Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Senarai Covid-19 penyakit berjangkit dalam pekeliling, permudah ibu bapa jaga anak positif

Oleh Nur Natasha Aida Ismail

KUALA LUMPUR, 7 MAC: Kerajaan diminta mempertimbangkan untuk menyenaraikan Covid-19 sebagai penyakit berjangkit dalam pekeliling perkhidmatan bagi melayakkan ibu bapa yang menjaga anak dijangkiti wabak tersebut menggunakan kemudahan cuti kuarantin bagi menguruskan anak mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata langkah itu, bagi membolehkan ibu bapa khususnya yang menjadi kontak rapat tanpa gejala dan sudah menerima dos penggalak mendapat kemudahan lima hari cuti kuarantin tersebut.

Katanya, mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM), individu dalam kategori itu tidak perlu menjalani kuarantin manakala berdasarkan pekeliling perkhidmatan bilangan 11 tahun 2016, kemudahan cuti kuarantin ini hanya diberikan kepada ibu bapa yang anak mereka dijangkiti penyakit berjangkit antaranya penyakit tangan, kaki dan mulut; demam denggi; cacar air (chickenpox) dan malaria, tidak termasuk Covid-19.

“Dalam hal ini, mereka tidak boleh hantar anak ke pengasuh, ini menyebabkan sukar untuk menguruskan anak-anak mereka, jadi Cuepacs minta agar cuti kuarantin ini diberikan kepada salah seorang sama ada ibu atau bapa untuk jaga anak mereka sehingga sihat sepenuhnya.

“Kalau tidak diberikan cuti kuarantin ini, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan boleh mempertimbangkan untuk memberi kemudahan bekerja dari rumah dan kembali bertugas lima hari kemudiannya,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Cuepacs mengambil maklum kepentingan penjawat awam untuk terus berada di lapangan atau pejabat kerana situasi ketika ini menuntut mereka sebagai pelaksana untuk bertugas bagi memastikan sistem penyampaian kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jadi ketua-ketua perkhidmatan perlu bijak mengurus dalam memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas oleh kerana jangkitan masih berlaku tetapi dalam masa yang sama sistem penyampaian tidak boleh terhenti begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdul Halim Mansor meminta kerajaan memberi penerangan lebih jelas ketika mengumumkan sesuatu SOP bagi memastikan majikan tidak mengambil kesempatan atas permasalahan berkaitan Covid-19 yang menimpa pekerja mereka.

Beliau berkata berdasarkan Akta Kerja 1955 tidak menyatakan secara jelas bahawa kontak rapat layak mendapat cuti sakit bergaji sebaliknya hanya dinyatakan secara am bahawa mereka yang perlu menjalani kuarantin COVID-19, layak mendapat cuti sakit bergaji.

“Apabila perkara ini tidak jelas, majikan mengambil peluang sekali gus menggunakan apa yang ada dalam undang-undang atau persetujuan perjanjian antara syarikat dan pekerja dan di sinilah kita dengar ada majikan tidak bayar gaji, menolak cuti tahunan bagi kontak rapat jika tidak hadir bekerja dan sebagainya.

“Jadi kerajaan kena jelaskan bahawa ibu bapa yang menjadi kontak rapat, tidak bergejala dan telah menerima dos penggalak layak menerima cuti berbayar khususnya kontak rapat kepada anak-anak yang masih kecil,” katanya.

Beliau menegaskan berdasarkan Akta Kerja 1955, cuti tahunan bukan untuk kegunaan syarikat sebaliknya cuti tambahan kepada pekerja untuk menggunakannya bagi tujuan peribadi dan bukannya berkaitan dengan masalah kesihatan.

“Seseorang pekerja berkhidmat dengan majikan yang sepatutnya menjadi modal insan yang dibangunkan untuk terus memajukan syarikat tetapi apabila ditimpa musibah seperti ini mereka (majikan) mengabaikan kebajikan pekerja…tak kanlah mereka sampai sanggup tengok pekerja tidak makan bila tiada gaji,” katanya.

Beliau juga memohon kerajaan agar mengkaji semula SOP kontak rapat tanpa gejala yang telah menerima dos penggalak tidak perlu lagi menjalani kuarantin kerana hakikatnya kontak rapat itu kekal mempunyai risiko yang tinggi untuk menyebabkan jangkitan kepada orang lain sekiranya mereka bebas bergerak.

Pada 24 Feb lepas, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan individu berumur 18 tahun ke atas yang menjadi kontak rapat kepada kes positif Cov-19 yang menerima dos penggalak dan tidak bergejala pada hari pertama, tidak perlu menjalani kuarantin bermula 1 Mac 2022.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs ulangi syor gaji minimum baharu sektor awam RM1,800

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi mengulangi cadangan gaji minimum baharu RM1,800 sebulan untuk sektor awam berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.

Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya sebelum ini telah mengutarakan hal itu kepada perdana menteri dan mencadangkan gaji RM1,800 sebulan kerana berpendapat angka tersebut adalah munasabah untuk dinilai oleh kerajaan.

“Pada masa sama, perdana menteri juga telah memaklumkan di dalam Kabinet dan di Parlimen pada 27 Nov lepas di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan menyasarkan (status sebagai) negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 dengan meletakkan pendapatan isi rumah kepada RM10,000.

“Namun sasaran di bawah RMK12 ini sudah tentu tidak akan tercapai sekiranya gaji minimum yang baharu ini tidak diubah oleh kerajaan sendiri,” katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program Koresponden terbitan Bernama TV bertajuk ‘Penentuan Nasib Penjawat Awam’ hari ini.

Beliau juga berkata sebelum ini, kerajaan telah menetapkan bahawa gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun dan kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam disemak ialah pada 2002.

“Cuepacs melihat apabila kerajaan sendiri menetapkan setiap 10 tahun maknanya tahun ini adalah tahun yang memerlukan kerajaan untuk menyemaknya semula.

“Sistem saraan yang baharu ini hendaklah boleh menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, yang setimpal dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga telah berubah dengan (harga) barangan meningkat berkali-kali sejak tahun lepas,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs mohon kaji semula elaun bomba tidak setimpal risiko kerja

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kepada kerajaan agar mengkaji semula elaun Bayaran Insentif Bomba (BIB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sebanyak RM110 sebulan ketika ini.

Presidennya Datuk Adnan Mat berkata jumlah tersebut tidak setimpal dengan bebanan dan risiko kerja anggota JBPM yang diarahkan bekerja 12 jam tanpa sebarang tuntutan tugasan lebih masa.

Katanya elaun BIB sebanyak RM110 itu bersamaan dengan RM1.10 sejam untuk waktu operasi syif 12 jam dan kali terakhir elaun itu dikaji ialah 14 tahun lepas.

“Elaun BIB yang diterima oleh anggota JBPM adalah RM27.50 pada tahun 90-an, manakala pada tahun 2000 dinaikkan kepada RM90 dan RM110 pada 2007,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya Cuepacs difahamkan, JBPM sendiri sebelum ini telah memohon untuk menaikkan elaun BIB kepada anggota mereka namun sehingga kini belum diputuskan oleh kerajaan.

“Pekerjaan anggota bomba yang turut berada di barisan hadapan negara memerlukan pengorbanan yang besar dan nilai pengorbanan tersebut tidak boleh disamakan dengan wang ringgit, namun perlulah setimpal dengan perkhidmatan terutama mereka yang berkhidmat dalam bahagian operasi dan menyelamat,’’ katanya.

Menurut Adnan peningkatan elaun perkhidmatan itu merupakan inisiatif yang boleh diberikan kerajaan bagi menghargai anggota JBPM, selain memastikan segala peralatan yang diterima agensi itu mematuhi piawaian keselamatan serta diselenggara dengan baik.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan dukacita dengan pemergian seorang anggota bomba yang terkorban akibat terkena letupan ketika operasi memadam kebakaran kilang di Segamat, Johor.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs gesa penjawat awam tolak vaksin beri penjelasan

ALOR GAJAH, 9 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) menggesa agar kakitangan awam yang menolak vaksin tampil membuat penjelasan.

Presidennya Adnan Mat berkata sebagai anggota pelaksana dasar kerajaan, mereka perlu menjadi individu pertama menyokong serta melaksanakan dasar dikeluarkan dan bukannya menolak pelaksanaannya.

“Setakat ini, kira-kira 30,000 kakitangan awam belum mendaftar menerima vaksin dan ada antaranya memberi alasan mempunyai masalah kesihatan.

“Jadi kita minta mereka tampil menjelaskan situasi sebenar dalam permasalahan ini supaya tidak mengundang tanggapan negatif daripada orang awam,” katanya selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Lendu, Alor Gajah di sini semalam.

Justeru, Adnan berkata pihaknya meminta kerajaan mempertimbangkan semula cadangan untuk membuat saringan berkala terhadap penjawat awam yang menolak untuk divaksinasi.

“Kita meminta perkara ini dipertimbangkan dan dalam masa sama, memohon mereka yang menolak agar tampil untuk kita tahu situasi sebenar kerana pelaksanaan saringan berkala juga melibatkan kos,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Adnan berharap kerajaan mewujudkan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu memandangkan sistem saraan sedia ada yang digubal pada November 2002 tidak pernah dikaji atau ditambah baik sehingga hari ini.

Beliau berkata perkara itu wajar dimasukkan dalam peruntukan Belanjawan 2022 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada 29 Oktober bagi memastikan ia relevan dengan persekitaran ekonomi semasa dan bukannya menggunakan dapatan daripada sistem diwujudkan 19 tahun lepas.

“Selain daripada usaha untuk memperbaharu sistem saraan bagi penjawat awam dapat dilaksanakan, pemberian peruntukan khusus bagi mewujudkan sistem saraan baharu itu turut mencerminkan kerajaan serius mahu mereformasi sistem penyampaian perkhidmatan awam dari segala aspek termasuk melibatkan hal kebajikan penjawat awam,” katanya.

Antara perkara perlu diberi perhatian dalam sistem saraan baharu kelak adalah skim gaji yang melangkaui pendapatan garis kemiskinan negara.

“Kenaikan gaji tahunan yang lebih bersesuaian juga perlu mengikut peningkatan kos sara hidup semasa,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS mohon bantuan khas Aidilfitri bagi penjawat awam, pesara

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan memberikan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan bersempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.

Presidennya Adnan Mat berkata bantuan berkenaan yang lazimnya diberikan setiap tahun, wajar diteruskan sebagai tanda penghargaan kepada semua penjawat awam di samping meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut perayaan itu.

“Pemberian ini juga wajar diberikan memandangkan kali terakhir penjawat awam menerima bonus ialah pada 2012 dan selepas tahun tersebut penjawat awam hanya menerima bantuan khas kewangan sahaja,” katanya.

Adnan berkata pihaknya juga telah menghantar surat kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta agar dipertimbangkan perkara itu.

Beliau turut berharap kerajaan negeri memberikan bantuan serupa kepada penjawat awam yang bertugas di peringkat negeri, pihak berkuasa tempatan serta semua badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya turut meminta semua pihak berlapang dada dan tidak mempertikaikan sekiranya kerajaan memberikan bantuan khas Aidilfitri kepada penjawat awam.

Ini memandangkan kerajaan merupakan majikan kepada penjawat awam dan tidak menjadi kesalahan untuk mereka meminta sesuatu bantuan daripada majikan sendiri, tegasnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs mohon runding lanjut cadangan sistem saraan baharu

KUANTAN, 13 MAC: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap dapat mengadakan rundingan lanjut bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) secepat mungkin berkenaan cadangan Sistem Saraan Malaysia (SSM) baharu.

Presidennya Adnan Mat berkata sistem baharu itu lebih komprehensif menepati kehendak semasa dengan peningkatan kos sara hidup selain disusun dengan mengambil kira pandangan daripada penjawat awam itu sendiri.

“Usul ini telah dibawa untuk perhatian bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Disember 2019 sebelum perbincangan kali pertama dengan JPA telah dibuat pada 13 Jan 2020 untuk menggantikan sistem saraan kerajaan sedia ada.

“SSM ini telah digunakan sejak tahun 2002 sampai ke hari ini cuma ada sedikit tambahan dari SSM kepada SSM plus. Justeru, kita berharap dapat mengadakan perbincangan lanjut secara terperinci bersama JPA,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan banjir kepada penjawat awam anjuran Cuepacs di sini, hari ini.

Menurut beliau, bagi kenaikan gaji yang diberi pada 2007 dan 2012 hanya dibuat berdasarkan pada keadaan dan permintaan semasa yang tiada pelaksanaan dalam bentuk sistematik supaya kenaikan itu berlaku setiap lima tahun disebabkan tiada perjanjian kolektif.

Selain itu, Adnan berkata, Cuepacs turut melakukan kajian mengenai Bekerja Dari Rumah (BDR) kepada suami yang menyambut kehadiran anak yang baru dilahirkan selain menjaga orang tua yang sedang sakit.

“Hasil kajian Cuepacs itu akan dimuktamadkan pada 9 hingga 11 April depan yang akan diserahkan kepada kementerian terlibat bagi tindakan selanjutnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penjawat awam ingkar PKP dikenakan tindakan – KSN

KUALA LUMPUR, 18 JAN: Bersedialah untuk menerima tindakan dan dikenakan hukuman.

Itulah peringatan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali kepada 1.6 juta penjawat awam sekiranya mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata tindakan undang-undang diputuskan kerajaan tidak akan terkecuali kepada mereka yang melanggar arahan pematuhan ditetapkan itu termasuklah terhadap penjawat awam sendiri.

“Sama sahaja. Sekiranya mereka melanggar prosedur (PKP) mereka akan tetap dikenakan hukuman. Jadi peringatan kepada penjawat awam, sekiranya mereka ini tidak bersedia untuk dikenakan tindakan, hendaklah mematuhi SOP yang telah diputuskan dalam PKP,” katanya.

Bercakap kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini, Mohd Zuki menegaskan setiap keputusan diambil dan dilaksanakan kerajaan itu adalah untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin meningkat setiap hari.

Sebelum ini dilapor Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam dan pesara kerajaan yang dikenakan tindakan undang-undang kerana mengingkari PKP bakal berdepan kemungkinan kehilangan segala keistimewaan dinikmati selama ini.

Menurut beliau, tidak ada mana-mana individu boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, walaupun sedang berkhidmat atau bersara daripada perkhidmatan.

PKP dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kelantan serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sehingga 26 Januari ini.

Bagaimanapun di Sarawak, pelaksanaan PKP bermula 16 Januari hingga 29 Januari melibatkan tiga daerah di Bahagian Sibu iaitu daerah Sibu, Selangau dan Kanowit.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Darurat: Penjawat awam perlu fokus, jadi pemudah cara rakyat – Cuepacs

KUALA LUMPUR, 12 JAN: Penjawat awam diminta kekal fokus kepada tugas dalam usaha mengekang penularan Covid-19 sepanjang tempoh darurat ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Adnan Mat berkata penjawat awam juga perlu melaksanakan pelbagai program pemulihan semula ekonomi negara.

“Sektor perkhidmatan kerajaan akan beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh darurat ini berlangsung. Ordinan darurat ini hanya dilaksanakan untuk tingkatkan penguatkuasaan keselamatan dan ketenteraman awam sahaja.

“Perkhidmatan awam juga akan terus beroperasi bagi memberi khidmat kepada orang awam dan sokongan kepada sektor ekonomi. Berilah perkhidmatan terbaik dengan menjadi pemudah cara kepada rakyat yang sememangnya terkesan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adnan turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan kunjungan panik ke premis kerajaan kerana operasi setiap jabatan kerajaan masih tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya Cuepacs juga berharap semua pemimpin dan ahli politik di negara ini dapat memberikan kerjasama dan menghormati keputusan dibuat kerajaan dan memberikan khidmat kepada rakyat yang menghadapi kesukaran dalam tempoh darurat Covid-19 ini.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs gesa KKM siasat dakwaan buli petugas kesihatan

MELAKA, 28 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil perhatian serius berhubung gejala buli dalam kalangan petugas kesihatan termasuk doktor dan doktor pelatih di negara ini.

Presidennya Adnan Mat berkata satu siasatan dalaman perlu dilakukan susulan pendedahan laporan kajian Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berhubung isu itu, bagi memastikan ia dapat dicegah dengan lebih berkesan sekali gus menyelesaikan aduan yang timbul.

“Cuepacs memandang serius laporan kajian oleh MMA dan berpandangan budaya buli di alam pekerjaan terutama dalam bidang profesional dan kritikal seperti doktor adalah tidak wajar dan tidak boleh diterima.

“Kita bimbang gejala buli ini akan menjadikan emosi dan kualiti kerja pengamal perubatan ini terjejas,” katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan kali ke-27 Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE) yang dirasmikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Datuk Azih Muda (dua, kanan) beramah mesra dengan anggota pihak berkuasa tempatan yang menerima Anugerah Lima Bintang selepas perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan kali ke-27 Anulae di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka pada 28 Disember 2020. Foto BERNAMA

Turut hadir Presiden ANULAE Datuk Azih Muda, Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Melaka dan Negeri Sembilan Kamarul Izwan Osman.

Mengulas lanjut, Adnan berkata KKM juga perlu merangka dan menyediakan satu platform yang membolehkan petugas kesihatan yang menjadi mangsa buli mengutarakan masalah mereka tanpa menjejaskan identiti serta kedudukan sekiranya membuat aduan.

“Khidmat psikologi yang secukupnya juga perlu disediakan kepada setiap kakitangan agar masalah kerja atau buli ini tidak menjejaskan kualiti kerja yang boleh memberi kesan kepada pesakit, selain KKM perlu melatih dan memberi penekanan yang cukup kepada penyelia tentang budaya buli supaya gejala ini tidak melampau sehingga memberi kesan buruk.

“Gejala buli ini bukan sahaja menjejaskan kualiti kerja mangsa, bahkan merisikokan nyawa pesakit yang menerima rawatan daripada doktor-doktor yang menjadi mangsa buli, apatah lagi dengan persekitaran kerja doktor yang semakin mencabar, masalah buli ini sudah tentu menjadikan mangsanya lebih terkesan dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Semalam, MMA melaporkan kajiannya menunjukkan 66.9 peratus doktor di negara ini mengakui pernah melalui pengalaman dibuli atau diganggu ketika bertugas di sektor awam, dengan golongan paling ramai berdepan situasi itu adalah mereka yang berusia antara 26 hingga 35 tahun, iaitu sebanyak 52.9 peratus.

Statistik itu adalah hasil kajian terbaharu yang dijalankan oleh MMA melibatkan 1,800 responden terdiri daripada doktor pelatih, pegawai perubatan dan pakar muda secara dalam talian.

Sementara itu Cuepacs dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur menyarankan KKM mengemukakan data mengenai budaya buli dalam kalangan doktor mahupun petugas kesihatan lain, termasuk jumlah kes yang diselesaikan, serta tindakan yang diambil.

“Sediakan juga kaedah atau cara kes buli ini disiasat bagi memberi keyakinan kepada warga kerja,” menurut Cuepacs.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS harap skim pekerja kontrak JKM setimpal kerja

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap skim perkhidmatan pekerja lantikan kontrak untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tahun depan setimpal dengan deskripsi kerja yang akan dilaksanakan oleh mereka.

Presidennya Adnan Mat berkata pekerja lantikan kontrak berkenaan perlu menerima keistimewaan yang dinikmati penjawat awam lain di samping hal-hal kebajikan mereka turut dijaga.

“Sekiranya ada kekosongan untuk jawatan tetap, berikanlah keutamaan untuk mereka ini memasuki perkhidmatan secara tetap, berdasarkan pengalaman mereka berkhidmat. Jangan disia-siakan pengalaman dan khidmat mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas laporan media semalam mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menambah sebanyak 8,000 perjawatan kontrak untuk JKM tahun depan.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun dilaporkan berkata langkah itu adalah selaras dengan penstrukturan semula JKM yang bertujuan meringankan beban kakitangan sedia ada bagi memastikan perkhidmatan terhadap rakyat dapat diperkasakan.

JKM ketika ini merupakan antara agensi kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial. Justeru, langkah KPWKM menyantuni golongan sasaran terutama ketika pandemik Covid-19 adalah langkah yang tepat dan wajar disokong oleh semua pihak.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuepacs minta kerajaan pertimbang kenaikan gaji, bonus

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon kerajaan mempertimbangkan kenaikan kadar gaji dan pemberian bonus secara bulanan kepada penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021, bulan depan.

Presidennya Adnan Mat berkata permohonan tersebut berdasarkan situasi semasa negara dan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika kita lihat pada ketika ini harga barangan dan perkhidmatan asas yang lain seperti makanan, minuman, kesihatan, pengangkutan, pendidikan dan komunikasi telah menunjukkan sedikit peningkatan.

“Ini bermakna gaji juga perlu ditingkatkan selaras dengan peningkatan kos keperluan asas ini khususnya untuk seluruh penjawat awam dan mereka yang berada di luar sana,” katanya ketika dihubungi Bernama TV, di sini, hari ini.

Katanya, Cuepacs juga berharap kerajaan mengumumkan bonus dalam bentuk gaji bulanan kepada penjawat awam dan bukannya bantuan khas kewangan sepertimana pada tahun-tahun sebelumnya sekali gus dapat membantu merancakkan ekonomi negara.

”Kali terakhir penjawat awam menerima bonus adalah pada tahun 2012 iaitu satu setengah bulan gaji atau minimum RM1,500 dan selepas itu penjawat awam tidak lagi menerima bonus.

“Sebaliknya bantuan khas kewangan yang diterima tahun-tahun sebelum ini adalah sebanyak RM500 menjelang perayaan dan RM500 menjelang pembukaan sesi persekolahan awal tahun,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Belanjawan 2021: Terserah kerajaan tentukan bonus penjawat awam

KUCHING, 25 SEPT: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menetapkan jumlah pemberian bonus kepada 1.62 juta penjawat awam dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata CUEPACS yang secara tradisinya menuntut pemberian bonus telah memberikan pandangan mereka kepada Kementerian Kewangan berhubung perkara berkenaan, semalam.

“Ini (berapa bulan gaji sebagai bonus dituntut) susah kami hendak sebut, asal sebut dapat RM500, kita sebut tiga bulan (gaji sebagai bonus) dapat RM500. Jadi, kali ini kita serah kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil penghargaan petugas barisan hadapan COVID-19 di sini.

Beliau berkata CUEPACS telah menyatakan keperluan pemberian bonus selepas penjawat awam menjalankan tugas mereka dengan baik di bawah pentadbiran kerajaan memerintah.

“Kami adalah tunjang kepada kerajaan yang menyampaikan setiap dasar diputuskan dan melaksanakan semua dasar-dasar ini, sebab itu negara kita ini tidak mempunyai apa-apa masalah besar dan rakyat masih boleh menjalankan aktiviti, bekalan makanan masih cukup dan tiada huru-hara,” katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata CUEPACS juga memohon kerajaan menetapkan gaji minimum baharu serta pengisian jawatan seperti pegawai dan penolong pegawai kesihatan persekitaran dibuat secepat mungkin.

“Gaji minimum yang baharu ini hendaklah diseragamkan menerusi hasil kajian Bank Negara iaitu RM2,700, kajian dari KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) RM2,480 dan CUEPACS sendiri telah membuat kajian minimum gaji iaitu RM2,620,” katanya.

– BERNAMA