Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Tonton sambutan Tahun Baharu Cina, peluang menang angpau

SHAH ALAM, 1 FEB: Dato’ Menteri Besar mengajak orang ramai menonton sambutan Tahun Baharu Cina secara dalam talian malam ini dan berpeluang memenangi angpau RM10,000.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sambutan itu boleh ditonton menerusi siaran secara langsung di Facebook Mandarin beliau @ami.mbselangor/ atau Media Selangor.

Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella bakal dipersembahkan oleh kumpulan Colour of Voices pada siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

“Jangan lupa peluang untuk anda menangi wang angpau sebanyak RM10,000 dengan menyertai sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Kerajaan Negeri Selangor secara dalam talian 9 malam ini.

“Ikuti program istimewa menerusi laman Facebook FB.com/ami.mbselangor, FB.com/amirudinbinshari dan FB.com/MediaSelangor,” katanya di Facebook.

Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini diteruskan secara dalam talian selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Persembahan tarian oleh kumpulan Dua Space Dance Theatre bakal memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri yang akan disiarkan secara langsung pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Siaran secara langsung itu turut menampilkan 55 artis tempatan membuat persembahan antaranya nyanyian, persembahan gendang Cina, tarian singa serta ucapan ringkas daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Cara menyertai peraduan ucapan kreatif:

– Layari siaran langsung dalam talian sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar dan Facebook Teng Chang Khim
– Kongsikan siaran langsung itu
– Tag kepada rakan-rakan dan tulis ucapan kreatif Tahun Baharu Cina

Sara Heng (tengah), pemain alat muzik tradisi guzheng yang terkenal, bakal mengadakan persembahan dalam
talian sempena sambutan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim
Categories
PBT SELANGOR

Manfaat teknologi, MBSA buat urus niaga penuh dalam talian

SHAH ALAM, 9 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal melaksanakan urus niaga penuh secara maya bagi memartabatkan penggunaan teknologi masa kini.

Insiatif pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga selaras sasaran Selangor sebagai negeri pintar menjelang 2025, kata timbalan datuk bandarnya.

“Semua proses permohonan antara MBSA dan pelanggan akan dilaksana secara dalam talian untuk memudah cara semua pihak,” kata Mohd Rashidi Ruslan.

Beliau bercakap pada program Bual Bicara Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-21 yang disiarkan secara langsung di YouTube SelangorTV malam tadi.

Mohd Rashidi berkata MBSA turut mengetengahkan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti pembangunan tidak sah.

Jelasnya, PBT itu sentiasa komited memperkasa infrastruktur dan kemudahan awam demi keselesaan penduduk, sesuai dengan status bandar raya tersebut.

“Penggunaan CCTV di lokasi strategik akan terus diperluas termasuk satu pusat kawalan bagi memudahkan proses pemantauan,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Celik teknologi siber cegah ancaman dalam talian

Oleh Erda Khursyiah Basir

KUALA LUMPUR, 7 SEPT: Krisis pandemik Covid-19 menyaksikan hampir semua urusan harian dilakukan secara dalam talian, sekali gus memaksa masyarakat pada pelbagai peringkat usia membiasakan diri dengan teknologi itu.

Jika sebelum ini aktiviti dalam talian lebih kepada soal kewangan, proses jual beli dan hubungan sosial, kini kegiatan secara maya lebih meluas, melibatkan antaranya bekerja dari rumah (BDR), Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) serta pelbagai lagi.

Lantaran itu juga istilah seperti Google, YouTube serta aplikasi seperti Zoom dan Google Meet yang sebelum ini hanya popular dalam kalangan remaja dan orang muda, kini perlu dihadam oleh golongan dewasa serta kanak-kanak seawal usia lima tahun bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada tuntutan semasa.

Kemahiran alam siber

Menurut Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi yang juga Ketua Advanced Communication Research Unit (ACRU) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Khairie Ahmad, fenomena itu bukan sahaja menuntut masyarakat celik huruf atau literasi, tetapi juga menguasai kemahiran teknologi maklumat atau literasi siber.

Literasi siber atau literasi digital merujuk kepada pengetahuan, kemahiran dan kesedaran rakyat dalam menggunakan peralatan teknologi, mengendalikan sebarang aktiviti secara dalam talian serta kemampuan mencari maklumat yang sahih dan tepat di alam siber.

“Berdasarkan beberapa kajian tempatan yang dijalankan, tahap penggunaan peranti dan aplikasi dalam talian masyarakat kita adalah baik. Namun persoalan lain yang timbul ialah dari segi kemahiran mereka untuk mengendalikannya,” katanya kepada Bernama.

Menurut laman web https://datareportal.com/reports/digital-2020-malaysia, pengguna Internet di Malaysia pada Januari 2020 berjumlah 26.69 juta orang. Jumlah pengguna Internet meningkat sebanyak 919,000 (3.6%) bagi tempoh 2019 dan 2020 dengan kadar penembusan Internet di Malaysia mencapai 83 peratus pada Januari 2020.

“Majoriti rakyat mempunyai akaun Facebook, Twitter dan Instagram. Namun dapatan kajian saya bertajuk ‘Information Ecosystem Assessment’ terhadap belia pada tahun lepas dan kajian bertajuk ‘Facebook Privacy Settings: Knowledge, Awareness and Information Disclosure’ pada 2018 ke atas remaja menunjukkan golongan itu berisiko atas faktor antaranya tidak mahir menggunakan tetapan kerahsiaan media sosial.

“Selain itu, ramai pengguna Internet menggunakan Wi-Fi awam untuk urusan perbankan dan transaksi jual beli. Tindakan sebegitu boleh mengancam keselamatan siber mereka,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khairie berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menggariskan literasi siber menerusi enam aspek, iaitu kemahiran terhadap celik data maklumat; berkomunikasi dan berkolaborasi; kebolehan menghasilkan kandungan digital; keselamatan; penyelesaian masalah; dan kemahiran berkaitan kerjaya siber.

“Berdasarkan laporan UNESCO mahupun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri, belum ada satu indeks konkrit berhubung literasi siber, dan hingga kini indikator yang sering dikaitkan dengan agenda digital ialah peratusan populasi yang menggunakan Internet,” katanya.

Laman web https://worldpopulationreview.com/country-rankings/literacy-rate-by-country menggariskan Malaysia telah mencapai kadar celik huruf 93.7 peratus daripada populasinya ketika ini, oleh itu Mohd Khairie berkata adalah wajar tumpuan diberikan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman rakyat dalam aspek literasi siber pula.

Maklumat dan data

Ledakan teknologi komunikasi turut menjadikan rakyat berada dalam lambakan maklumat, dan situasi itu menurut Mohd Khairie, menyebabkan masyarakat lebih cenderung mencari maklumat berbanding data atau fakta.

Lebih parah lagi ramai antara mereka tidak mempunyai atau kurang kemahiran dalam menentukan sumber maklumat yang sahih dan absah.

“Kebanyakan maklumat bersifat berat sebelah. Ini kerana yang dikatakan maklumat itu adalah rangkuman atau gabungan data yang telah ditafsirkan atau disampaikan menurut analisis penyampai, manakala data pula merujuk kepada angka atau fakta mentah (asal),” katanya, menambah Forum Ekonomi Dunia menyatakan dunia menerusi alam digital mengandungi kira-kira 44 zetabait data pada 2020 (satu zetabait bersamaan satu trilion gigabait).

Mengambil contoh laporan yang menyebut seramai 5,000 daripada 5,100 pesakit Covid-19 merupakan pesakit kategori 1, beliau berkata penerimaan dan tafsiran masyarakat terhadap perkara itu mungkin berbeza.

“Berdasarkan laporan itu, sesetengah pihak mungkin mentafsirkan situasi Covid-19 masih dalam keadaan bahaya namun bagi sesetengah yang lain pula adalah sebaliknya. Mereka mungkin membuat kesimpulan bahawa jumlah 5,000 itu tidak dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) maka situasi Covid-19 tidaklah begitu bahaya,” jelasnya.

Katanya kajian beliau yang dijalankan bersama Center for Independent Journalism dan Internews berkaitan ekosistem maklumat pada tahun lepas menunjukkan wujud defisit kepercayaan maklumat dalam kalangan belia, bukan sahaja terhadap media konvensional tetapi juga media baharu.

Katanya selagi masyarakat tidak dihidangkan maklumat yang disertakan data, ditambah pula sumber data itu meragukan, maka risiko untuk memperoleh maklumat yang tidak tepat dan sahih adalah tinggi.

“Contoh terkini, isu vaksin tidak terkecuali dimanipulasi pihak tertentu sehingga membawa kepada salah faham pelbagai pihak. Justeru penyampaian dan perkongsian data-data berkaitan perlu diperkasa agar maklumat yang tepat dan benar sampai kepada seluruh peringkat masyarakat,” katanya.

Ruang penambahbaikan

Berpendapat penubuhan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia (CSM), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) banyak membantu menyokong ekosistem siber negara, beliau bagaimanapun berkata masih terdapat beberapa ruang penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.

“Pada asasnya kita mempunyai dasar yang membanggakan dari sudut infrastruktur, ekonomi dan pengkomersialan, namun mungkin pada aspek pendidikan literasi siber kita memerlukan perhatian yang lebih. Ini kerana ancaman yang wujud bukan sahaja soal keselamatan jenayah siber tetapi isu hubungan sosiobudaya berikutan sikap tidak bertanggungjawab seperti hantaran berbaur hasutan, kebencian dan fitnah terutama di laman sosial.

“Perkara ini memerlukan satu sistem kesedaran dan pendidikan literasi siber sejak di peringkat kanak-kanak hinggalah kepada golongan dewasa agar seluruh masyarakat menjadi pengguna yang bijak dan bertanggungjawab.

“Dasar kerajaan juga perlu bersifat mesra digital, di samping kita memerlukan pemimpin dan pentadbir yang lebih celik digital agar dasar dan agenda masyarakat terangkum dalam ekosistem digital. Sebagai contoh, pelaksanaan aplikasi MySejahtera sangat bertepatan dalam membantu memerangi Covid-19 namun keupayaan aplikasi itu, jika dilihat dari sudut data raya, kecerdasan buatan dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0), boleh pergi lebih jauh daripada fungsinya sekarang,” katanya, menambah usaha tersebut melibatkan semua pihak.

Lindungi kanak-kanak

Berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata literasi siber umpama benteng yang melindungi keselamatan dan hak pengguna, sekali gus mengurangkan risiko ancaman terutama kepada pengguna yang dikategorikan sebagai paling terdedah seperti kanak-kanak, remaja, wanita dan warga emas.

Golongan itu katanya berisiko untuk dimanipulasi, dijadikan bahan kandungan tanpa kebenaran, diperdaya dengan pelbagai jenis penipuan yang menyasarkan mereka melalui maklumat yang dikongsikan menerusi media sosial.

Kajian Pengguna Internet oleh MCMC pada 2020 menunjukan 47 peratus kanak-kanak berusia lima hingga 17 tahun menggunakan Internet dalam kehidupan seharian mereka berbanding 28.5 peratus pada 2018.

Siraj berkata untuk itu, pendedahan awal pendidikan alam siber perlu dipertimbangkan selain isu keselamatan siber wajar dijadikan modul pembelajaran wajib di peringkat sekolah dan pusat pengajian tinggi.

“Inisiatif ini sedikit-sebanyak dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa yang terpaksa memberikan akses siber kepada anak-anak mereka yang masih kecil.

“Menerusi pemahaman penggunaan teknologi siber yang jelas sejak di peringkat kanak-kanak, impak buruk seperti penyebaran berita palsu, penggodaman dan eksploitasi teknologi serta kegiatan penipuan siber yang lain dapat dikurangkan, sekali gus menjadikan ruang siber negara lebih selamat,” katanya.

Mencadangkan sebuah platform dibangunkan bagi tujuan ujian kendiri kepada pengguna siber yang merangkumi skop keupayaan mengakses, memproses, menilai dan menganalisis maklumat secara digital, beliau berkata skor markah dan sijil boleh diberikan sebagai memperakui tahap literasi siber seseorang pengguna.

“Walaupun mungkin dianggap remeh, langkah itu dapat membantu memberikan pendedahan mengenai isu-isu siber terkini kepada rakyat,” katanya.

Kurangkan kesenjangan digital

Dalam pada itu, Mohd Khairie berkata kerajaan pada masa sama perlu memberi perhatian terhadap isu kesenjangan digital.

Ini kerana krisis pandemik Covid-19 telah membuktikan betapa jurang digital memberi kesan besar kepada masyarakat apabila sekolah terpaksa ditutup dan proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan secara dalam talian.

Katanya tinjauan Kementerian Pendidikan pada April 2020 mendapati 36.9 peratus pelajar di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti untuk melaksanakan PdPR selain keadaan infrastruktur yang tidak memuaskan juga turut menyumbang kepada jurang digital.

“Kerajaan mungkin tidak mampu menyediakan perkhidmatan ini secara menyeluruh, namun dengan kolaborasi bijak bersama pemain industri telekomunikasi, usaha merapatkan jurang digital dengan memastikan akses dan kualiti jaringan Internet negara berada di tahap yang terbaik pasti dapat dilaksanakan.

“Ekosistem digital yang mesra masyarakat luar bandar, golongan miskin bandar dan orang kurang upaya juga tidak boleh diabaikan kerana akses alam siber kini menjadi kemestian bagi kebanyakan rakyat, di samping hak dan potensi golongan itu untuk mendapat masa depan yang lebih baik tidak boleh dinafikan,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Acara Baca Puisi Nanggala 402 secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom akan diadakan pada 8 Mei dari 10 malam hingga 12 tengah malam, sebagai menzahirkan kesedihan dan simpati terhadap tragedi tenggelamnya kapal selam KRI Nanggala 402 di perairan Bali, Indonesia.

Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) Datuk Dr Radzuan Ibrahim dalam kenyataan hari ini berkata, acara tersebut akan disiarkan secara langsung melalui laman sosial Facebook Pemuisi Berkarya.

Beliau berkata, acara itu merupakan anjuran Pemuisi dengan kerjasama Talenta Indonesia, Universitas Sumatera Utara (USU), Perkumpulan Rumah Seni Asnur (PERRUAS) dan Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI).

Menurut Radzuan, seramai 30 peserta dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Thailand dan Korea, akan menyertai acara tersebut yang akan dirasmikan oleh Penaung Pemuisi Tan Sri Dr Hamad Kama Piah Che’ Othman.

“Peserta dari Malaysia termasuk dua Sasterawan Negara iaitu Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Datuk Dr Zurinah Hassan, serta Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Seri Dr Awang Sariyan, serta Tokoh Wartawan Malaysia Tan Sri Johan Jaaffar,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Indonesia pula diwakili Prof Madya Drs Siamir Marulafau dari USU, Asrizal Nur dari PERRUAS, dan Ketua Sumbar Talenta Sastri Bakry.

Pada 25 April lepas, Indonesia mengumumkan KRI Nanggala 402 tenggelam dan semua 53 kru terkorban, selepas kapal selam itu dilaporkan hilang pada 21 April.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

JPN lancar khidmat daftar, permohonan dalam talian

KUALA LUMPUR, 26 APRIL: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini melancarkan perkhidmatan secara dalam talian JPN eSERVICES bagi menambah baik perkhidmatan seiring dengan kemajuan teknologi terkini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata melalui sistem ini, rakyat boleh memohon dokumen JPN seperti Pendaftaran Kelahiran, Cabutan Rekod Kelahiran, Kad Pengenalan 12 Tahun, Permohonan Cabutan Rekod Kad Pengenalan dan Permohonan Pendaftaran Perkahwinan secara dalam talian dan tidak perlu hadir ke pejabat JPN.

“Walaupun urusan-urusan itu dilaksanakan secara dalam talian, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan keselamatan maklumat peribadi dan data-data sensitif anda berada di tahap yang tinggi.

“Saya menyeru kepada semua rakyat untuk memanfaatkan perkhidmatan ini kerana ia adalah inisiatif yang baik bagi mentransformasikan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan menjadi lebih efisien dan mesra pengguna,” katanya ketika berucap melancarkan JPN eSERVICES disiarkan secara langsung di Facebook rasmi KDN hari ini.

Hamzah berkata sehingga Mac 2021, sebanyak 41,816 orang menggunakan perkhidmatan permohonan melalui sistem ini dan kerajaan bersedia untuk menambah baik sistem ini dari semasa ke semasa bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik.

Katanya, selain mendaftarkan peristiwa-peristiwa penting bagi setiap individu dalam negara seperti maklumat kelahiran, kematian, pengangkatan, perkahwinan dan perceraian, JPN dipertanggungjawab menentukan taraf kewarganegaraan dan mengeluarkan dokumen identiti dalam bentuk kad pengenalan kepada mereka yang layak mengikut lunas perundangan negara.

“Sehingga Mac lepas, lebih 30 juta data peribadi berada dalam simpanan JPN dan kerajaan juga bersetuju melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional atau dikenali sebagai Digital ID dan KDN melalui JPN.

“Digital ID adalah suatu platform pengesahan dipercayai Verifiable Platform of Trust yang bakal dimanfaatkan oleh sektor awam dan swasta untuk mengesahkan identiti pengguna semasa melaksanakan transaksi secara digital,” katanya.

Hamzah berkata inisiatif itu disasarkan kepada warganegara dan penduduk tetap Malaysia malah transaksi dalam talian menggunakan Digital ID adalah lebih selamat dan meyakinkan kerana ia berdasarkan biometrik lebih kompleks seperti 10 cap jari, facial recognition dan sistem iris.

“Oleh itu, saya menyeru JPN agar memperluas perkhidmatan secara dalam talian ini serta mengenal pasti perkhidmatan lain yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara ‘end-to-end’ (hujung ke hujung) melalui teknologi digital pada masa akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Kuis rancang gabung kaedah belajar fizikal, dalam talian mulai sesi Mei

SHAH ALAM, 4 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) merancang memperluas sistem pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dan bersemuka mulai sesi baharu Mei depan.

Rektor Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata berdasarkan tinjauan, majoriti pelajar memilih untuk belajar di kampus tetapi terikat dengan arahan kerajaan yang bimbang jika berlaku pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP).

“Saya percaya pelaksanaan PdP ini akan dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya SOP dengan mengutamakan aspek keselamatan serta kebajikan pelajar,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau menambah ketetapan tersebut bergantung pada keputusan Kementerian Pengajian Tinggi yang ketika ini hanya membenarkan beberapa kategori pelajar institusi pengajian tinggi ke kampus secara fizikal.

“Kita juga sentiasa bersiap sedia untuk meneruskan kaedah PdP dalam talian menggunakan portal sistem pengurusan pembelajaran Kuis (KLMS),” katanya.

Ab Halim menjelaskan seramai 300 pelajar berkeperluan khas dibenarkan kembali ke kampus sejak minggu lalu untuk meneruskan pengajian sesi November 2020 yang berbaki kurang sebulan.

Katanya, pelajar terbabit terdiri daripada pelbagai peringkat program yang berdepan masalah capaian internet untuk mengikuti pembelajaran secara maya di rumah termasuk peperiksaan akhir hujung bulan ini.

“Kesemua mereka masuk secara berperingkat dan diarah menjalani kuarantin berasingan di asrama,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan enam kategori pelajar IPT dibenarkan ke kampus secara bersemuka seawal 1 Mac bagi mengikuti PdP fizikal serta dalam talian.

Categories
PBT SELANGOR

MPAJ tangguh khidmat bersemuka, laksana urusan dalam talian

SHAH ALAM, 12 JAN: Semua perkhidmatan di Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ditutup susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula hari ini hingga 26 Januari.

Yang dipertua berkata orang ramai yang mempunyai pertanyaan, permasalahan, aduan dan lain-lain boleh menghubungi pegawai bertugas (24 jam) menerusi talian 03-42968100 / 42857333 atau e-mel [email protected].

“Semua pembayaran seperti cukai taksiran, kompaun, lesen dan bil pelbagai boleh dilakukan secara dalam talian menerusi pautan http://https//:icomm.mpaj.gov.my manakala urusan berkaitan penjaja pada pautan https://intranet.mpaj.gov.my/penjaja.

“MPAJ memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi. Sila layari laman sesawang http://www.mpaj.gov.my untuk mengetahui status terkini perkhidmatan,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim menerusi kenyataan semalam.

Kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP di Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah selama 14 hari bermula hari ini.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Makan gaji buta: Dakwaan berat buat guru

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Dakwaan dilemparkan segelintir individu di media sosial menuduh guru hanya makan gaji buta sepanjang tempoh penutupan sekolah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sememangnya amat berat untuk ditelan.

Selain dikatakan makan gaji buta, paling teruk ada juga yang menyarankan supaya kerajaan melibatkan guru dalam tugas barisan hadapan seperti menjaga sekatan jalan raya.

Tuduhan mempertikaikan profesionalisme pendidik itu pastinya mengguris hati para guru yang kini berjumlah kira-kira 420,000 orang di seluruh negara.

Hakikatnya, tidak ada istilah makan gaji buta bagi guru yang kini berhadapan cabaran baharu apabila terpaksa melaksanakan tanggungjawab mendidik melalui sesi pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPDR)

Satu tinjauan ringkas yang melibatkan 1,742 guru sekolah rendah dan menengah kerajaan serta swasta membuktikan dakwaan itu sangat tidak tepat.

Dalam soal selidik yang dijalankan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) November lepas, 85 peratus guru menyatakan mereka meluangkan antara satu hingga empat jam sehari melaksanakan aktiviti PdPDR manakala baki 15 peratus memperuntukkan lebih dari empat jam sehari.

Bagi kaedah pengajaran digunakan, 37 peratus melalui dalam talian, 16 peratus secara luar talian, 45 peratus secara dalam talian dan luar talian manakala selebihnya berada di pusat-pusat komuniti untuk mengedar dan mengutip nota, latihan dan tugasan diberikan kepada murid.

Ketua kajian Prof Madya Dr Azlin Norhaini Mansor berkata dapatan yang diperoleh menunjukkan majoriti guru melaksanakan tugas hakiki mengajar ketika PKP dan PKPB dengan mengikut jadual waktu yang diberikan kepada mereka.

“Mungkin ada yang musykil mengapa majoriti guru mengajar tidak sampai pun empat jam sehari?. Apa yang dijelaskan oleh guru yang terlibat dalam tinjauan itu, tugas sebenar mereka bukan sahaja mengajar sebaliknya ada lagi tugas-tugas lain yang berkaitan pentadbiran perlu dilaksanakan.

“Antaranya menyemak tugasan murid, menyediakan bahan bantuan mengajar, merekod data kehadiran dan tugas-tugas lain seperti yang diarahkan pengetua atau guru besar serta Pejabat Pendidikan Daerah,” katanya kepada Bernama di sini.

Dalam tinjauan itu juga guru yang terlibat turut berkongsi cabaran dan kekangan PdPDR atau home-based learning (HBL) dengan 80 peratus menyatakan cabaran utama mereka adalah memastikan keberadaan murid semasa kelas berlangsung.

Ini diikuti cabaran dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan dan kesediaan murid, di samping perlu memastikan murid dapat memberi tumpuan agar mereka faham dan seronok belajar dalam setiap kelas yang diadakan.

“Selain itu sebanyak 70 hingga 80 peratus menyatakan masalah kestabilan internet, kebolehgunaan peranti mengajar seperti komputer, telefon, tablet, ruang pembelajaran murid, sokongan ibu bapa dan keprihatinan kepimpinan sekolah.

“Cabaran lain menggugat kredibiliti guru, seperti Astro, Netflix, video game dan lain-lain seumpamanya yang boleh diakses pada bila-bila masa secara percuma dan lebih mengujakan murid sekolah khususnya para remaja,” katanya, sambil menambah laporan lengkap tinjauan dijangka siap Januari tahun depan.

Beliau berkata dalam hal pendidikan, tidak wajar guru sahaja dipersalahkan kerana banyak perkara perlu diambil kira antaranya masalah kesihatan mental dan fizikal pelajar yang ‘terkurung’ berikutan PKP dan PKPB, ruang dan kediaman yang tidak selesa, konflik keluarga dan persoalan lain yang turut mengganggu pembelajaran pelajar.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berpendapat sentimen atau tuduhan melulu individu atau pihak yang menyatakan guru makan gaji buta ketika PKP dan PKPB disebabkan mereka tidak memahami tugas dan tanggungjawab guru.

Beliau berkata jika gaji guru hanya perlu dibayar ketika mengajar di dalam kelas, itu adalah satu tanggapan sangat salah kerana banyak beban dan cabaran guru terutama ketika PKP dan PKPB dalam memastikan pelajar meneruskan pembelajaran di rumah.

Ini termasuk mempersiapkan nota-nota pengajaran, dokumen dan sebagainya sebelum melakukan pengajaran dan pembelajaran sama ada dalam talian atau luar talian, katanya.

“Apakah kita mampu berkata kepada ahli bomba, mereka makan gaji buta kerana mereka tidak memadamkan api, atau kita kata pihak polis memakan gaji buta kerana tidak menangkap pencuri atau penjenayah.

“Walaupun kelas ditutup, kuliah tidak ada, tidak bermakna guru makan tidur semata-mata. Mereka tetap bertugas seperti biasa terutama mempersiapkan nota-nota semasa PKP untuk dikongsikan dengan pelajar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Jakess seru pendengaran kes dalam talian

SHAH ALAM, 3 NOV: Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess) menyeru pihak yang mempunyai prosiding kes meneruskan pendengaran secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.

Unit Komunikasi Korporat berkata langkah itu membolehkan lebih banyak kes dapat didengar setiap hari kerana mahkamah syariah tidak boleh menampung kehadiran fizikal terlalu ramai bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

“Perkhidmatan dalam talian ditawarkan ialah wakalah, afidavit, majlis sulh, perbicaraan dan sebutan kes yang boleh dibuat melalui sidang video.

“Perkhidmatan ini boleh digunakan dengan mengemukakan permohonan kepada pendaftar dan mendapat persetujuan pihak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jakess menambah pihaknya mewujudkan beberapa perkhidmatan termasuk pendengaran kes secara dalam talian di Mahkamah Syariah Selangor sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa pada 18 Mac.

Bagaimanapun menurutnya, usaha itu kurang mendapat sambutan memandangkan pihak berkaitan lebih cenderung untuk hadir secara fizikal di mahkamah.

“Dalam situasi semasa Covid-19 di Selangor khususnya dalam tempoh PKPB, mahkamah tidak dapat beroperasi penuh berikutan keperluan mewujudkan penggiliran jadual bekerja selaras arahan kerajaan untuk mengurangkan kehadiran pegawai dan kakitangan di pejabat,” katanya.

Susulan itu, jabatan itu terpaksa membuat penjadualan semula kes yang sudah ditetapkan pendengarannya sepanjang tempoh PKPB.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Pengguna digalak buat pembelian dalam talian

PUTRAJAYA, 14 OKT: Pengguna di Kuala Lumpur, Putrajaya Selangor dan Sabah digalakkan membuat pembelian secara dalam talian ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan masing-masing.

“Pembelian secara dalam talian secara tidak langsung dapat membantu memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang menyatakan langkah itu dapat mengurangkan pergerakan fizikal ke premis perniagaan.

Dalam satu kenyataan hari ini, Nanta berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapat maklumat dari lapangan bahawa berlaku pembelian panik di beberapa tempat selepas pengumuman PKPB oleh Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan bertenang dan tidak membuat pembelian panik kerana perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku di negara kita,” kata Nanta yang menegaskan bekalan barang terutama barang makanan dan barang keperluan utama dijamin mencukupi pada harga yang stabil dan munasabah.

Beliau berkata KPDNHEP mempunyai 2,269 anggota penguat kuasa di seluruh negara yang sentiasa memantau dan memeriksa bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga barang stabil tanpa kenaikan mendadak.

KPDNHEP, katanya juga telah membuktikan melalui tindakan yang diambil dapat memastikan bekalan makanan tidak terputus semasa Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan dahulu.

Nanta dalam pada itu berkata pengilang, pengeluar, pemborong dan peruncit diingatkan supaya memastikan semua bekalan keperluan sentiasa mencukupi.

Jika pengguna mendapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang, mereka boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP melalui portal [email protected], menghubungi call centre di talian 1800 886 800 atau e-mel kepada [email protected], katanya.

Aduan juga boleh disalurkan melalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, dengan menghubungi enforcement command centre (ECC) di talian telefon 03-8882 6245 / 6088 atau talian telefon Malaysia Government Call Centre (MYGCC) di nombor 03-8000 8000 atau Whatsapp ke 019- 279 4317.

PKPB dilaksanakan di Sabah bermula 13 hingga 26 Oktober, manakala di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor PKPB bermula hari ini hingga 27 Oktober.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Pelajar di Kota Setar laksana sesi belajar dalam talian

SUNGAI BESAR, 13 SEPT: Pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Kota Setar, Kedah akan mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dikuatkuasakan di kawasan itu sejak Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata semua pentadbir sekolah dan guru diarahkan untuk melaksanakan pembelajaran secara dalam talian sehingga sekolah kembali dibuka seperti biasa.

“Pihak sekolah diminta membantu pelajar yang tidak mempunyai akses kepada talian internet dan alat peranti yang sesuai untuk pembelajaran secara dalam talian.

“Bagi menangani perkara ini, guru boleh menghantar lembaran kerja ke rumah pelajar, atau ibu bapa pelajar boleh mengambilnya di sekolah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Bomba Komuniti Zon Selangor Utara, di sini, hari ini yang disempurnakan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai arahan kerajaan supaya semua taska, sekolah swasta dan kerajaan termasuk lain-lain institusi pengajian rendah, menengah dan prauniversiti ditutup sepanjang tempoh PKPD secara pentadbiran bagi membendung penularan Covid-19.

Muslimin berkata sehingga kini siaran TV Pendidikan masih dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan malah sebanyak 800 slot baki siaran ‘home based learning’ atau pembelajaran di rumah belum disiarkan.

Sementara itu, beliau berkata kementerian menyelesaikan kira-kira 60 peratus masalah guru ‘duka lara’ sejak 2016 untuk dipindahkan ke sekolah yang berdekatan dengan keluarga.

Beliau berkata kementerian telah menetapkan beberapa kriteria untuk memastikan proses yang adil terhadap semua pihak yang memohon untuk berpindah.

“Bagi guru bujang, dia harus berkhidmat (sekurang-kurangnya) 90 bulan (di sesebuah sekolah), baru boleh mohon (untuk pindah). Guru ‘duka lara’ yang berkahwin, perlu 60 bulan. Merit berkaitan laporan doktor dan sebagainya juga akan diberi keutamaan,” katanya.

Menurutnya, setakat ini Kelantan merupakan negeri yang mencatatkan permohonan tertinggi dengan kira-kira 5,000 permohonan berbanding kira-kira 100 permohonan untuk pindah keluar dari negeri itu manakala Johor antara negeri mencatatkan permohonan terendah.

“Jadi kita syorkan kalau nak balik ke Semenanjung (guru dari Sabah dan Sarawak), kita boleh beri peluang untuk “transit” seketika di Johor (sebelum mohon pindah ke negeri pilihan),” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Banci 2020: 32.6 juta penduduk dibanci mulai 7 Julai

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Projek pembangunan berimpak tinggi dan berskala besar yang melibatkan 32.6 juta penduduk akan dihitung melalui Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) bermula Selasa ini.

Bertema ‘Data Anda Masa Depan Kita’, bancian tersebut adalah kali keenam dilaksanakan setiap 10 tahun sejak 1963 dan kali ini ia merangkumi sembilan juta kediaman bagi mendapatkan banci yang komprehensif merangkumi keperluan input pemantauan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Berdasarkan maklumat laman web mycensus.gov.my, aktiviti banci akan dilaksanakan di semua kawasan perumahan dan kediaman di seluruh Malaysia dalam dua fasa, iaitu fasa pertama secara dalam talian bermula 7 Julai hingga 30 September ini, manakala fasa kedua bermula 7 Oktober hingga 24 Oktober secara bersemuka.

Pembancian dijalankan ke atas semua orang di tempat tinggal biasa mereka pada hari bancian, termasuk bukan warganegara yang telah atau akan tinggal selama enam bulan atau lebih di Malaysia dalam tahun ini.

Namun, bayi yang lahir selepas Hari Banci, orang yang meninggal dunia sebelum Hari Banci, serta bagi mereka yang tinggal di luar negara ataupun akan keluar negara bagi tempoh enam bulan atau lebih untuk bekerja atau belajar, mereka dikecualikan daripada kiraan banci.

Menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, sebelum ini, pewartaan Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Banci 1960 menyatakan arahan banci penduduk dan perumahan dibuat di seluruh Malaysia berdasarkan Hari Banci iaitu pada 7 Julai.

“Melalui pewartaan itu juga Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, sebagai Pesuruhjaya Banci yang keenam untuk menyelia pembancian dan memastikan perancangan serta hala tuju pelaksanaan banci berjalan dengan lancar,” memetik kenyataan itu.

Selaras dengan kemajuan teknologi dan perubahan gaya hidup rakyat Malaysia, pengumpulan maklumat banci secara dalam talian mula diperkenalkan menerusi Portal Banci dan aplikasi mudah alih pada Banci 2020.

Bagi melengkapkan borang e-Banci (e-Census), poskad yang mengandungi panduan mengisi dan pautan e-Census di Portal Banci akan dihantar ke tempat kediaman setiap penduduk, selain aplikasi mudah alih untuk kegunaan pembanci mengisi maklumat semasa sesi temu ramah diadakan dengan menggunakan tablet atau telefon pintar.

Selain kaedah pengisian dalam talian menerusi pautan https://ecensus.mycensus.gov.my, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan menghubungi penduduk yang terpilih bagi kaedah telefon.

Mohd Uzir dalam perutusan khasnya di portal DOSM berkata Banci 2020 akan menggunakan pendekatan ‘de jure’ iaitu maklumat setiap penduduk dikumpul mengikut tempat tinggal biasa pada Hari Banci.

“Sistem banci berpusat dan komprehensif ini, dengan peningkatan dan penambahbaikan ciri-ciri pembancian secara elektronik (e-Census), menyediakan satu rangka kerja bersepadu yang meliputi pengumpulan, analisa dan penyebaran data yang kompleks.

“Oleh itu, pelaksanaan MyIPCS dalam Banci 2020 akan memberi manfaat kepada kedua-dua pengumpul data dan responden bagi memastikan semua penduduk diliputi.

“Soalan tambahan mengenai butiran perumahan, kesihatan, gaya hidup dan hubungan sosial juga dimasukkan di dalam Banci 2020 bagi memenuhi perubahan corak gaya hidup dalam masyarakat,” katanya.

Katanya, DOSM juga telah mengadaptasi pendekatan baru dengan memperkenalkan portal MyCensus 2020 (www.mycensus.gov.my) sebagai gerbang maklumat yang membekalkan banyak maklumat banci dalam bentuk infografik, visualisasi interaktif dan pelbagai aplikasi atas talian berkaitan banci.

Penghasilan profil yang terperinci ini juga akan digunakan untuk membuat perancangan dan keputusan berkenaan perkhidmatan awam yang diperlukan bagi setiap lokaliti seperti hospital, sekolah, jalan raya, dan pengangkutan awam.

Namun, berdasarkan peruntukan yang terkandung dalam Akta Banci 1960 (disemak 1969), Banci 2020 turut memastikan bahawa semua maklumat individu yang dikumpul adalah sulit dan tidak akan didedahkan.

-BERNAMA