Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Panas terik: Tujuh kawasan di Semenanjung catat gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Tujuh kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Jabatan itu memaklumkan, lokasi itu ialah Chuping, Perlis; Kota Setar, Kedah; Kuala Kangsar, Perak; Sepang, Selangor; Alor Gajah, Melaka serta Tangkak dan Batu Pahat di Johor.

Sementara itu, tiada gelombang haba dikesan di Sabah dan Sarawak dan semua kawasan di dua negeri itu merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah apabila mencatat suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Dalam pada itu, setakat 12 tengah hari ini bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kebanyakan kawasan di Semenanjung adalah paras sederhana dengan daerah Rompin, Pahang mencatat bacaan tertinggi iaitu 92, manakala rata-rata lokasi di Sabah dan Sarawak pula IPU pada paras baik.

Bacaan IPU antara 0 hingga 50 dikategorikan paras baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas (berbahaya).

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung terutama di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun, jabatan itu tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

10 kawasan di Semenanjung rekod gelombang haba tahap kuning

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Sebanyak 10 kawasan di Semenanjung Malaysia merekodkan gelombang haba tahap kuning atau berjaga-jaga setakat 4.30 petang semalam, demikian menurut data status gelombang haba Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Semakan status gelombang haba di portal rasmi MetMalaysia hari ini mendapati, kawasan terbabit melibatkan empat daerah di Perak iaitu Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak, manakala tiga di Kelantan iaitu Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang.

Status gelombang haba yang sama turut dikesan di Tampin, Negeri Sembilan serta Tangkak dan Kluang di Johor.

Tahap kuning merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius untuk sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Bagi status tahap jingga atau ‘heatwave’ pula ialah suhu maksimum harian 38 hingga 40 darjah Celsius dan tahap merah (kecemasan) untuk suhu melebihi 40 darjah Celsius, masing-masing bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

Sementara itu, seluruh kawasan di Sabah dan Sarawak merekodkan suhu maksimum harian kurang 35 darjah Celsius bagi tempoh sama.

Sebelum ini, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan hingga pertengahan bulan ini, dengan taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia, terutamanya di negeri-negeri utara.

Bagaimanapun MetMalaysia tidak menjangkakan keadaan cuaca panas luar biasa berlaku pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk di pantai barat Sabah sehingga esok

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk, dengan hujan lebat dijangka berterusan berlaku di kawasan pantai barat Sabah sehingga esok (19 Januari).

MetMalaysia dalam kenyataan turut menyatakan amaran cuaca waspada, dengan hujan lebat juga dijangka berlaku di Labuan serta beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak sehingga hari ini.

Kawasan yang terlibat di Sarawak ialah Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang, manakala di Sabah ialah Sandakan (Kinabatangan).

“Selain itu, hujan lebat dijangka di negeri Sabah melibatkan kawasan pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga esok (19 Jan),” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Banjir: Pahang, Johor dan Sabah kian pulih, mangsa di Sarawak naik

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Situasi banjir di Pahang, Johor dan Sabah kian pulih dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) berkurangan, namun di Sarawak mangsa banjir dilaporkan terus meningkat pada petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya berkata sebanyak 50 PPS masih beroperasi di enam daerah yang dilanda banjir sejak Rabu lepas.

Seramai 121 lagi mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan di negeri itu setakat 4 petang ini, menjadikan jumlah keseluruhan penduduk yang ditempatkan di pusat berkenaan meningkat kepada 4,343 orang.

Daerah Kuching mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu seramai 2,238 orang di 21 PPS, diikuti Serian (1,015 orang di 10 PPS), Bau (747 orang di 31 PPS), Samarahan (211 orang di lima PPS), Simunjan (103 orang di dua PPS) dan Miri (29 orang di dua PPS).

Di PAHANG, keadaan banjir di Lipis dan Jerantut pulih sepenuhnya apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah itu ditutup, tengah hari tadi.

Perkembangan itu menjadikan jumlah mangsa banjir di Pahang petang ini ialah seramai 7,012 orang daripada 1,923 keluarga yang masih berada di 92 PPS dengan Pekan mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu 3,306 orang, diikuti Maran (1,703 orang), Kuantan (877 orang), Temerloh (784 orang) dan Bera (342 orang).

Di JOHOR pula jumlah mangsa banjir hanya tinggal 93 orang melibatkan 23 keluarga, berada di dua PPS di Segamat dan Batu Pahat setakat 3.30 petang ini, berbanding 784 orang melibatkan 245 keluarga, di 10 PPS di lima daerah, pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R.Vidyananthan berkata cuaca yang cerah sejak pagi membolehkan rata-rata mangsa banjir pulang ke rumah secara berperingkat sehingga 3 petang tadi.

Sementara itu, situasi sama turut berlaku di Sabah apabila jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurangan dengan mendadak kepada 313 orang daripada 84 keluarga berbanding 761 orang daripada 198 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan memberitahu semua mangsa banjir ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah negeri ini iaitu Pitas, Beaufort, Lahad Datu dan Paitan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA BERITA UTAMA NASIONAL

Amaran cuaca bahaya, buruk beberapa negeri sehingga esok

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca bahaya dengan hujan sangat lebat, yang dijangka berterusan di Johor sehingga esok.

MetMalaysia dalam kenyataan pada 11 pagi memaklumkan kawasan yang dijangka terlibat di Johor ialah Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan turut diramal berlaku di Johor, yang membabitkan daerah Segamat dan Mersing.

Sementara itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat sehingga Selasa turut dikeluarkan bagi Pahang yang melibatkan daerah Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin serta Tangkak dan Muar di Johor.

Keadaan cuaca sama juga diramal sehingga esok melibatkan daerah Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah di Sarawak; Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat di Sabah serta Labuan.

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia

 

Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk lima negeri

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca buruk dan waspada, dengan hujan lebat dijangka berlaku di empat negeri Semenanjung dan beberapa kawasan di Sabah sehingga hari ini.

MetMalaysia dalam kenyataan awal pagi Sabtu memaklumkan, amaran cuaca buruk dengan hujan lebat berterusan diramal berlaku di daerah Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang, manakala di Johor pula melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Menurut kenyataan itu, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat pula dijangka berlaku di seluruh negeri Kelantan, Terengganu dan daerah Batu Pahat dan Pontian di Johor.

Amaran cuaca waspada dengan hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Lipis, Jerantut, Temerloh, Maran dan Bera) dan Sabah (Tuaran, Ranau, Kota Belud, Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat).

– BERNAMA

Sumber Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Amaran cuaca buruk utara Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengemas kini amaran cuaca waspada (kuning) yang dikeluarkan petang semalam untuk Perlis dan beberapa kawasan di Kedah serta Perak kepada amaran cuaca buruk (jingga) berkuat kuasa sehingga esok berikutan hujan lebat yang dijangka berterusan di kawasan berkenaan.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam satu kenyataan hari ini terdapat pertambahan kawasan bagi amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku dikeluarkan untuk kawasan Batu Pahat, Pontian dan Johor Bahru, Johor yang juga berkuat kuasa sehingga esok.

“Keadaan hujan berterusan sedang berlaku di negeri-negeri pantai barat Semenanjung. Amaran cuaca buruk (jingga) berkuat kuasa di Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Padang Terap, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), dan Perak (Kerian, Larut, Matang, Selama dan Hulu Perak).

Angin kencang barat laut dan timur laut berkelajuan 40 hingga 50 km/jam dengan ombak mencapai 3.5-meter dijangka berlaku di perairan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kelantan dan Terengganu dalam tempoh itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kejadian ini boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit, menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor diramal hujan, ribut petir esok

SHAH ALAM, 30 OGOS: Beberapa tempat di Selangor diramal mengalami hujan serta ribut petir pada sebelah pagi dan petang sempena ulang tahun kemerdekaan esok.

Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan turut menjangka keadaan itu berlaku di beberapa negeri lain.

“Hujan dan ribut petir turut diramal di satu dua tempat di Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak (Kuching, Samarahan, Sri Aman dan Betong) dan Sabah (Kudat, Sandakan, Tawau dan Labuan) pada waktu pagi.

“Di sebelah petang pula hujan dan ribut petir diramal di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Sabah,” maklum kenyataan itu.

MET Malaysia turut menjangka hujan pada waktu petang di beberapa tempat di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak (bahagian Bintulu, Miri dan Limbang), Labuan dan Sabah (bahagian pantai barat, pedalaman dan Sandakan).

Categories
AGENSI ALAM SEKITAR & CUACA SELANGOR

Selangor dijangka ribut petir sehingga 6 petang ini

SHAH ALAM, 22 JULAI: Selangor diramal mengalami hujan dan ribut petir sehingga jam 6 petang ini, kata Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).

Amaran berkenaan dikeluarkan pada jam 1.50 tengah hari tadi menerusi laman Facebook rasmi agensi itu.

Pada 20 Julai lalu, METMalaysia melaporkan negeri ini diramal mengalami cuaca hujan dan ribut petir hingga Ahad ini (26 Julai).

Ia membabitkan daerah Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang, Gombak, Klang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Turut dijangkakan mengalami cuaca sama ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Untuk maklumat terbaharu mengenai keadaan cuaca semasa di negeri ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang www.met.gov.my

Sumber Grafik: METMalaysia
Categories
AGENDA ALAM SEKITAR & CUACA NASIONAL

Malaysia dalam fasa peralihan ke monsun barat daya – MetMalaysia

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Cuaca negara kini dalam fasa peralihan iaitu daripada monsun Timur Laut kepada monsun Barat Daya, yang dijangka berakhir pada minggu ketiga Mei, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Jailan Simon.

Beliau berkata, pada peralihan monsun diramalkan berlaku hujan lebat dan ribut petir, bagaimanapun cuaca agak panas di sebelah pagi.

“Sekarang peralihan monsun bermula pada Mac dan dijangka berakhir pada minggu ketiga Mei, jadi bila monsun Barat Daya, hujan dan ribut petir akan mula berkurangan nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Tambah beliau, sekitar bulan Ogos dan September pula dikhuatiri berlaku jerebu rentas sempadan, berikutan angin dari arah Barat Daya.

Ditanya sama ada negara kini berdepan dengan cuaca panas melampau atau El Nino, beliau menafikan perkara berkenaan.

“Keadaan panas sekarang ini bukan luar biasa, setiap tahun macam ini, El Nino pada 2016 cuaca sampai 39 darjah Celsius, tapi untuk tahun ini paling tinggi sekitar 37 darjah Celsius, dan hampir kepada 38 darjah Celsius iaitu hanya di Kedah dan Perlis,” kata Jailan.

Kelmarin, suhu hanya mencatatkan 34 darjah Celcius dan hanya sesetengah tempat menunjukkan bacaan 35 darjah Celsius, katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Cuaca di Selangor dijangka tidak menentu minggu ini

SHAH ALAM, 16 MAC: Cuaca di beberapa daerah di Selangor dijangka tidak menentu bermula hari ini hingga 22 Mac, lapor Jabatan Meteorologi Malaysia.

Daerah Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor dijangka panas hari ini sehingga esok (17 Mac), kemudian bertukar hujan serta ribut petir dari Rabu (18 Mac) hingga Ahad (22 Mac).

Petaling dan Sepang pula dijangka mengalami hujan dalam tempoh agak lama bermula Rabu hingga Ahad, manakala hujan diramalkan esok di Hulu Selangor dan panas sehingga Ahad.

Daerah Sabak Bernam diramalkan panas hari ini hingga Ahad dan hujan sehari pada Jumaat (20 Mac), sementara cuaca di Hulu Langat dan Gombak diramalkan tidak menentu.

Maklumat mengenai keadaan cuaca di seluruh negara boleh dilihat melalui www.met.gov.my.

Categories
SELANGOR

Selangor diramal hujan hingga 5 Mac

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor diramal kembali hujan di beberapa kawasan bermula hari ini sehingga Khamis depan (5 Mac).

Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan daerah terlibat ialah Sabak Bernam, Klang, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Keadaan sama berlaku di Sepang, Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Kuala Langat, namun cuaca dijangkakan panas pada hari esok (2 Mac) di kesemua daerah terbabit.

Sementara itu, bermula 6 hingga 7 Mac, cuaca diramal panas di seluruh Selangor.