Categories
NASIONAL

Kes Altantuya: AMK Buat Laporan Polis Terhadap Najib

shamsul iskandar mat akin AMK pc balai polis 01

Kuala Lumpur 22 MAC : Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini membuat laporan polis mendesak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) membuka siasatan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Desakan itu dibuat ekoran kenyataan peguam Mendiang P Balasubramaniam atau PI Bala, Americk Singh Sidhu bahawa Perdana Menteri Malaysia itu mengarahkan seorang peguam lain, Tan Sri Cecil Abraham membuat Akuan Bersumpah Kedua (SD2) PI Bala.

Laporan polis dibuat Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Atkin di Balai Polis Dang Wangi petang tadi.

“Saya percaya arahan itu bersifat jahat dan cubaan untuk menafikan fakta-fakta dibuat P.Balasubramaniam melalui SD 1 yang mengaitkan beliau di atas kes kematian rakyat Mongolia, Altantuya Shaaribuu.

“Melalui keterangan kedua-dua Americk dan Cecil, jelas Najib cuba membohongi rakyat tentang penglibatan beliau dalam kes kematian tersebut,” jelas Shamsul.

PI Bala, penyiasat persendirian yang diupah Razak Baginda membuat SD2 sehari selepas ikrar SD1 dibuat pada 4 Julai 2008.

Mendiang PI Bala sebelum ini turut menyebut beliau di dakwa di peras ugut oleh salah seorang adik Najib sehingga beliau mengubah SD1 kepada SD2.

Ahli perniagaan permaidani, Deepak Jaikishan turut mengakui beliau dan adik Najib juga turut terlibat untuk mengubah akuan bersumpah PI Bala.

Baru-baru ini, sewaktu Mesyuarat Agung Majlis Peguam Malaysia, Americk mendedahkan Cecil memaklumkan bahawa dirinya diarahkan Najib yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu bagi menyediakan SD2 untuk PI Bala.

“Sehubungan itu, mohon PDRM jalankan terperinci mengenai pendedahan Americk itu,” tambah Shamsul lagi.