Categories
PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran, kompaun MBSA di Aeon Shah Alam pada Sabtu

SHAH ALAM, 9 MAC: Orang ramai boleh menyemak dan membayar cukai taksiran serta kompaun di pejabat bergerak Shah Alam On Wheels di parkir terbuka Aeon Shah Alam pada 12 Mac ini.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memaklumkan kemudahan lain termasuk kaunter aduan, semakan status lesen komposit dan penjaja serta jualan buku pelan setara mulai 11 pagi hingga 5 petang.

Menurut Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya Shahrin Ahmad, platform itu memudahkan orang ramai berurusan pada hujung minggu tanpa perlu ke kaunter.

“Melalui perkhidmatan ini, pihak Majlis berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan, orang ramai boleh hubungi talian 013-3380551.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPAJ: Bayar cukai taksiran, peluang menang kereta

SHAH ALAM, 24 JAN: Warga Ampang berpeluang memenangi hadiah utama sebuah kereta dengan membayar cukai taksiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Agensi itu memaklumkan cabutan bertuah dengan hadiah bernilai lebih RM300,000 itu adalah sempena 30 tahun penubuhan MPAJ.

“Caranya mudah sahaja dengan membuat bayaran cukai taksiran MPAJ tahun 2022 melalui Icomm MPAJ di pautan https://icomm.mpaj.gov.my atau boleh download di Google Play atau App Store,” katanya di Facebook.

Penyertaan bermula dari 1 Januari hingga 28 Februari bagi penggal pertama dan 1 Julai hingga 31 Ogos bagi penggal kedua.

Keterangan lanjut boleh layari www.mpaj.gov.my

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bayar cukai taksiran MBSJ di Shopee, nikmati potongan 10 peratus

SHAH ALAM, 6 DIS: Orang awam boleh melunaskan bayaran cukai taksiran Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi aplikasi Shopee dan nikmati potongan 10 peratus.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan tawaran berkenaan bermula sejak 1 Disember lalu sehingga 28 Januari tahun depan.

“Dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti dalam bandar raya ini, MBSJ berkolaborasi bersama Shopee Malaysia dengan memberi ganjaran potongan sebanyak 10 peratus.

“Potongan ini boleh dinikmati melalui kaedah muat turun aplikasi Shopee dan mendaftar sebagai ahli My@MBSJ,” maklum PBT itu.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh mengimbas kod QR yang tertera untuk mendapat maklumat berkenaan inisiatif itu atau layari portal rasmi MBSJ di http://www.mbsj.gov.my.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Denda lewat bayar cukai taksiran dikecualikan ringan beban rakyat

SHAH ALAM, 21 NOV: Kerajaan Negeri mengecualikan bayaran denda lewat cukai taksiran bagi penggal kedua tahun ini untuk mengurangkan beban rakyat susulan pandemik.

Keputusan yang diluluskan pada 17 November melibatkan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM13.8 juta, kata EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han.

“Keputusan ini selaras inisiatif dan ketetapan Kerajaan Negeri untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat dalam berhadapan penularan wabak Covid-19.

“Sehubungan itu, semua pemilik premis/ bangunan yang lewat menjelaskan cukai taksiran untuk penggal tersebut tidak akan dikenakan denda lewat bayar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk menyemak penyata cukai taksiran masing-masing bagi memastikan bayaran dilaksanakan mengikut tempoh yang ditetapkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MBSA kutip lebih RM270 juta cukai taksiran tahun ini

SHAH ALAM, 9 NOV: Lebih RM270 juta cukai taksiran telah dikutip Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada tahun ini.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata jumlah kutipan memberangsangkan biarpun dalam keadaan penduduk berhadapan pandemik Covid-19.

“Pembayaran cukai bagi dua penggal pada tahun ini lebih 95 peratus, kita berterima kasih kepada penduduk Shah Alam walaupun terkesan pandemik tetapi masih melunaskan cukai.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Zamani Ahmad Mansor berucap ketika pelancaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) tanpa tunai di Dewan Auditorium, MBSA, Shah Alam pada 9 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jumlah yang dikutip ini lebih RM270 juta dan ia melepasi sasaran kita,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan MBSA Tanpa Tunai di Dewan Auditorium di sini hari ini.

Pada 27 Julai, MBSA memudahkan urusan pembayaran cukai taksiran tanpa perlu ke kaunter dengan menggalakkan penduduk membuat pembayaran menerusi dalam talian di www.eps.mbsa.gov.my.

Selain itu saluran bayaran menerusi JomPAY turut disediakan dengan pembayar hanya perlu memasukkan biller code: 7567, nombor akaun baharu pada Ref-1 dan nombor telefon pada Ref-2 dan seterusnya memasukkan jumlah bayaran.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj henti hantar cukai taksiran fizikal susulan kenaikan caj pos

KAJANG, 1 NOV: Kaedah penghantaran cukai taksiran secara fizikal kepada penduduk di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dihentikan susulan kenaikan caj pengeposan.

Yang Dipertua Najmuddin Jemain berkata caj terbabit meningkat daripada 30 sen kepada RM1.30, menyebabkan tiada pengeposan bil cukai taksiran kepada pemilik sejak 1 Januari lalu.

“Oleh demikian, mereka yang hendak mendapatkan bil secara fizikal boleh datang ke kiosk disediakan  MPKj.

“Penduduk boleh membuat semakan dan bayaran menerusi laman web rasmi MPKj melalui perkhidmatan e-Taksiran,”katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Tambah Najmuddin, orang ramai juga boleh membuat bayaran di kaunter cawangan hasil MPKj di Kompleks Hentian Kajang, kaunter pandu lalu Menara MPKj atau e-Bayar (www.mpkj.gov.my).

Orang ramai juga boleh melayari laman web http://ebayar.mpkh.gov.myebayar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj cadang naikkan cukai taksiran pada 2023

KAJANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bercadang menaikkan kadar cukai taksiran pada 2023.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata kadar kenaikan dicadangkan adalah tidak melebihi RM20 untuk penduduk yang tidak membuat pengubahsuaian kediaman.

“Buat masa ini, cukai taksiran dikenakan tidak pernah dinilai sejak 1986. Perbincangan bersama Kerajaan Negeri diwakili EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han telah dijalankan tiga minggu lalu.

“Antara dicadangkan ialah semakan dilakukan tahun hadapan dan kenaikan pada 2023 tetapi semuanya tertakluk kepada hasil perbincangan serta arahan lanjut Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Najmuddin menjelaskan, kenaikan cukai taksiran itu amat membantu dalam pengurusan dan pentadbiran MPKj.

“Walaupun kadar cukai taksiran mengikut 1986, kita cuba sediakan perkhidmatan mengikut tahap 2000.

“Ini yang cuba disampaikan kepada penduduk walaupun peruntukan hasil tidak seperti diharapkan, kita tetap berusaha memberikan yang terbaik,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj galak penduduk bayar cukai taksiran ikut tempoh

KAJANG, 1 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berharap penduduk membuat pembayaran cukai taksiran dalam tempoh ditetapkan.

Yang dipertuanya berkata tindakan pemegang akaun melaksanakan pembayaran mengikut tempoh memudahkan pihaknya menjalankan tugasan diamanahkan.

“Inisiatif cabutan bertuah ini sebahagian daripada kempen menggalakkan penduduk membayar penuh dan lebih awal selain tidak mempunyai tunggakan.

“Pada masa akan datang kita akan perkemas lagi pertandingan bergantung pada sambutan. Namun apa yang penting segala yang MPKj terima kita pulangkan kepada penduduk,” kata Najmuddin Jemain.

Beliau ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Bayar dan Menang Cukai Taksiran MPKj 2021 di Dewan Seri Cempaka Saujana Impian di sini hari ini.

Terdahulu, seramai 45 pemegang akaun cukai taksiran dipilih sebagai pemenang dalam cabutan bertuah menerusi kempen tersebut yang dilancar pada 1 Januari hingga 28 Februari.

Antara hadiah ditawarkan ialah satu motosikal Yamaha Y15, enam basikal pelbagai jenis, lapan televisyen android, 10 telefon pintar dan 20 barangan elektrik.

Categories
PBT SELANGOR

Pemilik harta di Petaling Jaya diingatkan jelas cukai sebelum 30 Sept

SHAH ALAM, 24 SEPT: Pemilik harta di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diingatkan supaya menjelaskan cukai taksiran sebelum atau pada 30 September bagi mengelak dikenakan denda.

Sekretariat media unit komunikasi korporatnya berkata semakan dan salinan bil boleh dicapai melalui laman sesawang https://ecuaki.mbpj.gov.my/mbpjsalinanbil

Jabatan itu memaklumkan bayaran juga boleh dibuat secara dalam talian menggunakan aplikasi eCukai@MBPJ atau portal ePay@MBPJ.

“MBPJ mengajak orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian sepenuhnya bagi memudahkan pelanggan berurusan tanpa perlu keluar dari rumah dan sebarang bentuk transaksi boleh dibuat tidak terhad pada waktu pejabat sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata buat masa ini operasi keseluruhan kaunter utama bayaran dan perkhidmatan di ibu pejabat MBPJ ditutup bagi kerja menaik taraf serta ubah suai.

Orang ramai boleh hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-79563544 (sambungan 102/103/108/109) atau layari Facebook (Majlis Bandaraya Petaling Jaya) serta Instagram dan Twitter (pjcitycouncil) untuk maklumat lanjut.

Categories
PBT SELANGOR

MPKS saran penduduk bayar cukai taksiran sebelum 31 Ogos

SHAH ALAM, 23 OGOS: Warga Kuala Selangor disaran menjelaskan cukai taksiran secara dalam talian sebelum 31 Ogos.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) berkata semakan boleh dilakukan secara dalam talian menggunakan telefon pintar.

Menerusi perkongsian info grafik, bayaran boleh dilakukan menerusi aplikasi Maybank2u dan CimbClick serta PBTPay.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi 03-3289 1439/1549/2340.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ seru penduduk segera bayar cukai taksiran

SHAH ALAM, 15 JULAI: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggesa orang ramai menjalankan tanggungjawab membayar cukai taksiran dengan segera.

Menerusi Facebook, pihak berkuasa tempatan itu memaklumkan pembayaran cukai taksiran itu adalah bagi memastikan fasiliti, infrastruktur dan kemudahan awam dapat disediakan serta diselenggara dengan baik.

“Tarikh bayaran akhir adalah selewat-lewatnya pada 31 Ogos ini.

“Warga MBSJ boleh membuat semakan e-Bil dengan mengimbas kod QR pada poster dengan mendaftar sebagai ahli di pautan www.mbsj.gov.my,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Lunas cukai taksiran sebelum 28 Februari, elak didenda

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemilik harta sekitar pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diingatkan untuk menjelaskan cukai taksiran sebelum 28 Februari ini.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam kenyataan memaklumkan bayaran boleh dibuat melalui kaunter atau secara dalam talian bagi mengelak dikompaun.

Menurut MBPJ, kaunter bayaran di ibu pejabat juga akan dibuka hujung minggu ini untuk memudahkan urusan tersebut mulai jam 9 pagi hingga 1 tengah hari.

“Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan masih dilaksana di Selangor, justeru pelanggan yang hadir dinasihatkan untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Orang awam juga digalak membayar cukai melalui aplikasi ecukai@mbpj yang boleh dimuat turun melalui Google Play dan App Store,” maklum PBT berkenaan.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-7956 3544 sambungan 102/103/108/109 atau layari www.mbpj.gov.my.