Categories
EXCO SELANGOR

PBT diminta bantu pesuruhjaya bangunan atasi isu berbangkit bawah JMB

SHAH ALAM, 23 DIS: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memberi keutamaan kepada pesuruhjaya bangunan (COB) untuk menyelesaikan isu berbangkit di bawah badan pengurusan bersama (JMB).

EXCO perumahan berkata pelbagai isu timbul tidak dapat diuruskan dengan baik memerlukan pembabitan COB yang mahu Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor(LPHS) menekan PBT supaya meletakkan perkara itu di bawahnya untuk senarai semak utama.

“Jadi COB menjadi perkara pertama untuk saya selesai tahun hadapan. Kita akan lihat masalah berbangkit dalam JMB dan bagaimana untuk tangani supaya tidak timbul isu tuding-menuding antara satu sama lain,” kata Rodziah Ismail pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan Selangor Bilangan 2/2020 di Hotel De’Palma di sini semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya berdepan isu membabitkan perumahan yang bertukar daripada kediaman kepada hotel suite dan kondominium hotel (Kondotel).

“Ini antara perkara baharu sejak dua tahun kebelakangan ini kerana ada pihak pada asalnya memohon bina hotel tetapi berubah dan begitu juga unit apartment yang dipromosikan sebagai Airbnb.

“Justeru, kita berasakan perlu ada jalan penyelesaian dengan mewujudkan dasar baharu untuk isu seperti ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

COB cemerlang disokong Kerajaan Negeri, bukan Persekutuan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Pegawai Pesuruhjaya Bangunan (COB) dapat berfungsi cemerlang di pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor ekoran sokongan dan polisi jelas Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata tidak dinafikan COB adalah pegawai Kerajaan Persekutuan tetapi mereka hanya ditempatkan di PBT Selangor tanpa penetapan hala tuju mengeni peranan mereka.

“Kerajaan Negeri banyak memperkenalkan inisiatif baru untuk menyelesaikan masalah perumahan berstrata. Jika hendak diharapkan Kerajaan Persekutuan, kita mungkin akan ketinggalan 10 tahun.

“Kita amat menghargai pegawai COB dan mereka menerima perhatian yang sama seperti pegawai Kerajaan Negeri.

“Contohnya tahun ini, mereka menerima bonus dua bulan gaji seperti pegawai Kerajaan Negeri dan bukan RM500 diterima pegawai Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar, hanya mengakui COB pegawai Persekutuan setelah melihat mereka berkhidmat cemerlang.

Semasa PAKATAN mengambilalih Selangor pada 2008, katanya, COB bagaikan anak ayam kehilangan ibu namun Kerajaan Negeri menyusun semula strukturnya agar mereka dapat menjalankan tugas lebih efektif.

“Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) telah memainkan peranan besar sebagai COB utama.

“Jelas sekali Menteri KPKT bagaikan bapa yang lari dari tanggungjawab apabila menyerahkan anak beliau kepada orang lain dan apabila anak itu berjaya, terhegeh-hegeh mengaku itu anaknya,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Pemilik Pangsapuri Kos Rendah Terima Potongan Cukai 25%

SHAH ALAM, 28 NOV -:Pemilik pangsapuri kos rendah boleh mendapat potongan 25 peratus cukai pintu daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) walaupun tidak wujud Badan Pengurusan Bersama(JMB) atau Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) di pangsapuri mereka.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkata, potongan diberikan terus kepada pemilik ketika membuat bayaran cukai pintu di PBT bersama borang khas.

Katanya, potongan tidak hanya diberikan jika keseluruhan pemilik di suatu pangsapuri membuat permohonan.

“Walaupun seorang pemilik membuat permohonan, beliau akan mendapat potongan 25 peratus.

“Setiap permohonan mestilah disertakan bersama borang khas yang disahkan oleh pengerusi JMC atau MC, Pesuruhjaya Bangunan (COB) PBT atau Ahli Majlis PBT,” katanya.

Beliau menambah, potongan juga hanya untuk pangsapuri-pangsapuri yang didiami oleh pemilik atau waris pemilik.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri masih belum ada bilangan pemilik yang diberikan potongan kerana polisi ini baru sahaja dikuatkuasakan pada bulan September lepas.

“Data-data ini akan diperolehi daripada PBT-PBT pada akhir tahun ini.

“Dari data ini, satu kajian juga akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk menentukan sama ada dengan potongan cukai maka lebih ramai pemilik membayar yuran penyelenggaraan pangsapuri mereka,” ujar beliau lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Haniza : Demonstrasi Air Taman Medan Dusta Semata-mata

SHAH ALAM, 11 OKT : Kesemua penghuni flat Taman Medan Cahaya PJ2, Taman Datuk Harun, Petaling Jaya telah menikmati skim air percuma Kerajaan Selangor sejak akhir tahun lepas.

Oleh itu dakwaan sebuah NGO di dalam sebuah akhbar pada 8 Okt bahawa 3,000 penduduk di flet tersebut tidak menerima skim air percuma adalah dusta dan berbaur politik, kata Adun Taman Medan Haniza Talha.

Menurutnya, rebat air juga telah diperoleh apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sudah mengemukakan permohonan bagi mendapatkannya daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Orang-orang yang buat tuntutan itu semuanya penduduk yang telah menerima air percuma.

Penduduk yang duduk di flat yang mengatakan mewakili 3,000 orang sebenarnya hanya ada lebih 1,000 orang dan semua mereka dari blok dari A hingga H sudah menerima potongan rebat air daripada SPNB.

“Tuntutan mereka itu hanya berbaur politik kerana ia jelas mereka sudah mendapat perkhidmatan itu tetapi mendakwa kononnya tidak dapat,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Haniza yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor mengulas laporan media mengenai demonstrasi sebahagian penduduk di flat itu Ahad lalu yang mendakwa tidak mendapat air percuma 20 metre padu.

Beliau berkata, penduduk yang terlibat dalam demonstrasi itu telah digunakan demi kepentingan politik Umno-BN.

“Saya mempunyai dokumen daripada Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB) yang mengatakan mereka sudah mendapat rebat itu dari Julai lepas atau mungkin lebih awal dari itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Air Percuma: Penduduk Perlu Lapor Kepada COB

SHAH ALAM,16 MAC : Penduduk pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter pukal hanya perlu melaporkan kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) di kediaman masing-masing berhubung jumlah kediaman bagi mendapatkan 20 meter padu air percuma.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan ,Iskandar Abdul Samad berkata Kerajaan Negeri kemudian akan menyampaikan maklumat kepada Syabas bagi membolehkan pemotongan pada bil meter pukal.

“Oleh itu MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk diminta berjumpa dengan COB mereka untuk mendapatkan air percuma tersebut.

“Potongan yang diberikan oleh Syabas adalah bersamaan nilai air untuk 20 meter padu kali jumlah kediaman yang berpenghuni,” kata Iskandar dalam kenyataan medianya.

Iskandar membuat kenyataan itu bagi menjelaskan tindakan kerajaan negeri untuk memberikan air percuma kepada penghuni flat yang tidak mendapat kemudahan itu ekoran berkongsi meter (meter pukal).

“Mereka kemudian mesti memberi potongan pada bil-bil meter individu penduduk.Bukti potongan ini mestilah ditunjukkan kepada COB.

“COB juga akan melakukan pemeriksaan mengejut untuk memastikan bilangan kediaman yang berpenghuni adalah sepertimana yang dilaporkan,” kata beliau.

Menurut Iskandar lagi, program “Lapor Dan Dapat” akan berupaya melipatgandakan bilangan penduduk rumah kos rendah mendapat 20 meter padu air percuma yang dilaksanakan dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Kaedah pemotongan pada bil meter pukal memang sedang dilaksanakan sekarang tetapi program “Lapor dan Dapat” akan meringkaskan lagi prosedur permohonan.

Tambah Iskandar ,program ini bermula pada 1 April 2012 dan penduduk pangsapuri rumah kos rendah digesa untuk mendesak MC, JMB, agen pengurusan, pemaju dan persatuan penduduk agar menghubungi COB supaya mereka mendapat air percuma.

“Sistem kupon turut dilaksanakan sebelum ini di dalam usaha untuk memberi air percuma kepada penduduk rumah kos rendah tetapi ia juga amat rumit.

“Pemotongan pada bil meter pukal dan sistem kupon dilaksanakan kerana migrasi dari meter pukal ke meter individu oleh Syabas tidak dapat dilakukan secepat yang dihasrat,” ujar Iskandar.