Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Angpau RM10,000 menanti pemenang pertandingan ucapan Tahun Baharu Cina

SHAH ALAM, 21 JAN: Orang ramai tanpa mengira kaum berpeluang memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif dalam siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Buddha dan Tao Selangor Dato’ Teng Chang Khim berkata ucapan Tahun Baharu Cina itu boleh ditulis dalam pelbagai bahasa bagi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menyertainya.

“Pengacara program akan memaklumkan waktu penonton boleh menghantar ucapan, sebanyak tiga slot disediakan untuk memenangi angpau berjumlah RM10,000 keseluruhan.

“Siaran langsung disiarkan di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari @ami.mbselangor dan Facebook saya Teng Chang Khim pada jam 9 malam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Chang Khim berkata program kebudayaan istimewa sepanjang siaran langsung berkenaan akan menampilkan seniman dari tiga generasi dari zaman 70-an hingga kini.

Jelasnya, antaranya nyanyian lagu klasik oleh kumpulan Dua Sekawan dianggotai Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck dan tarian singa dipersembahkan Persatuan Tarian Singa Hong Jing.

Beliau berkata, pelancaran lagu sempena perayaan Tahun Baharu Cina bertajuk ‘Salam Tahun Baru’ hasil ciptaan Kam Leong juga akan dibuat pada program itu.

“Video lagu tersebut dirakam di Kampung Baru Jenjarom, Kuala Langat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Hargai ibu bapa, orang tersayang mampu bina pertalian erat- Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Nilai-nilai murni dalam menghargai ibu bapa dan orang disayangi mampu membina pertalian lebih erat dalam kalangan ahli keluarga sekaligus memberi penghormatan kepada mereka yang lebih tua.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam perutusan ucapan Tahun Baharu Cina berkata sifat berakhlak mulia dan menghormati ibu bapa serta mereka yang lebih tua adalah antara ciri-ciri yang perlu ditekankan semasa perayaan ini.

“Terutamanya budaya makan malam bersama keluarga pada ambang perayaan. Kita mesti sentiasa menghargai serta menjaga ibu bapa dan mereka yang disayangi, bukan sahaja pada musim perayaan.

“Pengorbanan mereka tidak ternilai dan ini tidak patut dilupakan. Pada Tahun Baharu Cina ini, jangan kita lupa untuk bersyukur kerana dapat bersama mereka yang tersayang,” katanya dengan ucapan “Xin Nian Kuai Le, Selamat Tahun Baharu Cina”.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata masyarakat juga seharusnya tidak melupakan golongan yang kurang bernasib baik dengan meringankan beban mereka selain melakukan kebaikan di mana sahaja berada.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Semangat perpaduan, kunci kesejahteraan bumi Darul Ehsan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 25 FEB: Prinsip perpaduan dan toleransi yang diamalkan kepelbagaian masyarakat di negeri ini kekal memacu kepada kesejahteraan bumi Darul Ehsan.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, resam keunikan kaum di negeri itu terus dipegang utuh bagi menggambarkan keamanan yang dikecapi rakyat Selangor.

“Marilah kita terus membingkai muafakat dan meraikan kepelbagaian sebagai aset negeri yang paling berharga untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara.

“Perpaduan yang dinikmati seluruh rakyat Selangor ini perlu dipertahankan walaupun terdapat kepelbagaian dari segi etnik, budaya dan kaum.

“Kepelbagaian dan keunikan kaum ini adalah khazanah dan bukannya kelemahan untuk pembangunan negeri.

“Justeru, semangat perpaduan inilah yang akan melahirkan negeri yang aman dan makmur untuk menjana pembangunan berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, peringkat Negeri Selangor di Dataran Petaling Jaya, malam tadi.

Terdahulu, prinsip permuafakatan itu turut dipegang utuh pentadbiran negeri yang ditunjangi Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, penyatuan kaum yang diterapkan di seluruh negeri berjaya mengukuhkan keharmonian dan perpaduan di Selangor.

“Walaupun kita hidup dalam persekitaran kepelbagaian kaum dan agama, namun kita berani nyatakan bahawa inilah yang menjadi aset kepada pengukuhan keharmonian Selangor.

“Rakyat yang bersatu hati dan bekerja kuat pastinya akan dilimpahi dengan rezeki kemajuan ekonomi negeri dari Tuhan.

“Buktinya, walaupun kita diserang oleh pihak tertentu dan ada media yang memutar belit kenyataan pimpinan Selangor, namun negeri kita ini muncul sebagai negeri paling maju dan kaya dalam Malaysia,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Warga pelbagai kaum meriahkan sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PETALING JAYA, 25 FEB : Masyarakat berbilang kaum di negeri ini hadir memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Sempena Perayaan Tahun Baru Cina, Peringkat Selangor 2018, di Dataran Petaling Jaya, malam tadi.

Lebih manis, sambutan itu turut dihadiri Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al- Haj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin yang berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis tahunan itu.

Turut berangkat ke majlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Teng Chang Khim yang hadir mewakili Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama, pimpinan utama Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Hannah Yeoh, Dato’ Iskandar Abdul Samad, Elizabeth Wong, Zaidy Abdul Talib, dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Dalam pada itu, baginda Sultan turut berkenan mencemar duli menggaul sajian makanan tradisional masyarakat Tiong Hua, Yee Sang sebagai simbolik keterbukaan perpaduan dan permuafakatan masyarakat Cina di Selangor.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri, Raja Muda Selangor, Hannah Yeoh dan Dato’ Teng Chang Khim yang turut menggaul Yee Sang sebagai kelaziman tradisi masyarakat Cina, di negara ini.

Majlis turut menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan dipersembahkan kepada umum, antaranya persembahan kesenian Tarian Diabolo, Gu Zheng dan Violin, Tarian Singa, dan pemberian ‘ang pow’ kepafa kanak-kanak berusia di bawah umur 12 tahun.

Terdahulu, penganjuran program berkenaan dianjurkan Kerajaan Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor dan agensi kerajaan.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jom meriahkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 24 Feb ini

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 14 FEB: Seramai 11,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Rumah Terbuka sempena perayaan Tahun Baru Cina peringkat Selangor yang akan diadakan pada 24 Februari (Sabtu), bertempat di Dataran Petaling Jaya.

Exco Pelaburan, Perindustrian Industri Kecil Sederhana (IKS), Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, program itu akan bermula dari jam 7 hingga 10.30 malam.

“Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan lagi sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini yang padat dengan pelbagai pengisian seperti penyampaian sumbangan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, persembahan kebudayaan, jamuan makan dan sebagainya.

“Majlis akan dihadiri Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang dijadualkan keberangkatan pada jam 8 malam.

“Selain itu, turut hadir adalah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan isteri, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ketua-ketua Jabatan, wakil-wakil kedutaan dan seluruh warga Selangor,” katanya dalam sidang media di Bangunan SUK di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, pihaknya bersama Invest Selangor Berhad sekali lagi menjadi penganjur program berkenaan yang menjadi antara acara terbesar diadakan di Selangor pada tahun ini.

Katanya, bagi kemudahan orang awam ke majlis, perkhidmatan bas percuma iaitu PJ City Bus turut disediakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan stesen terpilih ke lokasi majlis.

“Di samping itu, sebanyak 5,725 tapak parkir kereta disediakan sekitar Petaling Jaya seperti di Seksyen 52, Amcorp Mall, Menara PKNS, LRT Asia Jaya dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Majlis ini mendapat kerjasama daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Tourism Selangor Sdn Bhd, Hijrah Selangor serta agensi-agensi terlibat,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut mengenai sambutan itu boleh menghubungi sekretariat Azrul Shah Mohamad, Haslinda atau Maryani di talian 03-55102005 atau emel kepada [email protected], haslinda@@investselangor.my dan [email protected].

=EZY=

Categories
SELANGOR

Golongan kurang berkemampuan terus dipeduli dan dibantu

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 11 FEB: Golongan kurang berkemampuan menjadi keutamaan Kerajaan Negeri untuk dibantu supaya mendapat pembelaan sewajarnya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah, berkata program tahunan sumbangan kepada golongan memerlukan sempena Tahun Baru Cina diteruskan bagi tujuan itu.

“Pada kebiasaannya pada musim perayaan menjadi tradisi untuk kita memberi sumbangan kepada golongan sasaran seperti warga emas.

“Ia memang menjadi dasar Kerajaan Negeri bagi membantu golongan kurang berkemampuan di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan dan wang raya kepada warga emas sempena Tahun Baru Cina di Balairaya Kampung Baru Salak, Bandar Salak, di sini, semalam.

Seramai lebih kurang 200 warga emas menerima sumbangan itu termasuk buah limau dalam program anjuran Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Baru Salak itu.

Program sumbangan seperti itu juga dijalankan di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) lain di Selangor dengan kerjasama JKKK kawasan dan agensi serta pertubuhan bukan Kerajaan (NGO).

“Kita sentiasa menggalakkan program seperti ini dijalankan terutama pada musim perayaan agar golongan sasaran tidak dipinggirkan,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Simbolik Tahun Baru Cina, DUN Sungai Pinang edar limau

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 4 FEB: Sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina yang bakal tiba, Pejabat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang meneruskan tradisi 15 tahun dengan mengedarkan 150 kotak buah limau dan 2,000 keping ucapan kaligrafi kepada pengunjung pasar pagi Taman Eng Ann, di sini.

Ahli Dewan Negerinya, Dato’ Teng Chang Khim berkata pihaknya meneruskan usaha itu bagi memeriahkan sambutan perayaan yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Ia sebahagian tradisi masyarakat Cina menyambut perayaan ini tidak kira di mana-mana.

“Juga ucapan kaligrafi ini dengan maksud yang baik dan bertuah, jadi kita meneruskan tradisi sejak 15 tahun lalu,” katanya kepada SelangorKini.

Sambutan Tahun Baru Cina itu bakal diraikan pada 16 Februari ini oleh masyarakat Cina seluruh dunia bagi menandakan kelahiran tahun baru mengikut kalendar lunar.

Manakala, limau Mandarin, tangerins atau Lokam menjadi simbolik atau simbol tradisi itu.

Buah limau mandarin dan pokok limau yang renek (kumquat) menjadi perhiasan di kala musim perayaan tahun baru cina.

Fizikal limau itu sendiri melambangkan unsur kekayaan. Bewarna terang oren keemasan (golden), seumpama emas dan simbol ‘prosperity’.

Selain bentuk fizikal, dalam segi istilah sebutan buah limau dalam bahasa cina juga seakan-akan dengan perkataan ‘luck’ atau tuah dari perkataan kam.

Kemunculan Tahun Baharu Cina saban tahun, semestinya masyarakat Cina mahukan ‘prosperity’ dan ‘luck’ sepanjang tahun. Maka, buah limau dan pokok limau menjadi simbolik untuk mendatangkan semangat dan ‘feel’ itu.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Dua tanglung ‘Bebas Anwar’ dilepas tanda solidariti

OLEH : AFIX REDZUAN

AMPANG, 22 FEB: Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen Ampang dan DUN Bukit Antarabangsa berlangsung meriah di hadapan pusat membeli belah Spectrum di sini.

Diserikan dengan persembahan seni Cina dan tarian naga, ia turut disambut bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin.

cny ampang 5 (1)Mohamed Azmin dalam ucapan ringkasnya sekali lagi menyeru rakyat menjaga kesepaduan kaum yang menjadi aset berharga kepada Selangor.

Beliau turut menghargai sokongan diberikan rakyat sehingga menyaksikan ekonomi Selangor terus kukuh.

Dalam majlis sama, Mohamed Azmin turut bersama-sama melepaskan dua tanglung ke udara yang tertera tulisan #BebasAnwar sebagai tanda solidariti kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Kesepaduan kaum aset terpenting kekuatan Selangor

OLEH : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 21 FEB: Ribuan rakyat pelbagai kaum hadir memeriahkan Sambutan Tahun Baru Cina peringkat Negeri Selangor yang diadakan di Dataran Petaling Jaya semalam.

Berlangsung sederhana, ia dirasmikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dengan paluan gendang bersama barisan Exco Kerajaan Negeri, Adun serta pimpinan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

cny pj 3Sambutan turut diserikan dengan persembahan selama 90 minit yang melibatkan pertunjukan wayang kulit, tarian singa dan seni mempertahankan diri.

Mohamed Azmin nyata gembira dengan sambutan diterima turut mengambil kesempatan menyerahkan ‘ang pow’ kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah serta beramah mesra bersama rakyat.

Katanya, kesepaduan kaum di Selangor merupakan aset bernilai yang perlu dipertahankan bagi memastikan negeri terus berkembang pesat.

cny pj 1“Saya gembira dengan sambutan Tahun Baru Cina peringkat Selangor pimpinan Datuk Teng Chang Khim dan kalau kita lihat daripada kehadiran hari ini merupakan realiti masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai bangsa serta agama.

“Kita melihat kepelbagaian ini sebagai satu aset, bukan kepada pertembungan atau pertikaian agama serta budaya.

“Inilah kekuatan Selangor dan kemakmuran menjadi asas memajukan negeri,” katanya.

EZY

Categories
SELANGOR

Pelbagai bangsa meriahkan sambutan CNY di Klang

OLEH : NORHAYATI UMOR

KLANG, 20 FEB: Pelbagai bangsa hadir meraikan Sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Hamzah Majlis Perbandaran Klang (MPK) semalam.

Mereka diraikan MPK sempena Tahun Baru Monyet Api yang dilihat bakal membawa tuah, keriangan dan kemakmuran yang lebih baik untuk penduduk.

hokkien klang 2Yang DiPertuanya, Datuk Mohd Yasid Bidin, berkata seramai 280 yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya dan golongan berpendapatan rendah menerima angpow.

“Kita tidak menjangkakan sambutan sebegini meriah. Ramai yang hadir makanan habis.

“Kami gembira dengan kemeriahan ini. Sekurang-kurangnya kita dapat berkongsi kegembiraan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis sambutan itu.

Dalam sambutan itu, lebih sepuluh gerai makanan disediakan.

Turut hadir Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi dan Adun Selat Kelang, Dr Halimah Ali.

Turut hadir, ahli-ahli majlis MPK dan Penyelaras DUN Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri.

EZY

MB edar limau dan ang pow kepada warga emas sempena CNY

Edaran limau dan pemberian ang pow kepada warga emas oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Ampang dan Gombak