganalisis itu membuat perbandingan yang lebih adil.

“Jika BN (Barisan Nasional) terus (memerintah), (isu) 1MDB tidak terbongkar, macam-macam (penyelewengan) lagi tidak terbongkar…analisis yang itu juga. Nak kritik memang senang, tetapi perlu adil,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan PAKATAN sedang melaksanakan mandat rakyat iaitu memperbaiki kepincangan yang telah dilakukan oleh pemerintah terdahulu.

Semalam sewaktu Forum ‘Whiter Maruah Malaysia 2.0’, Lim mendakwa kekecewaan terhadap pentadbiran kerajaan hari ini semakin berkembang dan menyifatkan pemerintahan PAKATAN sebagai satu ‘bencana yang tidak terkawal’.

– BERNAMA

Categories
EXCO PBT SELANGOR

Tanggungjawab kutip caj beg plastik akan diserah kepada PBT

KAJANG, 28 SEPT: Kerajaan Selangor akan menyerahkan tanggungjawab mengutip duit pembelian beg plastik sebanyak 20 sen di semua kedai dan pasaraya di negeri ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan di kawasan masing-masing, bermula tahun depan.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, cadangan itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) bulan depan.

Katanya, kertas kerja telahpun disiapkan sepenuhnya sebelum ia dibentangkan kepada barisan EXCO Selangor.

“Langkah ini terpaksa diambil apabila Kerajaan Negeri melihat ada pasaraya yang culas dan tidak melaksanakan kempen bebas plastik ini dengan bersungguh-sungguh.

“Saya juga dapat laporan, ada segelintir pasaraya yang memberi pelanggan lebih dari satu beg plastik sedangkan hanya 20 sen sahaja yang dibayar, dipercayai mereka berbuat demikian kerana tidak mahu dimarahi pelanggan.

“Pada masa sama, ada pasaraya yang tidak menggunakan wang kutipan 20 sen itu dengan sewajarnya, hakikatnya sebelum itu mereka berjanji untuk mengadakan program berkenaan alam sekitar, namun mengecewakan apabila ada yang tidak berbuat seperti dijanjikan,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kebunku Geran Kecil Teknologi Hijau 2019 anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Sungai Long, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, Kerajaan Selangor tidak pernah berhasrat untuk menaikkan kadar bayaran beg plastik yang kini berjumlah 20 sen untuk setiap satunya.

“Tidak ada gunanya jika kita naikkan caj tetapi masyarakat tetap bayar, sebolehnya sasaran kami ialah tidak ada langsung penduduk yang membeli beg plastik dan biarlah pembelian ini berkurangan.

“Sekiranya pembelian beg plastik kurang, maka secara automatik kita tahu kempen bebas plastik menjelang 2025 di Selangor akan berjaya,” katanya.

Terdahulu, Selangor mula melaksanakan kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada 2010, dengan sokongan kebanyakan pasar raya besar, pasar mini dan premis perniagaan pada setiap Sabtu.

Kempen itu kemudiannya dilanjutkan kepada setiap hari mulai 1 Januari 2017 dan merangkumi kempen bebas bekas makanan polistirena serta perlu membayar 20 sen bagi setiap beg plastik yang diminta.