Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa tragedi selalu cerita kisah tanah runtuh Cameron Highlands

IPOH, 3 DIS: Pemandu lori yang maut tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Km 27.10 Jalan Simpang Pulai-Blue Valley selalu berkongsi cerita berkaitan kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sebelum beliau sendiri menjadi mangsa tragedi kejadian tanah runtuh di kawasan peranginan tanah tinggi itu, kata abangnya Mohd Kamal Hamdi.

Mangsa Muhammad Hafiz Hamdi, 31, bapa kepada dua anak, seorang berusia dua tahun dan seorang lagi masih bayi, memandu lori dengan muatan sayur-sayuran dari kawasan tanah tinggi itu setiap hari.

Mohd Kamal, 40, berkata dia berasa hairan apabila arwah adiknya itu secara tiba-tiba berdiam diri apabila dia berkongsi mengenai kejadian tanah runtuh berkenaan di dalam pesanan WhatsApp keluarga mereka.

“Gerak hati saya terasa lain sebab tiada tindak balas daripadanya seperti sebelum ini jadi saya menghubungi rakannya untuk mendapatkan kepastian kerana bimbang akan keselamatannya.

Apabila rakannya memaklumkan adik saya terlibat dalam kejadian, saya terus pulang ke Ipoh dengan memandu lori dari Kuala Lumpur dan segera membawa kereta ke lokasi tanah runtuh kerana masih tidak percaya ia menimpanya,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.

Mohd Kamal berkata beliau sendiri melakukan pengecaman mayat adiknya kerana isteri mangsa masih berada dalam keadaan trauma.

Menurutnya jenazah akan dikebumikan di kampung mereka di Tanjung Piandang, Parit Buntar selepas segala urusan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh selesai.

Sementara itu di Jabatan Forensik HRPB, abang ipar mangsa tanah runtuh yang ditemui memberitahu arwah seorang yang ceria dan baik hati.

Rosli Saidin, 52, dari Butterworth, Pulau Pinang berkata beliau mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira pukul 7 malam tadi daripada isteri mangsa yang merupakan adik perempuannya.

“Pada mula anak saya melihat gambar kejadian yang tular namun tidak dapat pengesahan daripada sesiapa sama ada mangsa itu adik ipar saya.

“Kami sekeluarga reda namun agak terkejut dengan kejadian ini,” katanya.

Beliau yang juga pemandu lori sayur berkata arwah memang kerap berulang-alik ke Cameron Highlands untuk mengambil sayur untuk dijual di sekitar Parit Buntar.

Rosli berkata arwah mempunyai sepasang anak berusia kira-kira dua dan setahun hasil perkahwinan dengan adik perempuannya sejak empat tahun lalu.

Katanya isteri mangsa yang mengetahui mengenai kejadian itu terus bergegas dari Tanjung Piandang, Parit Buntar ke lokasi kejadian.

Setakat ini dua mangsa maut tertimbus yang ditemui iaitu Muhammad Hafiz dan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dikenali sebagai Tan Chee Heng, 36, yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pulau Pinang.

Difahamkan, Chee Heng yang berasal dari Klang, Selangor ingin melawat neneknya dengan membawa buah strawberi di dalam kenderaan dipandunya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua kenderaan terperangkap tanah runtuh laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands

IPOH, 2 DIS: Dua kenderaan dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Seksyen 27 hingga Seksyen 30, selepas Pos Raya di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 1.44 tengah hari tadi.

Beliau berkata difahamkan terdapat sebuah lori dan sebuah kereta tertimbus dan sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dikerahkan bagi kerja-kerja menyelamat.

“Setakat ini seorang pemandu lori memberi respons daripada runtuhan berkenaan dan pihak bomba sedang menjalankan kerja mengalihkan tanah runtuh dan menyelamat semua mangsa terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata jumlah mangsa terlibat masih belum dapat dipastikan setakat ini dan kejadian itu juga menyebabkan laluan utama ke Cameron Highlands di kedua-dua arah ditutup kepada semua kenderaan.

– BERNAMA

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Kerajaan cadang lantik Orang Asli jadi guru takmir

CAMERON HIGHLANDS, 6 SEPT: Kerajaan bercadang mewujudkan program khas bagi melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli sebagai antara usaha meningkatkan syiar Islam dalam kalangan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata cadangan itu juga bertujuan memastikan setiap kawasan petempatan masyarakat Orang Asli mempunyai guru takmir.

“Pelantikan guru takmir memang di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri yang mengatur tempat pembelajaran.

“Tetapi kita nak kalau boleh ada perubahan yang lebih bersifat menyeluruh dari segi penyampaian dan tugasan supaya semua tempat ada guru takmir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kembara Kasih Mualaf 2020 di Kampung Kuala Boh, di sini hari ini.

Zulkifli berkata cadangan itu sedang diperincikan oleh pihaknya dan Jakim, serta berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu beri perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Zulkifli berkata Kembara Kasih Mualaf akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain untuk memastikan hubungan bersama saudara baru lebih akrab.

Katanya melalui program tersebut, pelbagai modul pembelajaran perkara asas seperti cara solat, mangambil wudud, mandi wajib dan mandi jenazah dapat diajar sebaiknya.

Pada majlis itu, Zulkifli melawat beberapa buah rumah dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan mualaf selain menyampaikan sumbangan barangan keperluan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penggunaan racun serangga di Cameron Highlands masih tinggi

CAMERON HIGHLANDS, 22 JUN: Tahap penggunaan racun serangga dalam kalangan pekebun di kawasan tanah tinggi Cameron Highlands masih tinggi, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.

Beliau berkata, penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan bukan sahaja membahayakan petani dan pengguna, malah merosakkan alam sekitar serta menyebabkan sayur-sayuran tidak dapat dieksport ke negara luar.

Katanya, bagi membantu petani di Cameron Highlands mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak untuk mengawal ulat ‘Plutella’ dan ulat Pelombong Daun, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dengan kerjasama Jabatan Pertanian telah berjaya membiakkan tiga agen kawalan biologi.

“Agen kawalan biologi ini dibiakkan dari jenis parasitoid iaitu ‘Diadegma’ dan ‘Cotesia’ secara besar-besaran di makmal untuk kegunaan petani bagi mengawal ulat Plutella manakala jenis ‘Tiger Fly’ pula untuk mengawal ulat pelombong daun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis pelancaran Agen Kawalan Biologi di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Roff Mohd Nor dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Datuk Jamal Harizan Yang Razali.

Tze Tzin berkata, semua petani dan pengusaha sayuran di Cameron Highlands digesa menggunakan ketiga-tiga agen kawalan biologi itu demi menjamin kualiti serta keselamatan makanan selain mengurangkan kos pengeluaran dan pencemaran alam sekitar akibat penggunaan racun makhluk perosak yang berlebihan.

Katanya, semua petani dan pekebun tanaman sayuran berdaun di sini diberi tempoh selama enam bulan bagi mengurangkan penggunaan racun serangga sebelum tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas diambil.

“Analisis ekonomi yang dijalankan mendapati teknologi ini berupaya memberikan penjimatan kos racun makhluk perosak sebanyak RM2,000 semusim.

“Ketiga-tiga agen kawalan biologi ini telah dibiakkan secara besar-besaran untuk dibekalkan kepada petani sayur-sayuran di tanah tinggi Cameron Highlands,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), pihak berkuasa tempatan dan persatuan petani di Cameron Highlands bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesan penggunaan racun perosak dan kelebihan menggantikannya dengan penggunaan agen kawalan biologi sebelum memperluaskannya di seluruh negara.

Agen Kawalan Biologi adalah satu kaedah lestari bagi pengawalan serangga perosak untuk tanaman sayur-sayuran yang memberi impak yang negatif terhadap hasil pengeluaran pertanian negara pada hari ini.

Kaedah kawalan biologi yang dibangunkan Mardi dan Jabatan Pertanian bagi mengatasi masalah itu daripada menular terbukti berkesan mengawal serangan serangga perosak di kebanyakan kawasan pertanian seluruh dunia.

Cameron Highlands adalah destinasi pelancongan terkenal sebagai pusat penghasilan dan pengeluaran sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang utama di negara ini sejak pertanian mula diperkenalkan di daerah ini pada awal tahun 1930-an.

Secara keseluruhannya, Pahang addalah negeri terbesar mengeluarkan sayur-sayuran terutama kubis bulat yang ditanam di kawasan seluas 2,770 hektar, menghasilkan pengeluaran hampir 68,500 tan metrik dengan sumbangan terbesar datang dari Cameron Highlands iaitu sebanyak 68,400 tan metrik.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

PAKATAN perlu masa tembusi kubu kuat BN

KLANG, 27 JAN: Pakatan Harapan (PAKATAN) memerlukan lebih masa untuk menembusi kawasan yang menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya yang akan datang.

Ahli Jawatankuasa DAP Pusat, Dato’ Teng Chang Khim berkata, kekalahan calon parti itu, M Manogaran, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands semalam, sudah dijangka.

Katanya, kawasan pengundi yang berada di pedalaman turut menjadi antara faktor kekalahan PAKATAN kepada calon BN, Ramli Mohd Nor.

“Itu sesungguhnya sudah dalam jangkaan, kerana BN tidak pernah kalah di Cameron Highlands. Ia berada di kawasan pedalaman dan banyak maklumat tidak dapat disampaikan kepada pengundi,” katanya lapor BHOnline.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengedarkan limau di Pasar Pagi Taman Eng Ann, di sini, hari ini.

Beliau berkata, BN sudah bertapak lama di kawasan berkenaan dan bukan mudah bagi PAKATAN untuk menawan kawasan berkenaan dalam tempoh singkat selepas menjadi Kerajaan Persekutuan.

PRK Cameron Highlands menyaksikan Ramli memperoleh 3,238 undi majoriti atau 12,038 undi keseluruhan menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu Manogaran serta dua calon bebas, bekas pensyarah kanan Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee yang juga petani tempatan.

Manogaran yang tiga kali bertanding di kerusi berkenaan sebelum ini memperoleh 8,800 undi, sementara Sallehudin (314 undi), dan 276 undi diperoleh Seng Yee.

Peratus keluar mengundi pula direkodkan sebanyak 68.79 peratus, sementara undi ditolak berjumlah 568 undi.

 

Categories
NASIONAL

Cameron Highlands kekal milik BN

CAMERON HIGHLANDS, 26 JAN: Calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd Noor, mengekalkan kerusi Parlimen Cameron Highlands apabila meraih 12,038 undi, menewaskan tiga calon lain.

Keputusan rasmi itu dipaparkan di skrin layar pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Gemilang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad Shah di Tanah Rata, di sini.

Ramli menewaskan calon Pakatan Harapan, M Manogaran yang meraih 8,800 undi dan dua calon Bebas, Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee (276 undi).

Beliau memperoleh majoriti 3,238 undi berdasarkan 68.79 peratus daripada 31,639 pengundi keseluruhan, atau 21,428 orang keluar mengundi, dengan 568 kertas undi ditolak dan 23 kertas undi tidak dikembalikan.

 

KEPUTUSAN/RESULT – PAHANG

P.078: CAMERON HIGHLANDS: 32,008 Pengundi/Voters

1. Sallehudin Ab Talib (Bebas): 314

2. Wong Seng Yee (Bebas): 276

3. Ramli Mohd Nor (BN): 12,038

4. Manogaran Marimuthu (Pakatan Harapan): 8,800

Jumlah mengundi/Votes Cast: 21,428

Peratus/Percentage: 68.79%

Undi rosak/Spoilt votes: 591

Majoriti/Majority: 3,238

Pemenang: Ramli Mohd Nor

 

Pemenang sebelum ini/Previous winner (2018): Datuk Sivarraajh Chandran (BN)

Undi diperoleh/Votes polled: 10,307

Majoriti/Majority: 597

Categories
NASIONAL

Cuaca tidak menentu, pengundi Cameron Highlands disaran keluar awal

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JAN: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dinasihatkan supaya keluar mengundi pada awal pagi Sabtu ini ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan dijangka, pada sebelah petang.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Azhar Azizan Harun berkata, pengundi juga dinasihatkan tidak memilih untuk keluar mengundi. pada saat akhir.

“Terdapat juga pusat mengundi ditutup lebih awal ekoran faktor logistik dan kedudukan geografi pusat berkenaan.

“Oleh itu, SPR menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK, Sabtu ini (26 Januari),” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Azhar berkata, pengundi juga perlu membuat semakan awal maklumat daftar memilih sebelum hari pengundian yang boleh disemak melalui portal rasmi SPR www.spr.gov.my, talian 03-88927018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

“Pengundi yang mengetahui maklumat daftar pemilih tidak perlu menyemaknya di barung SPR, sebaliknya diminta mencatatkan maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

“Pengundi disaran membawa catatan maklumat terbabit dan menunjukkannnya kepada Kerani Pengundian Pertama di saluran bagi memudahkan semakan nama dibuat dan membantu kelancaran proses pengundian.

“Mereka juga dinasihatkan untuk membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri rasmi dan sah pada hari pengundian serta tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain petugas pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, katanya, berdasarkan daftar pemilih pada suku ketiga tahun 2018 yang dikemas kini sehingga 14 Disembar lalu, jumlah pemilih layak mengundi biasa adalah seramai 31,749 orang.

“Bagaimanapun, daripada jumlah itu sebanyak 110 kertas undi pos dikeluarkan kepada pengundi layak bagi undi pos menjadikan mereka yang layak mengundi biasa Sabtu ini adalah 31,639 orang,” katanya.

Categories
NASIONAL

Laluan alternatif atasi kesesakan di Cameron Highland dalam kajian

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji untuk membangunkan jalan pintasan Cameron Highlands sebagai laluan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas serius di daerah itu khasnya semasa musim cuti.

Timbalan menterinya Datuk Kamarudin Jaffar berkata cadangan jalan pintasan Cameron Highlands bagaimanapun perlu diteliti terlebih dahulu melalui kajian kebolehupayaan (feasibility study).

“Kajian ‘feasibility’ perlu dilaksanakan terlebih dahulu dengan mengenal pasti beberapa daya maju projek dan setelah kajian ini selesai kerajaan perlu memperuntukkan sumber kewangan untuk menampung kos projek ini.

“Sebagai langkah penyelesaian jangka pendek, kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan projek naik taraf dan melebarkan jalan persekutuan FT 59 Jalan Ringlet ke Blue Valley.

“Kementerian Kerja Raya akan bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mengenal pasti peruntukan kewangan diperlukan supaya projek ini dijalankan sebelum 2020,” katanya menjawab soalan Datuk Sivarraajh Chandran (BN-Cameron Highlands) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Kamarudin berkata laluan persekutuan FT 59 merupakan satu-satunya jalan menghubungkan pekan-pekan utama di daerah Cameron Highlands – Ringlet, Habu, Tanah Rata, Brinchang, Teringkap, Kuala Terla, Kampung Raja, Blue Valley sehingga ke Simpang Pulai, Perak.

Laluan berkenaan telah sampai ke tahap kapasiti maksimum dan tidak mampu menampung aliran trafik yang tinggi pada waktu hujung minggu, cuti persekolahan dan cuti umum.

Selain itu, kementerian juga akan menilai semua perkhidmatan bas dengan kini hanya sebuah syarikat pengendali bas henti-henti di laluan Tanah Rata, Kampung Raja dan Blue Valley menawarkan perkhidmatan dengan 19 trip setiap hari yang digunakan purata 200 pengguna sahaja.

Di seluruh daerah hanya ada 151 permit teksi kereta sewa yang aktif beroperasi dan perkhidmatan e-hailing.

“Jelas peningkatan pengangkutan awam harus jadi sebahagian strategi menangani masalah lalu lintas di Cameron Highlands. Ini adalah alternatif bagi pengunjung untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Punca kesesakan adalah daripada kereta-kereta pelancong yang mengunjungi daerah itu pada cuti umum dan cuti persekolahan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pahang, Perak perlu henti keluar permit penerokaan tanah di Cameron Highlands

IPOH, 25 OKT: Kerajaan Pahang dan Perak diminta menghentikan pengeluaran permit baharu bagi penerokaan tanah untuk tujuan pembangunan serta pertanian di Cameron Highlands.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar berkata aktiviti penerokaan perlu dihentikan serta merta kerana kejadian tanah runtuh sering berlaku di kawasan tanah tinggi itu sejak kebelakangan ini.

Katanya Sultan Perak Sultan Nazrin Shah telah menitahkan kepada beliau supaya kelulusan untuk semua aktiviti pembangunan dan pertanian di kawasan tanah tinggi berhampiran sempadan Perak dihentikan segera.

“Kejadian tanah runtuh di Cameron Highlands sudah biasa berlaku sekarang ini disebabkan penerokaan tanah yang semakin berleluasa.

“Saya meminta kerjasama daripada kedua-dua kerajaan negeri agar sering melakukan pemantauan di kawasan tanah tinggi tersebut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemasyhuran Geopark Lembah Kinta sebagai Geopark Kebangsaan yang disempurnakan oleh Sultan Nazrin Shah di Taman Reakreasi Gunung Lang di sini, hari ini.

Xavier berkata kajian mengenai kestabilan kawasan tanah tinggi itu perlu dilakukan secara menyeluruh sebelum tindakan susulan yang perlu dipersetujui oleh kedua-dua negeri.

Ini bagi memastikan kelestarian alam semula jadi di Cameron Highlands dapat dipelihara sekali gus tidak lagi terjejas dengan sebarang aktiviti penerokaan, katanya.

“Kementerian akan memberi kerjasama penuh kepada kedua-dua negeri untuk menstabilkan kawasan itu daripada berlakunya kejadian tanah runtuh selain kerajaan negeri perlu menguatkuasakan segala aspek undang-undang di Cameron Highlands,” katanya.

Semalam, satu kejadian tanah runtuh berlaku di Batu 51, Kuala Terla menyebabkan jalan utama dari Kampung Raja ke Cameron Highlands terpaksa ditutup sementara bagi tujuan pembersihan dan dibuka semula untuk semua kenderaan pada 8.55 malam tadi.

Satu kejadian tanah runtuh juga telah berlaku di Kampung Tiga, Terla, Cameron Highlands pada 14 Okt lepas yang mengakibatkan tiga warga Myanmar maut.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Sultan Pahang murka Palanivel tak cekap tangani banjir Cameron Highlands

SHAH ALAM 20 NOV: Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah murka dengan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Seri G. Palanivel yang tidak cekap mengurus tragedi banjir lumpur di Cameron Highland.

Sultan Ahmad Shah kecewa terhadap Palanivel dan menitahkan beliau segera mengambil langkah perlu bagi mengelak tragedi banjir lumpur berulang di Cameron Highlands.

banjircameron3“Apa yang Palanivel buat? Tiada apa. Rakyat di situ kini menderita secara mental dan fizikal apabila bencana ini berlaku.

“Rakyat telah mengundi dan memilih beliau pada pilihan raya lalu, tetapi adakah ini yang diberikannya kepada rakyat?” titah baginda dipetik Berita Harian hari ini.

Baginda juga menitahkan agar semua penerokaan tanah haram untuk pertanian di seluruh Cameron Highlands dihentikan serta-merta, selain mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membiarkan masalah itu berlarutan.

Sultan Ahmad Shah mengingatkan Palanivel agar memenuhi tanggungjawab terhadap rakyat yang memilihnya dalam pilihan raya lalu atau berdepan risiko kehilangan undi pada pilihan raya akan datang.

“Beta rasa malu dengan kejadian ini. Beritahu menteri kamu supaya memberi keutamaan kepada kawasan sendiri terlebih dahulu,” titah baginda.

Dalam pada itu, G Palanivel menangkis dakwaan Sultan Pahang bahawa beliau tidak melakukan apa-apa tindakan untuk menangani kes banjir lumpur di Cameron Highlands.

Dalam kenyataannya, Palanivel berkata masalah yang timbul itu perlu mendapat perhatian serius dan bukannya dengan mencari salah mana-mana pihak.

“Banyak perkara berlaku malah sebelum saya menjadi MP (Cameron Highlands)

“Namun saya yakin kami boleh memulihkan semula Cameron Highlands dan menghentikan kemusnahan besar alam sekitar yang berlaku,” kata Palanivel dalam satu kenyataan.

EZY

Categories
NASIONAL

Banjir Cameron: Perayu undi BN kecewa Palanivel tak beri bantuan sewajarnya

Oleh: NAZLI IBRAHIM

CAMERON HIGHLAND 11 NOV: Selepas bertungkus-lumus membantu Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu, mangsa banjir, Marry Alen a/p Ramanaidu kecewa apabila mendapati Ahli Parlimen Cameron Highland Datuk Seri G. Palanivel tidak serius membantu mangsa banjir di Ringlet di sini.

Beliau yang bertindak sebagai perayu undi ketika PRU-13 lalu berkata Palanivel sepatutnya menyediakan rumah mampu milik atau sekurang-kurangnya tapak rumah untuk mereka diami.

banjircameron3“Kita mohon rumah atau tapak rumah dah lama tetapi tak dapat. Bukan nak percuma tetapi kami nak beli.

“Dia orang ingat kasi duit boleh selesai? Mana boleh selesai, sebab paling penting rumah. Bagi duit tak penting. RM1,000, RM2,000 sekejap saja habis. Duit boleh cari.

“Datuk-datuk, menteri-menteri tolonglah bertimbang rasa sikit. Dulu masa pilihan raya, saya juga ada tolong pergi rumah-rumah bagi tahu undilah untuk Palanivel tetapi sekarang bila banjir, sakit hati,” kata Marry Alen ketika ditemui Selangor Kini di Dewan Orang Ramai Ringlet di sini.

Jelas beliau Palanivel dalam lawatan singkatnya berjanji untuk menyediakan kawasan penempatan yang selamat kepada mangsa banjir.

“Cakap sahaja tak guna, kita nak dia laksanakan dahulu baru boleh cakap,” kata beliau lagi.

Sebelum itu seorang lagi mangsa yang juga bekas penduduk Lembah Bertam, Jamil Abdullah, 56, turut membangkitkan janji kerajaan untuk menyediakan penempatan baru yang selamat dalam tempoh enam bulan.

Bagaimanapun selepas setahun masih tiada tindakan pihak bertanggungjawab hingga kediaman sementara yang diberikan sekali lagi mengalami banjir.

Sementara itu ketika menceritakan kembali kejadian banjir di Kampung Baru Ringlet baru-baru ini, Marry Alen memberitahu kejadian Khamis lalu merupakan kali kedua dalam tempoh tiga hari sahaja.

“Hari Selasa banjir, lepas itu dah cuci rumah. Kemudian Khamis banjir semula,” kata beliau lagi.

Cerita beliau lagi air naik dengan begitu pantas hingga menyebabkan banyak barang bernilai seperti perabut, peralatan elektrik dan kenderaan tidak sempat diselamatkan.

Kumaresan a/l Kadianpan, 40, pula memberitahu air deras banjir itu turut menyebabkan dinding rumahnya pecah dan merosakan kereta yang baru dibelinya tenggelam.

“Tak sempat buat apa-apa. Barang elektrik seperti komputer dan lain-lain serta kereta yang baru beli sebulan lalu juga tenggelam kerana hanya sempat selamatkan nyawa sahaja, paling penting,” kata Kumaresan.

Leong Tee Chang, 66, pula memberitahu keluarga beliau mengalami kerugian dianggarkan bernilai lebih RM100,000 termasuk tiga buah motorsikal, sebuah kereta dan pelbagai barangan elektrik lain.

“Rumah saya dinaiki air lebih kurang enam kaki sangat cepat. Tak boleh buat apa-apa pun,” kata beliau.

EZY

Categories
SELANGOR

Exco rayu orang ramai hulur sumbangan mangsa banjir Cameron Highland

Oleh: NAZLI IBRAHIM

CAMERON HIGHLAND, 9 NOV: Pasukan Tindakan Segera (PANTAS) Selangor melancarkan tabung derma bantuan barang keperluan harian terutama pakaian, bantal, tikar, toto, selimut, makanan dan minuman berikutan kejadian banjir lumpur di Ringlet, Cameron Highland.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Negeri Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata PANTAS mendapati wujudnya keperluan mendesak di kalangan mangsa bencana.

dr daroyah“Pihak PANTAS memohon bantuan sumbangan ikhlas daripada anda semua dan PANTAS dan Kerajaan Negeri Selangor merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan atas budi baik saudara dan saudari sekalian,” kata Dr Daroyah.

Orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubungi sukarelawan PANTAS di talian 012-2646767, 019- 6668843, 012-6828337 dan 011- 12951237.

Dr Daroyah hari ini akan menyertai misi bantuan PANTAS yang bermula sejak semalam.

Misi yang diketuai oleh Pengarah Misi PANTAS, Hamsah Djabir dan melibatkan enam sukarelawan PANTAS.

Sebelum ini Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 disalurkan kepada mangsa banjir kilat itu.