Categories
SELANGOR

Montfort Boys Town Jalin Kerjasama Dengan INSPEN

SHAH ALAM 27 FEB: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan kerjasama dua hala antara Montfort Boys Town (MBT ) dan Kolej Antarabangsa INSPEN yang dimiliki sepenuhnya kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan generasi muda di negeri ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, institusi pengajian perlu mengamalkan budaya kerjasama seperti berkongsi teknologi dalam melahirkan modal insan yang relevan dengan produktiviti sering dengan keperluan semasa.

“MBT mempunyai kemahiran dalam kimpalan, kami akan meminta mereka untuk membantu menyediakan tenaga pengajar. Manakala k INSPEN boleh berkongsi kemahiran elektronik dan jahitan, “jelas Abdul Khalid dalam satu sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada MBT.

MBT ditubuhkan pada tahun 1959 oleh empat mubaligh Katolik untuk membantu kanak-kanak lelaki yatim atau datang dari keluarga miskin yang kurang bernasib baik. Kanak-kanak ini diberikan latihan berbentuk teknikal bagi menjamin masa depan yang lebih baik.

Kini, MBT mempunyai sejumlah 270 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan yang dilatih dalam bidang baikpulih kenderaan, elektrik, pemesinan, percetakan, kimpalan, bakeri & pastri, penyelenggaraan komputer, grafik & multimedia dan hospitaliti.

Dalam perkembangan sama, kerajaan negeri menyumbangkan dana sejumlah RM100,000.00 untuk pembangunan kemudahan sukan kepada MTB sebagai tanda menyokong kerja amal sekolah itu selain menginginkan persekitaran pembelajaran yang lebih baik kepada pelajarnya.

Dalam siri lawatannya hari ini, Abdul Khalid menzahirkan rasa kagum dengan kekemasan dan kebersihan persekitaran MBT dan menawarkan mereka menyertai kerajaan negeri dalam usaha untuk menggalakkan kebersihan di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan menggabungkan pelajar MBT dalam aktiviti-aktiviti seperti “gotong-royong” dengan masyarakat di seluruh negeri ini.

“Saya akan meminta agensi-agensi negeri dan jabatan melawat MBT bagi melihat prosedur operasi standard dalam menjaga kebersihan,”katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah MBT, Tan Sri Clifford F. Herbert melahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri atas sokongan dan berharap lebih banyak syarikat akan mencontohi kepimpinan Abdul Khalid dalam tanggungjawab sosial korporat yang penuh semangat untuk membantu program-program pembangunan.

” Setiap tahun MBT berjaya menyimpan 90 peratus daripada sumbangan murah hati orang ramai untuk kegunaan perbelanjaan operasi, ” katanya.