Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 1,240 kes baharu, catat rekod tertinggi lagi

SHAH ALAM, 26 OKT: Penularan Covid-19 di Malaysia merekodkan angka tertinggi hari ini dengan 1,240 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham berkata pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan kes adalah 27,805 dengan 9,774 daripadanya kes aktif.

“Selain itu sebanyak 94 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi dengan 31 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

“Negara turut merekodkan tujuh kematian hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 236 kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata negara merekodkan 691 pesakit sembuh menjadikan jumlah keseluruhan pulih 17,825 kes (64.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesan tiga kluster baharu iaitu Kluster Kapor di Kudat, Sabah merekodkan 30 kes serta Kluster Hampar di Rembau, Negeri Sembilan dan Kluster Penjara Tapah di Batang Padang, Perak masing-masing empat kes.

Malaysia pernah merekodkan 1,228 kes harian tertinggi pada 24 Oktober, 871 kes (18 Oktober) dan 865 kes (19 Oktober).