Categories
AGENDA NASIONAL

Sangka masih moratorium antara alasan tidak perbaharui lesen, cukai jalan

IPOH, 18 FEB: “Eh, ingat masih moratorium”. Itu antara alasan yang diberikan pengguna jalan raya sewaktu disaman dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Ipoh Utara (arah selatan) semalam.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak Mohammad Yusoff Abustan berkata dalam operasi itu, sebanyak 159 kesalahan dicatatkan termasuk tidak memperbaharui lesen memandu selain cukai jalan tamat tempoh dengan alasan moratorium yang sebenarnya tamat pada 31 Dis 2021.

“Ada antara pengguna jalan raya memberi alasan pelepasan moratorium kononnya akibat kesibukan rutin harian sehingga lupa untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam sidang media pada operasi tersebut yang berakhir 12 tengah malam tadi.

Susulan itu, beliau menasihati pengguna jalan raya untuk sentiasa memeriksa lesen memandu lebih-lebih lagi menjelang ulang tahun kelahiran yang biasanya tamat tempoh pada hari tersebut.

“Kalau sudah terlepas tempoh, perbaharui lesen di mana-mana cawangan JPJ berdekatan, di pejabat pos dan MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) selain kios perkhidmatan di beberapa lokasi seperti di JPJ Ipoh, Taiping, Manjung, Tapah dan Teluk Intan,” katanya.

Dalam operasi itu, antara kesalahan lain yang direkodkan adalah berkaitan dadah dan juga imigresen termasuk penangkapan seramai lima pendatang tanpa izin.

Operasi bersepadu itu membabitkan 96 kekuatan anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi seperti Unit Penguatkuasa Lebuhraya (UPLR), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kakitangan Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) selain JPJ.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh baharui lesen memandu, cukai jalan dilanjut hingga 31 Disember

PUTRAJAYA, 3 SEPT: Tempoh moratorium lanjutan pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dilanjutkan hingga 31 Dis ini, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, katanya pemilik LKM yang tamat tempoh sah perlu memastikan kenderaan masing-masing dilindungi insurans sah dan menunjukkan sijil perlindungan insurans bagi tujuan pemeriksaan.

Sebelum ini, tempoh pembaharuan LKM dan LMM ditetapkan hingga 30 Sept ini dan boleh diperbaharui melalui kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia Bhd, MyEG Services Sdn Bhd (MyEG) dan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

Dengan mengambil kira maklum balas orang ramai, Wee berkata kementerian juga bersetuju untuk membuka semula kaunter JPJ dan Puspakom dengan kapasiti 100 peratus, iaitu secara “walk in” (jumpa terus) bermula Isnin ini (6 Sept) bagi semua urusan berkaitan.

“Mulai 6 Sept juga, JPJ akan menghentikan sistem janji temu dalam talian. Pelanggan yang ingin berurusan di kaunter mesti mendapat vaksinasi lengkap dan menunjukkan status risiko rendah Covid-19 dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada sidang media berkenaan perkara itu di Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini.

Kata Wee, orang ramai juga digalakkan menggunakan perkhidmatan dalam talian menerusi portal mySIKAP JPJ atau melalui khidmat Pos Malaysia, MyEG, Puspakom untuk membuat apa-apa transaksi JPJ yang berkaitan.

“Ini bertujuan mengelakkan kesesakan di kaunter JPJ dan memberi kemudahan dan kesenangan kepada orang ramai memperbaharui LKM dan LMM,” katanya.

Dalam pada itu, MOT juga mengingatkan orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan ketika berurusan di kaunter bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cukai jalan, lesen memandu boleh diperbaharui di pejabat pos mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Urusan pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu kini boleh dilaksanakan di pejabat pos mulai Isnin depan (9 Ogos) secara janji temu bagi mengelakkan kesesakan.

Pos Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan janji temu boleh dibuat secara dalam talian melalui ciri Outlet Finder di http://www.pos.com.my atau aplikasi mudah alih Pos Malaysia mulai esok (8 Ogos) dengan membuat pilihan negeri, cawangan pejabat pos dan klik pada pautan yang tersedia.

“Setiap pelanggan hanya dibenarkan menempah satu slot janji temu sehari dan menjalankan tidak lebih daripada tiga urus niaga pada setiap janji temu.

“Para pelanggan diminta untuk mematuhi tatacara operasi piawai seperti memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu, pengimbasan kod MySejahtera dan penjarakan fizikal satu meter ketika mengunjungi premis kami dan elakkan daripada mengunjungi pejabat pos sekiranya berasa tidak sihat atau mengalami gejala Covid-19,” menurut kenyataan itu.

Untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi menerusi AskPos di http://www.pos.com.my atau seperti yang tertera di skrin utama aplikasi mudah alih Pos Malaysia.

-BERNAMA