Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pupuk minat seni muzik cempuling bermula usia muda

KUALA LANGAT, 21 FEB: Minat terhadap seni muzik cempuling harus dipupuk seawal usia kanak-kanak demi memelihara warisan itu daripada pupus.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata seni itu perlu dipelihara dan dihayati terutama dalam kalangan generasi muda.

“Saya nasihatkan ahli keluarga juga menyokong dan beri galakan kepada anak mereka untuk menghayati nilai seni muzik tradisional seperti cempuling.

“Malah, konsep cempuling juga bagus yang mana berunsurkan nasihat dan menyebarkan dakwah,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Rentak Selangor Siri Satu yang menampilkan demonstrasi seni muzik cempuling di Kampung Sungai Lang Tengah di sini semalam.

Beliau berharap semua kaum minat untuk belajar cempuling walaupun muzik tradisi itu berasal dari masyarakat Jawa.

Pada program sama beliau turut memuji persembahan ditonjolkan kumpulan kanak-kanak peringkat Kampung Sungai Lang Tengah yang bakal menjadi pelapis cempuling.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor angkat seni muzik cempuling

SHAH ALAM, 24 OGOS: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) mengangkat seni muzik cempuling dengan mengetengahkan 25 kumpulan pemuzik buat julung kalinya, hari ini.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, muzik cempuling bukan sahaja bertujuan menyebarkan dakwah, malah ia dimainkan ketika lagu keramaian, sekali gus membolehkannya diketengahkan sebagai identiti Selangor.

Justeru, katanya, cempuling sewajarnya menjadi warisan dan kebudayaan negeri yang harus dipelihara serta dihayati terutama generasi muda.

“Umum mengetahui bahawa Selangor kaya dengan pelbagai jenis muzik warisan antaranya keroncong dan caklempong, namun saya percaya masih ramai kurang tahu atau cakna berhubung kewujudan muzik cempuling yang menjadi amalan sebahagian masyarakat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Seni Muzik Cempuling di Teater Shah Alam.

Pertandingan yang terbahagi kepada kategori sekolah dan terbuka itu memerlukan peserta menyanyikan lagu wajib iaitu Elir-elir, Tombo Ati, Assalamualaikum, Selawat serta dua lagi berkonsepkan dakwah dan nasihat.

Abdul Rashid berkata, pihaknya mahu supaya pelajar dan orang ramai diberi pendedahan berhubung hiburan tradisional cempuling yang wajar diketengah dan diwarisi segenap lapisan masyarakat.

Katanya, pertandingan itu juga bagi mencungkil serta mengasah bakat dalam kalangan anak muda dan pada masa sama membawa bakat sedia ada ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi mewujudkan pelapis baru, Kerajaan Negeri turut menyumbangkan 10 set cempuling kepada sekolah di Selangor dan mereka dilatih oleh pemuzik berpengalaman.

“Kepada pemuzik cempuling, teruskan berkarya dan berikanlah persembahan memukau bukan hanya kepada rakyat Selangor, malah pelancong seluruh pelusuk dunia,” katanya.

Categories
SELANGOR SENI

Komited martabat cempuling ke peringkat antarabangsa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 24 JAN : Kerajaan Negeri komited mahu memartabatkan seni muzik cempuling sebagai sebahagian daripada budaya tradisional di Selangor, sekali gus dikenali hingga ke peringkat antarabangsa.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, beliau memuji inisiatif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memperluaskan lagi seni muzik itu dalam kalangan generasi muda.

“Tahniah kepada PADAT kerana berusaha bersungguh-sungguh memartabatkan seni cempuling sehingga dimasukkan sebagai salah satu aktiviti kokurikulum di sekolah, sekitar Selangor.

“Kita mahu lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam bidang seni muzik cempuling ini supaya ia dapat diikuti oleh generasi, pada masa akan datang,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Alat Muzik Cempuling kepada Sekolah di Selangor di Dewan Raja Lumu, Muzium Sultan Alam Shah, di sini, semalam.

Beliau selaku Pengerusi PADAT berkata, seni muzik cempuling itu wajar diperkasa supaya ia tidak pupus ditelan arus kemodenan.

“Warisan seni ini harus disambung kerana keunikannya dalam menyebar nilai falsafah melalui lirik lagu dengan mesej mendalam sebagai peringatan kepada masyarakat,” katanya.

Terdahulu, sebanyak 11 sekolah sekitar Selangor terpilih untuk menubuhkan kumpulan cempuling sebagai sebahagian daripada aktiviti kokurikulum mereka.

PADAT turut menyerahkan alatan cempuling sebagai pinjaman kepada sekolah terbabit melaksanakan aktiviti seni budaya itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR SENI

Nilai muzik tradisi cempuling terus dimartabat

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LANGAT, 26 NOV : Kejayaan Muzik Tradisional Cempuling dimainkan selama 25 jam tanpa henti dalam Malaysia Book of Records pada 2015 terus dimartabat sehingga kini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, seni muzik cempuling sebelum ini terkenal sebagai medium dakwah.

“Kini muzik ini sudah dimodenkan dengan nyanyian lagu dalam Bahasa Melayu serta bahasa lain tetapi masih mengekalkan konsep teladan dan pengajaran.

“Jika di Johor popular dengan ghazal, Pulau Pinang seni boria, Kelantan dengan dikir baratnya, oleh itu saya berharap kita sama-sama dapat merealisasikan impian untuk menjadikan negeri ini memartabatkan seni muzik cempuling,” katanya.

Beliau selaku merangkap Pengerusi PADAT berkata ketika merasmikan Majlis Gema dan Irama Cempuling Selangor di Padang Awam Batu 7, Kampung Sijangkang, Kuala Langat.

Program anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) berlangsung selama dua hari bermula 24 November itu membabitkan 14 kumpulan cempuling sekitar negeri ini.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dato’ Paiman Keromo berkata, bagi memartabatkan seni muzik berkenaan Simfoni Cempuling Selangor bakal diadakan pada Julai 2018 di Bangunan Teater Shah Alam.

“Program hari ini adalah kesinambungan daripada Temasya Muzik Cempuling yang bertujuan menghimpunkan kumpulan cempuling sekitar negeri ini selain menarik minat masyarakat setempat,” katanya.

Terdahulu, antara pengisian program Gema dan Irama Cempuling yang berlangsung dua hari turut diadakan rewang kenduri rakyat dan bengkel cempuling pelajar sekolah.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Program Silang Budaya inisiatif semarak agenda kesenian negeri

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 26 MEI: Agenda pembangunan seni diperluaskan menerusi Program Silang Budaya dan ia dilihat menyahut seruan Kerajaan Negeri untuk membangunkan Selangor sebagai Smart State.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor, Mohd Faizul Fitri Muslil, berkata program itu mengangkat budaya kesenian dengan penyertaan negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Johor, Perak dan Selangor.

Program itu mempamerkan pelbagai jenis persembahan keseniaan mengikut adat dan warisan negeri masing-masing yang dijalankan di Muzium Sultan Alam Shah, di sini, bermula 11 Mei hingga 9 Jun ini.

Cempuling DSC_1412“Objektif program ini juga untuk meningkatkan kerjasama dua hala pengendalian pameran dan aktiviti pendidikan berteraskan kesenian. Malah, ia juga berperanan untuk memberi peluang dan pendedahan kepada tenaga kerja di muzium juga jabatan kesenian itu.

“Justeru itu, kami mengangkat tema seni dan persembahan sepanjang bengkel, persembahan serta demostrasi dalam program ini,” katanya.

Selangor adalah negeri kedua meneruskan kesinambungan program terbabit melalui gerak kerja Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri, bahkan ia turut menyajikan persembahan cempuling yang jugaseni warisan turun temurun di negeri itu yang cukup dikenali masyarakat Jawa.

“Persembahan cempuling akan mewakili Selangor sebagai seni muzik masyarakat Jawa negeri ini yang wujud sejak 1928 di Tanah Melayu.

image (4)“Kedatangan muzik ini rentetan proses aliminasi daripada kepulauan Jawa. Ia medium dakwah yang mengajak masyarakat mendekati Islam melalui medium keseniaan waktu itu,” katanya.

Pada Disember lalu, pihak perbadanan menganjurkan Temasya Seni Cempuling 25 jam di Sabak Bernam bagi memastikan warisan keseniaan itu terus kekal dipelihara.

Kejayaan itu turut dicatatkan di dalam The Malaysia Book Of Record kerana mengekalkan corak permainan muzik tradisi cempuling selama 25 jam tanpa henti.

Tempoh itu adalah simbolik 25 tahun sambutan penubuhan Muzium Sultan Alam Shah di Shah Alam dan berdasarkan rekod, tiada pihak yang pernah terlibat dengan cempuling tanpa henti selain rekod muzik gambus dari Johor.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Temasya Seni Cempuling 25 jam tanpa henti

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 18 NOV: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) akan menganjurkan Temasya Seni Cempuling Negeri Selangor 25 jam tanpa henti bagi catatan Malaysia Book of Record, pada 19 hingga 20 November ini.

Temasya yang berlangsung selama 25 jam itu akan bermula seawal jam 10.00 pagi yang diadakan sebagai tanda simbolik 25 tahun sambutan penubuhan Muzium Sultan Alam Shah bertempat di Pusat Aktiviti Homestay Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

IMG_1317Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata program itu diadakan bagi mengangkat dan memartabatkan seni muzik cempuling sebagai identiti Selangor.

“Dendangan muzik cempuling kian pupus akibat kebanjiran muzik moden yang menjadi kegilaan generasi kini.

“Temasya ini akan menaikkan lagi martabat cempuling di samping memperkenalkan kepada generasi muda keunikan muzik tradisi masyarakat jawa ini,” katanya.

Ahmad Yunus berkata, sebanyak 10 kumpulan yang terdiri daripada 100 peserta akan terbabit dalam persembahan 25 jam itu.

“Persembahan muzik akan dimainkan secara bergilir selama satu jam setiap kumpulan dan bersambung sehingga tamat 25 jam iaitu pada jam 11 pagi, 20 November ini.

“Ia akan menjadi satu landasan medium dakwah yang mengajak masyarakat mendekati Islam melalui lirik jawa yang penuh makna keagamaan dan zikir,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir ke temasya itu bagi memeriahkan lagi program dan aklumat lanjut boleh hubungi Unit Korporat PADAT di talian 03-55190050 atau layari laman sesawang padat.gov.my.

-NFN-