Categories
NASIONAL SELANGOR

Majlis Peguam : Zahid Hamidi tidak hormati undang-undang

ZAHID HAMIDI
SHAH ALAM 9 OKT : Majlis Peguam mengecam Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana beliau menunjukkan sikapnya tidak menghormati undang-undang dan hak asasi manusia.

Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong, berkata tindakan Zahid itu sebagai mengaibkan negara dan kerajaan ekoran pendedahan rakaman ucapan Menteri Dalam Negeri itu di Melaka oleh media baru-baru ini.

Sebelum ini, Ahmad Zahid semasa dalam satu Majlis Taklimat Keselamatan Bersama Pemimpin Masyarakat di Melaka bercakap mengenai beberapa isu sensitif antaranya melibatkan isu penjenayah masyarakat India serta mempertahankan kumpulan haram Melayu yang dikaitkan dengan aktiviti jenayah.

Majlis Peguam menegaskan tiga pengakuannya dalam ucapan tersebut adalah satu kesalahan serta tidak menghormati lunas undang-undang negara.

Ia berkaitan mengenai arahan menembak tanpa beri amaran, mengakui pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dibuat mengikut arahannya dan juga tahanan tanpa bicara selama dua tahun.

“Kenyataan beliau memalukan dan menyebabkan negara dan kerajaan diaibkan,” kata Leong dalam satu kenyataan.

Menurut Leong, tindakan Ahmad Zahid tersebut adalah suatu kesalahan berat dan boleh didakwa mengikut Akta Hasutan.

“Menteri Dalam Negeri nampaknya melampaui batas dan kemungkinan telah melakukan kesalahan dibawah Akta Hasutan,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Majlis Peguam kecewa Kerajaan Pusat luluskan pindaan PCA

pcaSHAH ALAM 4 OKT : Majlis Peguam Malaysia kecewa dengan Kerajaan Pusat yang meluluskan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA).

Presidennya, Christopher Leong, berkata pengenalan semula undang-undang penahanan tanpa bicara dan mengurangkan kuasa mahkamah yang diluluskan Dewan Rakyat memberikan pukulan hebat kepada kedaulatan undang-undang negara ini.

Katanya, pindaaan PCA itu adalah suatu yang menyedihkan bagi negara yang kembali semula ke belakang dalam hak asasi manusia.

“Jenayah keganasan yang berlaku perlu mengikuti prinsip, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Pindaan PCA itu akan menafikan hak asasi manusia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” kata Christopher dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pendirian tetap dan lemah menghadapi tekanan sehingga terpaksa bersetuju dengan undang-undang baru itu.

Katanya, langkah kerajaan meluluskan PCA terbukti satu tindakan angkuh kerana mengenepikan prinsip keadilan sejagat dan melanggar Perlembagaan Persekutuan serta mencabuli hak asasi manusia.

Pakatan Rakyat (PR) akan terus membantah pelaksanaan Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) walaupun diluluskan kerajaan Umno-BN.

PR akan mempergiatkan penerangan kepada rakyat pindaan PCA melalui penganjuran kempen, forum dan dialog ke seluruh negara kesan pelaksanaannya kelak.

Pindaan Akta itu membenarkan tahanan tanpa bicara terbuka kepada penyalahgunaan kerajaan Umno-BN seperti yang terjadi kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).