Categories
ADN SELANGOR

RM40,000 diperuntuk bina gelanggang futsal di Flat Palma

SHAH ALAM, 10 JAN: Sebanyak RM40,000 diperuntukkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang bagi membina gelanggang futsal di Flat Palma, Bandar Country Homes dekat sini.

Ahli Dewan Negerinya berkata kemudahan tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penduduk di kawasan tersebut.

“Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, penduduk di sini membuat aduan agar gelanggang ini diwujudkan maka saya mengambil inisiatif merealisasikannya.

“Semoga masyarakat di kawasan initerutama anak muda dapat menggunakannya dengan baik sekali gus memupuk budaya hidup sihat,” kata Chua Wei Kiat kepada SelangorKini.

Beliau berkata gelanggang futsal itu dibina Oktober tahun lalu itu dan siap dalam tempoh sebulan.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Jalan Perindustrian Rawang bakal naik taraf tahun ini

SHAH ALAM, 5 JAN: Jalan Perindustrian Rawang dekat sini bakal dinaik taraf tahun ini, kata Ahli Dewan Negeri Rawang.

Chua Wei Kiat berkata proses tersebut menelan belanja kira-kira RM445 juta melalui peruntukan kerajaan Persekutuan untuk mengatasi kepadatan lalu lintas di laluan dari Plaza Tol Rawang hingga kawasan bandar.

“Jalan ini menjadi isu utama penduduk lebih 20 tahun. Oleh itu, saya dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen berusaha yang terbaik memastikan projek ini diteruskan.

“Hasil pertemuan terkini dengan Jabatan Kerja Raya, mereka mengesahkan jalan ini akan dinaik taraf dan sedang dalam proses melantik kontraktor untuk pelaksanaan,” katanya menerusi Facebook.

Projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 itu akan bermula dengan kerja awalan seperti ukur tanah, reka bentuk dan penilaian serta prosesnya dijangka mengguna kaedah jalan bertingkat.

Categories
ADN SELANGOR

Kilang punca banjir kilat di Rawang diminta mohon lesen

SHAH ALAM, 27 NOV: Pemilik kilang yang menjadi punca banjir kilat sering berlaku di Taman Garing Jaya, Rawang diminta memohon lesen sebelum tindakan perobohan dijalankan.

Ahli Dewan Negeri Chua Wei Kiat berkata hasil siasatan mendapati premis tersebut mengubah aliran sungai tanpa kebenaran sehingga menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan.

“Kita dapati mereka gagal mengemukakan lesen. Namun, kita beri tempoh seminggu untuk mereka memohon lesen dan betulkan kembali aliran sungai tersebut.

“Sekiranya gagal tindakan akan diambil dan kita juga tidak akan berkompromi dengan kilang yang menjadi punca pencemaran atau banjir ini,” katanya ketika dihubungi.

Semalam, Wei Kiat bersama Majlis Perbandaran Selayang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Tanah turun ke Taman Garing Jaya untuk mencari punca banjir yang kerap berlaku di taman tersebut.

Katanya, beliau mendapati sebuah kilang tanpa lesen mengubah aliran sungai tanpa kebenaran yang menyebabkan laluan air tidak lancar ketika hujan.

Bagaimanapaun, kompaun dikenakan dan JPS serta Pejabat Tanah meneruskan siasatan supaya tindakan tegas dapat diambil bagi menyelesai masalah itu.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

RM300,000 bina pengukuh cerun, saliran gerai MPS Batu Arang

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan Negeri memperuntuk RM300,000 bagi projek pengukuhan cerun dan pembinaan saliran di gerai Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Batu Arang, Rawang.

Ahli Dewan Negerinya, Chua Wei Kiat berkata projek itu bertujuan menangani isu keselamatan peniaga dan penduduk di kawasan berkenaan.

“Projek ini bermula pada 8 Julai dan sepatutnya siap 15 Oktober lalu namun dilanjutkan sehingga dua minggu lagi berikutan masalah penghantaran peralatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Skop kerja merangkumi pembinaan saliran cerun setinggi 110 meter dan pembaikan kawasan belakang gerai MPS,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata pembinaan tandas di belakang gerai berkenaan dipercayai menjadi punca masalah sistem pengairan, selain insiden cerun runtuh kira-kira enam tahun lalu.

“Ketika itu saya yang masih menjadi ahli majlis MPS bersama ahli parlimen Selayang (William Leong Jee Keen) membuat aduan tetapi ada beberapa cabaran seperti kos agak tinggi dan kerja sukar dilaksanakan.

“Bagaimanapun saya bersyukur dan gembira kerana masalah lama dapat diselesaikan sekali gus memberi jaminan keselamatan kepada bukan penduduk malah peniaga dapat berniaga tanpa kerisauan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Rawang tumpu atasi isu jalan raya sesak, banteras kilang haram

Masalah jalinan jalan raya yang tidak setara dengan kepadatan penduduk berikutan kepesatan pembangunan di Rawang antara fokus Ahli Dewan Negeri Rawang.

Chua Wei Kiat mendapati masalah sejak puluhan tahun itu perlu diselesaikan sebelum agenda lebih besar dijayakan.

Contohnya, jalan persekutuan dan negeri yang menghubungkan pekan lama Rawang-Bandar Country Homes-Kundang sering sesak pada waktu puncak; hanya ada satu atau dua lorong sahaja sedangkan bilangan penduduk kian bertambah.

Justeru, Wei Kiat membuat perancangan dengan kerjasama pelbagai pihak. Malah, beliau turut mendapat bantuan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang turun padang melihat sendiri masalah itu.

Chua Wei Kiat

“Contohnya, jalan B27 (jalan negeri di jajaran menghubungkan pekan lama Rawang hingga Kundang), kita atasinya sejak berperingkat dan lihat punca masalah seperti sistem tender bagi jalan negeri terbabit yang diperbetulkan oleh Dato’ Menteri Besar.

“Sekarang ini dalam proses melantik kontraktor penyelamat. Diharapkan kerja naik taraf dilakukan secepat mungkin bagi memberi keselesaan pengguna,” katanya yang menjadi wakil rakyat sejak Mei 2018.

Bagi jalan persekutuan di laluan itu pula, beliau membangkitkan masalah berkenaan kepada ke agensi berkaitan. Hasilnya, RM450 juta diperuntuk kerajaan persekutuan, ketika itu ditadbir Pakatan Harapan, bagi menambah baik prasarana tersebut. Mengikut wakil rakyat berusia 31 tahun itu, kerja tanah dijadual bermula tahun depan.

Banteras kilang haram

Wei Kiat juga membangkitkan isu pencemaran di Rawang berikutan kewujudan banyak kilang haram, seperti yang berlaku membabitkan Sungai Gong berikutan pembuangan bahan berbahaya pada September lalu.

“Banyak kilang haram dibina sebelum pentadbiran Kerajaan Negeri sekarang. Ia menjadi punca utama pencemaran air, udara dan bau. Dalam dua tahun ini, saya giat sertai operasi bersama pihak berkuasa.

Chua Wei Kiat (tengah) meninjau

“Banyak cabaran besar antaranya aspek undang-undang yang memerlukan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri selain kekurangan pegawai untuk memantaunya setiap masa,” katanya.

Wei Kiat juga melihat potensi Pekan Batu Arang sebagai destinasi pelancongan. Bekas lombong pada 1913 dijangka mampu mewujudkan peluang ekonomi kepada penduduk berikutan ia menjadi tumpuan penggemar sukan lasak baik berbasikal dan motosikal pada hujung minggu atau cuti umum.

Bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, beliau giat mempromosi kawasan itu termasuk memasang papan tanda yang menerangkan latar belakang dan sejarah kawasan itu.

“Peningkatan pengunjung memberi kesan ekonomi apabila penduduk dapat berniaga makanan dan menjadikan rumah mereka sebagai inap desa. Harapan kita supaya kawasan itu jadi terkenal pada masa depan,” katanya.

Penerima insentif DUN Rawang

– Skim Mesra Usia Emas: 6,646 orang
– Skim Insurans Peduli Sihat: 6,346 orang
– Kad Kasih Ibu Smart Selangor: 603 orang

Categories
ADN SELANGOR

Kerja pembersihan Sungai Jalan Station atasi masalah banjir

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerja pembersihan kawasan Sungai Jalan Station, Batu Arang dijangka siap sepenuhnya minggu ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang berkata kontraktor dilantik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah memulakan tugas bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang di kawasan berkenaan.

“Sebenarnya Batu Arang bukan kawasan tumpuan banjir tetapi kawasan anak sungai ditutupi rimbunan pokok kecil yang menyebabkan aliran air tersekat.

“Saya mengadakan lawatan selepas menerima aduan bagi mengenal pasti punca kepada masalah berlaku bulan lalu,” kata Chua Wei Kiat ketika dihubungi.

Pada 11 September lalu kejadian banjir kilat berlaku di Batu Arang disebabkan limpahan air yang tidak dapat mengalir dengan lancar berikutan hujan lebat.

Categories
ADN SELANGOR

ADN: Batu Arang potensi pelancongan baharu di Selangor

SHAH ALAM, 10 SEPT: Batu Arang, Rawang berpotensi dimajukan sebagai produk baharu pelancongan di Selangor kerana sering menjadi lokasi pilihan pengunjung khususnya penggemar acara basikal lasak untuk berekreasi.

Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat berkata setiap hujung minggu, pekan warisan dahulunya digelar Bukit Emas Mini akan dipenuhi penggiat sukan terbabit yang menjelajah kawasan sekitarnya sambil mencari makanan.

“Batu Arang sudah dimasukkan dalam peta pelancongan Selangor dan kita berusaha untuk mempromosi kembali kawasan ini selain membangunkan laman sesawang supaya dapat menarik lebih ramai pelancong seterusnya memahami kesan sejarah yang ada.

“Ini kerana semasa pemerintahan British, pekan ini terkenal dengan aktiviti perlombongan tetapi ditutup disebabkan arang batu kurang bernilai. Sejak itu tiada banyak inisiatif untuk menjadikannya sebagai kawasan tarikan pelancong,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mempelawa seluruh rakyat tempatan untuk berkunjung ke Batu Arang memandangkan sudah ada pihak yang mengambil inisiatif membangunkan inap desa.

“Jadi, ia sesuai untuk mereka (pengunjung) mengadakan hari keluarga atau mana-mana badan korporat yang berminat menganjurkan program bersama kakitangan.

“Dalam tempoh ini (Perintah Kawalan Pergerakan) harga (inap desa) murah dan peluang terbaik untuk pelancong meneroka lokasi pelancongan di Malaysia khasnya Selangor,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Penyukat suhu, cecair basmi kuman untuk sekolah dan masjid

SHAH ALAM, 12 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang menghulurkan sumbangan alat penyukat suhu dan cecair pembasmi kuman kepada sekolah serta masjid di kawasan berkenaan.

Chua Wei Kiat berkata peruntukan RM15,000 digunakan untuk pembelian alat tersebut iaitu termometer digital dan manual serta cecair berkaitan untuk diagihkan dengan sebahagian sekolah sudah menerimanya sejak awal bulan ini.

“Selebihnya kita akan serahkan selepas tempahan diterima dalam tempoh satu atau dua minggu lagi dan berharap peralatan ini dapat membantu petugas hadapan seperti guru, imam dan staf masjid mempercepatkan proses pemeriksaan selain mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan pematuhan tatacara operasi piawai,” katanya.

Antara sekolah mendapat bantuan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Garing, SMK Tuanku Abdul Rahman Batu Arang, SMK Tun Perak, SMK Taman Desa 1, SMK Rawang Batu 16 termasuk Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Rawang, Taman Pelangi.

Sekolah lain turut tersenarai, SK Bukit Rawang Jaya, SK Sinaran Budi, SK Taman Tun Teja, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) San Yuk, SJKC Chap Khuan, SJKC Kota Emerald dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Rawang, Kuala Garing.

Sementara itu, Masjid Nurul Iman, Kampung Kenanga; Masjid Taman Tun Teja, Masjid Cahaya Iman dan Masjid Jamek, Batu Arang antara yang menerima sumbangan sama.

Categories
ADN SELANGOR

Kerja mitigasi banjir di Rawang sedang giat dijalankan

RAWANG, 31 JULAI: Kerja mitigasi bagi mencegah banjir di Jalan Kawasan Perindustrian Rawang kini sedang giat dijalankan, kata Ahli Dewan Negerinya, Chua Wei Kiat.

Beliau yakin kejadian banjir kilat yang berlaku pada 22 Julai lalu adalah kejadian terakhir bagi penduduk membuat aduan di media sosial.

“Sebelum ini memang kita sering menghadapi masalah banjir kilat, namun ia tidak teruk seperti dahulu lagi.

“Buat masa sekarang Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melebarkan Jalan Kawasan Perindustrian Rawang dan menaik taraf Sungai Gong, dan dijangka selesai menjelang 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke lokasi kejadian banjir kilat bersama Jabatan Pengairan Saliran, JKR, Majlis Perbandaran Selayang dan Pejabat Tanah Gombak.

Pada masa sama, Wei Kiat berkata, jambatan haram yang dibina pada anak Sungai Gong berhampiran tol Rawang akan dirobohkan dalam usaha mengurangkan kesan banjir.

“Cadangan perobohan itu dibuat ekoran palong bawah jambatan itu tersumbat dengan sampah yang menghalang kelancaran air.

“Didapati jambatan itu dibina tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan tiada penyelenggaraan dilakukan di kawasan itu,” katanya.

Katanya, kesan banjir juga akan berkurangan selepas projek kolam takungan banjir di bawah seliaan JPS Gombak siap, pada September ini.

 

Categories
SELANGOR

Ribut di Rawang, Kerajaan Negeri kumpul maklumat kerosakan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

RAWANG, 6 MEI: Kerajaan Negeri sedang mengumpulkan maklumat lanjut berkaitan kerosakan yang dihadapi penduduk berikutan kejadian ribut kencang Jumaat lalu bagi urusan penyaluran bantuan dana.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, ketika ini Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah ditutup sejak semalam dan semua mangsa terlibat sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Kita akan kumpulkan maklumat tentang kerosakan yang dihadapi mangsa dan kita akan bawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) minggu ini bagi membincangkan tentang penyaluran peruntukan.

“Kita akan pastikan semua penduduk dalam keadaan selamat dan selesa, lagi-lagi ketika menghadapi Ramadan ini,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sudah menghantar sumbangan kecemasan kepada mangsa yang terlibat pada Sabtu lalu.

Empat lokasi terjejas adalah Taman Jati, PKNS Batu 17, Taman Setia Batu 16 dan Pangsapuri Rawang Perdana 1 termasuk bumbung Sekolah Menengah Kebangsaan tun Perak serta tangki air Blok Cempaka Tun.

Berikutan bencana itu, satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Dewan Majlis Perbandaran Selayang Taman Kanching Jaya.

Sekurang-kurangnya 200 keluarga terjejas dalam kejadian ribut terbabit.