Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerap tukar sistem cukai beri kesan buruk kepada negara

KUALA LUMPUR, 8 OKT: Tiada sebab untuk kerajaan mengembalikan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan peralihan sistem cukai yang kerap hanya memberi kesan buruk kepada ekonomi negara, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik.

“Banyak jenis cukai yang diperkenalkan, GST diperkenalkan dan banyak rintihan oleh rakyat kerana mereka perlu membayar cukai dua kali, sebab itu kita perlu kembalikan SST.

“SST ini sedang berjalan dengan kita hanya perlu perbaiki dan tidak ada sebab untuk kita mengembalikan cukai yang ditolak oleh rakyat (GST),” katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang ingin tahu sama ada kerajaan bersedia untuk melaksanakan semula sistem percukaian GST jika ia dikehendaki oleh rakyat.

Ma’mun berkata, terdapat luahan sentimen yang berbeza dalam kalangan masyarakat memandangkan terdapat yang menyokong sepenuhnya cadangan tersebut dan juga segolongan besar yang menolaknya.

Dr Mahathir berkata, antara sebab lain GST tidak boleh dikembalikan ialah pelaksanaan sistem cukai itu telah membebankan orang ramai dan pembayar cukai terutamanya lewat mendapat bayaran balik kredit cukai input yang menjadi kos kepada peniaga.

Menjawab soalan tambahan Noor Amin Ahmad (PH-Kangar) mengenai kemampuan SST untuk mengawal mereka yang lari daripada membayar cukai seperti dalam sistem GST, Dr Mahathir yakin masalah tersebut tidak akan berlaku di bawah pelaksanaan SST.

“Sebenarnya tidak berlaku halangan untuk mencari mereka yang lari daripada membayar cukai kerana SST ialah sistem cukai yang sudah lama dilaksanakan dan tiada masalah yang dihadapi.

“Sebab itu kita tolak GST dan memperkenalkan semula SST. (Saya yakin) apabila diuruskan dengan baik (SST) boleh lebih baik daripada GST,” katanya.

Mengenai soalan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Kurau) yang mahu Perdana Menteri menjelaskan adakah langkah dasar ekonomi dan penjimatan kerajaan dapat mengembalikan kekurangan hasil kutipan cukai sebanyak lebih RM20 bilion berbanding pendapatan cukai semasa pelaksanaan GST, Dr Mahathir berkata kekurangan tersebut bukan kerana kelemahan sistem SST.

Beliau menjelaskan apabila sesuatu cukai diperkenalkan, pada awalnya memang akan berlaku penyusutan kerana wujud perubahan termasuk dari segi sistem pengkomputeran untuk melaksanakan sistem cukai tersebut.

“Bagaimanapun, saya yakin dalam tahun-tahun akan datang (hasil kutipan) SST akan melebihi kutipan GST,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perlu bukti jelas kehendak rakyat sebelum laksana semula GST

PUTRAJAYA, 4 OKT: Gesaan untuk melaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) hanya akan dipertimbangkan sekiranya terdapat bukti yang tidak boleh dipertikaikan menunjukkan bahawa ia adalah kehendak rakyat, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Ke-14 kerana rakyat jelas menunjukkan bahawa mereka menolak GST dan kerajaan perlu menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat berkaitan dengan cukai itu.

“Kami mendukung mandat menolak GST pada pilihan raya lepas dan kami telah menunaikan janji untuk menghapuskannya.

“Jadi, jika rakyat mahukan semula GST, seperti (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad katakan, kita akan menimbangkannya. Tetapi perlu ada mandat yang jelas daripada rakyat,” kata Lim semasa ditemui pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini, hari ini.

Dr Mahathir dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan mengkaji gesaan untuk melaksanakan semula GST tetapi perlu menjalankan kajian terlebih dahulu untuk melihat sama ada cukai yang diperkenalkan empat tahun lepas itu lebih efektif berbanding cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sekarang.

GST sebanyak enam peratus itu diperkenalkan pada April 2015 sebelum dimansuhkan dan digantikan dengan SST pada 1 Sept, 2018, beberapa bulan selepas PH mengambil alih pentadbiran daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya lepas.

Ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan semula GST selepas mendapat bukti yang jelas daripada rakyat, Lim berkata keputusan itu perlu dibuat secara bersama oleh Majlis Presiden PH.

“Bukan saya seorang yang akan memutuskannya. Sehingga keputusan dibuat, kita perlu menghormati mandat dan kehendak rakyat semasa mereka mengundi PH, yang mana salah satu janji kami adalah untuk menghapuskan GST,” katanya sambil menambah beliau tidak menerima sebarang arahan daripada Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH, berkaitan GST.

Lim berkata penghapusan GST memberikan impak dalam menangani inflasi dan kos hidup dengan Malaysia mencatatkan antara kadar inflasi terendah di dunia pada 1.5 peratus.

“Jika kita benarkan GST enam peratus kembali semula, maka anda akan melihat inflasi akan meningkat,” katanya.

Ditanya sama ada SST masih merupakan mekanisme terbaik, beliau berkata, apa yang lebih penting PH telah menunaikan janjinya berkaitan dengan manifesto pilihan raya untuk memansuhkan GST dan hasilnya ia dapat mengekang inflasi dan kos hidup tidak begitu mendesak seperti sebelum ini.

Mengenai kurangan GST, Lim berkata, ia digunakan untuk membayar balik bayaran balik yang dipegang oleh kerajaan terdahulu.

“Setelah diselesaikan kelak, kita masih boleh mengekalkan keseimbangan dalam kewangan kita antara meningkatkan hasil kerajaan atau menurunkan kos inflasi,” katanya.

Mengenai bagaimana kerajaan merancang untuk meningkatkan hasilnya, beliau berkata jumlah RM44 bilion yang diperoleh menerusi GST adalah kutipan kasar dan jumlah itu termasuklah bayaran balik yang tidak pernah dibayar balik.

Beliau berkata angka bersih kutipan GST adalah kira-kira RM33 bilion hingga RM34 bilion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PM: Kerajaan kaji laksana GST jika rakyat mahu

PUTRAJAYA, 3 OKT: Kerajaan akan mengkaji keperluan memperkenalkan semula sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya itu kemahuan rakyat, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum ini, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menyarankan kerajaan memperkenalkan semula GST pada kadar yang lebih rendah iaitu tiga peratus dalam Belanjawan 2020.

“Sekiranya rakyat percaya GST lebih baik, kita akan kaji.

“Kalau itu yang kehendak rakyat, kita akan kaji sama ada lebih baik daripada SST (cukai jualan dan perkhidmatan),” katanya kepada media selepas melancarkan Dasar Keselamatan dan Ketenteraman Awam (DKKA) di Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, keputusan untuk melaksanakan sistem pencukaian itu tidak akan dimasukkan ke dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentangkan 11 Oktober ini.

“Nak masuk dalam bajet (Belanjawan 2020), susah sikit la. Mungkin kemudian,” katanya.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Wang GST tidak hilang jika berjaya ditemui – Tun M

PUTRAJAYA, 15 JUL: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, wang RM19.4 bilion hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) hanya disahkan tidak hilang, jika ia berjaya ditemui semula.

Ditanya pemberita mengenai rumusan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Dr Noraini Ahmad hari ini bahawa wang kutipan GST itu tidak hilang, Dr Mahathir berkata: “Kalau dia kata tidak hilang kita hendak tengoklah duit itu ada di mana.

“Kalau kita dapat jumpa balik, duit itu tidak hilanglah. Kalau kita tidak jumpa balik dia (duit itu) hilanglah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Noraini dilaporkan berkata, dana itu tidak hilang tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Laporan juga menyebut PAC mengesan berlaku perlanggaran prosedur pemindahan wang berjumlah RM19.4 bilion itu apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ditemui selepas mesyuarat itu berkata, tiada keperluan untuk menambah aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam masa terdekat bagi mengekang pencerobohan nelayan asing.

Buat masa ini, katanya operasi bersepadu melibatkan pelbagai kementerian dan agensi termasuk Jabatan Perikanan dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilihat berkesan bagi membanteras kegiatan nelayan asing dalam perairan negara.

“Keperluan menambah aset, bot, kapal besar memang ada, (cuma) saya tak fikir dalam masa terdekat. Sebab itu kita mobilise aset daripada lain-lain agensi dan kementerian supaya operasi ini berkesan,” katanya yang juga Presiden Bersatu.

Muhyiddin baru-baru ini dilaporkan berkata, menerusi Ops Naga yang dilancarkan awal bulan lepas bagi membanteras kegiatan nelayan asing, pihak berkuasa telah menahan sebanyak 52 buah vesel daripada pemeriksaan ke atas 983 buah vesel.

Operasi itu dilaksanakan bersama oleh APMM, TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perikanan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Laporan tunggakan bayaran balik GST dibentang 16 Julai

KUALA LUMPUR, 10 JUL: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan membentangkan laporan berhubung tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM19.4 billion di Dewan Rakyat, pada 16 Julai.

Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, laporan itu sudah dimuktamadkan secara sebulat suara oleh 13 ahli PAC Parlimen yang terdiri daripada pihak kerajaan serta pembangkang dalam Mesyuarat Verifikasi Laporan PAC hari ini khususnya untuk rumusan dan syor berhubung tuntutan itu.

“Saya perlu akui ia adalah satu prosiding yang lama apabila PAC Parlimen mengambil masa 11 bulan menyiapkan laporan ini dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, bekas Ketua Setiausaha Perbendaraan, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Akauntan Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, PAC juga mendapat taklimat daripada Jabatan Audit Negara sebanyak tiga kali serta mendapat pandangan daripada Jabatan Peguam Negara di samping mengadakan mesyuarat penyediaan laporan ini sebanyak empat kali.

Katanya, bilangan mesyuarat itu cukup membuktikan bahawa PAC Parlimen mahu memastikan siasatan diadakan mencakupi setiap aspek, untuk mencari kebenaran dan keadilan berhubung isu berkenaan demi kepentingan negara dan rakyat.

Beliau berkata, untuk menyediakan laporan itu, PAC Parlimen turut mendapat input daripada tujuh kementerian dan jabatan iaitu Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (KHE), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara (AGC), Jabatan Audit Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Akauntan Negara.

Katanya, laporan itu amat komprehensif dan input padangan serta maklum balas daripada ketujuh-tujuh kementerian serta jabatan yang bertindak sebagai exofficio PAC Parlimen amat penting dalam memastikan segala maklumat, rumusan serta syor dalam laporan, tidak menyebelahi mana-mana pihak selain berasaskan fakta yang sah dan tepat.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengerusi PAC Parlimen Datuk Seri Ronald Kiandee yang memulakan siasatan serta prosiding dengan meletakkan asas kepada PAC Parlimen dalam mengadakan siasatan dan prosiding terhadap isu ini,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan laporan ini dengan memuat turun daripada lawan web PAC Parlimen di alamat www.parlimen.gov.my/pac selepas ia dibentangkan pada hari berkenaan.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Tabung Bayaran Balik GST sebenarnya RM19.24 bilion

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan jumlah sebenar kekurangan dana dalam Tabung Bayaran Balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.24 bilion, berbanding RM17.91 bilion yang diumumkan sebelum ini.

Jumlah itu diperbetulkan beliau dalam sesi Dewan Rakyat pagi ini sekali gus menyaksikan ia adalah angka lebih besar daripada nikai dilaporkan sebelum ini.

“Tunggakan sejak 2015 yang tidak dapat dibayar balik adalah kerana Tabung Bayar Balik GST kekurangan dana RM19.248 bilion atas kegagalan kerajaan lama memindahkan RM19.24 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST daripada 2015 sehingga 31 Mei 2018.

“Saya ingin memohon maaf kepada Tuan Yang Dipertua ke atas kesilapan ini. Akan tetapi, adalah lebih baik kami telus, jujur dan berterus-terang dengan Dewan Yang Mulia ini daripada menyembunyikan perkara sebegini seperti kerajaan lalu,” katanya.

Dalam ucapan sama, Ahli Parlimen Bagan memaklumkan angka baki sedia ada dalam Tabung Bayaran Balik adalah sekitar RM148.6 juta sahaja dan bukannya RM1.486 juta seperti yang diumumkan minggu lalu.

Katanya, percanggahan itu disebabkan kesilapan tidak sengaja daripada pegawai pejabatnya akibat salah letak titik perpuluhan.

Guan Eng dalam Bacaan Kali Kedua untuk pembentangan Rang Undang- Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2018 pada 9 Ogos 218 telah mencadangkan pemansuhan Akta Cukai dan Perkhidmatan 2014.

Dalam ucapan itu, beliau menyebut bahawa Kerajaan terdahulu gagal membayar tuntutan cukai input dalam masa 2 minggu.

Rekod Jabatan Kastam DiRaja Malaysia yang disahkan menunjukkan bahawa jumlah tunggakan pembayaran bagi tuntutan cukai input GST lebih daripada 2 minggu adalah sebanyak RM19.4 bilion setakat 31 Mei 2018.

Daripada jumlah tunggakan RM19.4 bilion ini, sebanyak RM9.2 bilion adalah dari 2018, RM6.8 bilion dari 2017, RM2.8 bilion dari 2016 and RM0.6 bilion dari tahun 2015.

Categories
SELANGOR

GST sudah tiada, peniaga kena jual murah – Ustaz Abdullah Khairi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 25 MEI: Pendakwah terkenal, Dr Abdullah Khairi Harun menasihatkan peniaga bazar Ramadan menjual makanan pada harga murah disebabkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sudah tiada.

Katanya, peniaga tidak perlu memikirkan keuntungan semata-mata dalam perniagaan sebaliknya keberkatan menjadi tunjang utama.

“Memang kita mahu untung, tapi bayangkan jika anda menjual makanan atau minuman pada harga berpatutan, kemudiannya sedap dan berkualiti, sudah pasti orang suka dan pelanggan akan bertambah.

“Keuntungan juga bukan sekadar duit semata-mata, sebaliknya keberkatan yang kita bawa pulang untuk anak-anak dan isteri,” katanya ketika sesi tazkirah perasmian Pasar Ramadan Mampan @Kipmall Kota Warisan Majlis Perbandaran Sepang 2018.

Abdullah berkata, pelanggan di bazar Ramadan juga boleh memainkan peranan penting bagi membolehkan peniaga menghasilkan makanan berkualiti.

“Jika kita rasa menu yang dijual tidak berkualiti atau harga terlampau mahal, anda tegurlah atau nasihat peniaga itu secara berhemah, peniaga yang bijak akan gunakan nasihat berkenaan kerana mereka tahu itulah sumber pendapatan mereka.

“Ingatan terakhir saya buat peniaga bazar Ramadan ialah jangan sesekali meninggalkan solat, sesibuk mana kita sekalipun, solat terlebih dahulu, ingat, jika kita jaga Allah, Allah akan menjaga kita semula,” katanya.

Categories
NASIONAL

MoF: Program pembaharuan fiskal sedang dilaksana

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 MEI: Program pembaharuan fiskal kerajaan sedang dalam pelaksanaan, kata Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

MoF menerusi kenyataan berkata, pengurangan hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar mulai 1 Jun 2018 akan ditampung oleh langkah khusus hasil dan perbelanjaan yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Katanya, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula.

“Pengurangan perbelanjaan akan dimulakan dengan langkah rasionalisasi dan efisiensi serta mengurangkan ketirisan.

“Selain itu harga minyak mentah dunia meningkat ketara berbanding anggaran Bajet 2018 iaitu US$52 setong. Ini akan menyediakan ruang fiskal dalam tempoh terdekat.

“Tanggungjawab fiskal, ketelusan dan tadbir urus akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan program pembaharuan fiskal,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

GST: AMK bantah, PM terus mungkir janji

OLEH DR AFIF BAHARDIN

Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam sekeras-kerasnya kemasukan lebih daripada 60 barang asas ke dalam senarai barangan yang dikenakan GST menjelang 1 Julai ini termasuk bahan makanan seperti; kentang, bayam, jagung, kopi, teh dan sebagainya.

Tindakan ini dilihat sebagai satu mungkir janji daripada Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak bahawa kerajaan BN tidak akan memasukkan bahan makanan asas ke dalam senarai barangan yang akan dikenakan cukai GST.

Angkatan Muda Keadilan juga bimbang dengan penyenaraian lebih daripada 60 barangan baru di bawah GST ini akan bakal membebankan lagi kehidupan rakyat yang telah tertekan dengan kos kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang tinggi.

dr-afifKami juga percaya golongan anak muda akan lebih terbeban dengan kesan kenaikan GST ini, bukan sahaja sebagai pengguna, tetapi juga sebagai usahawan mahupun peniaga kerana peningkatan kos barangan.

Angkatan Muda Keadilan mengulangi tekad Pakatan Harapan yang mahu menghapuskan GST; kerana kami percaya, langkah yang sepatutnya dilaksanakan oleh sesebuah kerajaan untuk mendepani keadaan ekonomi semasa adalah bukan dengan menggenakan cukai yang lebih kepada rakyat, tetapi melaksanakan reformasi sistem kepada pentadbiran kerajaan BN yang tidak cekap, tiris dan membazir.

Pakatan Harapan telah membuktikan dengan pentadbiran kami yang bebas rasuah, cekap, telus dan bertanggungjawab di Pulau Pinang dan Selangor menyaksikan hasil pendapatan negeri meningkat, hutang kerajaan negeri dapat dikurangkan, pelbagai program pembangunan infrastruktur, modal insan dan pengwujudan peluang – peluang pekerjaan dan ekonomi yang banyak untuk rakyat negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan.

amkAngkatan Muda Keadilan menuntut agar kerajaan BN membatalkan cadangan untuk menambah senarai 60 barangan ini ke dalam senarai barangan yang dikenakan GST menjelang 1 Julai ini.

Tuntutan kami juga adalah GST dihapuskan segera bagi membantu meringakan beban rakyat hari ini. Komitmen Pakatan Harapan adalah tetap sama untuk menghapuskan GST sekiranya kami berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya pada PRU14 nanti.

* Dr Afif Bahardin adalah Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN

Categories
NASIONAL

RON95: Definisi ‘Golongan Berpendapatan Tinggi’ Perlu Jelas

Oleh Hasnah Jusid

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama): Kerajaan perlu memberikan satu definisi jelas berkaitan ‘golongan berpendapatan tinggi’ sebelum melaksanakan peraturan baharu subsidi petrol RON95 terhadap mereka.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata ini kerana definisi golongan itu kini berbeza mengikut situasi dan kawasan di mana mereka berada.

Sambil menyifatkan pengumuman itu sebagai sesuatu yang ditunggu-tunggu, beliau berkata golongan berada ialah pengguna yang apabila berlaku kenaikan kos tidak akan mempengaruhi kehidupan mereka.

FOMCA“Mereka yang berpendapatan RM5,000 hingga RM10,000 pun masih tertekan dengan kos sara hidup jika hidup di bandar.

“Pertama, kerajaan kena cari golongan betul-betul tidak layak terima subsidi; kedua, industri yang tidak layak mendapatnya perlu dikeluarkan; ketiga, ketirisan kerajaan perlu diatasi, barulah pergi kepada pengguna domestik,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata harga jualan petrol RON95 bagi golongan berpendapatan tinggi adalah mengikut harga pasaran mulai Jun tahun depan.

Ahmad berkata mekanisme dan kaedah pelaksanaannya sedang diperhalusi Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan iaitu sama ada menggunakan MyKad atau kad lain.

Golongan berpendapatan rendah dan sederhana pula akan terus menikmati RON95 pada harga subsidi.

Penganalisis ekonomi Datuk Mohd Yusof Kassim berkata langkah kerajaan itu memberi faedah besar untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana serta impak positif kepada pembangunan negara.

Beliau berkata penjimatan daripada langkah itu boleh disalur kepada projek yang berfaedah untuk rakyat dan agihan pendapatan negara kepada golongan berpendapatan sederhana.

“Sebenarnya harga pasaran bukan sepanjang masa tinggi, ada masa turun, macam sekarang ini, harga pasaran rendah.

“Pelaksanaan itu satu isu, konsep betul, mungkin kerja kerajaan dan swasta boleh tengok slip gaji, cuma orang bekerja sendiri boleh dilihat dia bayar cukai macam mana,” katanya.

Pandangan sama turut diutarakan pakar ekonomi Profesor Dr Mohamad Aslam Haneef dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menyifatkan isu mekanisme pelaksanaan memainkan peranan penting dalam menentukan keberkesanan langkah itu.

“Jika ia hanya melibatkan golongan berpendapatan tinggi, ok lah, kerana yang berpendapatan tinggi tidak sepatutnya diberi subsidi.

“Sepatutnya langkah ini akan kurangkan perbelanjaan kerajaan namun cara pelaksanaan mesti difikirkan, bagaimana anda nak tentukan seseorang itu berpendapatan tinggi. Bergantung pada mekanisme,” katanya.

Categories
NASIONAL

GST: Perbendaharaan anggar perbelanjaan rakyat bertambah RM700-RM1550 setahun

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 13 OCT : Keghairahan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus perlu dipersoal kerana ia akan memberi kesan bebanan cukai yang lebih besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Perbendaharaan Malaysia menganggarkan isi rumah berpendapatan kurang RM 4,000 sebulan akan mengalami pertambahan perbelanjaan di antara RM 140 hingga RM 700 setahun akibat GST.

Manakala, katanya isi rumah berpendapatan lebih RM 4,000 sebulan dijangka mencatat kenaikan sekurang-kurangnya RM 1,550 setahun.

anwar“Ini bermakna GST bakal mengurangkan pendapatan lebihan rakyat terbanyak, misalnya bagi golongan berpendapatan rendah di mana 32.6 peratus perbelanjaan bulanan mereka dijangka tertakluk kepada GST, manakala bagi golongan berpendapatan sederhana peratusan ini naik kepada 60 peratus.

“Pakatan Rakyat (PR) berpendapat tanggungjawab kerajaan adalah untuk menggunapakai kaedah paling adil bagi mencukai pelbagai bentuk modal kerana keuntungannya lebih tertumpu di tangan golongan kaya.

“Kami juga berpendapat bahawa cukai konsumpsi seperti GST yang bakal dikenakan kepada semua hanya akan berkesan apabila kesemua penerima gaji membayar cukai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar yang juga Ketua Umum PKR, berkata komuniti perniagaan turut menyuarakan kebimbangan mereka sekiranya GST dilaksanakan kerana kelewatan pembayaran rebat cukai itu dapat menjejaskan aliran tunai (cashflow) syarikat.

Beliau berkata sekiranya kelewatan pembayaran berlaku, maka para peniaga terpaksa menaikkan harga barang bagi memastikan aliran tunai yang baik dapat dikekalkan.

“Sebab inilah Pakatan Rakyat tetap berkeras bahawa GST akan menyebabkan kenaikan harga barang yang bakal menekan rakyat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Cukai Keuntungan Modal (CGT) yang dicadangkan PR adalah lebih efektif kerana ia hanya dikenakan kepada sebilangan kecil rakyat Malaysia yang mendapat keuntungan daripada urus niaga melibatkan modal seperti saham, instrumen kewangan dan bon.

Katanya walaupun bilangan yang bakal dicukai CGT adalah jauh lebih sedikit berbanding GST, namun PR menganggarkan pengenalan cukai itu mampu mengutip cukai permulaan dalam tahun 2015 sebanyak RM 3 bilion.

“Sudah tentunya golongan yang dicukai CGT ini berpendapatan besar kerana mereka tentunya mempunyai lebihan pendapatan untuk dilaburkan dalam urus niaga berisiko tinggi seperti saham dan bon.

“Tidak wujud kerisauan bahawa CGT akan merencatkan pelaburan kerana Amerika Syarikat dan United Kingdom kekal menjadi hab pelaburan kelas dunia walaupun masing-masing mempunyai kadar CGT yang tertinggi di dunia pada kadar 50.8 peratus dan 46.7 peratus.

“Malahan, jika CGT dikenakan kepada para spekulator saham maka pasaran saham akan tertebat daripada aktiviti spekulasi dan mencerminkan asas sebenar syarikat-syarikat yang disenaraikan serta menjamin kestabilan pasaran,” katanya lagi.

HM

Categories
NASIONAL

Anwar: Ikut saranan PR tak perlu potong subsidi, jimat RM20 bilion setahun

Oleh : AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 13 OKT : Negara mampu menjimatkan hampir RM20 bilion setahun, disamping mengurangkan defisit sehingga 1.5 peratus jika amalan rasuah dan boros yang diamalkan pentadbiran BN dapat dihapuskan, menurut kajian Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus, dan pengurangan subsidi bahan bakar tidak mendesak sekiranya amalan rasuah dan kebocoran ditangani.

Beliau berkata laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan pembaziran demi pembaziran dilakukan BN, namun ketirisan masih berleluasa sehingga hari ini.

anwar“PR saban tahun menegur pihak kerajaan akan amalan boros dan rasuah yang diamalkan mereka, namun teguran ini ibarat mencurah air ke daun keladi.

“Saban tahun kita terus menyaksikan pembaziran demi pembaziran dalam laporan Ketua Audit negara, malah jika diteliti teguran Ketua Audit Negara juga menzahirkan pembaziran dan ketirisan yang berterusan,” katanya ketika membahaskan Bajet 2015 Kerajan Persekutuan di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar juga turut mendedahkan hutang kerajaan persekutuan untuk tahun 2013 kini mencecah RM 569 bilion atau 53 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta anggaran kehilangan dana terkumpul berjumlah RM 1.2 trillion sejak tahun 2002 hingga 2011.

Malah katanya perangkaan Persepsi Indeks Rasuah meletakkan Malaysia sebagai negara ke-53 dilihat paling rasuah daripada 177 negara.

“Laporan terkini Asia Pacific Fraud Survey Report series 2013 bertarikh Oktober 2014 daripada Ernst and Young mengatakan Malaysia adalah negara paling rasuah di Asia Pasifik selepas China dan lebih gemar mengambil jalan pintas untuk mencapai sasaran ekonomi, akibat peningkatan persaingan dan keadaan ekonomi yang mencengkam.

“Malaysia juga dilihat terperangkap dengan ekonomi nilai rendah dan kini terpaksa pula bersaing dengan negara-negara baru yang struktur kosnya lebih rendah.

“Akibatnya kadar peningkatan pendapatan rakyat jauh ketinggalan berbanding kadar kenaikan kos sara hidup,” katanya lagi.

HM