Categories
AGENDA NASIONAL

Juara Paralimpik Tokyo hulur bantuan kepada mangsa banjir Selangor

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Selepas menggembirakan rakyat Malaysia dengan kejayaan merangkul pingat emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020, jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou semalam menceriakan mangsa bencana banjir di sekitar Hulu Langat dan Bukit Tadom di Selangor.

Juara dunia sebanyak enam kali itu mengorbankan masa sebagai atlet dengan turun padang menghulurkan sumbangan kepada masyarakat setempat yang terkesan akibat bencana alam itu.

Menurut hantaran di laman Facebooknya, antara barangan yang disumbangkan Liek Hou adalah makanan kering, selimut serta barangan elektrik.

Atlet berusia 33 tahun itu berkata beliau tidak dapat membayangkan kesedihan dan kekecewaan penduduk di kawasan itu selepas melihat keadaan jalan raya, jambatan, perumahan, kedai-kedai dan kenderaan yang rosak sepanjang perjalanan ke kedua-dua kawasan tersebut.

“Semoga sedikit pertolongan daripada saya dapat membantu mereka. Terima kasih kepada kawan-kawan sekalian yang memberi sumbangan dan pertolongan dari semua aspek. Semoga semua dalam keadaan yang baik dan boleh pulih secepat mungkin,” katanya.

Pada September lepas, Liek Hou menjadi pemenang pingat emas acara badminton Sukan Paralimpik yang pertama apabila mengungguli acara kelas SU5 (kecacatan fizikal) dengan menewaskan Anrimusthi Dheva dari Indonesia di pentas final.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Badminton paralimpik: Liek Hou melangkah ke separuh akhir

TOKYO, 2 SEPT: Juara dunia enam kali Cheah Liek Hou tidak menghadapi masalah untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir acara badminton selepas mencatatkan kemenangan kedua peringkat kumpulan B pada temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020 hari ini.

Bersaing dalam acara perseorangan lelaki kategori SU5 (kecacatan fizikal), Liek Hou menampilkan persembahan cemerlang untuk menewaskan wakil Taiwan, Jen Yu Fang, 21-13, 21-19 di Stadium Nasional Yoyogi di sini.

Pemain nombor dua dunia itu gembira bahawa Yu Fang memberi saingan sengit selepas hanya mengambil masa 15 minit untuk merangkul kemenangan mudah 21-3, 21-2 terhadap pemain Mesir, Eldakrory Ahmed Magdy Amin pada perlawanan pembukaan semalam.

“Saya akhirnya menemukan rentak permainan…terima kasih atas cabaran oleh Yu Fang. Saya ketinggalan 2-5 pada set kedua dan ketika itu dapat kembali rentak saya untuk mencapai kemenangan.

“Harap dapat mengekalkan momentum ini untuk kemenangan ketiga esok dan mengungguli kedudukan kumpulan,” katanya kepada pemberita.

Pemain pilihan kedua ini akan melengkapkan perlawanan kumpulan dengan menentang pemain Jepun, Taiyo Imai, esok.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Tiga pemain badminton paralimpik negara menang di Dubai

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Pemain badminton paralimpik negara memenangi tiga gelaran di kejohanan Antarabangsa Badminton Para Fazza-Dubai di Emeriah Arab Bersatu (UAE), hari ini.

Juara Dunia perseorangan lelaki enam kali Cheah Liek Hou mengungguli acara SU5 (Berdiri/ kemerosotan anggota badan atas) selepas mengalahkan pemain Indonesia Dheva Anrimusthi 14-21, 22-20, 21-18 dalam perlawanan yang berlangsung lebih satu jam.

Perlawanan akhir Kategori WH1 (kerusi roda) pula menyaksikan Muhammad Ikhwan Ramli menewaskan David Toupe dari Perancis 23-21, 21-13, menurut laman sesawang rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF); https://bwfpara.tournamentsoftware.com.

Sementara Noor Azwan Noorlan memenangi perseorangan lelaki WH2 (kerusi roda) selepas mengalahkan Rick Cornell Hellman dari Jerman 18-21, 21-18, 21-12, pada perlawanan yang berlangsung selama satu jam tujuh minit.

Bagaimanapun Didin Taresoh yang bertanding dalam kategori gabungan SH6, terpaksa berpuas hati di tempat kedua, selepas tewas kepada Nagar Krishna dari India 17-21, 18-21 pada perlawanan akhir.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cheah muncul juara di Kejohanan Para Thailand

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Pemain perseorangan lelaki badminton paralimpik negara Cheah Liek Hou menamatkan kemarau 16 bulan tanpa gelaran juara, selepas memenangi dua kejuaran kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas badan) di Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Thailand di Bangkok, hari ini.

Pemain berumur 31 tahun yang pernah memenangi 11 kejuaraan dunia, yakni enam perseorangan lelaki dan lima beregu lelaki, mempamerkan kehebatannya dengan menumpaskan Fang Jen-Yu dari Taiwan; 21-14 dan 21-17 dalam saingan perseorangan lelaki di Huamark Indoor Stadium, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfbadminton.com.

Cheah yang berpasangan dengan Ahmad Azri Mohd Faris kemudiannya muncul juara sekali lagi selepas menewaskan pasangan Watcharaphon Chok-Uthaikul-Pricha Somsiri dari Thailand dengan straight-set 21-14 dan 21-14.

Untuk rekod kali terakhir pasangan nombor empat dunia itu meraih gelaran juara adalah di Kejohanan Antarabangsa Uganda 2018 pada Mei tahun lalu.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita paralimpik negara, Yanti Aspar, bagaimanapun gagal mengikuti jejak langkah kecemerlangan Cheah, selepas ditumpaskan oleh pemain pilihan kedua, Chai Saeyang dari Korea Selatan dengan 5-21 dan 8-21.

– BERNAMA