Categories
SELANGOR

Minat dorong pelajar raih Anugerah Naib Canselor

unisel konvo

BESTARI JAYA 26 OKT : Minat mendalam terhadap bidang diagnostik dan kajian terhadap penyakit mendorong graduan Unisel, Henkie Isahwan Ahmad Mulyadi, 24, sehingga berjaya menerima Anugerah Naib Canselor Unisel pada Istiadat Konvokesyen Ke-8 di Dewan Canselor, Kampus Bestari Jaya, di sini.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Makmal Perubatan (Kepujian) itu memperoleh Ijazah Kelas Pertama dan menerima Anugerah Dekan selama lima semester berturut-turut.

Beliau juga pernah merangkul Anugerah Akademik di peringkat fakulti dan Anugerah Pelajar Terbaik Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan Unisel pada tahun ini.

Berbekalkan prinsip yang tidak pernah kenal erti berputus asa dan jangan berhenti untuk berusaha menjadi tonggak kejayaannya.

“Jangan putus asa jika gagal pada peluang pertama,cuba dan cuba lagi sehingga kita berjaya dapat apa yang kita impikan,” katanya ketika ditemui.

Anugerah disampaikan Canselor Unisel, Raja Tan Sri Arshad AlHaj Raja Tun Uda Alhaj.

Turut hadir di majlis istiadat berkenaan, Menteri Besar yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Industri Unisel, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Permodalan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Pelajar Unisel Cemerlang

Seramai 2,003 graduan bakal menerima ijazah masing-masing dalam majlis istiadat yang berlangsung selama dua hari itu.

Pada majlis itu, Unisel turut menganugerahkan Anugerah Canselor kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer daripada Nigeria, Shuaib Yunus kerana berjaya mengekalkan Anugerah Dekan di sepanjang pengajiannya di Unisel.

Turut diberikan penghargaan, graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Nurul Izzah Ahmad yang merangkul Anugerah Pengerusi kerana usaha gigihnya di sepanjang pengajiannya.

Nurul merupakan graduan pertama Fakulti Komunikasi dan Media yang diterima menjalani latihan praktikal di syarikat multinasional Sime Darby Berhad.

Beliau turut ditawarkan bekerja sebagai Eksekutif di Jabatan Komunikasi Korporat di Sime Darby Berhad, Kuala Lumpur.

Anugerah Exco Pendidikan pula dianugerahkan kepada graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Hafiz Jaini.

Beliau yang berasal daripada Sandakan, Sabah itu mempamerkan prestasi cemerlang di bidang akademik mahupun kokurikulum sepanjang pengajiannya di Unisel.

-EZY