Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tampung permintaan vaksin, PPV sederhana dicadang dibuka di Klang

KLANG, 27 SEPT: Sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) bersaiz sederhana dicadang dibuka di daerah itu bagi memastikan lebih ramai penduduknya menerima suntikan pelalian.

Ahli Parlimen Charles Santiago berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada perjumpaan di Parlimen Khamis lalu.

“Saya mencadangkan kawasan besar seperti Klang mesti ada PPV yang berkapasiti sederhana yang dibuka pada Jumaat, Sabtu dan Ahad.

“Cukup dibuka untuk dua, tiga bulan bagi memastikan golongan yang belum segera dapat divaksin. Cadangan ini berdasarkan permintaan yang saya terima dari penduduk,” katanya pada program Selvax bergerak Dewan Kompleks Sukan Pandamaran semalam.

Ditanya respon Khairy mengenai permintaannya itu, beliau berkata menteri kesihatan itu akan memberi maklum balas nanti.

Charles berkata kehadiran orang ramai yang melebihi stok dos vaksin yang ada pada hari ini membuktikan PPV sederhana itu perlu diwujudkan.

“Hari ini kita ada 1,200 dos untuk diberikan tetapi dekat luar dewan ada lebih beratus orang yang mahu disuntik. Mereka bukan tidak mahu disuntik sebelum ini tetapi tidak menerima panggilan dari pihak berkaitan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Klang bakal terima lebih banyak pakar, alat perubatan

SHAH ALAM, 30 JULAI: Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, dijangka menerima lebih ramai pakar dan peralatan perubatan termasuk oksigen serta mesin ventilator susulan arahan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba yang membuat lawatan mengejut ke hospital berkenaan petang semalam.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dalam menyampaikan penghargaan terhadap lawatan Dr Adham itu turut menyuarakan harapan agar segala arahan dan janji menteri kesihatan itu dapat dipenuhi dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menerusi hantaran di Facebooknya beliau berkata, dalam lawatan itu Dr Adham meluangkan masa hampir dua jam memeriksa dan berbual dengan pesakit, doktor dan pengurusan HTAR termasuk melawat ke beberapa bahagian hospital berkenaan.

“Pesakit-pesakit yang duduk di luar Jabatan Kecemasan memberitahu beliau (Dr Adham) bahawa mereka sudah dua jam berada di situ tanpa makanan, meskipun sebahagiannya mengatakan ada makanan diagihkan, dan menteri kemudian meminta 400 makanan lagi dibawa masuk,” katanya.

“(Saya) ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri (kesihatan) atas lawatan mengejut beliau ke HTAR, iaitu komitmen yang beliau buat di Parlimen dua hari lepas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Air Selangor belanja RM1.1 bilion naik taraf sistem bekalan

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) membelanjakan RM1.1 bilion bagi menjalankan kerja kapital (CAPEX Works) dalam tempoh tiga tahun dari 2016 hingga 2018.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negera, Charles Santiago berkata, perbelanjaan itu bagi membaik pulih dan menaik taraf sistem bekalan air sejajar matlamat syarikat untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Bagi tempoh enam bulan sehingga Jun 2019, sebanyak RM196 juta dibelanjakan untuk tujuan sama (membaik pulih dan menaik taraf sistem bekalan air).

“Air Selangor juga merangka pelan perancangan 30 tahun dengan perancangan CAPEX sebanyak RM30 bilion,” katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.

Charles berkata, hasil penambahbaikan Air Selangor itu menyaksikan gangguan bekalan air tidak berjadual bagi setiap 100 kilometer berkurangan dari 20 kes, pada 2016 kepada 18 kes pada 2017 dan 13 kes, pada 2018.

Katanya, penggantian peralatan utama yang berpotensi menjejaskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) mampu menjamin kelestarian bekalan air bersih untuk tempoh minimum lima tahun akan datang.

Kerja penambahbaikan LRA SSP1 selama 12 jam bermula 9 pagi sehingga 9 malam Selasa hadapan membabitkan 758,570 akaun pengguna di 758 kawasan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual selama 84 jam.

Semua pengguna di tujuh wilayah terbabit iaitu Klang, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor dinasihatkan untuk menyimpan bekalan air secukupnya.

Categories
SELANGOR

Jangan ‘swastakan’ anak dengan gajet

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 JUN: Penganjuran pertandingan bola keranjang ‘Streetball 3 On 3 Challenge’ merancakkan perhubungan sosial selain aktiviti sihat dalam kehidupan seharian.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, hal itu kerana ramai anak muda termasuk pelajar banyak menghabiskan masa dengan gajet.

Katanya, lebih teruk mereka ‘bersukan’ melalui permainan video di telefon pintar mahupun komputer.

“Bila saya tanya pelajar adakah mereka bersukan, mereka menjawa ya tetapi di telefon. Mereka meluangkan masa sekurang-kurangnya empat jam sehari untuk itu.

“Bersukan menggunakan telefon tidak melahirkan rakyat Malaysia yang sihat. Mereka ini perlu dididik menjadi masyarakat yang sihat dan hubungan sosial mereka bersama masyarakat perlu ditingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian ‘Streetball 3 On 3 Challenge’ di Galeri Jualan Gravit8, di sini.

Charles berkata, memberi gajet seperti telefon pintar dan tablet menjadi kelaziman bagi kebanyakan ibu bapa atau penjaga masa kini.

Katanya, penggunaan berlebihan akan menyebabkan banyak kesan buruk termasuk penyakit mental.

“Pastinya dalam tempoh beberapa tahun akan datang, perkara ini jika tidak dibendung akan lebih buruk, justeru saya menyarankan semua ibu bapa supaya mendidik anak mereka melakukan aktiviti bersukan atau mengeratkan hubungan sosial antara satu sama lain.

“Asas utama adalah perhubungan dengan manusia, bukan dengan teknologi atau gajet. Jangan perjudikan nasib anak-anak,” katanya.

Categories
SELANGOR

Punca disiasat, sasar kerja pemulihan siap tengahari esok

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JUN: Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) sedang berusaha untuk mengeringkan air di kawasan kejadian paip pecah awal hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, tempoh jangka masa kerja baik pulih paip pecah itu juga hanya akan diketahui selepas punca kejadian dikenal pasti.

Katanya, perkembangan mengenai punca kejadian itu dijangka akan diketahui lewat petang ini.

“Air Selangor akan keluarkan kenyataan bagi memaklumkan punca dan tempoh jangka masa baik pulih paip pecah ini,” katanya ketika melawat lokasi kejadian di Setia Alam hari ini.

Berdasarkan semakan menerusi aplikasi Air Selangor mendapati tiada punca kejadian dimaklumkan setakat jam 7 malam.

Informasi terbaharu yang dimaklumkan, Air Selangor menyasarkan kerja pembaikan akan dapat disiapkan sebelum jam 12 tengahari esok sekiranya tiada sebarang isu kritikal di tapak semasa kerja pembaikan dilaksanakan.

“Bekalan akan dibuka sejurus kerja pembaikan siap dilaksanakan dan pemulihan bekalan adalah secara berperingkat serta bergantung kepada lokasi dan altitud premis.

“Pihak kami akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan melaksanakan kerja pembaikan ini secara berterusan bagi mempercepatkan kerja pembaikan dan pemulihan bekalan serta meminimakan impak gangguan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pengguna yang terjejas boleh mendapatkan air menerusi lori tangki disediakan di Pusat Khidmat Setempat (PKS).

Categories
NASIONAL

Laporan isu gangguan air di Klang selesai sebulan lagi

CYBERJAYA, 21 MEI: Siasatan berhubung gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Klang susulan tiga paip utama pecah berhampiran projek pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Banting-Taiping, dijangka selesai dalam masa sebulan lagi, kata Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Pengerusinya, Charles Santiago berkata, satu jawatankuasa teknikal peringkat tinggi yang dianggotai lima pakar termasuk Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya ditubuhkan minggu lalu bagi meneliti punca kejadian itu.

“Kami ingin melihat sekiranya ada pencerobohan yang berkaitan dengan paip air kami,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Iftar bersama kakitangan SPAN dan media di sini hari ini.

Baru-baru ini hampir 90 kawasan di daerah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas tiga paip utama di kawasan pembinaan lebuh raya itu pecah.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor Ir Izham Hashim dilaporkan berkata kerajaan negeri dan pihak WCE akan berusaha menyelesaikan kerja pembaikan paip itu dengan kadar segera.

Charles berkata SPAN akan meneliti bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap pihak bertanggungjawab setelah laporan selesai.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak enam negeri telah mengadakan dialog dengan SPAN berhubung isu kenaikan kadar tarif air.

Beliau berkata SPAN berpendapat sebarang kenaikan tarif mesti seiring dengan peningkatan kualiti air yang diberikan kepada rakyat.

Mengenai isu pencemaran di Loji Rawatan Air Ayer Ganda di Perak, beliau berkata loji itu yang masih ditutup hanya akan dibuka sekiranya air mentah bebas dari sebarang pencemaran.

“Meskipun ada desakan membenarkan pengguna menggunakan air dari Loji Ayer Ganda untuk tujuan selain makan dan minum, kami tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur yang mengundang risiko kesihatan,” katanya.

Charles juga menyarankan semua operator air sentiasa menguji sampel air mentah di kawasan yang berisiko berlakunya pencemaran secara kerap.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tahap empangan air di seluruh negara lebih 80 peratus

NILAI, 27 MAC: Tahap empangan air di seluruh negara berada pada tahap memuaskan iaitu melebihi 80 peratus meskipun negara ketika ini sedang mengalami fenomena cuaca panas.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, setakat ini tiada masalah bekalan air dilaporkan kecuali di Kedah iaitu Merbok dan Tanjung Dawai serta Kota Tinggi, Johor disebabkan masalah pada Loji Rawatan Air (LRA).

“Pada masa ini, secara amnya tidak ada masalah pembekalan air, paras empangan di seluruh negara ok iaitu melebihi 80 peratus.

“Namun, hanya di beberapa tempat di Kedah dan Kota Tinggi mengalami masalah bekalan air yang berpunca daripada LRA.

“Tetapi, masalah bekalan air di beberapa tempat di Kedah ini dapat diatasi selepas kerja-kerja menaik taraf LRA di Merbok dan kerja penggantian paip di kawasan Tanjung Dawai diluluskan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar Sabtu lalu,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Persidangan Antarabangsa Pertama mengenai Isu Kontemporari 2019 di sini, hari ini.

Charles berkata, bagaimanapun orang ramai tetap dinasihatkan untuk lebih berhemah ketika menggunakan air dalam rutin harian mereka termasuk melakukan tadahan air hujan.

“Saya minta rakyat Malaysia jimatkan penggunan air, kalau boleh dua minggu sekali cuci kereta janganlah terlalu kerap cuci kereta.

“Buat masa ini, bila hujan di kawasan kita mungkin kita rasa hujan ini dapat penuhkan empangan tetapi perlu kita tahu dalam musim panas ketika ini hujan mungkin turun di kawasan kita tetapi tidak di kawasan lain, ia dinamakan ‘runoff water’, runoff water seperti ini tidak boleh digunakan untuk memenuhkan empangan.

“Kerana itu jika ada hujan di kawasan anda sebaiknya tadahlah air itu dan boleh digunakan untuk mencuci kereta dan sebagainya,” katanya.

fotoBERNAMA (2019) COPYRIGHT RESERVED

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr A. Xavier Jayakumar sebelum ini berkata Malaysia dijangka mengalami musim kering sehingga Mei ini.

Situasi itu akan menyebabkan keadaan panas dan kering serta mengurangkan sumber air sungai dan empangan di negeri Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Pahang dan Kelantan yang merekodkan hujan kurang daripada 25 peratus purata hujan tahunan bagi tempoh April-Mei ini.

Terdahulu, Charles dalam ucapannya berkata globalisasi dan pengantarabangsaan; pengetahuan terbuka dan data besar; robotik dan digitalisasi, perubahan iklim dan pembangunan lestari; kecukupan makanan, air dan sumber semula jadi secara amnya akan membawa kepada perubahan penting dan menimbulkan cabaran yang besar, lebih cepat daripada apa yang kita percaya.

“Kita memerlukan peralihan paradigma dalam pemikiran dan kreativiti serta pendekatan operasi baharu dan keputusan politik yang mantap dalam negara dan luar negara,” katanya. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Klang catat 960 kes denggi dua minggu pertama

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 16 JAN: Daerah Klang merekodkan sejumlah 960 kes denggi pada dua minggu pertama awal tahun ini berbanding hanya 203 kes tempoh yang sama tahun lalu.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, jumlah peningkatan itu tambah membimbangkan apabila membabitkan dua kematian berlaku di Flat Seri Bahtera, Pulau Indah, di sini.

“Kes pertama membabitkan wanita berusia 39 tahun pada akhir Disember manakala awal Januari baru-baru ini seorang remaja lelaki berusia 18 tahun.

“Tahun lalu, sejumlah 101 kes dilaporkan berlaku pada minggu pertama dan 102 kes minggu kedua berbanding 413 kes minggu pertama dan 547 kes minggu kedua bagi tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hadir bertemu Pegawai Kesihatan Daerah di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang, di Bandar Botanik, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Charles berkata, isu itu perlu ditangani secara serius sebelum ia menjadi bertambah parah memandangkan Klang adalah kawasan kedua tertinggi kes denggi selepas Petaling.

Katanya, beliau menggesa Klang diisytiharkan sebagai lokasi kecemasan untuk wabak denggi berikutan peningkatan kes sehingga melibatkan kematian.

“Saya mahu menegaskan kepada PKD Klang, Majlis Perbandaran Klang serta penduduk harus bekerjasama membanteras wabak berkenaan daripada terus merebak.

“Malah, saya akan mengadakan pertemuan dengan ketua agama, persatuan penduduk dan pengilang untuk mereka membuat tindakan sewajarnya dalam membanteras wabak denggi,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Charles Santiago pengerusi baru SPAN

CYBERJAYA, 1 NOV: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu diumumkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar menerusi kenyataan dikeluarkan SPAN.

Suruhanjaya itu berkata, pelantikan Charles bagi menggantikan pengerusi terdahulu, Datuk Liang Teck Meng yang meletakkan jawatannya, pada 27 April lalu.

“Pelantikan ini diharap dapat menyuntik iltizam bagi melaksanakan tanggungjawab dan objektif SPAN dalam merealisasikan polisi industri perkhidmatan air negara.

“Ini termasuk memandu SPAN bagi memastikan sistem kawal selia dinamik dan progresif untuk menggalakkan pembangunan serta mengurus impak industri perkhidmatan air terhadap masyarakat juga persekitarannya,” katanya.

Pada masa sama, SPAN turut mengucapkan terima kasih kepada Teck Meng atas sumbangan, pengalaman dan idea bernasnya ke arah mencapai aspirasi, visi serta misi suruhanjaya terbabit.

SPAN dipertanggungjawabkan mengawal selia industri perkhidmatan air berdasarkan Akta Industri Perkhidmatan Air (AIPA) 2006 (Akta 655) yang berkuat kuasa, pada 1 Januari 2008.

Ia berperanan menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air serta perkhidmatan pembetungan, di Semenanjung Malaysia, Wilayah Persekutuan Putrajaya juga Labuan.

Categories
NASIONAL

Charles lapor SPRM dakwa ada monopoli pembekalan ubat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 JUN: Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujud unsur monopoli dalam pemberian tender pembekalan ubat-ubatan di Kementerian Kesihatan.

Charles Santiago berkata, monopoli itu melibatkan tiga syarikat farmaseutikal yang membekalkan ubat-ubatan kepada hospital kerajaan dengan nilai antara RM3.7 bilion bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Katanya, laporan itu dibuat apabila beliau menerima dokumen yang mengandungi nama ahli politik, pegawai tinggi Kementerian Kesihatan dan individu berkait dengan ahli politik Umno yang dipercayai menjadi ejen atau orang tengah kepada tiga syarikat farmaseutikal terbabit.

“Maka tidak terkejut ahli politik Umno, bekas pegawai awam tertinggi dalam kementerian, keluarga dan kroni mereka yang tersenarai dalam dokumen ini menerima komisen yang besar daripada ejen tender terpilih.

“Saya mahu SPRM menyiasat syarikat dan individu terbabit kerana ada nama ahli politik di dalam dokumen ini pernah didakwa melakukan kesalahan rasuah,” katanya dalam kenyataan.

Dimaklumkan segala dokumen tersebut sudah diserahkan kepada SPRM semalam.

Pada 2012, Charles berkata, kajian akademik Universiti Sains menunjukkan ubat sama dijual pada harga lebih tinggi di Malaysia berbanding Australia.

Katanya, laporan lain juga menunjukkan farmasi swasta Malaysia menjual ubat jenama inovator pada harga enam kali lebih tinggi daripada harga ubat rujukan antarabangsa (IRP).

“Dari 2011 hingga 2014, perbelanjaan ubat di sektor awam meningkat 27 peratus berbanding sektor swasta, yang meningkat sebanyak 20 peratus.

“Ini berlaku sebelum pelaksanaan GST. Walaupun kenaikan perbelanjaan ubat dalam sektor awam mungkin disebabkan bilangan pesakit lebih tinggi, namun ada kemungkinan korupsi dan monopoli dalam tender perubatan menyumbang kepada peningkatan,” katanya.

Selain itu, katanya, laporan Kajian Trend Global Medical Survey menunjukkan Malaysia mencatatkan trend kos perubatan kasar purata tertinggi di Asia Pasifik dari 2016 hingga 2018 berbeza dengan New Zealand dan Filipina.

“Laporan itu mendakwa kenaikan kos perubatan di rantau Asia Pasifik didorong oleh Malaysia, India, China dan Singapura.

“Bagi memastikan kawalan harga ubat terkawal, kerajaan perlu memastikan ia dilaksanakan secara sistem tender terbuka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Kesan persempadanan, PAKATAN gesa 85% pengundi keluar mengundi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 MEI : Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) P.110 Klang, Charles Santiago menggesa sekurang-kurangnya 85 peratus rakyat perlu keluar mengundi pada 9 Mei nanti bagi mengurangkan kesan persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu.

Charles berkata, pengundi PAKATAN tidak sepatutnya berpuas hati dan terlalu yakin bahawa gabungan itu akan memenangi Selangor dan memerintah selama lima tahun lagi.

“Ia kerana kesan persempadanan semula ini amat luas. Sekiranya kita memandang rendah, beberapa kawasan pilihan raya seperti Shah Alam, Kapar dan Pelabuhan Klang berkemungkinan dirampas oleh Umno-Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, saya menyeru semua pengundi Selangor terutama dari Klang, Kapar dan Shah Alam keluar mengundi demi mengalahkan taktik kotor dimainkan SPR dan BN ini, tunjukkan kuasa anda sebagai rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Charles berkata, antara contoh persempadanan semula yang memberi kesan besar kepada Klang apabila 4,871 pengundi dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dan 3,327 pengundi dari DUN Batu Tiga kini dipindahkan ke P.110 Klang.

“Secara keseluruhan, 8,198 pengundi dari kawasan itu yang sebelum ini berada di bawah Parlimen Shah Alam ditambah kepada P.110.

“Manakala, 15,848 pengundi dari kawasan DUN Meru, 7,453 pengundi daerah Sementa dan 9,484 pengundi daerah Selat Kelang turut dipindahkan ke P.110,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan kawasan DUN Sungai Pinang dengan jumlah 32,785 pengundi Parlimen Kapar turut dipindahkan ke P.110, sekali gus menjadikan secara keseluruhan 40,983 pengundi Parlimen Shah Alam dan Parlimen Kapar ditambah kepada P.110.

Di samping itu, Charles berkata, sebahagian besar pengundi dari Bukit Tinggi dan Bandar Botanic yang sebelum ini berada di bawah P.110 kini dipindahkan ke daerah Baru Sentosa dan Parlimen Kota Raja.

“Persempadanan semula ini bermakna majoriti pengundi pro-pembangkang sudah dialihkan ke P.110. DUN Kota Anggerik, Batu Tiga, Meru, Sementa, Selat Klang kini sudah menjadi kerusi parlimen yang memihak kepada BN.

“Malah, kerusi Parlimen Kapar dan Shah Alam juga sudah berubah secara drastik daripada yang berpaling pro-pembangkang kini ke kerusi BN disebabkan persempadanan semula yang tidak memihak ini,” katanya.

Charles berkata, pelbagai helah dilakukan Umno-BN untuk merampas negeri ini antaranya persempadanan semula yang tidak adil dan demokratik serta tarikh mengundi pada hari Rabu.

Katanya, ia sekali gus membolehkan mereka merampas semula dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN di Klang sahaja.

“Oleh itu, saya mendesak pengundi di Selangor buka mata anda dengan luas dan jangan kita dibutakan dengan propaganda Umno-BN,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Cabaran empat penjuru Parlimen Klang & DUN Pelabuhan Klang

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 28 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan pertembungan empat penjuru di Parlimen Klang dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang.

Perkara itu diumumkan SPR sekitar jam 10.30 pagi selepas kertas penamaan calon dikemukakan kesemua parti bertanding.

Pegawai Pengerusi Pilihan Raya (P.110), Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, calon Parlimen Klang membabitkan Charles Santiago dari parti KEADILAN mewakili Pakatan Harapan (PAKATAN) bertembung tiga lagi pencalonannya daripada (PAS), Khairulshah Abdullah, Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Ching Eu Boon dan calon Bebas Ganesan Sangalingam (Parti Bebas).

Manakala DUN Pelabuhan Klang (N.46) juga sengit pertembungan Khalid Nayan (PAS), Sheikh Rajesh Sheikh Ahmad (BN), dan Shanmugasundram Veenapan dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertemu calon KEADILAN mewakili PAKATAN, Azmizam Zaman Huri (KEADILAN).

Calon Pakatan Harapan. Azmizam Zaman Huri di DUN Pelabuhan Klang

Bagi kerusi DUN Pandamaran (N.47) menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Tony Leong (PAKATAN), Tee Hooi Ling (BN) dan Santokh Singh (PAS).

Sementara itu, di DUN Bandar Baru Klang (N.45) turut berhadapan cabaran sengit membabitkan PAKATAN, Dato’ Teng Chang Kim berdepan pencalonan baru iaitu calon BN, Teoh Kah Yeong.

=EZY=