Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Wakil rakyat dedah ada anak muda tidak tahu daftar vaksin

SHAH ALAM, 26 MAC: Wakil rakyat Rawang mendedahkan sebilangan anak muda belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 berikutan tidak tahu untuk berbuat demikian.

Chua Wei Kiat berkata mereka menyangka aplikasi MySejahtera hanya untuk mengimbas kod QR tanpa mengetahui pendaftaran vaksin boleh dibuat di situ.

Beliau berkata masalah itu dikesan ketika pusat khidmatnya membuka kaunter bergerak antaranya di Restoran TTE Foodland, Pasar Malam Bukit Rawang Jaya dan Pasar Kampung Sungai Terentang.

“Kebanyakan pendaftaran dibuat ke atas warga emas, namun saya hairan kerana terdapat anak muda yang datang dan memberi alasan tidak tahu cara mendaftar.

“Mereka memiliki aplikasi MySejahtera di telefon bimbit masing-masing tetapi sekadar menggunakan kemudahan tersebut untuk mengimbas kod QR sewaktu memasuki premis,” katanya kepada SelangorKini.

Wei Kiat menjelaskan kira-kira 20 peratus daripada 400 individu yang singgah ke kaunter bergerak membabitkan golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Justeru, beliau menggesa kerajaan persekutuan lebih agresif memberi pendedahan berkaitan vaksin kepada semua peringkat usia berikutan kadar pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula pada 24 Februari perlahan.

“Di Selangor, pemimpin akar umbi seperti Ahli Dewan Negeri dan ketua kampung digerakkan bagi memudahkan masyarakat menyertai program suntikan vaksin,” katanya.

Beliau turut meminta kerjasama anak-anak supaya membantu ibu bapa yang sebahagiannya tidak mahir menggunakan teknologi supaya mendaftarkan mereka.