Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: SPRM buka bilik gerakan, minta orang ramai salur aduan rasuah

JOHOR BAHRU, 26 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan empat bilik gerakan di seluruh Johor, bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua bilik gerakan tersebut beroperasi dari 8 pagi hingga 12 tengah malam, sepanjang tempoh PRN berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bilik gerakan itu terletak di Pejabat SPRM Johor, Pejabat SPRM Cawangan Batu Pahat, Pejabat SPRM Cawangan Kluang dan Pejabat SPRM Cawangan Segamat.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui aplikasi Whatsapp di talian 010-8414384, atau menerusi emel [email protected].

SPRM turut mengingatkan semua calon dan parti politik yang bertanding, agar tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Hari ini adalah penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac depan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PRN Johor: Maszlee berdepan saingan empat penjuru

KLUANG, 26 FEB: Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang Datuk Ab Mutalip Abd Rahim antara calon yang bertanding dalam pertembungan empat penjuru di DUN Layang-Layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengumuman calon-calon bagi DUN itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Abdul Hakim Abd Manap.

Maszlee mewakili PKR, Ab Mutalip bertanding di bawah tiket Barisan Nasional (BN) manakala dua lagi calon merupakan muka baharu iaitu seorang kontraktor sivil K.Alagathiran mewakili Perikatan Nasional (PN) dan aktivis Ahmad Shafiq Othaman merupakan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

“(Calon) Pertama Dr Maszlee Malik daripada PKR, kedua Alagathiran daripada PN, ketiga adalah Datuk Ab Mutalip daripada BN dan keempat, Ahmad Shafiq daripada Pejuang,” katanya semasa mengumumkan nama calon bagi DUN Layang-Layang di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam di sini hari ini.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman calon, Maszlee dan Ab Mutalip menyambut baik pertembungan empat penjuru itu kerana ia menggambarkan sistem demokrasi sihat.

Mengenai hala tuju sekiranya diberi mandat, Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata beliau bertekad untuk menjadikan Johor sebagai negeri berkependidikan dengan memastikan pendidikan di Johor adalah yang terbaik.

Pada PRU14, kerusi DUN Layang-Layang dimenangi calon BN Datuk Onn Hafiz Ghazi dengan majoriti 364 undi menewaskan M.Murugan mewakili Pakatan Harapan dan Mohd Jubri Selamat (PAS).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac sebagai hari pengundian manakala undi awal pada 8 Mac.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar umum 13 calon PRN Johor, Maszlee bertanding DUN Layang-layang

SHAH ALAM, 14 FEB: Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan 13 calon pilihan raya negeri (PRN) Johor termasuk bekas menteri Maszlee Malik.

Lima calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) zon selatan iaitu:

  • Ketua KEADILAN Wanita Johor Napsiah Kamis Maharan (Kempas)
  • Setiausaha AMK Johor Mohd Fakhruddin Moslim (Pasir Raja)
  • Naib Pengerusi MPN KEADILAN Johor S Gopalakrishnan (Tiram)
  • Setiausaha Cabang Tebrau Chong Sen Sern (Bukit Batu)
  • Bendahari Cabang Pasir Gudang Dr Zamil Najwah Arbain (Larkin)

Tujuh calon bertanding kerusi DUN zon utara iaitu:

  • Mohd Khuzzan Abu Bakar (Semerah)
  • Md Ysahrudin Kusni (Bukit Naning)
  • Na’im Jusri (Gambir)
  • Abdullah Sahid (Sungai Balang)
  • C Subramani (Buloh Kasap)
  • Azmi Masrani (Sri Medan)
  • Yoong Thau (Pemanis)

Maszlee, satu-satunya calon bagi kerusi DUN zon tengah yang diumumkan Anwar, bertanding kerusi DUN Layang-Layang.

Dalam satu majlis di Johor Bahru, Anwar memaklumkan calon lain dalam zon tengah bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SPR benarkan calon positif Covid-19 bertanding PRN Melaka

MELAKA, 7 NOV: Tiada halangan bagi calon yang positif Covid-19 untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh.

Bagaimanapun, beliau berkata borang pencalonan calon harus dihantar pada masa yang ditetapkan melalui wakil calon menerusi pencadang atau penyokong.

“Tiada masalah untuk mereka (calon) bertanding, asalkan mereka menghantar borang pencalonan itu pada masa ditetapkan,” katanya kepada Bernama di Menara Persekutuan di sini hari ini.

Beliau berkata saringan Covid-19 melibatkan calon juga tidak diwajibkan namun semua calon digalakkan melakukannya.

Sementara itu, Abdul Ghani berkata bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, SPR turut menempatkan khemah khas di pusat pencalonan sekiranya terdapat calon yang bergejala Isnin ini.

“Khemah ini akan diuruskan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama SPR. Di pintu utama pusat penamaan calon, calon akan diperiksa saringan suhu badan, sekiranya suhu direkodkan melebihi 37.5 darjah Celcius, mereka akan dihantar ke khemah bergejala ini,” kata Abdul Ghani.

Beliau berkata segala proses semakan dan penyerahan borang penamaan calon akan diuruskan oleh pegawai SPR yang bertugas di khemah untuk mereka yang bergejala itu.

Katanya, sebanyak 12,900 petugas daripada pelbagai agensi termasuk KKM, polis dan pihak berkuasa tempatan terbabit pada PRN ini.

“Kita berharap semua penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak berkumpul serta berarak di kawasan pusat penamaan dan sentiasa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

PRK Balakong saksikan pertembungan Pakatan Harapan dan MCA

OLEH NORHAYATI UMOR

HULU LANGAT, 18 OGOS: Pilihan Raya Kecil (PRK) N27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong secara rasminya bermula hari ini dengan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Pakatan Harapan (PAKATAN) dan MCA.

Dua calon layak untuk bertanding selepas nama mereka diumumkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) PRK DUN Balakong, Dato’ Rosli Othman.

Calon MCA, Tan Chee Teong, menyerahkan borang penamaan pada jam 9.06 minit pagi diikuti calon PAKATAN, Wong Siew Ki, pada jam 9.13 minit pagi.

“Saya berpuas hati. Tiada calon ditolak penamaannya dan semua calon ini sah bertanding, dalam PRK kali ini,” kata Rosli.

Siew Ki, 32, adalah Ketua DAPSY Serdang dan Timbalan Wanita Serdang serta pernah menjadi Ahli Majlis, di Majlis Perbandaran Subang Jaya.

Manakala, MCA mempertaruhkan ahli perniagaan yang juga anak tempatan, Chee Teong, 40, sebagai calonnya.

Chee Teong yang sudah beristeri dan mempunyai tiga anak berkelulusan diploma, dari Help Institute.

Buat pertama kalinya, PRK Balakong dan Seri Setia menyaksikan logo PAKATAN digunakan buat pertama kali.

Dalam PRK kali ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 29 saluran pada hari pengundian PRK DUN Balakong yang akan dijalankan pada 8 September ini menjadikan jumlah saluran sebanyak 129.

Ia ekoran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebanyak 100 saluran disediakan dan berlaku kesesakan kerana jumlah pengundi yang ramai.

Kerusi DUN Balakong kosong apabila penyandangnya, Eddie Ng, meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, pada 20 Julai lalu.

Pada PRU14, Eddie yang bertanding menggunakan logo KEADILAN, menang majoriti 35,538 undi selepas menewaskan calon PAS, Mohamad Ibrahim Ghazali dan Lim Chin Wah (BN).