Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam ingkar PKP dikenakan tindakan – KSN

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Bersedialah untuk menerima tindakan dan dikenakan hukuman.

Itulah peringatan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada 1.6 juta penjawat awam sekiranya mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata tindakan undang-undang diputuskan kerajaan tidak akan terkecuali kepada mereka yang melanggar arahan pematuhan ditetapkan itu termasuklah terhadap penjawat awam sendiri.

“Sama sahaja. Sekiranya mereka melanggar prosedur (PKP) mereka akan tetap dikenakan hukuman. Jadi peringatan kepada penjawat awam, sekiranya mereka ini tidak bersedia untuk dikenakan tindakan, hendaklah mematuhi SOP yang telah diputuskan dalam PKP,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Mohd Zuki menegaskan setiap keputusan diambil dan dilaksanakan kerajaan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat setiap hari.

Sebelum ini dilapor Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam dan pesara kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari PKP bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala keistimewaan dinikmati selama ini.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, walaupun sedang berkhidmat atau bersara daripada perkhidmatan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga 26 Januari ini.

Bagaimanapun di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari melibatkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Boleh balik raya Aidiladha di kampung, jangan bawa balik Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Jika pada Aidilfitri yang lepas, orang ramai tidak dapat menyambutnya bersama keluarga di kampung ekoran larangan rentas negeri, namun pada Aidiladha yang jatuh pada Jumaat ini tiada sebarang sekatan perjalanan akan dibuat.

“Tiada sekatan rentas negeri mahupun daerah. Orang ramai bebas untuk balik kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha,” demikian kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media berkenaan perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen semalam.

Selepas pengumuman itu, terdetik dalam fikiran, pastinya jalan raya dan lebuh raya kali ini akan menjadi lebih sesak dari tahun-tahun yang sudah kerana orang ramai pastinya tidak akan melepaskan peluang untuk pulang ke kampung halaman, setelah tidak dapat berbuat demikian pada perayaan yang lepas.

Oleh itu kena sentiasa ingat, meskipun diberi lampu hijau oleh kerajaan untuk menyambut Aidiladha, ia bukanlah lesen untuk terlalu berseronok hinggakan terlupa untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang bertujuan untuk mengawal dan menyahkan terus wabak Covid-19.

Bak kata Ismail Sabri, boleh balik kampung tetapi kenalah jaga kesihatan dan keselamatan, iaitu dengan mematuhi SOP Aidiladha dan ibadah korban yang ditetapkan. Ini termasuklah tidak boleh berkumpul melebihi 20 orang pada satu-satu masa bagi jamuan di rumah.

Bagi ibadah korban pula, kerajaan memutuskan untuk mengehadkan jumlah lembu atau haiwan lain yang dikorbankan iaitu tidak lebih 10 ekor lembu bagi masjid, surau dan lokasi yang dibenarkan. Bagaimanapun, had maksimum itu juga tertakluk kepada keluasan lokasi tersebut.

Jumlah kehadiran sewaktu ibadah korban dijalankan juga ditetapkan dengan nisbah 20 orang bagi seekor lembu termasuk petugas sembelih, melapah dan yang mengedarkan daging, malah tiada kenduri dibenarkan kecuali makanan berbungkus diedar kepada petugas.

Yang bergelang merah jambu iaitu yang masih dalam proses kuarantin wajib berada di rumah pula jangan beria-ia mahu turut sama beraya, pulang ke kampung, menunaikan solat sunat Aidiladha atau menerima tetamu. Kuarantinlah di rumah diam-diam atau bersiap sedialah ditangkap pihak berkuasa jika ingkar.

Rakyat Malaysia, kalau kita terlihat kelibat si gelang merah jambu di khalayak ramai, berpelesiran di luar rumah dan melanggar peraturan kuarantin, laporkan sahaja kepada pihak polis kerana mungkin mereka yang degil ini hanya akan duduk diam apabila di lokap.

Meskipun semalam, jumlah kes positif Covid-19 akhirnya kembali mencatatkan satu angka iaitu tujuh kes selepas kali terakhir mencatatkan satu angka pada 23 Julai. Namun jangan cepat sangat menghela nafas lega.

Ini kerana Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran gelombang ketiga pandemik Covid-19 bakal melanda Malaysia sekiranya rakyat terus alpa daripada mematuhi SOP seperti pemakaian pelitup separuh muka dan penjarakan sosial.

Pastinya kita tidak mahu lagi Covid-19 ini terus bermaharajalela dan wujudnya kluster-kluster baharu, lebih-lebih lagi menjangkiti orang yang kita sayangi di kampung, maka di musim perayaan ini, sama-samalah kita jaga kesihatan dan keselamatan diri.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Perdagangan Malaysia di landasan pemulihan, cabaran kekal

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Pembukaan semula hampir semua aktiviti ekonomi sejak Jun merupakan pendahuluan bagi pemulihan perdagangan Malaysia walaupun peningkatannya mungkin dihadkan oleh permintaan luaran yang lemah dalam keadaan ekonomi maju yang masih bergelut menangani penularan pandemik Covid-19, kata seorang ahli ekonomi.

Momentum perdagangan kekal lemah pada Mei di tengah-tengah pembukaan semula berperingkat aktiviti ekonomi ketika negara beralih kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir selama sebulan.

Malaysia ketika ini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos, 2020, yang membenarkan pembukaan semula hampir kesemua aktiviti ekonomi.

“Ini akan menjadi pelopor bagi perdagangan untuk pulih, walaupun secara perlahan-lahan, kerana Covid-19 masih kekal menjadi sumber cabaran utama kepada rakan dagangan utama kita,” kata Ahli Ekonomi Public Investment Bank Bhd Dr Rosnani Rasul dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Beliau berkata Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk meraih manfaat daripada pemulihan perdagangan global yang dipacu antara lainnya oleh daya tarikan ringgit.

Ketika ini ringgit didagangkan pada paras 4.2820-4.3000 berbanding dolar AS.

Penguncupan Eksport Malaysia

Eksport Malaysia pada Mei turun sebanyak 25.5 peratus tahun ke tahun, penguncupan lebih besar berbanding – 23.8 peratus pada April berikutan penurunan dalam semua sektor yang diterajui perlombongan sebanyak 49.1 peratus tahun ke tahun yang terjejas berikutan pengurangan pengeluaran terbaharu oleh Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Ini diburukkan lagi dengan penutupan beberapa pelabuhan di rantau ASEAN berikutan langkah-langkah membendung penularan Covid-19 oleh negara masing-masing dan permintaan terhadap barangan Malaysia juga terjejas oleh aktiviti ekonomi yang perlahan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), zon Eropah dan Jepun.

Bagaimanapun, lebihan perdagangan melantun semula pada bulan itu kepada RM10.4 bilion, peningkatan 14.7 peratus tahun ke tahun berikutan penurunan besar import berbanding eksport, pemulihan berbanding defisit kecil sebanyak RM3.4 bilion pada April.

Cabaran Ekonomi ASEAN

Malaysia (eksport Mei: -25.5 peratus) dan Vietnam (eksport Mei: -15.5 peratus) merupakan hanya dua negara di rantau ini yang mengumumkan angka perdagangan pada Mei, dengan China, Thailand, Singapura dan Indonesia masih lagi belum berbuat demikian.

Rosnani berkata rantau ASEAN juga mungkin berdepan cabaran berkaitan perdagangan dalam suku kedua (April-Jun) berikutan permintaan luaran yang lemah terutamanya dari ekonomi maju ekoran penutupan ataupun pengasingan disebabkan Covid-19.

“Pemulihan perdagangan ASEAN mungkin perlahan apabila China kembali semula dilanda kes baharu Covid-19 (di Beijing dan Hubei), yang menyebabkan pihak berkuasanya bersiap sedia kemungkinan melaksanakan semula kawalan pergerakan.”

Kerajaan China memutuskan untuk tidak menetapkan sasaran tahunan keluaran dalam negara kasar tahun ini, yang pertamanya sejak 2002, yang menandakan ketidakpastian besar disebabkan Covid-19 yang kekal menjadi isu global.

Pemulihan global yang tidak pasti juga telah menyebabkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran pertumbuhan global 2020 dengan menurunkannya kepada -4.9 peratus daripada -3.0 peratus sebelumnya, satu daripada penurunan besarnya dalam tempoh hanya beberapa bulan di tengah-tengah pemulihan yang lebih perlahan daripada dijangkakan pada awalnya.

Penurunan mendadak itu adalah disebabkan prestasi perlahan di ekonomi maju seperti AS (-8.0 peratus) Zon Eropah (-10.2 peratus) dan Jepun (-5.8 peratus) walaupun IMF kekal yakin dengan prospek 2021 (+5.4 peratus).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tukang gunting rambut digalak jalani saringan Covid-19 sukarela

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Pengusaha salun, tukang gunting dan pendandan rambut digalakkan menjalani ujian saringan Covid-19 secara sukarela bagi meyakinkan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan mereka selepas dibenarkan beroperasi semula Rabu depan.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir berkata langkah itu merupakan nilai tambah yang mampu meyakinkan lagi pelanggan, di samping pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) sedia ada yang lain seperti penjarakan sosial, penggunaan pelitup separuh muka serta penggunaan cecair pensanitasi tangan.

Bagaimanapun menyedari kos yang tinggi, beliau berharap sekiranya bantuan dalam bentuk subsidi atau penajaan diberi kerajaan atau mana-mana pihak untuk membantu golongan pengusaha ini yang rata-ratanya terkesan dari segi kewangan selepas tidak dibenarkan beroperasi sebelum ini.

“Ini lebih meyakinkan masyarakat di luar sana tetapi memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi, persatuan berharap kalau-kalau ada pihak sudi untuk membantu pengusaha supaya mereka disahkan tahap kesihatannya,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurut TN Winda kebanyakan pengusaha kedai rambut buat masa ini telah bersiap sedia dengan kaedah janji temu menggunakan pelbagai aplikasi termasuk WhatsApp bagi mengelakkan orang ramai berkerumun ke premis mereka.

Tambahnya, persatuan-persatuan kedai gunting rambut dan salun juga sedang berusaha mendapatkan bantuan khas daripada kerajaan memandangkan hampir tiga bulan terpaksa menanggung kerugian kerana tidak dapat menjalankan perniagaan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pendandan Malaysia Michael Poh pula menjelaskan bahawa sektor perkhidmatan gunting dan dandanan rambut sebenarnya tidak berisiko tinggi dan adalah lebih selamat untuk beroperasi berbanding sektor lain sekiranya SOP dipatuhi.

“Ia adalah bagus untuk industri dandanan rambut …jika kita tidak buka, kita akan mati dan tidak boleh hidup, banyak syarikat akan tutup dan kami akan kehilangan pekerjaan …jika patuh dengan SOP ia tidak menjadi masalah.

“Tujuh persatuan telah bersepakat dan berbincang dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk pembukaan semula dan kerajaan telah mendengar suara kami, ia adalah perkara yang baik,” katanya.

Tujuh persatuan itu adalah Persatuan Pendandan Malaysia; Persatuan Pendandan Bumiputera; Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera; Persatuan Pembangunan Kemahiran Dandanan Rambut; Persatuan Pemerkasaan Jurugaya Rambut India Malaysia; Persatuan Pengusaha Jurugaya Rambut India Malaysia dan Persatuan Jurugaya Rambut India Selangor Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, pengusaha kedai gunting rambut ‘Substract Barbershop’ di Taiping, Perak, Syadzwan Rosli, 34, lega dibenarkan beroperasi kembali dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk mematuhi SOP kerajaan, malah sanggup turun untuk ujian saringan Covid-19 sekiranya diwajibkan ke atas mereka.

“Saya sangat setuju kedai gunting dapat beroperasi semula kerana kami sudah lama tidak boleh beroperasi sejak PKP dilaksanakan dan banyak komitmen perlu dibayar.

“Cuma harapan saya, sekiranya perlu menjalani ujian berkenaan lebih elok sekiranya dibenarkan kami untuk membuat ujian ini di hospital kerajaan sebenarnya, sekurang-kurangnya dapat buat percuma, sebelum kami memulakan kembali operasi kedai masing-masing,” katanya.

Pengusaha kedai gunting rambut F&D Hairdressing di Taman OUG, Kuala Lumpur, Felix Chang, 44, pula berkata premisnya juga akan melaksanakan pemeriksaan suhu badan, menyembur cecair sanitasi di seluruh kedai, menyediakan QR Code untuk menyimpan rekod pelanggan, selain SOP utama yang lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia larang kapal persiaran singgah pelabuhan

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Malaysia tidak membenarkan kapal persiaran berlabuh di pelabuhan negara ini berkuat kuasa serta-merta susulan wabak Covid-19 sehingga situasi bertambah baik dan penularan jangkitan virus itu dapat dikawal, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata memandangkan kemunculan gelombang kedua kes Covid-19 di Malaysia baru-baru ini dan seluruh dunia, pelbagai langkah telah diambil pihak berkuasa Malaysia bagi menyekat penularan dalam negara dan melindungi kesihatan awam.

Dr Noor Hisham berkata kemasukan serta persinggahan kapal persiaran, penumpang dan anak kapal memerlukan penyediaan sumber perubatan yang banyak di pelabuhan bagi tujuan saringan dan rawatan.

“Dalam tempoh yang sukar ini, adalah penting lebih banyak sumber perubatan bertumpu kepada hospital-hospital yang berdepan kecemasan perubatan dan melaksanakan langkah-langkah pencegahan.

“Oleh itu, Kementerian Kesihatan bersama kementerian serta agensi yang lain telah mengambil keputusan tidak membenarkan kemasukan kapal persiaran ke pelabuhan Malaysia,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau bagaimanapun mengakui industri kapal persiaran adalah komponen penting dalam sektor pelancongan Malaysia dan telah menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.

“Kita berharap ini hanyalah langkah sementara dan yakin bahawa usaha bersepadu semua pihak akan membantu menyelesaikan isu ini secepat mungkin,” katanya.

– BERNAMA