Categories
AGENDA NASIONAL

98.3 peratus atau 6,137 kes baharu Covid-19 dalam kategori satu, dua

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Sebanyak 98.3 peratus atau 6,137 kes daripada jumlah keseluruhan 6,243 kes baharu Covid-19 yang dilapor hari ini terdiri daripada Kategori Satu dan Dua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sebanyak 1.7 peratus atau 106 kes baharu Covid-19 pula dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

“Sebanyak 543 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 279 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes sembuh Covid-19 yang dilapor hari ini adalah sebanyak 5,068 kes menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh kini 2,430,122.

Beliau berkata tujuh kluster baharu dikenal pasti melibatkan dua kluster tempat kerja dan masing-masing satu kluster bagi kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain, institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM), institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah KPM dan pendidikan tinggi.

“Negeri yang mencatat kluster baharu ialah Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan Covid-19 akan dimuat naik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Musim tengkujuh tidak jejas usaha beri dos penggalak

BERA, 28 OKT: Musim tengkujuh yang dijangka melanda beberapa negeri bermula pertengahan November ini, tidak akan menjejaskan operasi pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 yang sedang berjalan kepada petugas barisan hadapan dan mereka yang layak.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata ini kerana pemberian dos itu dilakukan di fasiliti kesihatan swasta dengan pihaknya dimaklumkan jumlah pengamal perubatan am swasta (GP) yang mendaftar untuk mengambil bahagian juga semakin bertambah.

“ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (syarikat di bawah KKM yang ditugaskan menyelaraskan penglibatan GP di bawah Program Imunisasi COVID-19) juga akan melaksanakan kursus kepada GP terlibat berikutan pertambahan pendaftaran tersebut,” katanya pada sidang media selepas meninjau pemberian vaksin kepada pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Triang 2, di sini hari ini.

Beliau turut mengambil kesempatan memberikan suntikan vaksin jenis Pfizer kepada dua pelajar yang menerima dos kedua mereka.

Menurutnya sebagai contoh di Pahang, terdapat 85 klinik memohon sebagai GP dengan 63 daripadanya sudah mula beroperasi, selain turut mendapat bantuan klinik kesihatan bagi mempercepatkan proses tersebut.

Berhubung pemberian dos penggalak kepada kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) Pahang, Dr Noor Azmi berkata 8,323 petugas telah menerima dos tersebut setakat ini, sejak ia dimulakan pada 15 Okt lepas.

Sementara itu, menjelaskan kekeliruan pada data perkembangan program imunisasi di laman web COVIDNOW yang menunjukkan tiga negeri telah melebihi 100 peratus, Dr Noor Azmi berkata ia disebabkan ada yang ‘memilih’ mendapatkan vaksin di negeri tersebut berbanding di fasiliti kesihatan tempat tinggal mereka.

Peratusan yang melebihi had itu direkodkan di Lembah Klang dengan 115 peratus, Labuan (101.4 peratus) dan Negeri Sembilan (101 peratus) menyebabkan berlaku kekeliruan kerana had maksimum sepatutnya hanya 100 peratus.

“Trend mengambil vaksin di negeri itu juga menyebabkan peratusan di beberapa negeri lain masih rendah, sedangkan apabila dilihat kehadiran di PPV (di negeri peratusan rendah) untuk menerima vaksin sudah berkurangan sehingga ada PPV ditamatkan operasi.

“Walaupun jumlah peratusan penerimaan vaksin tidak tinggi, kes baharu dan peratusan kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat COVID-19 semakin menurun. Ini trend baik, menunjukkan jumlah mereka yang telah menerima vaksin adalah lebih tinggi daripada data penduduk yang ada pada kita,” katanya.

Dr Noor Azmi berkata peratusan itu juga tidak menjejaskan data KKM termasuk data untuk Pelan Pemulihan Negara (PPN) kerana matlamat kerajaan adalah memastikan seramai mungkin penduduk menerima vaksin.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

94.9 peratus penduduk dewasa negara lengkap vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Sebanyak 22,214,490 atau 94.9 peratus kadar populasi dewasa di negara ini sudah lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam tadi (27 Okt), menurut data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW.

Sejumlah 97.6 peratus atau 22,839,280 individu bagi populasi dewasa pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sejumlah 147,242 dos suntikan vaksin telah diberikan semalam melibatkan 123,182 suntikan dos lengkap, 18,493 menerima suntikan dos pertama manakala 5,567 menerima dos penggalak (booster) menjadikan jumlah kumulatif vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini meningkat kepada 49,581,855.

Jumlah kumulatif bagi penerima dos penggalak kini adalah 152,036.

Setakat semalam juga, sebanyak 1,951,450 atau 62 peratus individu bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah lengkap divaksin manakala 82.4 peratus atau 2,592,048 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 8,400 individu terima dos penggalak setakat semalam

SHAH ALAM, 25 OKT: Seramai 8,438 individu menerima dos penggalak setakat semalam, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Berdasarkan portal COVIDNOW, kementerian berkata jumlah itu menjadikan 101,590 individu menerima dos penggalak sejak 13 Oktober lalu.

Dos penggalak diberikan kepada petugas barisan hadapan, warga emas dan berkomorbid yang menerima dua dos lengkap vaksin Pfizer sekurang-kurangnya 6 bulan lalu.

Manakala warga emas yang terima dua dos lengkap vaksin Sinovac sekurang-kurangnya 3 bulan lalu.
Penerima yang layak akan mendapat temu janji melalui MySejahtera dan SMS.

Pada 21 Oktober, KKM memaklumkan pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Comirnaty (Pfizer-BioNTech) dilanjutkan kepada individu yang telah lengkap dos vaksin Sinovac, sekurang-kurangnya selepas tiga bulan penerimaan dos kedua vaksin itu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pemberian dos penggalak secara heterologous itu adalah secara penggunaan off-label dan akan diberikan kepada penerima vaksin Sinovac yang layak mulai esok secara berfasa di seluruh negara.

Categories
AGENDA NASIONAL

94.4 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Seramai 22,109,534 individu atau 94.4 peratus daripada populasi dewasa di negara ini lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat 11.59 malam tadi.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan menerusi portal COVIDNOW, sebanyak 97.4 peratus atau 22,803,407 individu pula sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sebanyak 157,999 dos vaksin harian diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 48,831,214 dos.

Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 1,456,265 atau 46.3 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin, manakala 80.8 peratus atau 2,540,794 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 Sept lepas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

93.8 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Jumlah populasi dewasa di Malaysia yang lengkap menerima vaksin Covid-19 kini mencecah 21,960,911 orang atau 93.8 peratus setakat 11.59 malam tadi, demikian menurut data Kementerian Kesihatan di portal COVIDNOW.

Dalam tempoh sama, sebanyak 97.2 peratus populasi dewasa atau 22,745,310 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Semalam, sejumlah 134,180 dos vaksin diberikan melibatkan golongan dewasa dan remaja yang menjadikan kumulatif dos vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 47,838,886.

Sementara itu, 2,662 dos penggalak kepada kumpulan sasar turut diberikan semalam menjadikan jumlah keseluruhan dos penggalak diberikan kini 21,477.

Bagi kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 806,330 individu atau 25.6 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin, manakala 2,463,207 individu atau 78.2 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK bagi golongan itu yang bermula sejak 8 Sept lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

90.9 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin takat semalam

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Malaysia kini mencatat 90.9 peratus populasi dewasa atau 21,290,960 individu lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat 11.59 malam tadi (13 Okt).

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan di portal COVIDNOW, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa atau 22,230,828 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 207,520 dos vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 46,252,254 dos bagi golongan dewasa.

Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 453,906 atau 14.4 peratus melengkapkan suntikan vaksin, manakala 75.9 peratus atau 2,390,062 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 Sept lepas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ibu bapa boleh semak status vaksinasi sekolah anak menerusi COVIDNOW

SHAH ALAM, 10 OKT: Ibu bapa boleh menyemak tahap peratusan vaksinasi sekolah anak-anak menerusi laman sesawang COVIDNOW bermula hari ini.

Menerusi pautan https://covidnow.moh.gov.my/school ibu bapa hanya perlu memasukkan butiran nama sekolah anak masing-masing bagi mengetahui status tahap vaksinasi sekolah mereka.

Sebagai contoh, tahap vaksinasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak untuk pelajar yang lahir 2009 atau sebelumnya setakat ini bagi sekurang-kurangnya satu dos adalah 39.8 peratus. Manakala lengkap menerima pelalian pula 0.6 peratus.

Berdasarkan semakan SelangorKini, status pelalian kakitangan sekolah juga turut dimaklumkan di mana sebagai contoh 97.6 peratus staf SMK Seri Gombak telah menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 96.8 peratus telah lengkap vaksinasi.

Data setakat semalam itu juga turut menyenaraikan pecahan mengikut kumpulan di mana 100 peratus pelajar yang lahir pada 2003 atau sebelumnya di sekolah itu telah lengkap menerima pelalian.

Menerusi laman sesawang itu turut dimaklumkan ciri pencarian sekolah itu dibangunkan secara bersama antara Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagi sekolah yang tidak disenaraikan di dalam carian itu, pihak pentadbiran sekolah boleh menghantar e-mel kepada [email protected] dengan subjek ‘COVIDNOW Inclusion’ untuk disenaraikan.

Categories
AGENDA NASIONAL

82.5 peratus penduduk dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 25 SEPT: Sebanyak 82.5 peratus atau 19,311,563 individu daripada populasi dewasa di negara ini telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam.

Berdasarkan perincian yang dikongsi menerusi portal COVIDNOW hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan sebanyak 93.6 peratus atau 21,903,061 individu daripada populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Selain itu, seramai 25,326 atau 0.8 peratus daripada populasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin setakat semalam.

Bagi kedua-dua populasi, sebanyak 273,373 dos suntikan vaksin turut diberikan semalam melibatkan 116,881 dos pertama dan 156,492 dos kedua menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos vaksin sebanyak 41,847,256 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

Sementara itu, sebanyak 250 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan setakat pukul 11.59 malam tadi (24 Sept), menjadikan jumlah kumulatif kematian kini sebanyak 24,931.

Menurut portal GitHub KKM, jumlah itu merangkumi sembilan kematian sebenar Covid-19 dicatatkan dalam tempoh 24 jam (24 Sept), manakala selebihnya adalah kes kematian tertunggak atau ‘backlog’.

Bagaimanapun, angka itu boleh berubah sekiranya terdapat kes kematian yang dikemas kini.

Berdasarkan graf purata jumlah kes kematian harian sebenar selama tujuh hari pula, sebanyak 91 kes kematian sebenar akibat Covid-19 dicatatkan.

Sebanyak 49 daripada jumlah kematian baharu itu dilaporkan berlaku di luar hospital (BID).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM perkenal laman sesawang kongsi situasi semasa Covid-19

SHAH ALAM, 9 SEPT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan laman sesawang baharu bagi memudahkan orang ramai mendapat maklumat terkini berhubung situasi pandemik.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata “CovidNow” akan memaparkan perincian data semasa kes Covid-19 termasuk kes kematian, jenis vaksin dan kapasiti sistem kesihatan awam.

“Saya berharap dengan data dan maklumat yang dikongsikan di CovidNow, masyarakat dapat pemahaman dan kesedaran yang lebih baik berkenaan situasi jangkitan Covid-19 dalam negara.

“Selain itu, usaha untuk melakukan perubahan tingkah laku dan mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) dapat dipertingkatkan supaya kita boleh mula memasuki fasa baharu hidup bersama virus ini,” katanya dalam sidang media hari ini.

Menurut Khairy lawan web berkenaan boleh dilayari bermula jam 6 petang ini di pautan https://COVIDNOW.moh.gov.my.