Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Khuatir tanah runtuh berulang, lebih 200 penduduk diminta segera pindah

AMPANG, 11 MAC : Lebih 200 penduduk di  kawasan insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2 di sini diminta segera mengosongkan kediaman susulan dikhuatiri berlaku pergerakan tanah.

Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad berkata penduduk boleh berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) yang terletak berhampiran kawasan tersebut.

“Sebanyak 48 rumah di empat lorong diminta segera kosongkan kediaman bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. Kita bimbang keadaan menjadi lebih buruk tambahan pula cuaca  sekarang tidak menentu.

“Namun buat masa ini tiada mangsa yang berpindah ke PPS. Penduduk terjejas memilih untuk tinggal di hotel dan rumah saudara,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata kerja pembersihan belum boleh dilaksanakan kerana agensi berkaitan perlu meneliti aspek kestabilan cerun berkenaan.

“Selain itu pusat pengurusan bencana daerah terdiri pelbagai agensi turut diwujudkan antaranya melibatkan MPAJ, Jabatan Kerja Raya, polis dan bomba bagi memastikan urusan mengendalikan kejadian itu dilaksanakan dengan teratur,” katanya.

Petang semalam insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang meragut empat nyawa dan seorang cedera ringan, selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa yang dilaporkan tertimbus dilaksanakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pandan, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta pelbagai agensi lain bermula 5.54 petang.

Operasi SAR ditamatkan pada kira-kira 2 pagi apabila polis mengesahkan penemuan semua mayat mangsa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: Pembaikan jalan, tebing di Hulu Langat siap sebulan lagi

SHAH ALAM, 22 JAN: Kerja baik pulih jalan dan tebing sungai yang rosak sekitar Hulu Langat akibat banjir Disember tahun lalu siap sebulan lagi, kata EXCO infrastruktur.

Menurut Ir Izham Hashim, sebanyak 91 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di seluruh negeri dengan 62 daripadanya serius dan perlu dibaik pulih segera.

“Insya-Allah, kerja-kerja baik pulih jalan dan tebing sungai sekitar Hulu Langat ini akan siap sepenuhnya dalam jangka masa sebulan lagi.

“Kerajaan Negeri akan sentiasa berterusan membantu rakyat yang terkesan bencana ini,” katanya selepas meninjau kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat kelmarin.

Beliau menambah Kerajaan Negeri menampung sekitar RM500 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur susulan bah teruk, yang dibuat secara berfasa.

Pada 7 Januari lalu, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan segera berjumlah RM40.88 juta bagi melaksanakan projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

Projek tersebut dikelolakan Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM180 juta diperuntuk baiki jalan, cerun rosak akibat banjir

DENGKIL, 17 JAN: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan peruntukan segera berjumlah RM187.87 juta bagi kerja pembaikan kritikal di 303 lokasi jalan raya dan cerun yang terjejas akibat banjir, kata Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM133 juta diperuntukkan untuk pembaikan cerun di 181 lokasi dikenal pasti, manakala bakinya bagi membaik pulih jalan raya.

“Kerja-kerja pembaikan kritikal telah dimulakan. Kita mahu sekurang-kurangnya jalan terjejas boleh dibuka untuk satu lorong dan mestilah boleh dilalui.

“Itu sasaran peringkat awal hingga kita dapat peruntukan sepenuhnya dan bakinya boleh disiapkan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau pembukaan Jambatan Dengkil di FT31 (Jalan Banting-Semenyih) Seksyen 20.80 hari ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kira-kira 80 peratus atau 943 daripada 994 lokasi jalan raya terkesan banjir di seluruh negara dibersihkan, dan bakinya kini dalam tindakan Jabatan Kerja Raya negeri masing-masing.

“Kerja baik pulih akan terus digiatkan dalam usaha pemulihan infra pasca banjir KKR,” katanya.

Mengenai proses pembaikan Jambatan Dengkil, Fadillah berkata sebanyak RM800,000 diperuntukkan untuk membaiki jambatan yang ditutup sejak 17 Dis, ekoran hakisan dan runtuh akibat banjir.

Menurutnya, proses pembaikan jambatan itu berjaya disiapkan lebih awal oleh Roadcare (M) Sdn Bhd berbanding sasaran asal iaitu siap pada akhir bulan ini.

“Alhamdulilah, pembaikan jambatan telah dapat disiapkan awal dan ia kini dibuka untuk laluan orang ramai,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Pemaju digesa baiki cerun berisiko

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 OKT: Pemaju digesa membaiki semula cerun yang menyebabkan insiden tanah runtuh di kawasan perumahan Seksyen 7, Bandar Bukit Mahkota Cheras, pada 12 Oktober lalu.

Ahli Dewan Negeri Kajang, Hee Loy Sian berkata, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sudah mengeluarkan notis kepada syarikat pemaju supaya segera membaik pulih cerun itu bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Katanya, pemaju perlu melaksanakan kerja pembaikan dalam tempoh 14 hari atau bakal berdepan tindakan tegas jika gagal berbuat demikian.

“MPKj sudah melaksanakan penutupan cerun itu dan mengeluarkan notis arahan kepada pemaju untuk melaksanakan kerja membaik pulih mengikut Seskyen 70A Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Katanya, MPKj turut memohon untuk mengambil alih kawasan cerun terbabit sejak 2012, namun sehingga kini pemaju masih belum menyerahkannya.

Justeru, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan itu akan mengadakan mesyuarat bersama pemaju terbabit dan persatuan penduduk untuk membincangkan isu terbabit, pada minggu hadapan.

“Seramai empat pemilik rumah yang berada di atas bukit juga bimbang dengan kejadian tanah runtuh ini jika kerja baik pulih tidak dilaksanakan segera,” katanya.

Dilaporkan, kejadian itu berpunca daripada hujan lebat dan sistem saliran tidak sempurna.

Categories
SELANGOR

26 cerun sekitar Ampang kritikal, perlu penyelesaian segera

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri diminta menyelesaikan segera isu masalah cerun sekitar Ampang ekoran risiko yang bakal dihadapi penduduk sekitarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai, Tiew Way Keng memaklumkan terdapat 53 kawasan cerun yang dikenal pasti dalam DUN berkenaan dan 26 daripadanya kritikal serta dalam pemantauan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)

Katanya, MPAJ juga sudah memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri, namun bantuan terbabit diberi dalam bentuk pinjaman.

bm-dapsy0612_540_359_100“Justeru, MPAJ perlu mengemukakan permohonan kelulusan kewangan terlebih dahulu kepada Kerajaan Negeri,” katanya selepas beliau melakukan tinjauan di kawasan berkenaan.

Dalam tinjauan itu, Way Keng bersama Ahli Majlis MPAJ, Mohamad Samat dan Unit Cerun MPAJ melakukan tinjauan kerja pembaikan cerun oleh MPAJ di Jalan Teratai 1/2 di Taman Bukit Teratai, semalam.

Difahamkan kerja penstabilan dan membaik pulih cerun kawasan terbabit membabitkan kos RM180,000 dan siap dibaiki MPAJ selepas berlakunya runtuhan batu di cerun hujung Jalan Teratai 2, pada 28 Oktober 2013.

mpajWay Keng berkata, beliau amat mengambil berat masalah cerun sejak menjadi wakil rakyat di kawasan itu kerana ia sering menjadi kebimbangan penduduk di Teratai dan Ampang keseluruhannya.

Sementara itu, Mohamad berkata, peranan masyarakat diperlukan sebagai mata dan telinga bagi mengawasi keruntuhan cerun.

“Dengan adanya penubuhan ‘Slope Watch’ penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan kawasan cerun, masalah ini mampu diatasi,” katanya.

-NFN-