Categories
SELANGOR

Gunakan saluran betul bukan terlibat curi pasir

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 18 MAC : Syarikat tertentu yang ingin menjalankan aktiviti jual beli pasir perlu melalui prosedur dan saluran ditetapkan Kerajaan Negeri tanpa perlu terlibat secara haram melalui kegiatan curi pasir.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli, berkata permohonan perlu dibuat kepada Majlis Daerah sebelum mendapat kelulusan bagi tujuan operasi tersebut.

CURI PASIR“Pihak berkuasa tegas menangani kegiatan curi pasir di kawasan ini yang sekarang ini sudah terlalu keterlaluan.

“Sewajarnya pihak terbabit perlu melalui saluran betul dan membuat pembayaran cukai demi manfaat rakyat bersama.

“Tapi malangnya prosedur itu tidak dipatuhi dan tidak hairan pihak berkuasa dan majlis daerah komited memerangi isu ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan dari Lebuhraya Silk ke Taman Bukit Sungai Long, hari ini.

Semalam, insiden rumah seorang penolong pegawai daerah Hulu Langat di Seksyen 14, Bandar Baru Bangi dibaling dengan tiga ‘molotov cocktail’ dipercayai berkaitan kegiatan curi pasir di kawasan itu.

Pegawai Daerah Hulu Langat, Zulkefli Khalid berkata kejadian dipercayai akibat tidak puas hati dengan tindakan pegawainya membanteras kegiatan curi pasir di daerah Hulu Langat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 35 tahun yang enggan dikenali menemui tiga ‘molotov cocktail’ dengan dua daripadanya berada di tempat letak kereta, manakala satu lagi di laman rumahnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Abdul Ghani Mohamad Ji berkata dua daripada botol berkenaan pecah menyebabkan terdapat kesan kebakaran di lantai tempat letak kereta di rumah mangsa.

EZY

Categories
SELANGOR

Tingkat sistem, tambah anggota cegah kes curi pasir

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Selangor meluluskan pengambilan 100 anggota penguatkuasa dan 15 penolong pegawai tanah sebagai usaha meningkatkan penguatkuasaan kecurian pasir.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata kecurian pasir berskala kecik lima ekar kebawah masih dilaporkan kes kecurian.

MB Azmin“Penambah anggota penguatkuasaan di pejabat tanah dan daerah itu untuk tingkatkan rondaan dan pemantauan.

“Kita juga jalankan tindakan statik di kawasan yang telah dibuat penguatkuasaan bagi mengelakkan pengusaha pasir haram kembali beroperasi,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), pagi ini.

Mohamed Azmin berkata, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) selangor juga mengambil tindakan menyeragamkan penggunaan loket lengkap ciri keselamatan untuk pengeluaran bahan batuan disetiap daerah.

Katanya, hasil kutipan royalti bagi bahan batuan khususnya pasir meningkat lebih tinggi sejak 2008.

CURI PASIR“Pada 2008 bayaran royalti adalah sebanyak RM525,000 dan meningkat pada tahun ini sehingga 30 September mencatatkan peningkatan royalti sebanyak RM14.1 juta

“Bagi jumlah produksi pasir bermula 2008 hingga 30 September lalu berjumlah 44 juta tan matrik dan keuntungan bersih berjumlah RM84.6 juta,” katanya.

-nR-

Categories
SELANGOR

Kes curi pasir berulang di Semenyih, banteras sebelum berleluasa

Oleh: HAFIZAN TAIB

SEMENYIH, 19 JUN: Kes curi pasir didakwa berulang kembali di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih sejak akhir-akhir ini apabila beberapa kawasan dikatakan diberi tumpuan pihak tidak bertanggungjawab.

Terbaru, lori mengangkut pasir didakwa dikesan memasuki kawasan Kampung Sri Pening, di sini, bagi menjalankan operasi membawa keluar bahan itu yang dipunggah di kawasan sungai kampung berkenaan.

Curi Pasir-GrafikPengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pasir Baru, Arif Bujang, berkata aktiviti seperti itu harus mendapat perhatian pihak berkuasa supaya dapat dibanteras daripada berleluasa.

“Aktiviti curi pasir di kawasan ini memang berjalan sejak sekian lama sebelum Kerajaan Negeri bertukar tangan. Bagaimanapun, banyak berkurangan selepas itu.

“Kes terbaru ini saya kesan kira-kira minggu lalu apabila lori mengangkut pasir masuk ke kampung ini. Pemandu lori mengatakan pasir itu digunakan bagi tujuan meninggikan tanah di tebing untuk menghalang daripada berlaku banjir,” katanya kepada Selangor Kini.

Arif bagaimanapun curiga dengan penjelasan diberikan dan berdasarkan maklumat diberi diyakini terdapat ‘pihak tertentu’ menjalankan operasi terbabit tanpa kelulusan.

Dakwanya, laporan polis tidak dibuat terhadap kes terbaru itu berikutan pihak terbabit berjanji tidak akan memasuki kawasan kampung itu lagi.

Sejak 2008, katanya, hampir 20 laporan polis dibuatnya termasuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Langat dan tindakan susulan diambil pihak berkuasa selepas itu.

“Memang banyak kawasan di sini yang menjadi tumpuan pengusaha pasir. Salah satu adalah kawasan penempatan Orang Asli iaitu Kampung Sungai Lalang.

“Saya akan memantau perkembangan yang berlaku di Sungai Pening. Saya yakin jika  tidak dipandang serius, ia akan berulang,” katanya.

-EZY-

Kecurian Pasir Berleluasa di Sungai Kundur

SEMENYIH, 17 MAC : Penduduk sekitar Sungai Kundor mendakwa wujud sindiket yang tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mencuri pasir dikawasan tersebut.

Dakwaan tersebut dikuatkan lagi dengan kelibat puluhan lori setiap hari keluar dan masuk ke lokasi tersebut untuk mengangkut hasil bumi itu.

Penduduk yang di temui TVSelangor, yakin aktiviti mencuri pasir itu dijalankan pada waktu malam manakala pada siangnya untuk mengangkut hasil bumi itu keluar bagi mengaburi mata penduduk dan pihak berkuasa.

Menurut penduduk, Ahmad Zain,50 berkata kerja-kerja tersebut dilakukan dengan licik dan terdapat orang upahan yang mengawal laluan utama untuk masuk ke lokasi mencuri pasir tersebut.

“Perkara ini dilakukan sejak empat tahun yang lalu, sejak kebelakangan ini ia semakin menjadi-jadi, boleh dikatakan puluhan lori keluar masuk mengangkut pasir,”jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir, Arif Bujang,63 (gambar) berkata beliau pernah diserang semasa menjejaki lokasi tersebut selain mendakwa aktiviti ini diawasi oleh gerombolan samseng.

“Pengalaman saya semasa ingin melihat lokasi tersebut dengan lebih dekat, saya pernah diserang, nasib baik saya selamat dan hanya kenderaan saya sahaja yang rosak,”jelasnya.

Lokasi kecurian pasir ini dikatakan terletak di Sungai Kundor, Hulu Semenyih berhampiran Taman Peringatan Nirwana iaitu 10 km dari pekan Semenyih.

Selain bentuk muka buminya yang agak tersorok, Selangorkini juga difahamkan lokasi ini ditutupi dengan dingding zink sekaligus menyukarkan penduduk setempat mengetahui aktiviti mereka.

Apa yang dikhuatirkan, keghairahan sindiket merompak hasil bumi merosakan fizikal sungai sekaligus mendatangkan kesan kepada alam dan penduduk setempat.

Dalam perkembangan yang sama, Penyelaras DUN Semenyih, Nor Azlan Mohamad berkata tidakan pemantauan dan serbuan seharusnya dilakukan segera setiap kali aduan dilaporkan.  

“Hampir setiap minggu pihak saya (Pejabat DUN Semenyih) menerima aduan dan SMS daripada penduduk berhubung kecurian pasir di lokasi ini.

“Pada 25 Februauri lalu saya telah penjangkan aduan ini kepada pihak Exco dan Pejabat Tanah dan Galian, sedia maklum mengetahui bahawa pusat khidmat tiada hak dan kuasa untuk menyerbu lokasi yang didakwa penduduk,”jelasnya.

Sehubungan itu TVSelangor akan mengajukan perkembangan ini kepada pihak berwajib Isnin depan.