Categories
SELANGOR

Kerjasama Dengan MYCAT Hindar Jenayah Hidupan Liar

SHAH ALAM 23 MAC : Kerajaan Negeri hari ini mengumumkan kerjasama dengan Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT) bagi menjalankan Kempen Kesedaran Membanteras Jenayah Hidupan Liar.

Menurut Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong, kempen tersebut khusus untuk meningkatkan kesedaran awam bagi mengelakkan kepupusan hidupan liar selain meningkatkan kesedaran awam yang masih rendah terutama dalam isu penjualan makanan eksotik.

“Kempen ini bertujuan untuk mendapatkan kerjasama orang awam bagi melaporkan segala kejadian jenayah hidupan liar seperti yang termaktub di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010..

“Dengan itu, kita mewujudkan talian Hotline Hidupan Liar khas untuk membantu meningkatkan usaha penguatkuasaan serta menyediakan saluran untuk masyarakat membantu pihak berkuasa khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan),” jelas Elizabeth sambil menambah Kerajaan Negeri memperuntukkan RM 20,000 bagi menjayakan kempen tersebut.

Di samping itu, Elizabeth turut memberitahu Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama erat dengan Pihak Berkuasa Tempatan, Perhilitan, dan MYCAT dalam perlaksanaan CLAW (Cancelling of Licences to Aid Wildlife).

“Kita sudah melantik pegawai-pegawai khas untuk memantau kawasan hutan kita supaya aktiviti jenayah dapat dikawal.

“Lesen-lesen juga boleh ditarik balik bagi mana-mana pihak yang menyalahi akta yang digariskan,” terang Elizabeth dalam satu sidang media ketika Sidang DUN berhenti rehat yang turut ditemani pembantu khasnya, Lee Kim Sin.

Orang ramai boleh menghubungi talian hotline Hidupan Liar di talian 019-356 4194 yang beroperasi 24 jam. Mereka juga boleh menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) ke talian yang sama atau boleh juga menghantar email ke [email protected] dengan menyertakan maklumat tempat, masa, jenis jenayah serta gambar atau video yang dapat membantu siasatan.