Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Guna dron kesan operasi projek binaan tidak kritikal, tiada jarak fizikal

SHAH ALAM, 3 JUN: Sebuah syarikat kontraktor diarah menghentikan projek pembinaan tidak kritikal yang dijalankan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Selangor berkata projek pembinaan 51 unit rumah teres di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat dikesan menerusi penggunaan dron dalam operasi mengejut pihaknya semalam.

Suhaimi Mansor berkata melalui gambar diambil pihaknya juga mengesan pekerja binaan tidak melakukan penjarakan fizikal, seterusnya serbuan dilakukan menyebabkan kontraktor serta pekerja tidak dapat melarikan diri.

Penguat kuasa CIDB Selangor meletakkan notis henti kerja di tapak projek pembinaan rumah kerana melakukan pembinaan tidak termasuk dalam tidak kritikal ketika PKP penuh dalam operasi di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 2 Jun 2021. Foto CIDB Selangor

“Siasatan lanjut mendapati syarikat itu beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dan tiada permit mendirikan rumah kongsi pekerja daripada pihak berkuasa tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Suhami berkata satu notis henti kerja dikeluarkan dan siasatan dibuat mengikut Akta CIDB 1994 yang jika disabitkan kesalahan kontraktor terbabit boleh didenda RM500,000 selain digantung lesennya.

“CIDB akan meneruskan pemeriksaan bagi memastikan hanya pembinaan kerja-kerja kritikal dilakukan sepanjang PKP ini,” katanya.

Sepanjang PKP selama 14 hari mulai Selasa lalu, semua kerja pembinaan tidak dibenarkan dengan pengecualian kepada kerja disenaraikan dalam perkhidmatan kritikal.

Pengecualian itu antaranya kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal yang boleh mendatangkan bahaya atau kemudaratan jika tidak diteruskan termasuk pembaikan cerun serta kawalan pengurusan trafik.

Selain itu, kerja pembinaan infrastruktur awam utama dan kritikal; perkhidmatan perunding bagi kerja pembinaan dibenarkan beroperasi dan perkhidmatan dalam rantaian bekalan bagi kerja pembinaan.