Categories
AGENDA GLOBAL

Enam vaksin percubaan Covid-19, tiga dari China masuki fasa ketiga

GENEVA, 7 OGOS: Enam vaksin percubaan Covid-19, termasuk tiga dari China, kini memasuki percubaan fasa ketiga, lapor agensi berita Xinhua, memetik pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Khamis.

Tiga vaksin percubaan itu dari Sinovac, Institut Produk Biologi/Sinopharm Wuhan dan Institut Produk Biologi/Sinopharm Beijing, kata Pengarah Eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO Michael Ryan pada taklimat maya.

Tiga lagi vaksin dihasilkan Universiti Oxford/AstraZeneca, Moderna/NIAID dan BioNTech/ Pharma Pharma/Pfizer, tambah beliau.

Pada fasa ketiga, buat pertama kalinya, vaksin akan dimasukkan ke dalam populasi umum, sebelum menumpukan kepada ciri keselamatan, keimunogenan dan tindak balas imun pada sebilangan kecil manusia.

Ujian fasa ketiga akan menguji sama ada vaksin dapat “melindungi sejumlah besar orang dalam jangka masa panjang.”

Namun, “tidak bermaksud fasa ketiga ini vaksin sudah hampir tersedia,” katanya kerana “tiada jaminan mana-mana daripada enam vaksin percubaan itu akan memberi kita jawapan.”

Secara keseluruhan, 165 vaksin percubaan sudah melalui beberapa ujian dan 26 daripadanya ujian klinikal, menurut WHO.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pasaran getah dijangka diniaga dalam jajaran kecil

KUALA LUMPUR, 5 JULAI: Pasaran getah Malaysia dijangka didagangkan dalam jajaran kecil minggu depan dengan kecenderungan meningkat terutamanya disebabkan tempoh Monsun Barat Daya.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Denis Low berkata cuaca lembap akan menyebabkan kerja-kerja menoreh getah tidak dapat dilakukan, sekali gus mendorong peningkatan harga yang lebih tinggi.

“Mengenai masa depan, kita akan menyaksikan harga yang lebih baik berikutan semakin banyak negara mula menamatkan perintah berkurung disebabkan oleh Covid-19.

“China masih merupakan pemangkin utama dan kita berharap republik ini akan memulakan semula industri mereka pada minggu-minggu berikutnya,” kata Low kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah kebanyakannya diniagakan bercampur-campur, menjejaki pasaran niaga hadapan serantau, prestasi harga minyak mentah dan data perdagangan serta kebimbangan gelombang kedua Covid-19.

Berasaskan Jumaat ke Jumaat, harga rujukan getah fizikal Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk gred tayar SMR 20 meningkat 10.5 sen kepada 495.00 sen sekilogram, sementara susu getah pukal turun 5.0 sen kepada 479.50 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan getah fizikal LGM bagi SMR 20 naik 12 sen kepada 494 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 7.5 sen kepada 77.00 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Keluaran getah asli meningkat kepada 34,616 tan metrik pada April

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Banci Getah Bulanan bagi April 2020 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 0.3 peratus pada April 2020 kepada 34,616 tan metrik berbanding 34,506 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Laporan itu dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan perbandingan tahun ke tahun juga menunjukkan peningkatan 2.0 peratus daripada bulan sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata eksport getah asli Malaysia turun 10.2 peratus kepada 40,596 tan metrik pada April 2020 daripada 45,198 tan metrik pada Mac.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 48.9 peratus daripada jumlah eksport pada Mac diikuti Jerman (12.1 peratus), Amerika Syarikat (6.2 peratus), Iran (5.3 peratus) dan Taiwan (3.5 peratus).

“Eksport tertinggi adalah bagi item sarung tangan getah dengan nilai RM1,984.4 juta pada April, peningkatan 11.6 peratus berbanding Mac,” katanya pada taklimat media mengenai perangkaan tenaga buruh dan getah bulanan, di sini, hari ini.

Mohd Uzir berkata Malaysia mengeksport sarung tangan tertinggi ke Amerika Syarikat sebanyak 97,905 tan metrik pada April berbanding 24,737 tan metrik pada Mac, peningkatan 295.8 peratus, diikuti China (28.8 peratus) dan Jerman (9.9 peratus), didorong oleh permintaan tinggi disebabkan penularan pandemik Covid-19.

“Harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 413.26 sen sekilogranm (kg) pada April berbanding Mac (435.66 sen sekilogram). Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) juga turun kepada 472.64 sen sekilogram berbanding 517.45 sen sekilogram bagi tempoh yang sama,” katanya.

Mohd Uzair berkata stok getah asli terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.5 peratus daripada 319,486 tan metrik pada Mac kepada 321,214 tan metrik pada April.

“Pembuatan sarung tangah getah kekal mendominiasi industri pembuatan getah asli dengan penggunaan sebanyak 35,080 tan metrik atau 89.5 peratus daripada jumlah penggunaan domestik (39,208 tan metri) pada April,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pasaran getah dijangka terus momentum positif

KUALA LUMPUR, 6 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan aliran peningkatannya minggu depan, didorong oleh unjuran kukuh pasaran niaga hadapan getah serantau serta sentimen ekonomi tempatan dan global yang mencatat prestasi lebih baik, kata peniaga.

Beliau memberitahu Bernama, sentimen pasaran niaga hadapan getah serantau itu semakin memberangsangkan selepas pengumuman mengenai bantuan kewangan tambahan dari China dan Kesatuan Eropah.

“Bank pusat China dilapor menyuntik sejumlah 150 bilion yuan (RM90.2 bilion) dalam sistem perbankan pada Jumaat menerusi perjanjian pembelian balik selama tujuh hari, di samping mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 2.20 peratus.

“Bank pusat Eropah pula pada Khamis mengumumkan ia akan meningkatkan Program Pembelian Kecemasan Pandemik sebanyak 600 bilion euro (RM2.9 trilion) untuk merangsang ekonomi berikutan krisis Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) berkata permintaan getah dunia akan kembali mencatatkan pertumbuhan positif pada bulan ini dengan jangkaan penggunaan getah asli berkembang sebanyak 0.4 peratus selepas merosot pada April (-23.1 peratus) dan Mei 2020 (-10.1 peratus).

Dalam satu kenyataan semalam, LGM berkata permintaan dari China selaku pengguna terbesar getah asli dunia dijangka meningkat untuk menyokong perkembangan sektor automotif, manakala penjualan kenderaan pada April menokok 4.4 peratus tahun ke tahun selepas mencatatkan pertumbuhan negatif sejak 21 bulan sebelumnya.

“Situasi itu menggambarkan pasaran getah dijangka bergerak positif sejajar dengan peningkatan permintaan getah asli dunia memandangkan kebanyakan negara di dunia telah melonggarkan perintah berkurung dan membuka semula aktiviti ekonomi mereka secara berperingkat,” menurut LGM.

Pasaran getah akan ditutup pada Isnin bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan fizikal LGM bagi gred tayar SMR 20 melonjak 11 sen kepada 485.5 sen sekilogram, manakala susu getah pukal naik 21 sen kepada 471.0 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 naik 8.5 sen kepada 486.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal menambah 22.5 sen kepada 474 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah, naik semula

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Bursa Malaysia dibuka rendah tetapi melantun semula selepasnya meneruskan aliran meningkat sesi sebelumnya menjelang pengumuman angka keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama negara esok.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.02 mata kepada 1,386.33 berbanding 1,382.31 pada paras penutup Jumaat minggu lepas, selepas dibuka 2.87 mata lebih rendah kepada 1,379.44.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul Al-Quran yang jatuh pada Ahad.

Di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 331 berbanding 143, manakala 266 kaunter tidak berubah, 1,143 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 429.19 juta unit bernilai RM211.87 juta.

Bank Negara Malaysia dijadual mengumumkan KDNK suku pertama Malaysia pada 13 Mei dengan pertumbuhan dijangkakan berada antara 0.8 peratus dan lebih daripada 4.0 peratus.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata saham Asia dijangka bercampur-campur apabila para peniaga menilai cabaran ekonomi yang dihadapi dalam usaha menarik balik sekatan di tengah-tengah pandemik Covid-19.

“Sektor tenaga agak lemah memandangkan penurunan harga minyak meskipun tambahan pengurangan pengeluaran oleh Arab Saudi tetapi ianya berkaitan dengan lantunan semula dan perspektif keseluruhannya bertambah baik perlahan-lahan memandangkan jangkaan pembukaan semula ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Di luar negara, para pelabur juga menunggu ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell mengenai isu semasa yang dihadapi ekonomi AS pada Rabu serta pengumuman beberapa data utama.

Data jualan runcit dan pengeluaran perindustrian AS bagi April serta pengeluaran perindustrian, jualan runcit dan data pengangguran China bagi April dijangka dikeluarkan pada Jumaat.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kini dilanjutkan bagi tempoh sebulan lagi sehingga 9 Jun, ia merasakan FBM KLCI mungkin terus berada dalam situasi tidak berubah dengan paras ketahanan segera diunjurkan pada paras psikologi 1,400 dalam tempoh terdekat. Manakala paras sokongan diunjurkan pada paras 1,360.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Top Glove meningkat 92 sen kepada RM8.26, Hartalega naik 20 sen kepada RM7.57 dan Sime Darby Plantation menokok lima sen kepada RM4.82.

Maybank dan Axiata setiap satu naik dua sen masing-masing kepada RM7.43 dan RM3.91.

Dalam kalangan kaunter cergas, Hubline tidak berubah pada lima sen, Careplus meningkat 5.5 sen kepada 64.5 sen, Ageson jatuh dua sen kepada 15.5 sen dan Key Alliance tidak berubah pada 11 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 32.93 mata kepada 9,768.84, Indeks FBMT 100 naik 29.20 mata kepada 9,615.71, Indeks FBM Emas Shariah menokok 57.26 mata kepada 10,903.71, FBM ACE menambah 43.33 mata kepada 5,064.74 dan FBM 70 mengukuh 41.77 mata kepada 11,941.44.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.15 mata kepada 12,291.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.29 mata kepada 120.93 manakala Indeks Perladangan menokok 2.56 mata kepada 6,242.32.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka tinggi minggu depan

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka mencatat aliran peningkatan minggu depan berikutan pertambahan permintaan terhadap komoditi itu susulan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata industri sarung tangan getah terus menerima pesanan yang besar di peringkat antarabangsa, menyebabkan permintaan ke atas lateks pukal meningkat.

“Banyak industri kembali beroperasi seperti biasa dan apabila China meningkatkan operasi kilang-kilang dan logistik mereka, permintaan terhadap getah turut melonjak.

“Sebarang tindakan oleh industri berasaskan getah misalnya tayar untuk kenderaan bermotor sudah tentu akan meningkatkan permintaan terhadap komoditi itu memandangkan permintaan terbesar penggunaan getah adalah untuk tayar kereta,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah menyaksikan dagangan bercampur-campur berikutan para peniaga terus tidak memasuki pasaran di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi global akibat ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China, berikutan peniaga kembali ke pasaran selepas cuti umum panjang di China dan Jepun.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 naik 3.5 sen kepada 4645.0 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik 12 sen kepada 423.0 sen sekilogram.

Pasaran tempatan akan ditutup pada Isnin sempena cuti umum Nuzul al-Quran yang jatuh pada Ahad.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Dagangan pasaran getah dijangka kecil minggu depan

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Pasaran getah Malaysia dijangka menyaksikan dagangan kecil minggu depan berikutan operasi dua pasaran utama – China dan Jepun ditutup selama hampir seminggu bersempena cuti umum.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata harga getah akan turut dijejaskan oleh unjuran ekonomi yang kurang memberangsangkan di serata dunia.

“Harga SMR 20 dan lateks pukal sepatutnya meningkat berikutan stok simpanan petani serta pihak pemproses yang tidak banyak.

“Jumlah simpanan lebih rendah daripada jangkaan itu kebanyakannya disebabkan oleh tekanan harga rendah sejak berminggu-minggu lamanya yang tidak menggalakkan penoreh untuk kembali melakukan kegiatan itu,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, pasaran getah dipengaruhi oleh prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau serta data pembuatan China.

Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Khamis, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi gred tayar SMR 20 susut 16.5 sen kepada 461.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berkurangan 8.5 sen kepada 410.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 susut 14 sen kepada 461 sen sekilogram dan lateks pukal turun enam sen kepada 411 sen sekilogram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Pengeluar perabot, peruncit perlu rebut peluang eksport

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Penggiat industri perabot Malaysia perlu bersedia untuk peluang mengeksport pelbagai jenis perabot ke Amerika Syarikat (AS), selepas Covid-19.

Thomas Russell, editor kanan akhbar harian dalam talian AS, Furniture Today, berkata pengeluar dan peruncit di Malaysia perlu mengekalkan kerjasama yang kukuh dengan pelanggan mereka di AS serta memantau perkembangan dan situasi terkini di AS.

“Beberapa negeri di AS akan dibuka semula bermula 1 Mei, dan pesanan dihantar semula.

“Memandangkan Malaysia mempunyai barisan produk yang kukuh untuk kategori seperti pejabat di rumah, ruang tamu dan ruang makan, ini merupakan peluang untuk berkembang,” katanya dalam sesi webinar, ‘Post COVID-19: The Change in Global Furniture Landscape: What is Ahead?’, anjuran Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF).

Russell juga berkata penting untuk pengeluar dan peruncit untuk mengekalkan tenaga kerja yang kukuh.

“Terus memberi tumpuan kepada kekuatan anda dan mengurangkan kelemahan. Memahami bagaimana rekaan baharu dapat membantu orang lain bekerja dengan lebih baik dan bersedia untuk pasaran kembali,” katanya.

Sementara itu, Wang Ming Liang, Pengasas dan Pengarah Shanghai Sinoexpo Informa Markets International Exhibition Co. Ltd berkata susulan persekitaran ekonomi China mula pulih, bekalan bahan mentah turut dijangka disambung semula.

Bagaimanapun, Wang berkata perniagaan yang lebih besar dan lebih mampan akan dapat terus berkembang, tetapi kos buruh yang lebih tinggi dijangka menyebabkan perniagaan yang lebih kecil ditutup.

“Trend kini ialah dalam talian. Misalnya, IKEA China, yang melancarkan platform jualan dalam talian pada Mac, menyaksikan jualan dalam taliannya meningkat dua kali ganda daripada jualan luar talian; ini menunjukkan membeli-belah dalam talian menjadi lebih popular, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

“Selain itu, ramai penganjur turut mengadakan pameran dalam talian menggunakan pelbagai platform, termasuk aplikasi mudah alih seperti WeChat yang sesuai untuk perniagaan, profesional dan pengguna,” kata Wang.

Dalam perkembangan lain, Helmut Max Merkel, Ketua Pengarang portal berita untuk industri perabot Jerman, MÖBELMARKT, berkata situasi industri perabot di Eropah, terutamanya di Jerman, masih tidak pasti.

Beliau berkata kebanyakan perniagaan masih tidak dibenarkan untuk beroperasi dan sukar untuk menjangka keadaan Covid-19.

“Susulan pakar mengunjurkan kemerosotan dalam pertumbuhan ekonomi, banyak pekerjaan, terutamanya dalam industri pelancongan dan hospitaliti, akan terjejas, dan ini akan memberi impak kepada permintaan terhadap perabot.

“Harapan kami ialah penduduk tempatan dapat berbelanja lebih banyak untuk keperluan domestik, termasuk perabot, dan pembinaan perumahan akan menjadi stabil yang dapat membantu industri,” kata Merkel.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: KKM lihat kerjasama penyelidikan dengan China

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melihat kemungkinan kerjasama dengan China dalam penyelidikan yang berkaitan dengan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Penyelidikan itu bermakna hari ini kita sedang mengkaji virus berkenaan, sama ada kita boleh asingkan virus itu. Jika kita boleh asingkan virus itu dan kita boleh buat urutan keseluruhan genomik, ia bermakna kita boleh kenal pasti virus ini.

“Jadi kita tanya diri sendiri, kerana ini adalah virus baharu, jadi tiada siapa yang telah mengenal pasti virus ini. Adakah kita sedang melihat virus ini dari Eropah, atau dari China, kita tidak tahu,” katanya dalam persidangan media harian berhubung Covid-19, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut, Dr Noor Hisham berkata: “Contohnya Zika, kita tahu senarai Zika, kita ada Zika tempatan. Kita tahu genom Zika dari Brazil dan dari lain-lain negara juga. Jadi kita perlu kenal pasti virus (Covid-19), itu sebabnya kita perlu asingkannya,”.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai pasukan perubatan China yang dijangka tiba di Malaysia dalam masa dua minggu lagi untuk berkongsi pengalaman mereka dalam menangani penularan Covid-19 di negara mereka.

Selain itu Dr Noor Hisham berkata, Malaysia China boleh berkongsi banyak teknik ujian ke atas Covid-19.

“Ini adalah peluang bagi kita untuk belajar, bekerjasama, berkongsi maklumat dan meninjau bagaimana kita boleh bekerjasama dan terus bergerak ke hadapan dalam menangani Covid-19,” katanya.

Beliau berkata pada dasarnya lawatan pasukan perubatan dari China itu adalah untuk melihat prestasi hospital di Malaysia dalam menangani Covid-19.

“Mereka bukan ke sini untuk mengendalikan perkhidmatan kita. Kita akan berbincang dengan mereka mengenai cara terbaik dalam meningkatkan tahap perkhidmatan dan keefisienan hospital kita,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata yang lebih penting lagi adalah perkongsian pengalaman dengan mereka yang pernah menguruskan Covid-19 di negara mereka sendiri, dengan inisiatif belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

“Kita ingin mendengar dan belajar dari mereka. Mungkin mereka juga boleh belajar sesuatu dari kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Lebih 90 peratus perusahaan utama di China kembali operasi

BEIJING, 17 MAC: Lebih 90 peratus sektor perusahaan utama di wilayah China yang terjejas akibat wabak Covid-19, kecuali beberapa kawasan tertentu termasuk Hubei, menyambung semula operasi dan pengeluaran.

“Terima kasih di atas langkah-langkah pemulihan spesifik dilaksanakan di wilayah itu,” kata jurucakap Suruhanjaya Pembaharuan dan Pembangunan Negara Meng Wei pada Selasa.

Wilayah termasuk Zhejiang, Jiangsu, Shanghai, Shandong, Guangxi, dan Chongqing hampir menyaksikan 100 peratus sektor perusahaan kembali beroperasi seperti biasa, menurut agensi berita Xinhua.

Data penggunaan elektrik menunjukkan pemulihan di seluruh sektor.

Industri logam bukan besi menyaksikan peningkatan penggunaan eletrik ke paras biasa seperti tahun lalu.

Penggunaan elektrik dalam industri farmaseutikal, kimia dan elektronik juga kembali mencapai tahap 90 peratus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19: Angka korban di China cecah 3,200

BEIJING, 14 MAC: Angka korban di China akibat Covid-19 meningkat kepada 3,193, menurut Suruhanjaya Kesihatan Negara pada Sabtu.

Agensi berita Anadolu melaporkan 13 meninggal dunia dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 11 kes baharu dikesan menjadikan keseluruhan pesakit seramai 80,824.

Virus itu kini merebak sekurang-kurangnya ke 123 negara dan wilayah.

Jumlah kematian seluruh dunia mencecah hampir 5,000 dengan lebih 132,500 kes disahkan, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.1680/1710 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Ringgit meneruskan aliran menurun hari ini di tengah-tengah ekonomi global yang lemah berikutan kebimbangan berterusan terhadap penularan Covid-19.

Pada jam 9.04 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1680/1710 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) daripada 4.1600/1620 ketika ditutup semalam.

IHS Markit menerusi nota penyelidikannya berkata berbanding ketika pandemik Sindrom Pernafasan Akut Teruk yang sama membimbangkan, peranan China dalam ekonomi global kali ini telah meningkat dengan ketara.

“China kini merupakan ekonomi kedua terbesar dunia selepas AS. Ia merupakan pengimport barangan pembuatan kedua terbesar dengan nilai US$1.674 trilion pada 2019, yang menyumbang 9.1 peratus kepada import global selain pengeksport terbesar bernilai US$2.524 trilion pada 2019, iaitu 13.7 peratus daripada eksport global.

“China adalah negara utama bagi pengeluaran perindustrian dan mempunyai kepentingan utama dalam rantaian nilai global. Peranan China di peringkat global dan di rantau Asia Selatan, khususnya pada masa ini, adalah lebih besar berbanding pada 2003 dan ekonomi rantau ini lebih saling berkait,” katanya.

Syarikat di seluruh dunia, terutama daripada sektor pembuatan dan automotif terjejas teruk akibat kekurangan bekalan alat ganti dan komponen terutamanya dari China.

Sementara itu, unit tempatan diniagakan tinggi kebanyakannnya berbanding mata wang utama.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9876/9908 daripada 2.9885/9910 ketika ditutup semalam dan tinggi berbanding pound kepada 5.3880/3923 daripada 5.4101/4143.

Mata wang tempatan meningkat berbanding yen kepada 3.7485/7522 daripada 3.7729/7761 semalam dan rendah berbanding euro kepada 4.5056/5105 daripada 4.4932/4970.

-BERNAMA