Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala AFF: Terlalu hormat kepada lawan bawa padah – Cheng Hoe

KUALA LUMPUR, 13 DIS: “Kami terlalu hormat kepada Vietnam !”

Itulah penilaian Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya Tan Cheng Hoe berikutan kekalahan 0-3 pasukan negara kepada Vietnam dalam perlawanan ketiga Kumpulan B Kejohanan Piala AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura semalam.

Beliau mengakui mereka kalah kepada pasukan yang lebih baik dan menggambarkan aksi menentang juara bertahan itu sebagai satu pertempuram yang amat sukar biarpun anak-anak buahnya telah mencuba yang terbaik untuk mencabar Vietnam di dalam gelanggang.

“Saya rasa kami kalah disebabkan kesilapan taktik tetapi saya nampak kami bermain dengan terlalu berhati-hati dan bertahan sahaja dalam babak pertama.

Pasukan saya tidak dapat menguasai dan mengawal bola sebagaimana biasa dilakukan dalam perlawanan kali ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Oleh itu, jurulatih berusia 53 tahun itu berkata anak-anak buahnya perlu belajar daripada perlawanan menentang “Naga Emas” berapi dan menggesa mereka untuk melangkah ke hadapan dengan mempersiapkan diri untuk pertarungan penting dengan musuh ketat, Indonesia, Ahad depan untuk menentukan kelayakan ke separuh akhir.

Beliau juga berharap para pemain akan menggunakan waktu seminggu untuk berehat dan menjalani proses pemulihan menjelang aksi terakhir Kumpulan B minggu depan.

Cheng Hoe percaya keputusan akan menjadi sebaliknya seandainya beliau mempunyai skuad yang lengkap kali ini.

“Covid-19 dan kecederaan beberapa pemain kami telah menjejaskan semangat pasukan tetapi saya tetap memuji kerja keras mereka selama ini yang membuahkan hasil,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak mahu menyalahkan Luqman Hakim Shamsudin kerana terlepas satu peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-33 dan berharap kesilapan itu tidak akan mematahkan semangat pemain KV Kortrijk yang berpangkalan di Belgium di masa hadapan.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo merasa gembira melihat pasukannya keluar dari gelanggang dengan tiga mata dan memuji anak buahnya kerana mempamerkan aksi yang hebat untuk memenangi aksi kedua mereka dalam Kumpulan B.

“Ia selalunya sukar untuk bermain menentang Malaysia tetapi akhirnya saya merasa gembira untuk mendapat kemenangan hari ini (semalam),”katanya.

Malaysia dihukum kerana gagal menyesuaikan diri dengan permainan intensiti tinggi apabila Vietnam membolosi gawang pasukan negara dua kali dalam jarak empat minit pada babak pertama sebelum memperoleh gol ketiga dalam minit-minit terakhir sebelum wisel penamat ditiup.

Gol-gol Vietnam dijaringkan oleh Nguyen Quang Hai pada minit ke-32 diikuti Nguyen Cong Phuong (minit ke-36) dan Nguyen Hoang Doc (minit ke-89).

Keputusan semalam juga memadamkan rekod tanpa kalah Harimau Malaya di dalam Kumpulan B yang sebelum ini menewaskan Kemboja dan Laos dalam dua perlawanan pertama.

Kekalahan di tangan juara bertahan itu mengakibatkan Malaysia turun ke tangga ketiga di dalam Kumpulan B di belakang pendahulu Indonesia dan Vietnam serta menjejaskan peluangnya untuk layak ke separuh akhir.

Ini juga merupakan kekalahan keenam Malaysia dalam tujuh perlawanan dengan Vietnam sebelum ini dan kelima di bawah kendalian Cheng Hoe sejak mengambil alih pasukan kebangsaan pada 2017.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cheng Hoe: Pemain tak mampu bertahan, tukar peluang jadi jaringan

KUALA LUMPUR, 11 SEPT: Kekalahan tipis 1-2 Harimau Malaya kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam tadi, ekoran pemain tidak mampu bertahan dalam perlawanan sengit dan menukarkan peluang kepada jaringan gol di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Ketua Jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe yang berharap sekurang-kurangnya pasukan bimbingan beliau mampu seri dengan pasukan nombor ke-65 dunia dalam perlawanan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, nampak kecewa dengan keputusan itu.

“Secara keseluruhan pemain menunjukkan satu persembahan yang hebat, tetapi kami tidak boleh bertahan dalam tempo sama dan perlawanan sengit. Dalam separuh masa pertama, terutamanya dalam 20 minit pertama kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

“Pemain tahu mereka perlu meningkatkan tempo dan bermain dengan penuh keterujaan kerana bermain dengan pasukan yang lebih baik , jadi mana-mana peluang yang kamu cipta, anda perlu jaringkan. Saya rasa UAE mempunyai dua peluang baik dan mereka menukarkannya kepada gol,” katanya dalam sidang media pasca perlawanan.

Pemain Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) meraikan jaringan gol pertama pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2030 menentang Emiriyah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September 2019. Foto BERNAMA

Cheng Hoe berkata, pasukan bimbingannya yang berada pada ranking ke-159 dunia, perlu bekerja keras dalam persiapan perlawanan seterusnya, terutama menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi, pada 10 Oktober.

Malaysia bermula garang menerusi gol tandukan Muhammad Syafiq Ahmad, 36 saat selepas perlawanan bermula dan menguasai permainan selama 30 minit, sebelum UAE memastikan kemenangan menerusi jaringan Ali Ahmed Mabkhout pada minit ke-43 dan ke-74.

Sementara itu, Ketua Jurulatih UAE, Bert van Marwijk mengakui anak buahnya bermula dengan sumbang kerana Harimau Malaya tidak memberi sebarang peluang kepada gergasi Timur Tengah itu.

“Kami ketinggalan 0-1, setiap orang ‘tertidur’ dan tidak dapat menguasai bola dan saya sedar terdapat kelompangan taktikal di sebelah kiri dan saya cuba perbetulkannya. Pada babak kedua, pasukan Malaysia kelihatan penat, kami berjaya menjaringkan gol.

“Saya gembira kerana menang di sini kerana kami tidak menjangka menang di sini,” katanya.

Warga Belanda itu yang membawa pasukan negaranya ke final Piala Dunia 2010 tetapi tewas 0-1 kepada Sepanyol berkata, selepas tiga pertukaran di buat Cheng Hoe selepas UAE mendahului, menyuntik kembali semangat tuan rumah.

UAE akan menjadi tuan rumah kepada Indonesia di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 10 Oktober depan.

– BERNAMA

Categories
SUKANKINI

Misi berbeza Cheng Hoe di Stadium Gelora Bung Karno

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe tidak menjadikan pencapaian bersejarah pada 2010 sebagai azimat menjelang pertembungan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno, Khamis ini.

Aksi berdepan skuad Garuda pada perlawanan sulung Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu mempunyai nilai berbeza bagi Cheng Hoe berbanding kejayaan menjulang Piala AFF sewaktu menjadi pembantu ketua jurulatih sembilan tahun lalu.

Pengendali berusia 51 tahun itu menyifatkan intensiti perlawanan kali ini lebih tinggi memandangkan setiap pasukan memburu slot automatik ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia atau sekurang-kurangnya mara ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Memang kita raih keputusan baik waktu itu (2010) tetapi kali ini suasana berbeza kerana ini Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Kita perlu tahu bahawa pasukan Indonesia pun mempunyai persiapan baik dan rapi selain mereka turut menyenaraikan beberapa pemain naturalisasi untuk membantu pasukan kali ini.

“Dan sudah tentu kita pergi ke sana (Jakarta) dengan satu matlamat dan tujuan kalau kita ingin layak ke peringkat yang lebih tinggi kita kena fokus setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Sebagai rekod, Malaysia dinobatkan juara Piala AFF 2010 di Stadium Gelora Bung Karno selepas mencatat kemenangan agregat 4-2.

Pada masa sama, Cheng Hoe menegaskan tumpuannya kini adalah kepada percaturan pasukan bagi melengkapkan misi meraih tiga mata berharga.

“Saya nak lebih fokus kepada pasukan sahaja, kita tidak boleh selalu fokus kepada pasukan lawan. Saya juga selalu ingatkan pemain kena sentiasa berikan tumpuan kepada perlawanan dan elakkan dari melayan perang psikologi dilancarkan penyokong lawan di media sosial,” tambah beliau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Cheng Hoe gugur tiga pemain untuk aksi menentang Indonesia

KUALA LUMPUR, 31 OGOS: Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe menggugurkan tiga pemain bagi melengkapkan senarai 24 pemain ke Jakarta pada aksi pembukaan Kumpulan G, pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, awal bulan depan.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga pemain berkenaan adalah penyerang Johor Darul Ta’zim, Ahmad Hazwan Bakri (JDT), pemain tengah Selangor, Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor) dan penyerang PKNS FC, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Untuk rekod, Malaysia tewas 0-1 kepada Jordan pada aksi persahabatan tier satu di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, dengan Ahmad Hazwan dimasukkan pada minit ke-61, manakala Mohd Faiz dan Muhammad Jafri tidak diturunkan.

Malaysia bakal menentang Indonesia pada 5 September ini di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

Mengulas mengenai keputusan menggugurkan tiga pemain berkenaan, Cheng Hoe menjelaskan Ahmad Hazwan terpaksa digugurkan memandangkan pemain berkenaan jarang diturunkan bersama JDT, sekaligus menjejaskan tempo permainannya bersama skuad kebangsaan.

“Mohd Faiz pula disebabkan dia mengalami demam dan badannya agak lemah sedikit, jadi kita terpaksa tinggalkan dia untuk ke Jakarta nanti, sementara Muhammad Jafri, kita panggil dia untuk memberi peluang kepadanya bersaing di bahagian serangan, tapi saya rasa dia perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan tempat dalam pasukan kebangsaan,”jelas Cheng Hoe.

Pengendali berusia 51 tahun itu menegaskan peluang masih terbuka kepada ketiga-tiga pemain berkenaan untuk merebut kembali tempat dalam skuad kebangsaan, sekiranya mana-mana 24 pemain berkenaan mengalami kecederaan selepas kembali daripada Jakarta nanti.

Pada masa sama, Cheng Hoe mendedahkan keputusannya membawa 24 pemain berbanding perancangan asal 23 pemain sebelum ini adalah kerana beliau sedang memantau pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal pemain dialami pemain Pahang itu.

Beliau, bagaimanapun, memaklumkan hanya 23 pemain akan disenaraikan untuk aksi menentang Indonesia nanti.

Selepas menentang Indonesia, Malaysia bakal melayan kunjungan Emiriah Arab Bersatu di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 September ini.

Senarai 24 pemain:

Penjaga Gol:

Mohd Farizal Marlias (JDT), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah)

Pemain Pertahanan:

Adam Nor Azlin dan La’vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Mohd Saad dan Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (PDRM FC)

Pemain Tengah:

Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Brendan Gan (Perak), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham (Felda United)

Pemain Sayap:

Muhammad Safawi Rasid; Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), J. Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh (Pahang), Muhammad Hadin Azman (Felda United)

Penyerang:

Muhammad Syafiq Ahmad (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang).

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Cheng Hoe mahu Harimau Malaya bersedia untuk perlawanan sengit

KUALA LUMPUR, 12 Jun : Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu Harimau Malaya bersedia menghadapi perlawanan sengit pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada September ini.

Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila memperoleh dua kemenangan besar terhadap Timor Leste 7-1 dan 5-1 dalam aksi pertama dan kedua saingan playoff di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bagaimanapun, peringkat pusingan kedua merupakan satu lagi saingan sengit kerana 40 pasukan yang layak termasuk kuasa-kuasa besar bola sepak Asia seperti Qatar, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan bersaing untuk mendapatkan 12 tempat pada pusingan ketiga dan slot automatik ke Piala Asia 2023.

Walaupun Cheng Hoe dan anak buahnya telah melakukan sehabis baik setakat ini, jurulatih berusia 51 tahun itu percaya pasukannya masih perlu bekerja keras dan bersedia untuk menghadapi cabaran daripada gergasi Asia.

“Kita akan jumpa pasukan lebih kuat dan jauh lebih baik daripada kita pada pusingan kedua September ini. Saya mahukan semua pemain bersedia dari sekarang kerana peringkat seterusnya bukan mudah.

“Kemungkinan besar kita akan diundi bersama negara seperti Iran, Jepun dan Qatar. Pemain kena sedia terima tekanan yang lebih tinggi dan kuat sekiranya berhadapan negara-negara itu,” katanya pada sidang media praperlawanan Malaysia-Timor Leste, semalam.

Malaysia menduduki tempat keempat di belakang juara Arab Saudi, UAE dan Palestin dalam Kumpulan A pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata tiada seorang pemain pun ketika menentang Timor Leste yang dijamin tempat untuk beraksi pada September ini kerana beliau ingin membentuk pasukan yang kukuh.

“Tiada jaminan 30, 25 atau 23 pemain yang dipanggil bersama skuad negara kali ini akan kekal bersama pasukan. Dalam menyiapkan pasukan menghadapi pusingan kedua, kita akan memantau prestasi semua pemain dalam liga dari semua segi,” tambahnya.

Mengenai kejayaan membenam Timor Leste, Cheng Hoe gembira dengan prestasi pasukannya dan menyifatkan bahawa Harimau Malaya sepatutnya bermain begitu sejak Piala AFF 2018.

“Saya fikir sejak Piala AFF, kini kita bermain seperti yang sepatutnya…lebih banyak membuat keputusan di gawang gol, pemain lebih tenang dan kita tidak memberi banyak peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol. Ini adalah sebahagian daripada proses pembelajaran… Saya berharap pemain akan lebih banyak belajar pada masa hadapan,” katanya. -BERNAMA