Categories
AGENDA NASIONAL

Daftar nombor cukai pendapatan melalui e-Daftar mulai 18 Mei

PUTRAJAYA, 16 MEI: Pendaftaran nombor cukai pendapatan melalui perkhidmatan e-Daftar dan penetapan serta pertukaran prefix baharu bagi pembayar cukai individu daripada pendaftaran pembayar cukai Individu (SG dan OG) kepada prefix IG bermula 18 Mei ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkata pendaftaran nombor cukai pendapatan bagi pembayar cukai kategori Koperasi (CS), Pertubuhan (F), Badan Amanah (TA), Unit Amanah/Amanah Harta Tanah (TC), Amanah Perniagaan (TN) dan Amanah Pelaburan Harta Tanah/Tabung Amanah Harta (TR) boleh dilakukan secara dalam talian melalui e-Daftar yang boleh dicapai menerusi pautan https://edaftar.hasil.gov.my/.

Sebagai rekod, katanya perkhidmatan e-Daftar pada ketika ini hanya terhad kepada SG dan OG, Syarikat (C), Perkongsian (D), Majikan (E) dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PT).

“Mulai 18 Mei 2021 juga LHDN akan melaksanakan penetapan prefix baharu bagi pembayar cukai individu iaitu daripada prefix SG dan OG kepada prefix IG. Proses penetapan prefix ini melibatkan dua fasa iaitu bagi fasa pertama ia akan dilaksanakan terhadap pembayar cukai individu yang baharu didaftarkan melalui sistem LHDN.

“Fasa kedua pula akan melibatkan pertukaran prefix bagi pembayar cukai individu yang sedia ada secara berperingkat mulai 18 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

LHDN berkata pertukaran prefix ini tidak akan melibatkan sebarang perubahan terhadap nombor cukai pendapatan individu sedia ada dan tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata bagi individu juga adalah kekal iaitu 30 April setiap tahun bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan dan 30 Jun setiap tahun bagi individu yang menjalankan perniagaan.

Katanya pertambahan kategori pembayar cukai yang boleh didaftarkan melalui perkhidmatan e-Daftar ini merupakan satu daripada inisiatif di bawah Transformasi Hasil (TH) sebagai usaha berterusan LHDN untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada pembayar cukai.

Penetapan dan pertukaran prefix SG dan OG kepada IG bagi pembayar cukai individu pula dapat memudahkan pengurusan pembayar cukai dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pembayar cukai individu.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan perkara ini boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000/603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/;.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cukai pendapatan individu turun satu mata

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan penurunan kadar cukai pendapatan sebanyak satu mata peratusan yang dijangka memanfaatkan 1.4 juta pembayar cukai.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia membabitkan individu pemastautin bagi banjaran pendapatan bercukai RM50,001 hingga RM70,000.

Antara inisiatif bagi meringankan beban kewangan rakyat semasa tempoh krisis Covid-19 ialah:

*Menambah baik Bantuan Bayaran Bersasar kepada peminjam kategori B40, bakal penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan perusahaan mikro dengan jumlah pinjaman yang diluluskan sehingga RM150,000 bermula Disember 2020
– menangguhkan ansuran bulanan selama tiga bulan
– pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50 peratus selama enam bulan

*Peminjam golongan M40 hanya perlu membuatkan pengisytiharan kendiri pengurangan pendapatan bagi memohon bantuan bayaran balik bermula Disember 2020

*Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja dikurangkan kepada sembilan peratus bermula Januari 2021 selama 12 bulan

*Pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan sehingga RM6,000 selama setahun

*Elaun Mencari Kerja dilanjutkan pada 2021 selama tiga bulan dengan kadar 80 peratus (bulan pertama), 50 peratus (bulan kedua hingga keenam) dan 30 peratus (tiga bulan terakhir)
– Peruntukan sebanyak RM150 juta yang memanfaatkan 130,000 pencari kerja

*Had pengecualian pendapatan bagi bayaran pampasan kehilangan kerja dinaikan kepada RM20,000 setiap tahun genap perkhidmatan untuk dua tahun taksiran

*Peruntukan RM200 juta untuk program Pengedaran Barang Perlu, gas petroleum cecair (LPG) dan Community Drumming termasuk meluaskan pelaksanaannya ke 34 kawasan baharu yang akan dinikmati 1.1 juta rakyat

Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN lanjut serahan borang cukai pendapatan hingga 30 Jun

PUTRAJAYA, 3 JUN: Tarikh akhir pengemukaan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) bagi Tahun Taksiran 2019 untuk individu yang tidak menjalankan perniagaan dilanjutkan sehingga 30 Jun ini.

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam satu kenyataan memaklumkan pengemukaan BNCP (Borang BE/e-BE/m-BE/Borang M/e-M) boleh dibuat menerusi aplikasi ezHASiL melalui pautan https://ez.hasil.gov.my/CI/ atau secara manual dengan memuat turun borang di portal rasmi LHDN.

Menurut LHDN, ia memberi pertimbangan sewajarnya dengan mengambil kira kekangan yang dihadapi pembayar cukai untuk mengemukakan BNCP berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat pandemik Covid-19.

“Bagi terus menyokong usaha membendung penularan wabak Covid-19, pembayar cukai digalakkan untuk menggunakan sepenuhnya perkhidmatan dalam talian melalui platform ezHASiL bagi tujuan menghantar BNCP,” katanya.

LHDN menyarankan pembayar cukai menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan tidak menunggu hingga ke saat akhir untuk memfailkan BNCP.

Sebagai rujukan, program pemfailan BNCP bagi tahun 2020 boleh dicapai menerusi pautan berikut:

i. Bahasa Melayu:

http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_1.pdf

ii. Bahasa Inggeris:

http://lampiran1.hasil.gov.my/pdf/pdfam/ProgramMemfailBN_2020_Pin.3_2.pdf

Untuk maklumat lanjut, pembayar cukai boleh layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tunggakan cukai pendapatan, GST dibayar semula berperingkat

PUTRAJAYA, 18 JAN: Kerajaan kini dalam proses membayar semula tunggakan cukai berjumlah RM37 bilion, membabitkan cukai pendapatan dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, tunggakan terdiri daripada RM18 bilion cukai pendapatan dan RM19 bilion bagi GST berdasarkan anggaran dibuat dalam Belanjawan 2019, akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh 10 bulan.

“Kami akan memulakan proses pembayaran balik tetapi ia tidak akan dikembalikan sekali gus kerana ia akan menjadi angka yang sangat besar.

“Kami tidak membayarnya lagi tetapi kami berhasrat untuk berbuat demikian dalam tempoh 10 bulan tahun ini,” katanya lapor BERNAMA.

Katanya, keputusan untuk tidak membayar tunggakan itu secara sekali gus ekoran berpendapatan ia langkah tidak baik.

“Sekiranya kami membayar balik sekali gus, saya tidak fikir ia baik dan bank kami akan berkata, kenapa anda tidak menyebarkannya supaya anda boleh mendapat kesan pengganda sepenuhnya serta meningkatkan ekonomi tempatan,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan pusat perlu sedia hadapi inflasi kesan laksana GST

GST Grafik Baru

KUALA LUMPUR 29 OKT : Kerajaan Pusat perlu bersiap sedia dalam menghadapi kadar kenaikan inflasi apabila pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, pada 2015.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Cheng, berkata kerajaan pusat perlu menyediakan langkah segera bagi mengatasi masalah kenaikan inflasi itu.

Beliau mencadangkan perbelanjaan di setiap kementerian perlu dipotong sebanyak 10 peratus supaya rakyat tidak terbeban dengan pembayaran GST terbabit.

“Kerajaan perlu bersiap sedia menghadapi kenaikan kadar inflasi sebaik GST dilaksana, pada 2015.

“Saya tidak faham kenapa Barisan Nasional (BN) kata GST baik kerana pelaksanaannya menyebabkan rakyat Malaysia perlu menampung RM700 seorang,” katanya dalam perbahasan Belanjawan 2014, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, CIMB Research mennyatakan kerajaan akan memperoleh pendapatan tambahan daripada GST sebanyak RM12 bilion.

“Selepas potong cukai pendapatan, cukai jualan dan perkhidmatan (SST), GST akan tambah RM12 bilion. Rakyat yang kena bayar beban itu,” katanya.

Dalam perbahasan itu juga, Ahli Parlimen Kepong, Tan Seng Giaw, berkata pelaksanaan GST menyebabkan harga rumah dan kos pengurusan di hospital akan ditanggung oleh rakyat.

“Kos akan lebih tinggi, apabila dipindahkan kepada barangan. Contohnya bagi harga rumah, sudah tentu kos bahan binaan meningkat, selain kos urusan hospital swasta yang turut naik dan ditanggung  pesakit.

Jadi, kami minta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meneliti semula pelaksanaan GST yang ‘kononnya’ tidak akan membebankan rakyat,” katanya.

-NFN-