Categories
SELANGOR

EXCO Perumahan syor cat pangsapuri 5 tahun sekali

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 24 JULAI: EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha mengesyorkan pangsapuri kos rendah dan sederhana, di negeri itu dicat semula dalam tempoh lima tahun.

Katanya, cadangan itu akan diutarakan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, pada waktu terdekat.

“Saya akan berjumpa dengan menteri berkenaan esok dan membincangkan isu ini kerana memang tidak sepatutnya kita biarkan pangsapuri dalam keadaan usang serta buruk.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 lagi saya sudah tekankan panngsapuri sepatutnya diberi nafas baru dan diceriakan semula supaya penduduknya mendapat impak positif,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Haniza yang juga Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya berkata, beliau sudah menghantar senarai pangsapuri ke Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor untuk mendapatkan peruntukan di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA).

Katanya, ia bagi membolehkan semua rumah terbabit diberi nafas baru dengan dicat dalam masa terdekat.

“Sehingga kini, sudah ada pangsapuri dicat semula, iaitu Rumah Pangsa Kemboja, Rumah Pangsa Chempaka dan Taman Halaman dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.

“Saya berharap penduduk di perumahan itu kembali ceria dan bersemangat menjaga rumah masing-masing, saya mahu apabila mereka melihat rumah ini sudah cantik, maka aura positif akan diwujudkan,” katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Negeri melancarkan Skim CERIA bagi tujuan baik pulih kerosakan harta bersama membabitkan pangsapuri kos rendah dan sederhana.

Categories
SELANGOR

#Selangor18: RM33 juta upaya CERIA untuk kemudahan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM33 juta untuk skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA), pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata daripada jumlah itu RM13 juta diperuntukan untuk kerja sivil sahaja manakala pembaikan dan penggantian lif akan dipindahkan kepada skim Smart Life.

Manakala, baki RM20 juta pula, Mohamed Azmin berkata, ia diperuntukan bagi mengecat 46 kawasan dengan 138 blok pangsapuri kos rendah.

“Skim bantuan ini adalah insentif Kerajaan Negeri menghargai Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) dan komuniti yang bekerja kuat membangunkan pangsapuri masing-masing sebagai model pangsapuri terbaik di Selangor,” katanya.

Sejak skim CERIA dilaksanakan pada Disember 2010 sehingga Ogos ini, beliau berkata, sejumlah 281 kawasan dengan 843 blok pangsapuri yang meliputi 168,600 unit petak kediaman dan membabitkan 843,000 penduduk di pangsapuri berkenaan telah menerima manfaatnya dengan kos keseluruhan RM92.2 juta.

Atas keprihatinan terhadap rakyat, katanya, mulai tahun depan Kerajaan Negeri memaklumkan syarat perkongsian kos oleh penduduk dilupsukan serta merta di mana penduduk pengsapuri kos rendah dan sederhana tidak lagi perlu menyumbang.

“Kerajaan Negeri bersedia menanggung RM8.7 juta untuk melupuskan tunggakan yang sepatutnya dibayar penduduk semenjak 2011,” katanya.

CERIA adalah skim bantuan baik pulih kerosakan harta bersama pangsapuri kos remdah dan sederhana melalui perkongsian kos antara Kerajaan Negeri dan penduduk di mana penduduk kos rendah perlu menyumbang 20 peratus manakala penduduk kos sederhana memanggung 40 peratus.

Categories
RENCANA

Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna

OLEH LIZAWATI MADFA

Dasar Rumah Untuk Semua

Bukan sekadar ‘asal ada’, Kerajaan Negeri berhasrat setiap rakyat negeri ini memiliki rumah yang sempurna, selesa dan selamat untuk didiami seisi keluarga.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad mahu rakyat yang belum ada kediaman dapat beli rumah yang sempurna.

“Jika tidak mampu beli, mereka juga kita sasarkan dapat menyewa kediaman yang sempurna dan bagi mereka yang sudah ada kediaman, kita mahu rumah mereka dalam keadaan sempurna,” katanya.

Katanya, definisi rumah sempurna juga bukan merangkumi segi fizikal semata-mata tetapi meliputi aspek spiritual, sosial, kepimpinan dan ekonomi.

“Kita mahu membina masyarakat supaya menikmati kehidupan lebih kualiti dan sejahtera.

“Tiada guna rumah hebat manapun, jika pembinaan masyarakat berkualiti tidak berjaya tercapai.

“Atas sebab itu, kita tekad mahu siapkan rumah sempurna, fizikal dan spiritual buat semua,” katanya.

 

Pemaju dikenakan syarat ketat

Sehingga kini, hampir 100,000 unit Rumah Selangorku diluluskan pembinaannya di seluruh Selangor.

Iskandar berkata, pemaju sebelum ini terikat dengan polisi 20:20:10, yang mewajibkan pembinaan 20 peratus rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah (20 peratus) dan rumah kos sederhana (10), tanpa mengira permintaan.

Katanya, polisi itu bagaimanapun didapati memberi bebanan kepada pemaju terutama dari segi kos, sehingga pemaju hanya menumpukan pembinaan rumah kos rendah sahaja.

“Kini, peratus jenis rumah yang wajib dibina oleh pemaju adalah bergantung kepada lokasi projek.

“Contohnya, bagi kawasan di mana permintaan rumah Jenis A (RM42,000) adalah rendah, hanya 10 peratus diwajibkan dibina.

“Tetapi di kawasan di mana terdapat permintaan, pemaju wajib membina sehingga 20 peratus rumah jenis A sepertimana polisi lama,” katanya.

Iskandar berkata, pemaju juga diwajibkan membina rumah mampu milik bersekali dengan rumah harga bebas.

“Kita mahu pastikan pengalaman dulu berulang lagi, di mana mereka buat rumah harga bebas tetapi rumah mampu milik mereka tak bina sampai sekarang atau ada juga pemaju bertindak jual tanah.

“Kalau mereka mahu buat rumah lain kita tak benarkan dan kita akan bagi ‘stop work order’,” katanya.

 

Inisiatif buat mereka yang tak mampu

Setakat 31 Ogos lalu, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menerima 145,712 permohonan Rumah Selangorku.

Kerajaan Negeri mempelbagaikan jenis rumah daripada yang berharga RM42,000 hingga RM250,000, bagi memberi lebih pilihan kepada rakyat, terutama mereka berpendapatan rendah.

Iskandar berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun dapati masih ramai lagi tidak dapat melepasi syarat ketat bank bagi mendapatkan pinjaman perumahan.

Atas dasar itu, beliau berkata, pelbagai program baru dilancar khusus bagi memberi peluang buat golongan itu memiliki kediaman sendiri.

“Antaranya, kita lancar Skim Smart Sewa di mana mereka boleh sewa rumah dan di akhir kontrak, kita akan pulangkan balik apa yang mereka bayar sebanyak 30 peratus.

“Kita juga buat skim sewa beli di mana mereka boleh duduk di situ dan kemudian sebahagian daripada sewa dikira sebagai pembiayaan membeli rumah

“Apabila harga dibayar bersamaan dengan harga rumah, mereka akan dapat rumah berkenaan,” katanya.

 

Pembangunan fizikal dan spiritual diteruskan

Lebih RM110 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program pembangunan fizikal bagi pangsapuri di seluruh Selangor, sejak 2012.

Ia merangkumi RM88.9 juta menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (Caring Government For Residents Improvement Aid-Ceria) dengan 248 projek.

Sejumlah RM30 juta pula diperuntuk bagi Program Smart Life (Smart Lift Improvement for Quality Life) iaitu bagi menampung kerja membaik pulih 112 unit lif di 24 pangsapuri dan bayaran fee kepada firma kompeten bagi kontrak penyenggaraan lif komprehensif di 88 unit lif di 21 pangsapuri.

Peruntukan lain termasuk, RM0.25 juta untuk program K-STAC (Sistem Tadbir Urus Akaun) menerusi projek perintis di 25 Badan Pengurusan Bersama (Joint Management Body-JMB) pangsapuri kos rendah.

Pangsapuri Seri Perantau pula dipilih sebagai projek perintis K-SQUAD (Pemberdayaan Komuniti) melibatkan peruntukan RM0.12 juta.

Ia bagi memperkasa keupayaan komuniti miskin bandar mengurus bangunan dengan kemampunan menubuhkan JMB, pengurusan strategik dan menjadi model contoh kepada komuniti pangsapuri bermasalah.

Sejumlah RM0.08 juta turut dibelanja untuk program Laman Hijau bagi aktiviti kebun komuniti di pangsapuri.

Program lain termasuk SKORA (Skim Pengenalan Pengurusan Bangunan Strata), K-STAR (Penarafan Komuniti Bestari), FOKUS (Format Kurikulum Pengurusan Bangunan Strata) dan K-KLIK (Kelab Interaktif Komuniti).

 

Komuniti diperkasa

Sebanyak 234 pangsapuri dibiayai bagi menerima manfaat program SAFWA (Selangor Free Water Apartment); pemberian rebat air percuma kepada pangsapuri kos rendah, dengan peruntukan RM39.8 juta.

Sejumlah RM2.7 juta pula diberikan menerusi projek PERMAI CERIA iaitu bantuan kewangan untuk baik pulih tetiang meter individu kediaman menerusi 33 projek.

Kerajaan Negeri turut memperkenal insentif bantuan kewangan kepada 85 pangsapuri kos rendah, SEROJA (Skim Keselamatan Kejiranan Pangsapuri) dengan peruntukan RM0.4 juta.

Program lain termasuk Kempen Pengurangan Sisa Pepejal dan Selangor BEST Bring Excellence Into Society) bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Skim CERIA selesai isu Pangsapuri Cheras Utama

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 MEI: Kerajaan Negeri akan membantu penduduk di Pangsapuri Cheras Utama, Kajang menerusi peruntukan Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) susulan isu tangki pecah, baru-baru ini.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad berkata, pihaknya sudah mengarahkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membuat penilaian.

Katanya, projek yang dimajukan oleh Rawang Jati itu akan segera dibaik pulih.

“Baik pulih boleh dilakukan menggunakan peruntukan CERIA Kerajaan Selangor kerana pangsapuri ini dikategorikan sebagai kos sederhana.

“Ia adalah perkongsian kos antara Kerajaan Negeri sebanyak 60 peratus dan penduduk, 40 peratus serta boleh dibayar secara ansuran,” katanya yang melawat pangsapuri itu, semalam.

Pada masa sama, Iskandar mengarahkan Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri terbabit menyiasat tangki air di blok lain jika berlaku keretakan.

ISKANDAR SAMADKatanya, JMB juga diarahkan mengurangkan paras air di tangki lain kepada separuh paras biasa untuk mengurangkan tekanan sehingga siasatan pakar dilakukan.

“Syarikat Air Selangor juga menghantar dua tangki statik bagi kegunaan penduduk, namun masalahnya bukan bekalan tetapi air tidak sampai kepada unit kediaman selepas dilakukan ‘by-pass’ supaya tidak menggunakan tangki.

“Saya akan cuba mencari pam air daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atau pusat khidmat wakil rakyat yang ada,” katanya.

Terdahulu, sebahagian dinding tingkat 12 pangsapuri itu runtuh selepas tangki air bangunan di Jalan CU 4A, pecah.

Runtuhan itu turut menghempap sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal yang terletak di bawah bangunan itu dan membabitkan bahagian ruang tamu rumah berkenaan serta tiada mangsa dilaporkan cedera dalam insiden itu.

Categories
SELANGOR

Semak status permohonan CERIA melalui laman web

SHAH ALAM 25 JULAI: Penduduk yang memohon peruntukan membaikpulih kediaman mereka di bawah Skim Baikpulih Negeri Berkebajikan atau CERIA boleh menyemak status permohonan mereka pada laman web Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata penduduk boleh membuat semakan status terus tanpa perlu bertanya kepada JMB atau MC.

“Katanya, sebelum ini terdapat penduduk tidak diberitahu JMB dan MC status permohonan mereka dan akhirnya ada yang menyalahkan kerajaan negeri,” kata Iskandar dalam kenyataan media.

Beliau berkata sejak 2012, sebanyak 171 kawasan pangsapuri kos rendah dibaikpulih di bawah CERIA melibatkan RM33.3 juta dengan kerja di 44 kawasan sedang dilaksanakan.

EZY

Baik pulih Pangsapuri Ruvena Villa siap 40%

Penduduk Pangsapuri Ruvena Villa di Puchong bersyukur kerana kerosakan serius saluran paip utama di kediaman mereka akhirnya dapat dibaik pulih menerusi program CERIA. KErja-kerja membaik pulih menelan kos sekitar RM700,000 dan kini 40 peratus kerja penyelenggaraaan sudah siap.

Categories
SELANGOR

Dewan Komuniti Adalah Milik Rakyat, Bukan Parti Politik

PANDAN JAYA, 17 APRIL: Semua dewan komuniti di Selangor yang dahulunya digunakan oleh Umno-BN untuk kepentingan politik akan dimanfaat untuk kegunaan pembangunan masyarakat seperti pembinaan Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya.

Perubahan polisi ini selaras dengan pendirian Pakatan Rakyat (Pakatan) yang mahu setiap bangunan yang selama ini digunakan untuk kepentingan pihak tertentu sehingga menafikan hak masyarakat dikembalikan semula kepada rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, pembinaan perpustakaan komuniti sebegini merupakan sebahagian daripada program Pangsapuri Bersih, Ceria dan Harmoni (CERIA).

Ini memandangkan kawasan ini merupakan kawasan pangsapuri yang mempunyai lokaliti penduduk yang padat.

“Perpustakaan ini pada asalnya adalah dewan orang ramai yang telah digunakan oleh pihak Umno bahagian Pandan sebagai bilik gerakkan.

?Apabila Pakatan Rakyat mengambil alih, kita melihat bangunan ini berpotensi dan mencadangkan agar bangunan ini dijadikan perpustakaan komuniti,” katanya.

Apabila ia siap nanti, perpustakaan ini akan menyediakan dewan serbaguna dengan hawa dingin yang boleh memuatkan 100 orang. Ia juga akan menyediakan bilik kuliah dan seminar untuk 50 orang.

Perpustakaan itu turut menyediakan tujuh buah komputer dengan teknologi skrin sesentuh dan jalur lebar internet selain bilik bacaan kanak-kanak, surau, kafeteria dan ruang santai untuk ibu bapa menunggu.

Perpustakaan ini akan beroperasi setiap hari bermula dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang dan 9.00 pagi sehingga 5.30 petang pada hari Sabtu (kecuali Sabtu minggu pertama, ketiga dan kelima) dan ditutup pada hari Ahad.

Iskandar yang juga Adun Cempaka menambah, pembinaan perpustakaan ini turut terkandung dalam menifesto pilihanraya Dun Cempaka dimana Pakatan akan membina satu pusat pembelajaran untuk kemudahan remaja di kawasan ini.

Katanya, pihaknya akan cuba berbincang dengan Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali bagi meningkatkan pembinaan perpustakaan kominiti.

Ini memandangkan penduduk pangsapuri kurang tempat khusus bagi remaja belajar dan mengisi masa lapang oleh kerana unit pangsapuri yang mereka duduki agak kecil dan tidak selesa.

Kawasan Pandan Jaya mempunyai 50 unit blok pangsapuri dengan 300 unit setiap blok.

Perpustakaan Komuniti Pandan Jaya yang mula dibina pada 22 Julai 2011 berada dibawah kendalian Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS).

Ia dijangka dirasmikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Mei selepas kerja-kerja akhir selesai.

Kos pembinaan struktur bangunan perpustakaan bernilai RM159,000 sementara RM250,000 lagi kos untuk peralatan seperti perabot dan kelengkapan lain.

PPAS mensasarkan pembinaan 20 buah perpustakaan komuniti dengan kos sebanyak RM6 juta. Sebelum ini, perpustakaan komuniti pertama telah dibina di kawasan Lembah Jaya.

Perpustakaan Pandan Jaya merupakan perpustakaan kedua yang dibuka di kawasan ini selepas Perpustakaan Desa di Kampung Pandan yang telah dibuka pada tahun 2008.

Categories
SELANGOR

Pendahuluan 5% Untuk Mulakan Program CERIA Fasa 11

SHAH ALAM,15 FEB : Penduduk yang telah ditawarkan bantuan di bawah Program Baikpulih Negeri Berkebajikan (CERIA) Fasa Kedua perlu mengemukakan bahagian mereka sebelum 7 Mac 2012 akan datang.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan, Iskandar bin Abdul Samad berkata Untuk Fasa Kedua CERIA, 50 kawasan pangsapuri telah ditawarkan dan 26 kawasan telah mengemukakan bahagian mereka.

Di bawah CERIA, penduduk pangsapuri kos rendah perlu mengemukakan pendahuluan sebanyak 5 peratus dari kos membaikpulih sebelum kerja-kerja dimulakan. Baki 15 peratus boleh dibayar secara ansuran.

“Penduduk pangsapuri kos rendah hanya perlu menanggung 20 peratus dari kos baikpulih dan Kerajaan Negeri akan menanggung 80 peratus. Adalah diharapkan 24 kawasan yang belum mengemukakan bahagian mereka melakukannya secepat mungkin.

“Sekiranya mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan 5 peratus ini, maka diharap mereka dapat membincangkannya dengan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Tambah Iskandar ,jika mereka gagal datang berbincang sebelum 7 Mac 2012, maka kawasan mereka akan ditangguh perlaksanaannya ke Fasa Ketiga.

Kawasan-kawasan yang berada di Fasa Ketiga pula akan menggantikan giliran mereka.

“Kerajaan Negeri berhasrat untuk membaikpulih 100 kawasan di bawah CERIA. Untuk Fasa Pertama, 18 kawasan telah ditawarkan dengan 10 kawasan telah siap sepenuhnya,” katanya.