Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Berkhemah tepi litar, keluarga temani juara dunia Moto3 berlatih

Foto FIKRI YUSOF

SHAH ALAM, 4 JULAI: Sejak berusia 14 tahun, pelumba motosikal negara Syarifuddin Azman tiada pilihan selain terpaksa berkhemah di tepi litar bersama keluarganya.

Begitulah Syarifuddin bersama bapa, Azman Amir, 47, dan abangnya Mohd Aiman, 21, setiap Jumaat. Mereka terpaksa bermalam selama tiga hari setiap minggu untuk menjimatkan kos.

Kedudukan rumah mereka di Puchong dan Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor agak jauh, kira-kira 80 kilometer sehala. Begitulah rutin kehidupan mereka sepanjang dua tahun sejak 2015.

Latihan pula tidak semudah roda bergolek. Memerlukan jiwa kental, tubuh yang lasak dan semangat nan utuh kerana ‘makan tayar’–terbabas saat berlatih–itu biasa.

Namun, semua itu berbaloi apabila pelbagai kejuaraan dikecapi Syarifuddin, lebih terkenal sebagai Damok. Paling membanggakan tentunya menjuarai Kejuaraan Dunia Junior FIM CEV di Barcelona, Sepanyol pada 13 Jun.

Sememangnya, Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor seakan-akan rumah kedua buat Damok. Di situlah beliau dan abang berlatih bawah bimbingan Asmawi Askor, pengasas litar berkenaan.

Bukan sekali dua Damok ‘makan tayar’ sepanjang berlatih di situ tetapi mujurlah tiada kecederaan serius dialaminya. Namun, calar balar dan bengkak anggota tubuh bagai asam garam buat beliau.

Litar Lumba Rakyat Kuala Selangor, lokasi tetap Syarifuddin Azman menjalani latihan permotoran

Latihan yang ditempuhi bukan sembarangan, antaranya berlari keliling litar dengan memakai suit lumba bawah terik matahari. Selain itu, memecut motosikal di litar tanpa henti lebih sejam pada jam 1 tengah hari sampai minyak habis.

Mereka menggunakan khemah berniaga yang dipasang di tempat letak kereta. Habis berbintat tubuh mereka dihurung nyamuk yang memang banyak di situ.

Lazimnya, mereka makan di kedai. Paling sukar apabila terasa mahu melepas hajat. Terpaksalah ke stesen minyak atau kedai mamak berdekatan.

“Pernah sekali pada waktu malam, hujan jadi kelam-kabut kemas barang-barang. Lepas itu lari masuk ke kereta. Tidur dalam kereta,” kata Azman mengenang detik-detik awal Damok dan abangnya.

Termuntah

Bagi Azman, litar itulah yang menggilap bakat Damok, bahkan pelumba lain yang tidak kurang berjaya.

Litar yang serba lengkap untuk mengasah bakat pelumba kerana litar ini cukup dengan tempat memecut, pusingan ‘U’, selekoh kiri kanan dan lain-lain.

“Sifat litar ini cukup mencabar, bukan sahaja teknik tunggangan tetapi fizikal dan mental pelumba,” kata Azman.

Syarifuddin turut menjalani latihan kecergasan di sebuah bukit setinggi kira-kira 100 meter di Sendayan, Negeri Sembilan. Beliau dikerah berlari tiga hingga empat pusingan turun naik bukit. Sampaikan Syarifuddin termuntah.

Azman mula mengesan kecenderungan anaknya terhadap aksi bermotosikal. Mungkin kerana mereka selalu menyaksikan beliau bermain motocross. Lagipun Damok belajar menunggang motor kapcai sejak berusia 10 tahun lagi.

Pun begitu, kos sukan permotoran sememangnya mahal, terasa peritnya. Bekerja sebagai penyelenggara bangunan, beliau terpaksa mengeluarkan banyak perbelanjaan sendiri, bahkan terpaksa menjual dua motocross kesayangannya dengan harga RM13,000. Dapatlah membiayai Syarifuddin dan Mohd Aiman menyertai perlumbaan. Dengan kos itu, kedua-dua anaknya menyertai 10 pusingan Kejuaraan Cup Prix 2016 yang berlangsung seluruh negara.

Pengorbanan itu berbaloi berikutan Syarifuddin meraih kejuaraan keseluruhan kategori Yamaha Petronas Super Series. Beliau menang empat daripada 10 pusingan kejohanan pada tahun itu. Mohd Aiman pula menduduki tangga keenam keseluruhan.

Syarifuddin Azman menerima trofi selepas menjuarai acara ‘King of 2T’

Pada 2018, Syarifuddin sekali lagi muncul juara keseluruhan, kali ini kategori wira apabila mengungguli enam daripada 10 pusingan. Beliau kemudian beraksi dalam kejuaraan Asia Talent Cup pada 2018 dan menduduki tempat keenam keseluruhan.

Selepas menempuh pelbagai cabaran, Syarifuddin meraih gelaran juara Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol pada usia 20 tahun pada 13 Jun lalu, suatu pencapaian membanggakan negara.

Azman yakin Syarifuddin berpotensi untuk pergi lebih jauh termasuk bersaing dalam Moto GP sekiranya mendapat bimbingan betul.

“Ketika ini Syarifuddin berada di tangga ke-10 Kejuaraan Dunia Junior FIM CEV, perlu mengharungi empat lagi pusingan dan ada harapan cerah membaiki kedudukan,” kata Azman.

Litar marhaen

Sebenarnya, litar itu banyak melahirkan pelumba berbakat selain Syarifuddin antaranya bekas juara keseluruhan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bagi kategori masing-masing Mohd Akid Aziz dan Md Haziq Md Fairus.

Pada awalnya, litar itu cuma sepanjang 400 meter sebelum direka bentuk semula sebanyak empat kali hingga menjadi 1.1 kilometer atas nasihat pelumba Indonesia yang juga juara tiga kali kategori Underbone 115cc, ARRC, Hadi Wijaya.

“Kesan penutupan Litar Batu Tiga menyebabkan pelumba tiada tempat untuk berlatih kerana rata-rata tidak mampu menampung kos berlatih di Litar Antarabangsa Sepang.

“Kami berbincang dengan Majlis Daerah Kuala Selangor. Mereka benarkan perkarangan Kompleks Sukan Kuala Selangor dijadikan tempat latihan dengan beberapa syarat,” kata Asmawi.

Pengurusan litar itu hanya mengenakan bayaran RM50 untuk menggunakan litar antara jam 8 pagi hingga 5 petang. Tiada had masa, boleh berlatih ‘sampai muntah’.

Walaupun dianggap sebagai litar marhaen dalam kalangan penggiat sukan permotoran tetapi litar tersebut diiktiraf Persatuan Permotoran Malaysia.

Mereka juga kerap menganjurkan kejohanan lumba motor yang sering disertai ramai pelumba seluruh negara. Paling mendapat sambutan adalah ‘King of 2T’ menampilkan motosikal lumba dua lejang.

Kewibawaan litar itu dalam membangunkan pelumba muda turut diakui bintang Cup Prix 90-an, Wazi Abdul Hamid.

“Kejayaan Damok hasil pembangunan jangka panjang yang diusahakan bapa beliau di samping sokongan orang sekeliling, masyarakat sukan permotoran itu sendiri. Tidak ketinggalan litar itu kerana reka bentuknya yang sesuai untuk latihan.

“Terima kasih kepada semua terlibat termasuk Kerajaan Selangor yang hulurkan sumbangan untuk membangunkan lagi litar itu, usaha ini wajar diteruskan” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan Selangor dan Permaisuri bangga kejayaan ‘Damok’, inspirasi anak muda

SHAH ALAM, 15 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor menzahirkan ucapan tahniah kepada pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman atas kejayaan menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, Ahad lalu.

Menurut kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Norashikin mengucapkan syabas kepada pemuda berusia 19 tahun kelahiran Puchong, Selangor yang merakam sejarah tersendiri apabila berjaya menaiki podium menewaskan pelumba tuan rumah.

“Baginda berharap pencapaian ini akan terus membakar semangat Syarifuddin yang lebih dikenali dengan panggilan ‘Damok’ untuk melakar lebih banyak kejayaan di peringkat antarabangsa, seterusnya menjadi inspirasi kepada anak-anak muda lain,” menurut kenyataan itu.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong zahir rasa bangga kejayaan ‘Damok’ harum nama negara

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah di atas pencapaian pelumba motosikal negara, Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol, semalam.

Menurut kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Istana Negara hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita serta bangga di atas kejayaan itu yang sekali gus melakar sejarah buat sukan permotoran negara dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Al-Sultan Abdullah menyifatkan pencapaian Syarifuddin sebagai kejayaan amat bermakna kepada Malaysia dan menjadi suntikan semangat untuk pelumba yang lebih dikenali sebagai “Damok” itu dalam memburu kejayaan di masa hadapan.

“Pencapaian cemerlang Syarifuddin ini sekali lagi turut membuktikan Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.

Ia juga membuktikan dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah berharap kejayaan dan semangat perjuangan Syarifuddin akan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya para atlet untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa.

“Yang di-Pertuan Agong menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Syarifuddin dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan serta sekali lagi memahat sejarah dan mengharumkan nama negara di persada dunia,” menurut kenyataan itu.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat, mengatasi dua pelumba tuan rumah, David Munoz Rodriguez dan Jose Antonio Rueda Ruiz, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Syarifuddin kini berada di tangga keenam keseluruhan dengan mengumpul 30 mata selepas tiga pusingan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

`Damok’ berlatih di Litar Lumba Rakyat, Kuala Selangor sejak umur 15 tahun

SHAH ALAM, 14 JUN: Siapa sangka di sebalik kejayaan Syarifuddin Azman menjuarai saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya, Sepanyol semalam, bakatnya mula diasah di Litar Lumba Rakyat, Kuala Selangor yang dibangunkan Kerajaan Negeri.

Bapanya, Azman Amir, 47, berkata anaknya dikenali panggilan ‘Damok’ berlatih di litar itu sejak berusia 15 tahun serta berulang alik dari kediaman di Taman Putra Perdana, Puchong sejauh 170 kilometer (km) hampir setiap hari.

Ketika hendak berlatih di situ, beliau ‘menebalkan muka’ bertemu beberapa jurulatih termasuk Asmawi Askor supaya melatih anaknya menjadi pelumba profesional kerana yakin bakat yang ada.

“Di situ Damok belajar selok belok menunggang motosikal dengan betul, bukan mudah menguasai litar itu namun dia berjaya hasil tunjuk ajar jurulatih.

“Litar itu memang sesuai melatih teknik serta ketahanan fizikal pelumba, kami hargai usaha Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan seumpama itu,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azman berkata, keluarganya berbangga kejayaan di peringkat antarabangsa dikecapi anak kedua daripada enam beradik itu yang kini berusia 20 tahun.

“Kami akan terus memberikan sokongan kepada Damok bagi meneruskan perjuangannya dalam sukan permotoran,” katanya.

Semalam, Syarifuddin yang membesar di Puchong mengharumkan nama Malaysia selepas muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Litar Catalunya.

Syarifuddin yang bermula di petak ke-10 menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 29 minit 32.553 saat.