Categories
AGENDA GLOBAL

Covid-19 antara faktor operasi hospital medan Cox’s Bazar ditamat awal

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh ditamatkan lebih awal pada Mac lepas berikutan beberapa faktor, antaranya ialah penularan Covid-19 di negara itu, kata Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang.

Selain itu katanya khidmat petugas perubatan ATM juga lebih diperlukan dalam negara bagi menangani pandemik tersebut.

“Pada masa sama, keadaan di sana (Cox’s Bazar) juga stabil dengan penurunan ketara kes dan kecederaan kecemasan selain pertambahan bilangan hospital medan yang beroperasi di kem pelarian itu,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas bersempena Hari ATM ke-87 baru-baru ini.

ATM diberi mandat mengoperasikan HMM bermula 20 November 2017 hingga penghujung tahun ini bagi menampung keperluan kesihatan dan perubatan komuniti Rohingya di kem pelarian tersebut.

Namun operasi HMM ditamatkan lebih awal dan semua petugas dibawa pulang ke Malaysia pada 26 Mac lepas.

Mengulas lanjut, Affendi berkata sepanjang operasi, HMM mengendalikan 108,038 kes termasuk pembedahan dan menyambut kelahiran.

“Pengoperasian HMM pernah diperakui oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia sebagai HMM Tahap 3 terbaik iaitu HMM menjadi pusat rujukan bagi hospital lain di sekitar Cox’s Bazar,” katanya.

Mengulas perkembangan lain, beliau berkata pada masa ini seramai 1,361 pegawai dan anggota ATM terbabit dalam penugasan membantu Polis Diraja Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) termasuk Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Perlis dan Kedah melalui pelaksanaan sekatan jalan raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Panglima ATM: Tiada keperluan hantar tentera ke hospital medan

KUALA LUMPUR, 8 SEPT: Tiada keperluan mendesak untuk menghantar anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh selepas pengoperasiannya ditamatkan kerajaan, susulan penularan wabak Covid-19.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata langkah itu berikutan kemudahan kesihatan serba lengkap telah dibina di kawasan berkenaan.

“Dulu masa tentera Malaysia diletakkan di situ, tak banyak negara yang menghulurkan bantuan kemudahan perkhidmatan kesihatan dan sebab itulah Hospital Medan dibina serta diambil alih oleh kami.

“Hospital Medan ini bertindak sebagai barisan hadapan kesihatan pada masa itu. Biarpun ia terhad, namun mencukupi dalam menangani masalah kesihatan ketika itu,” katanya kepada Bernama di Wisma Pertahanan, di sini.

Menurut Affendi, keadaan kini berbeza kerana, banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam menyumbang dan menyediakan kemudahan kesihatan di kem pelarian itu.

“Sekarang semua kemudahan itu semakin bertambah dan sudah sampai masa khidmat tentera kita (ATM) tidak lagi diperlukan di situ. Jika diikutkan, boleh saja kekal berada di situ, namun tiada fungsi kritikal diperlukan lagi di sana,” katanya menambah khidmat ATM diperlukan ketika itu berikutan isu pelarian yang melanda negara berkenaan.

“Pada Jun lepas, kerajaan membuat keputusan supaya pengoperasian tentera di Hospital Medan di Bangladesh ditamatkan sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.

“Kesemua tentera di sana telah pulang dan penilaian turut dibuat daripada segi sama ada masih relevan untuk dikerahkan anggota ke situ apabila wabak ini berakhir,” katanya.

Hospital Medan Malaysia di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh, diwujudkan pada Disember 2017 bagi menampung keperluan rawatan kesihatan kepada ratusan ribu pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri ke tenggara Bangladesh ekoran konflik di barat Myanmar.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kewajaran lanjut operasi Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar dipertimbang

KUALA LUMPUR, 15 JUL: Kerajaan akan mempertimbangkan kewajaran melanjutkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar, Bangladesh sehingga 2021.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Bangladesh menyambut baik sumbangan Hospital Medan Malaysia dan mencadangkan supaya ia meneruskan pengoperasiannya.

“Bagi cadangan ini, kerajaan masih lagi mempertimbangkan akan kewajaran meneruskan pengoperasian sehingga 2021 dengan mengambil kira kesan utama ke atas pelarian Rohingya itu sendiri,” katanya pada sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) yang ingin tahu keberkesanan pengoperasian Hospital Medan Malaysia dan hala tuju penglibatan Malaysia dalam usaha kemanusiaan terhadap krisis Rohingya.

Pada masa ini, Mohamad berkata, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan pengoperasian hospital berkenaan sehingga 31 Disember tahun ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, isu pertambahan pelarian Rohingya di Malaysia dan di Cox’s Bazar sentiasa dibangkitkan dalam perbincangan di peringkat Kementerian Pertahanan Malaysia dan Myanmar.

Katanya, negara itu memberi jaminan beberapa kali bahawa mereka bersedia menerima kembali pelarian yang mempunyai identiti.

“Namun begitu, masalah yang kita hadapi sekarang bagi mereka yang berhijrah ini di antaranya mereka tidak mempunyai identiti, tidak punyai kad kerakyatan dan sebagainya.

“Perkara ini sama ada disengajakan supaya mereka tidak ada kad kerakyatan atau tidak, itu perlu kepada penyelidikan. Tetapi menjadi kesukaran termasuk yang berada di Malaysia lebih daripada 160,000 pelarian sekarang. Kerajaan Malaysia membantu mereka sekadar yang termampu,” katanya.

Mohamad menjawab soalan tambahan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (BN-Kepala Batas) mengenai sama ada kementerian akan menggunakan kaedah diplomasi ketenteraan dalam menyelesaikan masalah pelarian Rohingya.

– BERNAMA