Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Bacaan Yasin sambut, tenangkan calon SPM di SMK Seksyen 7 dan 18

SHAH ALAM, 2 MAC: Bacaan Yasin dialun secara maya bagi menyambut kedatangan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 dan 18 di sini pagi tadi.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Seksyen 7 Datuk Mohd Isa Ishak berkata bacaan ayat suci bermula 7.45 hingga 8.15 pagi bagi menenangkan pelajar dalam menghadapi peperiksaan berkenaan.

“Kita bergabung dengan SMK Seksyen 18 dipimpin imam sukarela melakukannya secara maya sehingga tamat peperiksaan pada 29 Mac,” katanya ketika ditemui.

Mohd Isa berkata PIBG turut menaja sarapan pagi untuk 381 calon SPM di SMK Seksyen 7 mulai hari ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7, Datuk Mohd Isa Ishak. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Alhamdulillah kita melihat perjalanan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) berjalan lancar, mereka (pelajar) datang pagi kerana sudah dimaklum agar datang mengikut masa ditetapkan,” katanya.

Tinjauan SelangorKini di SMK Seksyen 7 mendapati rata-rata calon sudah tiba seawal 7 pagi untuk mengambil peperiksaan yang bermula 7.45 pagi.

Tidak kurang juga ada segelintir pelajar memanfaatkan masa dengan menelaah buku sebagai persediaan di saat akhir sebelum peperiksaan bermula.

Seramai 73,938 calon SPM 2021 termasuk persendirian dan berkeperluan khas di Selangor menduduki peperiksaan itu tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Calon SPM positif Covid-19 duduki sidang kedua pada April

JOHOR BAHRU, 2 MAC: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang disahkan positif Covid-19 atau sedang berada dalam tempoh kuarantin akan dibenarkan untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada sidang kedua, April nanti.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata sehubungan itu calon-calon hanya perlu memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.

Menurut beliau, calon berkenaan atau ahli keluarga mereka hanya perlu membuat surat deklarasi secara bertulis dan menyertakan dokumen berkaitan.

“Pengetua akan sahkan sama ada benar pelajar itu positif dengan menunjukkan bukti di aplikasi MySejahtera, selain ada tiga borang deklarasi dan surat bertulis.

“Jadi calon dan keluarga mereka tidak perlu berasa risau, kalau mereka ada bukti tersebut, mereka boleh menduduki SPM sidang kedua iaitu pada April nanti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Masai 2, di sini hari ini, sempena hari pertama berlangsungnya ujian bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi peperiksaan SPM 2021 ini, seramai 407,097 pelajar menduduki peperiksaan berkenaan di 3,000 pusat peperiksaan seluruh negara manakala seramai 50,317 daripada mereka merupakan calon dari negeri ini.

Radzi berkata bagi calon yang baru diketahui positif Covid-19 ketika sedang menduduki peperiksaan pula, mereka akan diletakkan di sebuah bilik khas yang disediakan di sekolah terbabit.

Sementara itu, berhubung lawatan beliau ke sekolah berkenaan, beliau berkata SPM 2021 ini berlangsung dalam skala lebih besar apabila ia dilaksana dengan menggunakan hampir kesemua kelas di sekolah.

“Seperti mana kita lihat, proses ini amat besar dan menyeluruh, hampir semua kelas digunakan dan kita akan terus meninjau keadaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perjalanan SPM ini berlangsung dengan teratur dan selamat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Permatang agih alat tulis untuk 387 calon SPM

SHAH ALAM, 25 FEB: Sebanyak 387 set alat tulis diserahkan kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang hari ini.

Wakil rakyatnya berkata pemberian melibatkan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiram Jaya, SMK Agama Kuala Selangor dan SMK Pengkalan Permatang.

“Sumbangan diberi kepada pengetua serta wakil tanpa bertemu dengan calon SPM bagi menjaga tatacara operasi piawai (SOP) dalam tempoh penularan wabak Covid-19 ini.

“Saya doakan semua calon dapat menjawab dengan lancar, jelas, betul serta tepat,” kata Rozana Zainal Abidin menerusi Facebook hari ini.

Peperiksaan SPM 2021 dijadualkan bermula 2 Mac ini dan berakhir pada 29 Mac.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata susulan jangkitan Covid-19 yang tinggi ketika ini peperiksaan akan berjalan dengan pematuhan SOP.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Team Selangor pelawa calon SPM sertai ulang kaji dalam talian percuma

SHAH ALAM, 19 FEB: Calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dipelawa menyertai program ulang kaji dalam talian kendalian Sukarelawan Team Selangor yang bermula esok.

Ketua Unit Sekolah Muhamad Haziq Fikri Jasni berkata program Pecutan Akhir SPM 2021 dibuka secara percuma untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) negeri ini.

“Kami menyasarkan seramai 600 pelajar tingkatan lima daripada keluarga B40 yang menetap atau sedang bersekolah di Selangor akan menyertai program ini.

“Tujuan diadakan program ini adalah ingin membantu mereka mempunyai akses dan peluang mengulangkaji pelajaran yang sama dengan rakan-rakan yang lain,” katanya.

Jelas beliau, subjek yang ditawarkan ialah Fizik dan Matematik pada 20 Februari, Sejarah (21 Februari) dan Bahasa Inggeris (22 Februari).

Guru terbabit memberi tips dan bimbingan itu ialah cikgu Afiq (Fizik), cikgu Syamim (Matematik), cikgu Visva (Sejarah) dan cikgu Bella (Bahasa Inggeris).

Mereka yang berminat boleh mendaftar dengan mengimbas QRCode pada poster atau hubungi 0176127269.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan belum cadang beri suntikan vaksin kepada calon SPM 2021

BATU GAJAH, 11 JUN: Kerajaan belum bercadang untuk memberikan suntikan vaksinasi kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata setakat ini pemberian vaksin adalah kepada golongan fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu keutamaan kepada golongan warga emas, golongan 60 tahun ke atas dan ia perlu mengikut turutan fasa yang ditetapkan.

“Fokus sekarang ialah kepada warga emas kemudian orang yang berkepentingan seperti mereka yang mempunyai urusan untuk ke luar negara. Kita perlu ikut urutan golongan mana yang perlu mendapatkan vaksin dahulu.

Apabila kita buka sahaja fasa ketiga pemberian vaksin untuk golongan membabitkan dewasa berumur 18 tahun ke atas, jadi mereka boleh menerima suntikan,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Bandaran Kinta, Batu Gajah hari ini.

Sebelum ini Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) Mohd Azizee Hasan mencadangkan agar calon SPM 2021 dan guru, wajar dipertimbang untuk disuntik vaksin Covid-19 supaya persiapan menghadapi peperiksaan itu tidak terjejas selain membolehkan mereka menghadiri kelas bersemuka.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Hampir 700 calon SPM DUN Dusun Tua terima pek makanan

SHAH ALAM, 24 FEB: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua menyediakan pek makanan kepada 689 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di dua sekolah kawasannya hari ini.

Wakil rakyatnya berkata seramai 419 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil dan 270 dari SMK Dusun Nanding, Hulu Langat menerima bantuan tersebut.

“Sumbangan ini bertujuan memberi semangat kepada calon SPM ini untuk menjawab peperiksaan selain tidak mahu mereka kelaparan.

“Saya berharap makanan yang disediakan pasukan Gerak 23 DUN Dusun Tua membantu mereka lebih fokus dan semoga berjaya menduduki SPM,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Menurutnya, sebanyak RM6,000 diperuntukkan untuk kedua-dua sekolah tersebut dengan harapan mampu meringankan beban keluarga dan pihak sekolah.

Categories
ADN SELANGOR

150 calon SPM 2020 Subang Jaya ikuti kelas dalam talian percuma

SHAH ALAM, 14 FEB: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sekitar Subang Jaya mendapat tajaaan pembelajaran dalam talian sebagai persediaan mendepani peperiksaan pada 22 Februari ini.

Ahli Dewan Negeri Michelle Ng Mei Sze berkata seramai 150 pelajar menerima 20 sesi pembelajaran secara percuma dari tenaga pengajar berpengalaman.

“Ini merupakan langkah membantu pelajar SPM 2020 memandangkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tahun lalu terganggu akibat pandemik Covid-19.

“Kita tahu wabak ini memberi kesan. Jadi mereka yang mendapat tajaan ini berpeluang mengulang kaji pelajaran mengikut kesesuaian masa masing-masing,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Menurut Michelle, program berkenaan merupakan kerjasama pihaknya dengan syarikat AskBee.

Susulan penularan pandemik Covid-19, Kementerian Pendidikan meminda tarikh peperiksaan SPM kepada 22 Februari hingga hujung Mac depan.

Categories
SELANGOR

MB: Calon SPM diberikan perhatian, patuhi arahan berpindah

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 28 OKT: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor akan mengatur tindakan sewajarnya bagi memastikan mangsa banjir yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat mendudukinya bermula Isnin hadapan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, semua calon akan dikenalpasti terlebih dahulu sebelum tindakan selanjutnya diputuskan.

“Bagi calon-calon SPM yang akan bermula 5 November hadapan kita akan kenalpasti dan kalau ada keperluan kita sedang mengatur tindakan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Sekolah Kebangsaan Parit Mahang, hari ini.

Dalam sidang media sama, Amirudin turut menasihatkan semua penduduk yang berhadapan banjir supaya berpindah demi memastikan keselamatan semua.

“Saya menasihatkan penduduk kalau dapat arahan untuk berpindah, sila berpindah kerana kita tidak dapat memberikan jaminan keselamatan,” katanya.

Di samping itu, beliau turut memaklumkan badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin terlibat untuk persiapan pasca banjir boleh menghubungi Unit Bencana Negeri supaya proses pemberian bantuan dapat diselaraskan.