Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Henti sebar video remaja dimandi seperti ‘jenazah’, elak tanggapan negatif

SHAH ALAM, 14 JAN: Masyarakat diharap menghentikan penyebaran video mengenai seorang imam dan sekumpulan jemaah sebuah masjid di Selangor yang bertindak memandikan seorang remaja seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri tabung masjid, dalam media sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata penyebaran video tersebut tidak membawa sebarang kebaikan kepada kedua-dua pihak, malah mengundang kutukan daripada masyarakat dengan pelbagai komen negatif.

“Selain menjatuhkan maruah remaja terlibat, ia juga turut memberikan persepsi buruk tentang sikap pengurusan institusi masjid,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zawawi berkata tindakan sewajarnya telah diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab menguruskan institusi masjid di negeri itu sebaik sahaja mendapat maklumat yang betul tentang perkara tersebut.

“Saya difahamkan imam yang terlibat telah mengambil tindakan meletakkan jawatan dan Jais sedang meneliti perkara ini untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru masyarakat khasnya umat Islam di Selangor, supaya bertenang dan tidak mengambil pendekatan agresif dalam menangani apa-apa isu dan kes yang melibatkan institusi Islam.

“Biarlah pihak berkuasa melaksanakan tugas mereka mengikut lunas undang-undang, manakala masyarakat setia membantu pihak berkuasa untuk menyempurnakan tugas dan bukannya mengambil alih tugas pihak berkuasa,” katanya.

Media melaporkan seorang remaja yang videonya tular dalam media sosial kerana dimandikan seperti ‘jenazah’ akibat cuba mencuri tabung masjid, dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang, dekat sini semalam.

Video berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan tindakan jemaah masjid memandikan lelaki itu seperti jenazah serta dia dilumurkan dengan kapur barus selepas ditangkap kerana perbuatannya itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Polis: Remaja curi tabung masjid mahu beli dadah, bukan ubat datuk

SHAH ALAM, 14 JAN: Alasan seorang lelaki yang cuba mencuri wang tabung masjid kononnya hendak membeli ubat untuk datuknya adalah tidak benar, dedah ketua polis Sungai Buloh.

Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata sebaliknya, siasatan awal mendapati remaja berusia 19 tahun itu bertindak demikian untuk mendapatkan bekalan dadah, lapor Berita Harian.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk beli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu,” katanya.

Remaja itu tular di media sosial selepas dimandikan seperti ‘jenazah’ kerana cuba mencuri duit tabung itu dipercayai terbabit kegiatan dadah sejak setahun lalu.

Semalam, Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 terhadap Daniel Iskandar selepas mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dekat Kuang, Rawang pada jam 11.58 malam, Sabtu lalu.

Sebelum itu, peguam yang mewakili Daniel memohon hukuman berbentuk pengajaran dengan alasan ini adalah kesalahan kali pertama anak guamnya serta dia sudah insaf dan sudah memohon maaf kepada mahkamah dan pihak masjid.