Categories
KENYATAAN MEDIA

GLC mengiklan di Utusan satu pembaziran – Fahmi Fadzil

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, yang mengarahkan 35 syarikat berkait kerajaan (GLC) utama negara menambah iklan di akhbar-akhbar milik UMNO termasuklah Utusan Malaysia dan Berita Harian membuktikan GLC-GLC utama negara tidak mahu membazir.

Hal ini jelas apabila dilihat penurunan jumlah edaran akhbar-akhbar tersebut yang menjunam dari 203,704 (2005) ke 130,463 (2012) iaitu penurunan 36% bagi Berita Harian dan dari 213,445 (2005) ke 178,211 (2012) iaitu penurunan 16.5% bagi Utusan Malaysia (1).

Ditambah pula laporan Consumer & Media View oleh Nielsen yang menyatakan Utusan Malaysia khususnya menyaksikan jumlah pembaca berkurangan 8.6% menjelang PRU13 (2), dan persepsi yang timbul akibat kekalahan demi kekalahan saman ke atas Utusan Malaysia di mahkamah berkait fitnah yang disebar akhbar tersebut.

Maka mengiklan di akhbar yang jumlah edaran dan pembacanya menurun bukanlah sesuatu yang strategik, terutama bagi GLC-GLC utama negara.

Realiti hari ini yang sukar difahami Datuk Ahmad Maslan dan UMNO ialah para pembaca letih dan muak disuap propaganda dan fitnah UMNO. Mereka ingin membaca berita dari semua sudut, mencakupi suara semua pihak.

Peningkatan mendadak 60% trafik ke laman web politik menjelang PRU13 membuktikan rakyat Malaysia mendahagakan maklumat dan berita yang lebih seimbang, yang jelas sama sekali tidak boleh diperolehi dari akhbar-akhbar milik UMNO.

Maka tindakan GLC utama negara tidak mengiklan di Utusan Malaysia dan Berita Harian boleh dilihat sebagai satu langkah mengelak pembaziran.

KEADILAN menyokong segala bentuk usaha untuk membanteras pembaziran, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan wang ringgit rakyat.

Datuk Ahmad Maslan bahkan Dato Seri Najib Razak sendiri perlu mengambil iktibar: GLC enggan mengiklan kerana isi kandungan akhbar milik UMNO tidak disenangi pembaca.

Oleh itu, laksanakan reformasi tulen dan menyeluruh di akhbar-akhbar ini sebelum meminta GLC mengiklan.

Nota:
(1) Angka-angka dari Audit Bureau of Circulations Malaysia
(2) Seperti yang dilapor The Edge pada 8 Oktober 2013

FAHMI FADZIL
Pengarah Komunikasi PKR