Categories
PBT SELANGOR

MDKL usaha kekang penularan Covid-19

SHAH ALAM, 13 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) berusaha mengekang penularan koronavirus 2019 (Covid-19) dalam kalangan kakitangan dengan membekalkan topeng muka serta pembersih tangan.

Majlis itu menerusi kenyataan berkata, keutamaan diberi kepada petugas barisan hadapan termasuk penjaga kaunter dengan menggalakkan pemakaian topeng ketika berurusan dengan orang awam.

Katanya kakitangan tidak digalakkan keluar atau mengunjungi tempat tumpuan ramai.

“Kerja mencuci lantai, kaunter dan meja bilik mesyuarat dengan pembasmi kuman akan dilakukan lebih kerap.

“Kakitangan serta ahli keluarga dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di Hospital Banting atau klinik kesihatan berhampiran jika terdapat tanda seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI

Ringgit dibuka rendah 4.1410/1440 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS pada awal dagangan hari ini susulan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2019 yang lebih lemah berbanding jangkaan mengekang minat pelabur terhadap unit tempatan, kata peniaga.

Pada jam 9 pagi, ringgit berada pada 4.1410/1440 berbanding dolar AS daripada 4.1350/1380 ketika ditutup pada Rabu.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Beliau turut berkata bank pusat memiliki banyak ruang untuk melaraskan kadar dasar semalaman (OPR) bagi mendepani cabaran ekonomi.

Ketua Pakar Strategi Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata prestasi lebih rendah itu boleh menimbulkan jangkaan di dalam pasaran bahawa langkah pengurangan kadar faedah akan dilaksanakan lebih awal.

Beliau juga berkata peningkatan sentimen risiko serantau semakin baik selepas kes jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) di China dilihat berkurangan selain kenaikan harga minyak mentah sewajarnya menyediakan sokongan serta-merta kepada ringgit.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9834/9867 daripada 2.9817/9858 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding yen Jepun kepada 3.7669/7700 daripada 3.7591/7625.

Mata wang tempatan bagaimanapun naik berbanding euro kepada 4.5021/5070 daripada 4.5150/519 semalam dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.3651/3694 daripada 5.3668/3724.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 : IMR pastikan keputusan ujian pesakit disyaki tepat, cepat

KUALA LUMPUR, 13 FEB: Kakitangan Unit Virologi Pusat Penyelidikan Penyakit Berjangkit di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menjalankan penyiasatan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19).

Ini terutamanya bagi memastikan keputusan ujian sampel pesakit disyaki Covid-19 yang dijalankan adalah tepat dan dilaporkan kepada pihak hospital secepat mungkin.

Pakar Klinikal Virologi IMR Dr Rozainanee Mohd Zain berkata sebelum ini makmal unit itu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat mulai 7.30 pagi hingga 5.30 petang tetapi sekarang mereka mempunyai senarai nama ‘on-call’ atau tugas atas panggilan untuk kakitangan bertugas dari pagi sehingga malam, termasuk pada hari minggu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan dalam program ‘Darah Muda’ terbitan Bernama TV di sini malam tadi.

Dr Rozainanee berkata seramai sembilan kakitangan bertugas bagi setiap syif dan pemprosesan sampel diterima unit virologi perlu dilakukan dengan kadar segera.

“Daripada kita terima sampel (daripada pihak hospital) sehingga mengeluarkan keputusan ujian atau pun laporan ujian adalah 24 jam atau 48 jam,” katanya sambil menambah pihaknya telah menjalankan lebih 500 sampel ujian sejak berlakunya kluster virus itu sehingga kini.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan mesyuarat atau projek kerjasama dengan beberapa universiti tempatan dan agensi berminat untuk menjalankan kajian berkaitan Covid-19.

Menurutnya, mesyuarat tersebut akan diadakan di Institut Kesihatan Negara, di Setia Alam, Selangor pada 14 Februari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Dapatkan fakta daripada sumber sahih

KUALA LUMPUR 13 FEB: Penting bagi semua pihak mendapatkan kebenaran dan fakta daripada sumber yang sahih berhubung penularan koronavirus 2019 (COVID-19), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Setiap orang mesti bertanggungjawab apabila berkongsi maklumat dan lebih baik bagi kita untuk tidak berkongsi jika sumber dan kesahihannya diragui,” katanya dalam kenyataan media.

Dr Noor Hisham berkata, maklumat terkini mengenai situasi COVID-19, nama rasmi bagi novel koronavirus 2019, di Malaysia boleh didapati di saluran media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Berdasarkan penilaian terkini KKM, keadaan jangkitan COVID-19 adalah terkawal dan dalam fasa pembendungan awal. KKM akan terus mengukuhkan kesiapsiagaan bagi kemungkinan fasa seterusnya iaitu pembendungan akhir dan seterusnya, fasa mitigasi,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Singapura sahkan tiga lagi kes Covid – 19, enam dibenar pulang

SINGAPURA, 12 FEB: Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura mengesahkan tiga lagi kes baharu koronavirus 2019 (Covid-19) dikesan di republik itu, menjadikan jumlahnya kepada 50 kes.

MOH dalam satu kenyataan memaklumkan, kesemua tiga kes itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Perkhidmatan Perubatan (Kumpulan Perkhidmatan Kesihatan) MOH, Prof Madya Kenneth Mak dalam satu sidang media berkata dua kes baharu melibatkan warga Singapura yang masing-masing bekerja di gereja Grace Assembly of God di Tanglin dan Bukit Batok.

Kes ke-50 pula membabitkan seorang warga Singapura yang bekerja di DBS Asia Central dan disahkan dijangkiti Covid-19 pagi tadi, kata Mak.

Dilaporkan, kira-kira 300 pekerja DBS mengosongkan pejabat mereka di Marina Bay Financial Centre selepas seorang pekerjanya disahkan dijangkiti penyakit koronavirus 2019 itu.

Covid-19 adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019 seperti yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata enam lagi kes Covid-19 dibenarkan pulang hari ini menjadikan jumlah pesakit yang sembuh sepenuhnya adalah 15 orang.

Gan berkata 35 kes yang disahkan masih berada di hospital dan kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik.

“Bagaimanapun, lapan pesakit berada di Unit Rawatan Rapi dan dalam keadaan kritikal. Kami sentiasa mendoakan mereka. Kakitangan penjagaan kesihatan juga akan terus memberikan mereka rawatan terbaik.

“Walaupun kebanyakan pesakit yang dijangkiti akan pulih, ada yang mungkin lebih parah dan sebilangan kecil berkemungkinan maut akibat jangkitan itu. Kita perlu bersedia untuk menghadapi keadaan yang lebih buruk,” katanya.

Kementerian itu memaklumkan berdasarkan siasatan epidemiologi dan pengesanan kontak mendapati terdapat hubungan antara kes baharu dan terdahulu.

Setakat ini, lima kes dikaitkan dengan The Life Church and Missions Singapore di Paya Lebar Road; sembilan kes kepada kluster dikaitkan dengan kedai produk kesihatan Cina, Yong Thai Hang; tiga (mesyuarat perniagaan swasta di Grand Hyatt Singapura); dua (tapak pembinaan Seletar Aerospace Heights) dan dua lagi (Grace Assembly of God).

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Acara DSA 2020 April ini dijangka lebih hebat

SINGAPURA, 12 FEB: Acara Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2020) yang dijadual berlangsung pada 20-23 April ini bakal mendapat sambutan lebih hebat, kata menteri pertahanan.

Mohamad Sabu berkata walaupun dunia sedang berdepan ancaman wabak koronovirus 2019 (Covid-19) ketika ini, Malaysia berharap keadaan akan kembali pulih dalam sedikit masa lagi dan tidak menjejaskan penganjuran DSA 2020 tersebut.

“Kita masih ada tempoh selama dua bulan lagi. Setakat ini terdapat pertambahan dari segi bilangan penyertaan pempamer,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pertunjukan Udara Singapura 2020 (SA2020) di sini, hari ini.

DSA 2020 yang akan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, dikenali antara acara pertahanan terkemuka di dunia dengan kapasiti ruang pameran seluas lebih 45,000 meter persegi dan disertai kira-kira 1,500 syarikat dari 60 negara.

Acara yang masuk edisi ke-17 penganjurannya, akan turut diadakan serentak dengan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan Asia 2020 (NATSEC).

Bersandarkan pengalaman 30 tahun dalam pameran pertahanan dan keselamatan, acara ini akan mengetengahkan beberapa teknologi terkini global seperti sistem, perkakasan dan perang elektronik yang ditawarkan di pasaran.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

WHO : ‘Covid-19’ nama rasmi bagi koronavirus 2019

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Covid-19, yang bermaksud ‘Penyakit Virus Korona’ adalah nama rasmi bagi koronavirus 2019, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit), dalam taklimat media harian mengenai virus itu, di Geneva, Switzerland pada Selasa (waktu tempatan).

“Kami kini mempunyai nama bagi penyakit #2019nCoV : Covid-19,” katanya dalam siaran video di laman Twitter rasmi WHO.

“Di bawah garis panduan yang dipersetujui antara WHO, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO), kami harus mencari nama yang tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan manusia dan berkaitan dengan penyakit ini.

“Dengan adanya nama (rasmi) ia dapat mengelakkan penggunaan nama lain yang tidak tepat dan menimbulkan stigma. Ia juga memberikan kami format standard untuk digunakan bagi sebarang wabak koronavirus pada masa depan,” katanya.

Setakat ini, virus baharu itu yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember tahun lepas, telah membabitkan 42,708 kes positif Covid-19, dengan kematian mencecah 1,017 mangsa di negara itu.

Terdapat 393 kes dilaporkan di 24 negara termasuk 18 kes di Malaysia manakala satu kematian dilaporkan di Filipina.

-BERNAMA