Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Tuisyen Rakyat percuma sasar 60,000 pelajar, tawar lebih 80 video pembelajaran

SHAH ALAM, 11 JAN: Seramai 60,000 pelajar tingkatan lima dan tahun enam di negeri ini disasar menyertai Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) pada tahun ini.

Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri memaklumkan 50,000 peserta membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala 10,000 lagi pelajar tahun enam yang mengikuti kelas secara maya dan bersemuka selain mendapat modul pembelajaran secara percuma.

Jelasnya, 10,000 calon SPM dari keluarga berpendapatan rendah yang memerlukan guru bimbingan menerima manfaat kelas tuisyen beserta modul pembelajaran manakala 20,000 pelajar kategori sama tetapi mampu belajar sendiri menerima modul pembelajaran.

“Seramai 20,000 lagi pelajar pula mengikuti pembelajaran secara dalam talian menerusi portal ePTRS.my yang mengandungi video pembelajaran dan buku modul pembelajaran dalam bentuk PDF.

“Bagi pelajar tahun enam pula, dianggarkan seramai 10,000 orang menerima manfaat buku modul pembelajaran bagi memantapkan penguasaan mata pelajaran di peringkat rendah,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Jawatankuasa itu turut memaklumkan antara penambah baik dalam portal ePTRS.my pada tahun ini adalah dengan memuatkan video pembelajaran mata pelajaran sains tulen seperti matematik tambahan, fizik, biologi dan kimia selain pendidikan Islam serta moral.

Sebelum ini, portal berkenaan memuatkan 81 video pembelajaran merangkumi mata pelajaran teras iaitu mata bahasa Melayu, bahasa Inggeris, sejarah, sains dan matematik .

Dato’ Menteri Besar ketika membentangkan Belanjawan 2022 negeri pada 26 November lalu mengumumkan peruntukan RM7 juta untuk meneruskan PTRS pada tahun ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan itu antaranya bagi memantapkan pengisian portal ePTRS.my dan mengukuhkan kemahiran guru.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri cadang calon peperiksaan utama boleh bersekolah lebih awal

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya murid-murid kelas peperiksaan dibenarkan kembali ke sekolah lebih awal daripada fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata bagi menyokong permohonan itu, KPM juga memohon kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) supaya pemberian vaksin kepada guru dan murid kategori itu dapat dipercepatkan.

“Namun ini semua tertakluk kepada keputusan MKN bila anak-anak kelas peperiksaan ini dapat kembali ke sekolah secara bersemuka. Urusan vaksinasi pula di bawah JKJAV, maka segala proses itu akan dilaksanakan oleh mereka.

Dalam konteks pendidikan, kita akan bincang bagaimana kita boleh laksanakan (vaksinasi) di sekolah atau sebagainya dan ini memerlukan penelitian yang lebih mendalam,” katanya dalam Wawancara Pelan Pemulihan Negara secara dalam talian hari ini.

Menurut beliau, setakat ini 36 peratus atau 148,580 guru menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Ditanya jika guru-guru dan pelajar selain kelas peperiksaan juga akan diberikan keutamaan dalam pemberian vaksin, Radzi berkata KPM membuat cadangan kepada JKJAV berdasarkan keutamaan atas faktor bekalan vaksin yang terhad.

“Kalau boleh kita mahu semuanya divaksin namun dilihat dari sudut priority (keutamaan) disebabkan bekalan yang terhad dan sebab itu kita mohon supaya murid dan guru Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) didahulukan,” katanya.

Berdasarkan Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini, sektor pendidikan akan dibenarkan beroperasi secara berperingkat bermula fasa ketiga apabila negara berjaya memenuhi tiga nilai ambang yang dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos.

Nilai ambang tersebut adalah purata kes harian menurun ke paras bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) ke paras mencukupi dan 40 peratus populasi negara menerima dua dos suntikan vaksin.

Sementara itu, Radzi menjelaskan keputusan terdahulu dibuat KPM termasuk membatalkan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini tidak akan berubah meskipun jika mereka yang terlibat menerima vaksin nanti.

Mengenai pengambilan khas 18,702 pendidik bagi menyelesaikan isu kekurangan guru di sesetengah negeri, Radzi menegaskan calon yang mempunyai latar belakang pendidikan akan diberi keutamaan sebelum ia dibuka kepada graduan lain.

Namun sekiranya calon kelulusan lain yang tidak mempunyai latar belakang ikhtisas pendidikan dipilih, mereka akan diberikan latihan secukupnya bagi memastikan bakal guru itu dapat menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran dengan baik.

“Kita amat menitikberatkan kualiti guru-guru di sekolah jadi ini bukan pengambilan sembarangan sebaliknya satu proses tersusun dan teliti untuk kita lihat. Sekiranya guru untuk subjek tertentu tidak dapat diisi oleh graduan ikhtisas pendidikan, kita akan pastikan calon yang dipilih itu mendapat latihan secukupnya.

Beri keyakinan kepada kami kerana kami cuba menyelesaikan isu yang telah berlarutan lama dan pendekatan yang kami ambil ini tidak akan menjejaskan kualiti guru yang bakal mengajar di sekolah kelak,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi berkata KPM juga sedang berusaha menyelesaikan isu perpindahan guru “duka lara” dan meminta semua pihak memberi sedikit masa untuk kementerian menyusun pendekatan yang lebih menyeluruh.

Guru “duka lara” biasanya merujuk sebagai guru-guru yang terpisah jauh antara suami dengan isteri seperti seorang di Semenanjung manakala seorang lagi di Sabah atau Sarawak, atau dalam kes tertentu anak dengan ibu bapa.

-BERNAMA