Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin CanSino dilulus sebagai dos penggalak

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Vaksin dos tunggal CanSino, Convidecia telah mendapat kelulusan bersyarat sebagai dos penggalak daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia (PBKD) yang berada di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Solution Group Bhd melalui anak syarikatnya, Solution Biologics Sdn Bhd berkata PBKD telah bersetuju untuk Convidecia digunakan sebagai dos penggalak. Convidecia ialah vaksin berasaskan vektor adenovirus jenis-5.

Kelulusan itu membolehkan vaksin CanSino digunakan pada mereka yang berumur 18 tahun ke atas, tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin CanSino, katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Nazlee Kamal berkata kajian menunjukkan bahawa vaksin dos tunggal Convidecia berkesan sebagai dos penggalak terhadap penyebaran varian COVID-19. Ia menunjukkan peningkatan sekurang-kurangnya lapan kali lebih tinggi meneutralkan paras antibodi, enam bulan selepas menerima dos pertama.

“Dengan kelulusan ini, kami berharap ia akan membantu meningkatkan bilangan dos penggalak yang diuruskan dalam negara untuk membendung penularan tersebut,” katanya.

Kumpulan itu juga sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan NPRA untuk Convidecia digunakan sebagai dos penggalak bagi penerima vaksin utama lain seperti CoronoVac yang juga dikenali sebagai Sinovac.

Solution Biologics telah menghantar sebanyak 3.5 juta dos vaksin COVID-19 itu kepada Kementerian Kesihatan pada Disember 2021. Pengeluaran tempatan daripada kemudahan ‘fill and finish’ (pengisian dan pembotolan) dijangka akan bermula tidak lama lagi.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lulus vaksin untuk kanak-kanak 5 hingga 11 tahun

KUALA LUMPUR, 6 JAN: Vaksin COVID-19 Comirnaty keluaran Pfizer (Pfizer) diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk imunisasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-368 yang bersidang hari ini.

“’Comirnaty 10mcg Concentrate for Dispersion for Injection’ diluluskan untuk imunisasi COVID-19 kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

Sediaan ini mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu mesyuarat berkenaan juga meluluskan Comirnaty (Tris/Sucrose) 30mcg dengan formulasi baharu untuk imunisasi COVID-19 kepada individu berumur 12 tahun dan ke atas.

Formulasi baharu ini katanya tidak memerlukan pencairan sebelum disuntik dan mempunyai tempoh jangka hayat lebih panjang, iaitu 10 minggu berbanding formulasi sedia ada iaitu satu bulan apabila disimpan pada suhu 2 darjah Celcius  hingga 8 darjah Celcius dinyah beku.

Dalam pada itu PBKD juga meluluskan penggunaan vaksin Convidecia® Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Vektor Adenovirus Jenis 5) (Cansino) sebagai dos penggalak kepada individu berumur 18 tahun ke atas.

Vaksin penggalak ini katanya boleh diambil dengan sela masa tiga hingga enam bulan selepas menerima dos pertama vaksin yang sama.

Bagaimanapun katanya kelulusan pendaftaran bersyarat itu masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin-vaksin tersebut kekal positif,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin CanSino, Sinovac untuk enam negeri dengan kadar suntikan bawah 50 peratus

KUALA LUMPUR, 30 OGOS: Vaksin dos tunggal CanSino dan Sinovac akan digunakan bagi meningkatkan vaksinasi di enam negeri yang masih mempunyai kadar vaksinasi populasi dewasa lengkap kurang daripada 50 peratus.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Seri Dr Adham Baba berkata Malaysia membeli 3.5 juta dos vaksin CanSino dengan kumpulan pertama 200,000 dos berkenaan telah diterima dan diedar ke negeri-negeri yang kadar vaksinasi rendah.

Katanya 300,000 dos CanSino akan diterima bulan depan bagi mempercepatkan proses mencapai imuniti kelompok.

“Vaksin CanSino ini boleh digunakan untuk kawasan yang sukar diakses, tempat terpencil dan bagi penduduk kawasan yang sukar mendapatkan dua dos,” katanya selepas lawatan kerja pertamanya ke kilang isi dan selesai Solution Biologics Sdn Bhd (SolBio) bagi vaksin Convidicea CanSino di Bukit Jalil hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam memberikan tempoh sehingga akhir bulan depan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Mosti memastikan enam negeri mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 50 peratus pada akhir bulan depan.

Setakat semalam, enam negeri yang mencatatkan vaksinasi kurang daripada 50 peratus itu adalah Perak (46.9 peratus), Terengganu (46.8 peratus), Johor (46.1 peratus), Kedah (44.2 peratus), Kelantan (43.9 peratus) dan Sabah (38 peratus).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas tempuh perjalanan mencabar bawa vaksin CanSino ke pedalaman Kalabakan

KALABAKAN, 27 OGOS: Petugas program vaksinasi ‘outreach’ terpaksa menempuh perjalanan mencabar dan berliku hampir dua jam mengharungi jalan tidak berturap, berbukit dan dilitupi hutan bagi melaksanakan program pemberian vaksin Covid-19 jenis dos tunggal CanSino di pedalaman iaitu Kampung Serudung Laut dekat sini.

Jalan sejauh 70 kilometer dari Kampung Kalabakan ke Kampung Serudung Laut itu hanya boleh dilalui pacuan empat roda, justeru sebanyak 15 kenderaan daripada Kelab 4×4 Kalabakan digunakan bukan sahaja untuk membawa vaksin CanSino tetapi juga anggota pasukan tersebut.

Lebih 30 anggota pasukan itu, yang terdiri daripada petugas kesihatan, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Penerangan dan Majlis Keselamatan Negara, tersenyum puas setelah penat lelah mereka membawa vaksin CanSino berbaloi apabila 300 penduduk termasuk 50 pekerja asing hadir menerima suntikan.

Timbalan Pengarah Jabatan Penerangan Sabah Harun Maddasa berkata walaupun terpaksa menghadapi pelbagai risiko bagi menjayakan program tersebut, semua itu dihadapi mereka dengan hati yang terbuka semata-mata bagi memastikan penduduk Kampung Serudung Laut, yang terletak jauh di pedalaman, mendapat vaksin.

“Pemilihan Kampung Serudung Laut bagi program ini dibuat kerana kriteria kedudukan geografi kampung berkenaan yang jauh dan sukar dilalui… ini penting kerana kita mahu pastikan penduduk mendapat vaksin walaupun mereka jauh di pedalaman,” katanya kepada pemberita pada program itu semalam.

Winner Julius, 33, pula gembira kerana diberi peluang menjadi antara penerima terawal vaksin CanSino di Sabah dan dos tunggal vaksin itu amat memudahkan dirinya serta penduduk kampung kerana mereka tidak perlu memikirkan tentang dos kedua.

“Kiranya selepas ini saya sudah lengkap vaksin. Meskipun tinggal di kawasan pedalaman namun vaksinasi juga penting kerana risiko untuk mendapat penyakit ini boleh terjadi pada bila-bila masa dan di mana-mana.

“Lagipun saya perlu memanfaatkan program ‘outreach’ suntikan vaksin Covid-19 yang sudah dibawa khas oleh kerajaan ke kampung ini dan bersyukur dapat vaksin jenis satu dos saja, tiada lagi selepas ini. Apa juga jenis vaksin itu sebenarnya baik,” katanya.

Rakannya, Kenny Matinus, 32, turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dalam pemberian vaksin Covid-19 kepada penduduk di pedalaman.

“Syukur dapat suntikan CanSino hari ini, walaupun kami di kawasan terpencil tapi kami juga diberi keutamaan. Saya takut juga dengan Covid-19, kes di Kalabakan ini juga banyak tetapi sekarang dengan ada vaksin ini, saya yakin tahap kesihatan saya lebih terjamin,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik Hassan Ghani Pg Amir pula berharap penduduk di kawasannya memanfaatkan program ‘outreach’ yang diadakan kerajaan untuk pemberian vaksin Covid-19.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang Asli terima vaksin CanSino selewatnya September

PETALING JAYA, 19 JUN: Orang Asli seluruh negeri akan menerima vaksin Covid-19 jenis CanSino keluaran China selewat-lewatnya September depan.

EXCO hal ehwal orang asli berkata vaksin satu dos itu lebih sesuai kerana kebanyakan mereka takut disuntik selain sukar keluar dari kawasan perkampungan.

“Pfizer atau Sinovac tidak sesuai kerana perlu ambil dua dos. Jadi kita pilih CanSino dan akan kumpul mereka di satu tempat untuk program suntikan.

“Seramai 20,000 Orang Asli direkodkan dan kita akan pastikan mereka yang layak mendapat vaksin. Kita jangka seawal bulan depan atau paling lewat September,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Komuniti MBPJ di sini.

Loy Sian menambah kadar pendaftaran vaksin golongan minoriti itu masih rendah berikutan masalah teknologi termasuk rangkaian internet.

Selain itu, beliau berkata sukarelawan Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) turut digerakkan bagi membantu penduduk mendaftar secara manual.

“Namun ada juga Orang Asli yang sudah disuntik atas inisiatif sendiri. Mereka sedar kepentingan vaksin,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan meluluskan dua jenis vaksin yang hanya memerlukan satu suntikan dos, iaitu CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) untuk kegunaan kecemasan.